REMPUHAN OMBAK SUNYI
Asmaniza Din
Pak Leh duduk termenung di anjung rumah, memerhati laut yang terbentang luas di hadapan. Sesekali, angin lembut menyapa wajahnya. Setiap lekuk ombak seakan membawa semula suara Mak Yam, yang dahulu setia menunggunya di tangga. Laut yang pernah menjadi saksi suka duka mereka, kini cuma cermin kenangan yang memantulkan hari-hari yang takkan kembali.
Rindu itu belum pernah surut, walau Mak Yam telah lama pergi. Rumah kecil di hujung kampung nelayan itulah satu-satunya yang masih berdiri teguh, memeluk sepi yang tertinggal.
Sejak kehilangan Mak Yam, segalanya terasa asing. Pukat tua yang dahulunya menjadi teman setia di laut, kini tergantung kaku di anjung rumah, berselimut debu dan sarang labah-labah.
Setiap pagi, matahari terbit megah menyinari laut yang membiru. Namun bagi Pak Leh, mentari yang muncul saban hari hanya mengingatkannya pada ruang kosong di sisinya. Pandangannya jatuh pada tikar mengkuang usang yang terus membentang sepi. Di situlah Mak Yam pernah duduk, berkongsi cerita dan ketawa bersamanya.
Lamunan Pak Leh terhenti saat satu suara yang dikenalinya menyapa dari luar pagar.
“Pak Leh, tak turun ke laut hari ini? Ikan tengah banyak tu,” tegur Timah, jiran lama yang tidak pernah jemu mengambil berat tentang keadaannya.
Pak Leh hanya mengangguk kecil sambil menghadiahkan senyuman tawar. Dia tahu Timah sekadar ingin berbual, cuba mengisi kesunyiannya.
“Tak sedap badan, Timah,” balasnya perlahan. Suaranya serak, seakan ada sesuatu yang tersekat di kerongkong.
Dia tahu Timah mengerti. Bahkan penduduk kampung juga merasakannya. Kehilangan itu terlalu berat. Separuh daripada jiwanya seolah-olah turut terkubur bersama jasad Mak Yam.
Pada suatu malam, hujan turun dengan lebat. Kilat sabung-menyabung membelah langit yang hitam pekat. Pak Leh duduk di ruang tamu yang suram, hanya disinari cahaya samar daripada pelita minyak tanah.
Di tangannya tergenggam sehelai kain batik lusuh, peninggalan Mak Yam. Masih bersisa haruman bunga melur yang sudah lama kering. Air matanya menitis perlahan, membasahi kain itu. Ingatannya melayang kepada satu permintaan yang pernah dibisikkan Mak Yam pada hari-hari terakhirnya.
“Abang...” Suara Mak Yam perlahan, hampir tenggelam bersama hembusan nafasnya yang kian lemah.
“Rumah ni... satu-satunya tempat kita berteduh. Dari mula kita susah, sampai kita senang sikit-sikit.”
Dia terdiam sebentar, menatap wajah Pak Leh dengan mata yang mula berkaca.
“Tolong jaga rumah ni baik-baik, sebagai tanda kenangan kita.”
Mak Yam tersenyum sayu. Tangannya yang kurus sempat mengusap pipi Pak Leh, sebelum matanya terpejam buat selama-lamanya.
*****
Pagi itu, entah mengapa Pak Leh terjaga lebih awal daripada biasa. Dia tidak berniat turun ke laut kerana laut itu sendiri sudah lama tidak memanggilnya. Sebaliknya, dia hanya mahu membersihkan kembali pukat yang sudah lama terbiar. Tangannya yang berurat mula menyentuh perlahan helaian benang kasar yang usang dan sedikit reput, dimamah waktu.
Setiap simpulan pada pukat itu seolah-olah menyimpan seribu kenangan yang tidak pernah pudar. Terbayang wajah Mak Yam, tekun membaiki pukat yang rosak sambil bersenandung lagu-lagu lama. Jarinya ligat menjahit simpulan demi simpulan, mengikat kembali ruang yang terlerai. Pemandangan itu sudah cukup menjadi penawar buat Pak Leh yang saban hari pulang kelelahan setelah berjuang melawan ombak.
Usaha membersihkan pukat itu akhirnya membuahkan hasil. Meskipun tubuhnya penat, ada kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Tatkala mentari melurut ke barat, pukat yang telah dibersihkan dilipat kemas dan disimpan di sudut anjung. Ia seolah-olah menanti dalam diam, bersedia untuk kembali beraksi apabila tiba waktunya.
Minggu demi minggu berlalu. Rutin membersihkan pukat kini menjadi satu-satunya pengisi harinya. Ia seperti terapi senyap untuk meredakan kekosongan yang kian mencengkam.
Suatu petang yang damai, ketika Pak Leh sedang tekun membersihkan pukat di anjung, muncul seorang kanak-kanak di hadapan rumahnya. Usianya sekitar enam atau tujuh tahun.
"Pak Leh..." Suara kecil itu menyapa dengan nada serba salah.
Pak Leh tersentak kecil. Sudah lama tiada kanak-kanak yang berani mendekatinya. Kisah duka yang membalut hidupnya telah tersebar ke seluruh kampung. Bagi mereka, dia hanyalah lelaki tua yang pendiam, tenggelam dalam kemurungan yang panjang.
Perlahan-lahan, dia menoleh. Matanya tertancap pada seorang budak lelaki yang berdiri mematung. Wajah kecil itu tampak ragu-ragu, seolah-olah tidak pasti sama ada kehadirannya dialu-alukan atau sebaliknya.
“Bola saya jatuh dekat sini. Pak Leh boleh tolong carikan?”
“Bola?” soalnya, agak janggal. Suaranya kedengaran asing di telinganya sendiri kerana sudah terlalu lama dia tidak berbual dengan sesiapa.
Budak itu hanya mengangguk kecil, tersipu-sipu.
Perlahan-lahan, Pak Leh bangkit. Sendi-sendinya yang longgar berkeriut halus. Pandangannya menyapu sekeliling sebelum jari tuanya terangkat, menuding ke arah bola getah yang terselit diam di bawah bot kecil lamanya.
“Haa... kat situ. Ambil sendiri,” ujarnya dingin, tanpa sedikit pun niat untuk bermesra.
Budak lelaki itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Takut...” ucapnya perlahan. Harapannya seolah-olah bersandar pada belas ihsan Pak Leh.
Pak Leh mengeluh kecil. Langkahnya diatur menuju ke arah bot, Dia membongkok, lalu mencapai bola itu. Saat bola bertukar tangan, jari mereka bersentuhan. Ada kehangatan halus yang meresap, seperti menyiram sesuatu yang telah lama kering dalam hatinya. Waktu itu, dia sedar bahawa masih ada insan di sekelilingnya dan dia tidak benar-benar keseorangan.
“Terima kasih, Pak Leh,” ucap budak itu sambil tersenyum lebar, menampakkan barisan gigi susunya yang sudah mula hilang satu demi satu.
“Nama siapa?” soal Pak Leh spontan.
“Hafiz,” jawabnya laju. Tanpa menoleh, dia terus berlari seperti tidak cukup tanah sambil mendakap bola kempisnya erat.
Sejak hari itu, Hafiz mula kerap bertandang. Bukan untuk bermain bola, tetapi sekadar duduk di tangga sambil memerhati Pak Leh membersihkan pukat. Sesekali, dia akan bertanya tentang laut atau ikan-ikan yang pernah ditangkap oleh lelaki tua itu. Wajahnya bersinar dengan rasa ingin tahu, seolah-olah dunia laut satu keajaiban yang belum pernah diterokai.
Pada mulanya, Pak Leh hanya melayan pertanyaan Hafiz secara acuh tak acuh. Namun, lama-kelamaan dia mendapati dirinya mula bercerita.
Tentang ikan todak yang besar, tentang ribut yang hampir menenggelamkan bot dan tentang malam-malam gelap di tengah laut yang hanya diterangi kerlipan bintang. Waktu itu, langit hitam pekat. Ombak menggila tanpa belas. Hanya cahaya bintang yang menuntunnya pulang.
Kisah-kisah itu, dahulunya hanya dikongsi dengan Mak Yam. Dan kini, Hafiz pula menjadi pendengar setianya.
Pada suatu pagi, Hafiz muncul dengan seekor ikan temenung segar di tangan kecilnya.
“Mak suruh bagi,” katanya sambil menghulurkan ikan itu.
Pak Leh menyambutnya dengan hati yang tersentuh. Meskipun sekadar pemberian sederhana, namun ia tetap bermakna.
Dia merenung ikan itu sejenak sebelum mengalihkan pandangan ke laut yang terbentang. Laut yang sekian lama menyimpan memori bisu itu, kini seakan-akan memanggilnya kembali.
“Hafiz,” panggil Pak Leh perlahan, seolah-olah menyisip rahsia dalam hembusan angin pagi.
“Kalau Hafiz nak tengok Pak Leh turun ke laut esok, datanglah. Tapi ingat, jangan beritahu sesiapa dulu.”
Mata Hafiz membulat. Senyumannya mekar seperti kelopak bunga yang disapa embun pagi.
“Betul ke ni, Pak Leh?”
Pak Leh mengangguk. Dan untuk pertama kalinya sejak sekian lama, dia benar-benar pasti.
Malam itu, Pak Leh sukar melelapkan mata. Fikirannya berselirat, memikirkan keputusan yang telah dibuat. Antara takut dan teruja, dua rasa itu bertingkah dalam diam.
Takut akan rempuhan ombak yang mungkin lebih garang daripada biasa. Takut pada bayang kenangan Mak Yam yang mungkin kembali, saat jari-jemarinya menyentuh kemudi.
Di celah ketakutan yang membelenggu, tersembunyi rasa teruja yang sukar dijelaskan. Setelah sekian lama terperuk sepi di anjung rumah, hatinya mula digerakkan oleh keyakinan yang perlahan-lahan kembali bercambah.
Sebelum fajar menyinsing, Pak Leh sudah pun terjaga. Baju lusuh, seluar pudar dan topi jerami yang pernah menemaninya sejak dulu kembali disarung ke tubuh. Tangannya yang sedikit menggeletar menyentuh pukat yang telah dibersihkan, seolah-olah menyapa sahabat lama sebelum sebuah perjalanan dimulakan.
Ketika tiba di pantai, Pak Leh melihat Hafiz sudah berdiri di situ. Anak kecil itu merenung laut yang masih gelap, hanya diterangi samar cahaya pagi dari ufuk timur. Senyuman di wajah Hafiz sedikit sebanyak mengurangkan keresahan yang bersarang di hati Pak Leh.
“Pak Leh!” Hafiz menjerit kecil sebaik sahaja ternampak kelibat lelaki tua itu.
“Ssshh...” Pak Leh meletakkan jari ke bibir, memberi isyarat supaya tidak membuat bising.
“Perlahan sikit. Nanti orang lain dengar.”
Pak Leh mengheret bot kecilnya ke gigi air. Lengannya tidak lagi sekuat dahulu, namun semangatnya masih teguh. Air laut yang menyapa kakinya terasa dingin, membangkitkan rasa yang telah lama terpendam. Setiap langkah yang diatur perlahan-lahan mengusir beban di dada. Akhirnya, bot itu mula terapung.
Pak Leh melangkah naik ke atas bot dan mengambil tempat di bahagian kemudi. Sebelum berangkat, dia sempat menoleh ke arah pantai. Hafiz masih berdiri di situ, melambai kecil dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir.
Enjin tua itu dikerah hidup. Ia terbatuk-batuk seketika sebelum menderu tenang, seolah-olah turut mengiringi semangat tuannya pagi itu.
Bot kecil itu perlahan-lahan membelah permukaan laut yang masih kelam. Setiap kali ombak kecil melambung tubuhnya, degup jantung Pak Leh kian deras. Angin pagi yang menggigit wajahnya turut mengheret kenangan lama, menyergah tanpa amaran.
Terbayang-bayang Mak Yam duduk di hadapannya, tertawa kecil saat percikan air laut menyentuh pipi. Suara dan tawanya masih terngiang-ngiang, bersatu dengan deru angin dan desiran ombak. Bayangan itu begitu nyata, seakan-akan masa silam turut menumpang di atas bot yang sama.
Pak Leh memejamkan mata seketika, membiarkan bayu pagi membelai wajahnya seperti sentuhan kenangan yang enggan pergi. Walau yang tinggal hanyalah kesunyian dan sisa memori, dia tahu laut itu masih menyimpan cinta yang pernah mereka bina bersama.
Air mata mula bertakung di tubir mata Pak Leh, namun tidak dibiarkannya jatuh. Dia menarik nafas panjang, menelan kembali sebak yang hampir tumpah. Tangannya terus menggenggam kemudi dengan erat. Dia tidak pergi jauh. Hanya beberapa batu dari pantai, di kawasan yang masih selamat untuk bot kecilnya.
Apabila sampai di lokasi yang dirasakannya sesuai, Pak Leh memperlahankan kelajuan dan mematikan enjin bot. Bot itu teroleng sedikit, tenang dibuai ombak kecil.
Pak Leh melemparkan pukat ke laut. Bukan lagi demi hasil yang lumayan, tetapi sekadar ingin merasai semula sentuhan tali dan simpulan yang suatu ketika dahulu begitu akrab di tangannya. Satu rutin lama yang pernah menjadi nadi kehidupannya.
Matahari mula terbit di kaki langit, mewarnai awan dengan rona jingga dan merah. Perlahan-lahan, Pak Leh menarik pukatnya. Ia terasa berat. Saat pukat itu timbul di permukaan, kelihatan beberapa ekor ikan menggelupur di dalamnya.
Pak Leh merenung hasil tangkapan kecil itu dengan sebuah senyuman yang hampir dilupakan sekian lama. Tidak banyak, tetapi cukup untuk mengingatkannya bahawa dia masih mampu. Dan laut itu... tidak pernah menolaknya. Ia tetap setia, menyambut kehadirannya seperti dahulu.
Bukan nilai ikan itu yang menjadi ukuran, tetapi keberanian di sebalik tindakannya. Pak Leh telah keluar, menunaikan janji kepada dirinya sendiri. Dan secara diam-diam, kepada Mak Yam juga. Air matanya akhirnya tumpah. Bukan kerana duka yang menjerut, tetapi kerana kelegaan yang datang bersama harapan.
Dalam perjalanan pulang, botnya menyusur perlahan. Dari kejauhan, matanya menangkap kelibat Hafiz yang masih berdiri di tempat yang sama. Anak kecil itu tidak berganjak, seolah-olah yakin Pak Leh akan kembali. Sebaik sahaja bot mendarat, Hafiz segera berlari mendapatkannya.
“Dapat ikan tak, Pak Leh?” tanya Hafiz, matanya berkilauan seperti permata.
Pak Leh mengangguk sambil menunjukkan ikan-ikan yang telah dipindahkan ke dalam besen.
“Tak banyak, Hafiz. Tapi cukuplah untuk kita berdua.”
Hafiz melompat kecil, gembira umpama mendapat harta karun.
Senyuman Pak Leh melebar.
Perjuangan ini belum tamat. Badai pasti akan bertandang, walau tanpa diundang. Namun kini, dia tidak lagi gentar. Kerana dia telah menemui kekuatan dalam dirinya sendiri.
Bukan dengan melupakan, tetapi dengan mengingati. Bukan dengan menghapus kenangan, tetapi dengan memeluknya erat.
Ombak di hadapannya terus beralun, seperti detak jantung yang belum terhenti.
Selagi bot kecilnya masih mampu terapung di dada laut, dia akan terus menongkah arus.
Selagi hayat dikandung badan.
Tamat.