Bayang di Hujung Langit
Karya: TK. Kelly Gincho
Aku simpan wajahmu di lipatan angin
di sela dedaun yang mengaji sunyi
kerana rinduku bukan sekadar ingatan
tapi gema yang berdengung di rongga hati
Langit pun sudah lama tidak bertanya namamu
kerana bintang-bintang letih menunggu kau kembali
dan malamku
adalah terowong kosong yang pernah kau suluh
dengan tawa dan cerita tak berpenghujung
Adakah kau masih memanggilku
dalam bahasa kenangan?
Adakah kopi masih hangat di jarimu
seperti ketika kita berkongsi senja
di atas bangku tua berwarna warisan?
Aku telah menulis seribu surat
di atas awan
dan tiap satu gugur menjadi hujan
yang turun tanpa sempat kelihatan
kerana jarak itu kini bukan hanya langkah
tetapi waktu yang terlalu angkuh untuk kita kejar
Andai esok engkau terlupa namaku
biarlah angin menyebutnya perlahan
kerana yang hilang bukan hanya wajah
tapi serpihan diriku
yang tak akan pernah kembali pulang
Tk. Kelly Gincho
Kota Kinabalu Sabah
20/04/2025