Sabtu, 24 Mei 2025

TIADA LAGI INDAH

 TIADA LAGI INDAH

AC Jaffrie

Tiada lagi indah! Itulah yang aku boleh gambarkan apabila melihat keadaan Mak Lijah sekarang. Apa sahaja yang dilihat sudah tidak memberi sebarang makna. Renungannya adalah pandangan yang kosong. Pandangan yang tidak memberi sebarang rasa dan gerak naluri daripada seorang ibu yang kehilangan seorang insan yang tersayang. 

“Sudah berapa lama keadaannya, pakcik?” soal aku kepada Pak Sudin saat mengunjungi pasangan warga emas itu.

“Tujuh tahun lalu kami kehilangan seorang anak lelaki akibat kemalangan. Iqbal anak bungsu lelaki yang sangat rapat dengan ibunya. Sampai sekarang ingatannya terganggu…” ucap Pak Sudin dengan nada sedih.

Aku amat memahami apa yang disampaikan oleh Pak Sudin itu. Hati ibu mana tidak terasa dengan kehilangan yang memisahkan jasad mereka buat selama-lamanya. Hidup seharian Mak Lijah tidak keruan. Walaupun dunia terus berputar di atas paksinya, matahari akan terbit dan terbenam seperti selalu, namun hati Mak Lijah seolah-olah sudah terhenti. Segala-galanya sudah berubah.

“Saya amat simpati bila lihat keadaan Mak Lijah. Dia mesti kuat!”

“Ramai orang cakap macam itu. Pakcik pun tak boleh buat apa melainkan bersabar.”

“Ini semua ujian, pakcik. Kita jangan mengalah. Mungkin ada hikmah?”

Soalan itu membuatkan Pak Sudin tersenyum kecil. Selama ini pun dia sudah pasrah dan menerima keadaan yang menimpa isterinya itu. Dia juga sudah cuba bawa Mak Lijah pergi berubat cara kampung. Jumpa dengan beberapa orang ustaz juga sudah bagi merawat secara Islam. Berjumpa dengan pakar psikologi di hospital kerajaan juga sudah. Namun keadaan Mak Lijah tiada banyak perubahan. Dia seperti sudah terperangkap di dalam dunianya sendiri. 

“Tak tahu hendak buat apa lagi. Banyak ikhtiar sudah dibuat.”

“Kita perlu banyak bersabar. Pakcik pun mesti kuat.”

“Pakcik rasa hilang semangat bila lihat keadaan dia masih tak berubah.”  

“Kita sama-sama berusaha, insya-Allah.”

Aku tahu, bukan mudah memulih semangat yang hilang di dalam diri. Hampir lima tahun aku sudah bekerja sebagai kaunselor sukarelawan sosial di bawah seliaan pusat kesihatan daerah. Berbagai cabaran dan dugaan yang aku sudah tempuhi. Bukan sahaja orang yang sakit perlu semangat yang kuat untuk pulih, malah orang yang merawat juga harus bersemangat juang yang tinggi. Ahli keluarga yang terdekat sangat perlu memainkan peranan memberi sokongan dalam proses memulihkan ingatan pesakit.

Aku perasan antara gelagat atau perbuatan yang sering dilakukan oleh Mak Lijah saban waktu. Dia kerap berdiri di tepi jendela sambil memandang jauh ke arah halaman rumah. Menurut Pak Sudin, isterinya akan berkelakuan seperti itu hampir setiap pagi. Memang sudah menjadi tabiat Mak Lijah akan berdiri di sisi jendela itu sambil melambaikan tangan ke arah Iqbal yang berjalan kaki ke sekolah. Jarak sekolah rendah dengan rumah Pak Sudin lebih kurang lima belas minit berjalan kaki yang terletak di hujung kampung.

Apa yang sedang bermain di fikiran Mak Lijah, hanya dia sahaja yang tahu. Aku yang melihatnya terasa sebak dan terharu. Kasih seorang ibu memang tiada bandingan kepada seorang anak. Sayang yang berkumpul di dadanya sepenuh air di telaga. Sedikit pun tidak tertumpah dan berbelah bahagi. Jendela itu masih utuh berdiri sesetianya Mak Lijah berdiri di situ. Garis dan kedut di wajah tuanya bagai pantulan masa dari jendela yang kian usang. 

“Pakcik bimbang lihat keadaannya sehari-hari. Dia seolah-olah hilang dalam bayangan dirinya sendiri. Kadang-kadang meracau dan dia bercakap sendirian.”

“Itu tandanya dia menanggung beban rindu yang amat berat.”

“Pakcik faham tapi dalam masa yang sama pakcik takut!”

“Kenapa takut?”

“Pakcik takut kehilangan!”

Aku memejam mata sambil menghirup udara segar perlahan-lahan. Terasa kelegaan di segenap penjuru urat dan nadi. Bukan mereka berdua sahaja perlu kuat, malah aku juga perlu kuat. Aku mesti sentiasa bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah Mak Lijah. Itulah harapan yang menggunung tinggi daripada Pak Sudin kepada aku. Aku mendekati Mak Lijah seperti menguliti seorang anak kecil. Umpama seorang ibu yang membelai anak kecilnya saban hari. Baik perbuatan atau suara perlu berhemah. Segala tindakan jangan sampai melukakan hati dan perasaan.

“Fikirkan kita boleh, pakcik. Jangan fikirkan kegagalan!” ucapku memberi kata-kata semangat buat Pak Sudin.

Pak Sudin diam. Dia hanya mengangguk beberapa kali. Sebelum ini memang dia sudah berputus asa apabila melihat keadaan isterinya semakin teruk. Selain meracau, kadang-kadang menangis di waktu malam. Waktu tidurnya juga tidak menentu. Mulutnya masih menyebut nama Iqbal setiap kali menjenguk ruang bilik tidur yang menempatkan arwah. Walaupun anak itu sudah lama meninggalkan alam fana ini namun bayangannya masih mendampingi diri Mak Lijah.

Mengimbas sejenak kisah lalu. Iqbal adalah satu-satunya anak kepada pasangan Pak Sudin dan Mak Lijah. Kehidupan keluarga ini amat sederhana. Pak Sudin hanya bekerja di kampung mengambil upah memanjat kelapa, membersih kebun dan ada kemahiran bertukang rumah. Sementara isterinya, Mak Lijah adalah seorang suri rumah tangga. Rutin hariannya menjaga rumah, memasak, membasuh dan sebagainya. Salah satu kemahiran Mak Lijah adalah menjahit pakaian. 

Kehadiran seorang anak bernama Iqbal sudah cukup memberi kebahagiaan buat mereka berdua. Menurut cerita Pak Sudin juga, kehadiran Iqbal dalam keluarganya agak mengambil masa. Lapan tahun pertama mereka menunggu kehadiran permata hati itu. Akhirnya doa dan permintaan mereka berdua ditunaikan oleh Allah SWT. Mereka bersyukur tidak terhingga dan membesarkan Iqbal bagai menatang minyak yang penuh. Segala kasih dan sayang tertumpah penuh kepada Iqbal. Namun cuaca terang tidak sampai ke petang. Mendung membawa hujan di tengah hari.

Iqbal terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu mahu pulang bercuti semester. Bas yang dinaiki terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung. Ingatan itu membawa mimpi ngeri kepada Mak Lijah dan Pak Sudin. Lebih parah lagi kepada Mak Lijah. Kenyataan yang ditanggung itu amat berat sehingga kesihatannya turut terganggu. Anak yang menjadi taruhan harapan masa hadapannya sudah tiada di muka bumi. Kekuatan dirinya sudah rebah ke tanah asbab satu kehilangan ini. 

    “Dulu dialah paling gembira setiap kali hendak sambut raya. Mesti ada sepasang baju Melayu baru dijahit untuk Iqbal,” beritahu Pak Sudin dengan nada sedih. 

    “Setiap tahun?” Aku mengulang pertanyaan.

Pak Sudin mengangguk. Aku faham dan dapat merasakan kepedihan yang turut bergantungan di benak lelaki tua itu. Mereka bersama mengecapi kebahagiaan hidup dan berkongsi kedukaan saat masalah datang melanda. Dia masih dapat menerima takdir yang menimpa. Kemurungan yang terkurung di dalam diri Mak Lijah. Sejak peristiwa hitam itu berlaku, sikap Mak Lijah juga berubah. Dia tidak lagi menjahit. Namun baju-baju Melayu milik arwah Iqbal yang bergantungan dalam almari pakaian akan diselak satu persatu.

    “Dia buat apa dengan baju-baju itu, pakcik?”

    “Baju-baju itu akan jadi kenangan terindah dia. Sambil memeluk baju, dia akan bercakap seolah-olah arwah masih ada.”

        “Apa lagi yang pakcik nampak?”

    “Ada masa dia akan berdiri lama di muka pintu. Dia tertinjau-tinjau menunggu seseorang. Orang-orang kampung sudah faham keadaan ini. Hanya simpati yang dapat dihulurkan.”

        “Maknanya dia masih ingat. Dia masih tak boleh terima hakikat seseorang yang telah tiada. Dia menaruh harapan terlalu tinggi kepada Iqbal.”

        “Itu memang benar!”

Aku cuba menyelami perasaan itu. Aku cuba bayangkan perasaan jika berada di dalam diri Mak Lijah. Jika pada luaran aku sudah tidak sanggup melihat keadaan Mak Lijah, apa lagi jika mengalami kemurungan begitu. Tugas aku bukan untuk menasihati pesakit seperti Mak Lijah, tetapi lebih kepada untuk mendengar. Apa sahaja yang diluahkan oleh Mak Lijah akan diambil berat, dilayan sebaik-baiknya. Luahan perasaan itu boleh mengurangkan tekanan di dalam diri pesakit kemurungan.

    “Aku tak gila! Aku tak gila!” tiba-tiba Mak Lijah bertempik seperti dirasuk.

    “Sabar makcik! Sabar!” tukas aku sambil memeluk erat badan Mak Lijah.

    “Orang kampung kata aku gila!” ucap Mak Lijah lagi.

    “Makcik tak gila, percayalah cakap saya.”

    “Tapi kenapa mereka jauhkan diri dari aku?”

Aku terus menenangkan perasaan Mak Lijah. Dadanya aku urut perlahan-lahan. Segelas air suam aku hulurkan kepadanya. Seteguk dua air yang diminum diharapkan dapat melegakan keadaannya. Pak Sudin yang turut berada tidak jauh dari situ turut merasa lega. Layanan yang aku berikan kepada Mak Lijah mendapat pujian daripadanya. 

        “Terima kasih sudah bantu keluarga pakcik.”

“Itu memang tanggungjawab saya untuk membantu. Makcik sebenarnya bukan gila tapi lebih kepada kemurungan. Dia perlu sedikit ruang masa untuk dirawat. Penyakit ini perlu rawatan tertentu walaupun mengambil masa untuk pulih. Hari-hari pakcik boleh berbual-bual dengan makcik supaya dapat pulihkan semula ingatannya.”

Pak Sudin tidak banyak bercakap. Dia amat terharu dengan harapan isterinya itu akan pulih seperti sedia kala. Segala nasihat yang aku berikan akan cuba dilakukan. Aku mengingatkan Pak Sudin akan temu janji Mak Lijah berjumpa dengan pakar psikiatri di hospital besar minggu hadapan. Aku membertahu lagi bahawa pesakit kemurungan amat perlu sokongan emosi. Ahli keluarga mesti bersedia menjadi pendengar yang setia, tunjukkan keprihatinan dan jangan remehkan keperluan mereka.

    “Pastikan juga makcik dapat rehat yang cukup, makanan yang sihat dan lakukan senaman yang ringan. Jangan lupa beri ubat klinik mengikut spesifikasinya. Saya yakin makcik akan kembali sihat.”

    “Alhamdulillah, pakcik selalu berdoa kepada Allah SWT supaya makcik cepat sembuh.”

Seiring perjalanan waktu, ada perubahan positif kepada Mak Lijah. Dia kini sudah kurang termenung atau murung di sisi jendela yang terbuka. Pak Sudin menjadi teman sejati yang menemaninya sepanjang masa. Setiap pertanyaan akan dijawab dengan baik. Setiap keluhan akan dilayan dengan sempurna. Makan dan minumnya juga terjaga. Begitu juga dengan ubat dan keperluan yang lain.

    “Awak kena kuat. Kita sama-sama sayangkan Iqbal. Satu masa nanti kita boleh berjumpa semula. Kita sayang dia tapi Allah SWT lebih menyayanginya. Dia sudah lama tunggu kita di sana,” ucap Pak Sudin dengan berhemah memberi semangat kepada Mak Lijah.

Mak Lijah terdiam. Pada kelopak matanya nampak air mata bergenang. Setiap kali teringatkan arwah Iqbal, air matanya pasti mengalir. Pak Sudin akan memujuknya supaya reda dengan takdir daripada Allah SWT. 

    “Menangis tak boleh ubah keadaan.”

    “Saya rindukan dia!”

    “Abang pun rindu. Kita baca surah yassin supaya rohnya tenang di sana.”

Ada segaris senyuman yang hambar di bibir Mak Lijah. Bagi diri Pak Sudin, itulah satu tanda positif untuk isterinya pulih kembali. Dia akan menjadi sumber kekuatan kepada isterinya sekarang. Mak Lijah kini sedar bahawa Iqbal sudah tiada lagi. Mereka berdua juga berhak untuk terus hidup dan merasa kebahagiaan di hujung usia senjanya.


TAMAT



BIONARASI PENULIS

AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain. Ahli kepada persatuan penulis di bawah badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera (Pantun) dari PENAMA (November 2024).


SYAIR CINTA SEJATI

 Syair Cinta Sejati

Karya: Normilah Paulus


Wahai kekasih cahaya kalbu,

Cintamu teguh tak pernah layu,

Meski diuji waktu yang berlalu,

Kasihmu tetap utuh dan padu.


Bersama meniti ranjau berduri,

Dalam gelita tetap menyeri,

Hatimu setia tidak berubah seri,

Menjadi pelita saat aku mencari.


Cinta sejati bukan sekadar kata,

Ia menuntut jiwa dan setia,

Dalam sukar kau tetap ada,

Mengusap luka, menatang bahagia.


Di mata dunia engkau permata,

Namun di hatiku engkaulah nyata,

Setiap denyut menyebut namamu,

Sebagai anugerah dari Yang Esa.


Andai terhenti nafasku nanti,

Biarlah cintamu abadi berdiri,

Tertulis indah dalam sanubari,

Sebagai kisah tak bertepi.



Normilah Paulus

SMK PENANGAH

24 Mei 2025

DEPRESI MERUNGKAI GANGGUAN JIWA

 Depresi Merungkai Gangguan Jiwa

Karya: Iza Iman


Pengajian sudahpun berakhir. Suhara balik dengan kejayaan. Kepulangannya disambut penuh kegembiraan oleh keluarga tersayang. Mereka bangga dengan Suhara.

Pada mulanya, Suhara terlihat sangat riang. Kepulangannya mengisi tawa riang keluarganya. Sehinggalah pada satu malam, segalanya terjawab. Puan Safura melihat anaknya bercakap seorang diri.

“Jangan tinggalkan Suha. Suha mahu ikut.” Ibarat begitulah percakapan Suhara. Tidak tahu dengan siapa Suhara berbual. Ingin sekali Puan Safura mengetahuinya.

Puan Safura melangkah turun meninggalkan bilik Suhara menuju ke tingkat bawah. Air mukanya begitu resah. Risau memikirkan keadaan anak tersayang.

“Kenapa, Su? Su seperti susah hati?” Encik Shahrizal bersuara. Jelas sekali keresahan di wajah isterinya. Dia seolah-olah mampu merasainya.

“Suha gila ke, Bang?” tanya Puan Safura.

Encik Shahrizal tersentak. “Hish, kenapa pula cakap begitu? Baik saja Suha tu Abang tengok.”

“Su nampak Suha bercakap sendiri, Bang. Macam orang tak betul,” jelas Puan Safura.

“Bila?” soal Encik Shahrizal.

“Tadi. Su risau, Bang,” jawab Puan Safura.

Encik Shahrizal menghela nafas panjang. “Tidak mengapa. Kita cuba kawan-kawan Suha, tanyakan apa sebenarnya yang sudah terjadi.”

Puan Safura mengangguk. Dia turut sependapat dengan suaminya.

***

Puan Safura melangkah keluar bersama bakul raganya. Hajat hati hendak ke pasar. Seperti selalu, Encik Shahrizal akan menemaninya.

Ada beberapa jenis ikan yang dibeli. Dengan keadaan Suhara yang merisaukan hatinya, itu sahaja cara untuk merawat jiwa. Tiba di tapak parkir awam, Puan Safura bertembung dengan seseorang.

“Assalamualaikum. Makcik Safura, kan? mama Suhara,” tegurnya.

“Ya, saya. Anak ni siapa?” tanya Puan Safura.

“Saya Lisa, kawan sekuliah Suhara. Kami sama-sama baru habiskan pengajian,” jelas Lisa ramah.


Puan Safura mengangguk. “Oh, begitu. Sudah terlanjur kita terserempak di sini, apa kata kita pergi minum di kafe depan tu? Banyak yang mak cik nak tanyakan dengan Lisa pasal Suhara. Mak cik simpan barang dalam kereta dulu. Lepas tu panggil pak cik sekali. Dia menunggu mak cik di sana.”

“Baiklah, mak cik,” jawab Lisa.

Puan Safura menyimpan ikan yang dibeli di dalam kereta. Kemudian Puan Safura datang kembali bersama-bersama dengan Encik Shahrizal. Mereka mengajak Lisa menuju ke kafe.

Kopi panas dan roti sandwich telah dipesan. Mereka menikmati makanan dan minuman itu bersama-sama. Lisa memandang wajah resah Puan Safura.

“Apa yang mak cik mahu tahu tentang Suhara?” tanya Lisa.

“Mak cik risau dengan Suhara, Lisa. Sejak tamat pengajian, mak cik nampak Suhara bercakap sendiri. Bercakap nak mati pun ada.”  Puan Safura memulakan cerita.

Lisa memandang Encik Shahrizal dan Puan Safura. Dia harus berterus-terang dengan mereka.

Lisa menarik nafas panjang. “Sebenarnya Suhara terkena gangguan jiwa lepas kawan baik dia meninggal dunia di fakulti tempat kami belajar. Arwah tu banyak bantu Suhara, sama-sama ulangkaji pelajaran. Suhara tak dapat terima yang Fahmi dah tak ada.”

Encik Shahrizal dan Puan Safura sama-sama terkejut. Mereka tidak menyangka itu akan terjadi terhadap anak mereka.

“Suhara gila?” soal Puan Safura sambil menampar dahinya perlahan.

Lisa menggeleng. “Tidak, mak cik. Ini dipanggil depresi. Defresi bermaksud gangguan suasana hati yang ditandai dengan rasa kesedihan mendalam dan kehilangan minat terhadap hal-hal yang disukai. Orang yang mengalami depresi jika sudah dua minggu merasa sedih, putus harapan, atau tidak berharga perlu dirawat.”

“Gejala depresi seperti rasa cemas dan kerisauan yang berlebihan, emosi yang tidak stabil, serta rasa putus asa,” tambah Lisa lagi.

Air mata Puan Safura mengalir. “Macam mana untuk buat Suhara sembuh?”

Lisa menyentuh tangan Puan Safura. “Kita akan bantu Suhara, mak cik. Hanya sokongan padu serta dorongan kuat saja dapat bantu Suhara untuk kembali bersemangat seperti dulu. Di samping itu, kita akan bawa Suhara berjumpa dengan doktor. Kita minta pandangan daripada pihak hospital berkenaan cara rawatan.”

Puan Safura mengangguk dalam keresahan. Dia hanya harapkan Lisa dapat membantunya. Dia mahu Suhara ceria seperti dulu.

***

Seawal pukul 9.00 pagi, Lisa sudah terpacak di hadapan Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu. Doktor Ashraf yang baru turun dari Mercedes biru kepunyaannya tersenyum memandang Lisa. Lisa satu-satunya adik kesayangannya.

‘Ada perkara pentinglah mahu dibicarakan tu, sampai tak boleh cakap di rumah,’ bisik Doktor Ashraf sambil tersenyum.

“Ada apa datang jumpa Abang ni? Kan boleh cakap di rumah?” soal Doktor Ashraf.

“Pagi tadi Abang tiada bersarapan di rumah. Tak dapat Lisa bercakap dengan Abang. Sebenarnya Lisa nak bawa Abang jumpa kawan Lisa,” jawab Lisa.

“Oh? Kawan Lisa kenapa?” tanya Doktor Ashraf.

Doktor Ashraf seorang doktor pakar. Dia boleh menangani isu depresi atau gangguan jiwa. Dia mendapat pendidikan tentang kedoktoran di Australia. Dia mahu merungkai banyak tentang masalah depresi.

“Kawan Lisa mengalami depresi, Bang. Lepas tamat pengajian, dia sering berkata mahu mati. Semua orang risau,” beritahu Lisa.

Lama Doktor Ashraf berfikir. “Kita perlu jumpa kawan Lisa.”

Lisa lega mendengar jawapan abangnya. Sekurang-kurangnya dia sudah mencuba untuk membantu Suhara.

***

Petang itu, angin sepoi-sepoi bahasa berhembus lembut. Ketenangan menemani jiwa Suhara yang berkocak. Hati yang berjiwa walang bagaikan tuarang yang melanda.

Ingatannya terbang pada Fahmi. Sokongan dan dorongan Fahmi masih terbayang di tubir mata. Seperti baru semalam mereka belajar bersama.

“Kau kena janji dengan aku, Suha. Kau harus genggam segulung ijazah. Bina kecemerlangan!” ujar Fahmi disertai kata-kata peransang.

“Baiklah. Aku janji yang aku akan genggam segulung ijazah. Tapi, bukan hanya aku seorang. Kau pun kena berjaya, sama seperti aku,” jawab Suhara.

Fahmi tersenyum. “Haruslah, Suha. Tiada orang yang tidak mahu berjaya. Itulah impian untuk siapa sahaja yang bergelar manusia. Tapi, itu semua atas izin-Nya juga. Kau pernah dengar pasal takdir?”

Suhara mengangguk. “Pernah.”

Fahmi membalas anggukan Suhara. “Takdir yang Allah susun berbeza-beza. Kita harus terima walaupun sakit untuk ditelan. Aku mahu kau berjaya walaupun tanpa aku di sisi. Jangan tangisi sebuah takdir yang sudah Allah aturkan. Boleh?”

Suhara mengesat air matanya perlahan saat mengingati segala kenangan tentang Fahmi. “Kenapa kau pergi terlalu awal, Fahmi? Kenapa kau tak bawa aku bersama?”

***

Kedatangan Doktor Ashraf dan Lisa disambut dengan baik. Encik Shahrizal dan Puan Safura memang menunggu kedatangan mereka. Lisa mengambil kesempatan itu untuk memperkenalkan abangnya kepada mereka.

“Pak cik, mak cik, ini abang Lisa, Doktor Ashraf. Abang akan bantu Suha untuk sembuh. Kita semua sama-sama berdoa,” ujar Lisa.

“Itulah yang kami harapkan. Semoga doktor dapat bantu untuk kesembuhan Suha,” jawab Encik Shahrizal.

“Suha ada berdekatan dengan kawasan tasik sekarang. Mungkin doktor boleh bercakap dengan Suha di sana.” Giliran Puan Safura pula yang bersuara.

“Baiklah. Saya akan pergi ke sana. Lisa temanlah Abang. Suha tidak mengenali Abang, kan?” Doktor Ashraf bersuara.

“Baiklah, Bang,” jawab Lisa.

Doktor Ashraf dan Lisa bersama-sama keluar daripada kediaman keluarga Suhara. Dari jauh, mereka dapat melihat dengan jelas Suhara sedang duduk bersendirian. Air matanya tidak henti-henti mengalir.

“Suha, aku datang ni. Ini abang aku... Doktor Ashraf.” Lisa bersuara perlahan.

Apabila melihat kedatangan Lisa, Suhara bangun. Dia terus memeluk Lisa seeratnya. Gembira dengan kedatangan Lisa.

“Aku gembira kau datang, Lis. Sejak Fahmi pergi, aku tiada kawan. Rasanya elok kalau aku ikut Fahmi mati saja,” tutur Suhara bersama deraian air mata.

“Astagfirulloh-hal-azim. Mengucap, Suha. Kau kena reda. Relakan permergian Fahmi. Biar dia bersemadi dengan tenang,” balas Lisa sambil mengesat air mata Suhara.

“Betul tu, Suha. Terima segala ketentuan. Jangan silap mengatur langkah. Kita yang masih bernyawa, usai arah perjalanan. Berdoa dan berzihir. Ingat Allah,” celah Doktor Ashraf.

Bicara Lisa dan Doktor Ashraf meresap dalam hati Suhara. Kata-kata perangsang membuatkan dia mula sedar. Hidup itu adalah satu perjuangan.

***

Hari berganti hari dan bulan berganti bulan. Suhara mula melangkah dalam arus kehidupan dengan semangat baru. Dia sudah mula dapat menerima hakikat. Selama enam bulan Suhara mengikuti terapi minda dan kaunseling yang Doktor Ashraf salurkan. Semuanya memerlukan masa yang lama untuk pulih kembali. Berkat kesabaran Doktor Ashraflah, Suhara mampu bangkit kembali.

Lisa juga banyak menyedarkannya. Kata Lisa, depresi boleh menyerang individu yang gemar bersendirian dan hilang pedoman dalam kehidupan. Sayangi diri sendiri demi orang tersayang.

“Aku gembira melihat kau hari ini, Suha. Kawan aku dah kembali. Ayah dan mama kau mesti gembira melihat kau dah pulih,” ucap Lisa.

“Terima kasih, Lis. Kau dan abang kau yang banyak tolong aku. Aku janji tak akan biarkan hati aku dihuni depresi lagi,” jawab Suhara.

“Tak perlu ucapkan itu, Suha. Kami semua sayangkan kau. Kami mahu kau bangkit seperti sekarang,” ungkap Lisa.

Suhara menghela nafas panjang. Dia tahu, mamanya sudah penat menangis. Semua angkara dirinya.

Bermula dengan hari baru, Suhara mahu menyematkan sejuta semangat. Tidak akan ada lagi dinding-dinding depresi. Usaha Doktor Ashraf yang berjaya merungkai gangguan jiwa dalam depresi tidak akan Suhara lupakan.

Suhara tidak mahu dianggap gila. Gangguan jiwa itulah yang mengganggu aktiviti hariannya. Perjalanan demi perjalanan akan dilalui selepas ini.

Kepada Allahyarham Fahmi, aku sudah mula merelakan kepergianmu. Aku tahu, ini bukan mudah. Tapi, aku harus belajar menerima ketentuan takdir, bisik hati kecil Suhara.

Di ufuk cakerawala, awan jingga mula menampakkan sinar. Bersama doa dan iltizam, Suhara mahu melemparkan depresi jauh-jauh. Jangan pernah datang lagi dan membelit dirinya.

***

Hari ini, Suhara berjaya menggenggam ijazah kedoktoran. Dia bakal menjadi seorang doktor yang disegani. Tiada sudah lara hati yang mencengkam.

Puan Safura memeluk Suhara. “Mama gembira untuk Suha. Semuanya berkat semangat juang Suha.”

Suhara membalas pelukan ibu tersayang. “Semua ni atas bantuan ayah dan mama. Suha tak akan pulih sendiri. Suha janji, Suha akan bahagiakan ayah dan mama. Suha akan cuba rawat siapa saja yang mengalami depresi.”

Itulah tekad dalam diri Suhara. Iltizam akan disimpulkan bersama. Sakit mental bukan satu permainan. Depresi yang merungkai gangguan jiwa pasti dapat menyelamatkan ramai orang.


TAMAT.

HUJAN DI HATI SURI

 HUJAN DI HATI SURI

ASMANIZA DIN


Di luar hujan turun mencurah-curah. Bunyinya kedengaran seperti menumbuk jendela. Suri Raihana duduk di birai katil sambil merenung jam dinding yang telah lama terhenti berdetik, seolah-olah masa turut membeku bersamanya. Dalam keheningan itu, dia cuba menenangkan diri. Namun semakin dia berusaha, semakin kuat suara-suara asing bergema di dalam fikirannya.

Suri seorang wanita yang berjaya. Pada usia muda, dia sudah menjawat jawatan sebagai pengurus besar di sebuah syarikat teknologi terkemuka. Dia sering dijadikan contoh wanita moden yang mampu mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi. Namun, di sebalik senyuman yang sentiasa terukir di wajah, tersembunyi sebuah realiti yang perlahan-lahan meruntuhkan dirinya dari dalam.

Selepas kehilangan suaminya dalam satu kemalangan jalan raya setahun yang lalu, Suri mula menyedari perubahan dalam dirinya. Pada awalnya, dia berusaha untuk bangkit dengan cuba berselindung di sebalik timbunan kerja dan berharap kesibukan itu mampu mendiamkan hatinya yang luka. Namun, rasa sedih dan kesepian itu tidak pernah benar-benar hilang. Malah, setiap detik sunyi semakin membuka ruang untuk kenangan pahit terus bercambah di jiwanya.

*****

Hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, Suri bangun dengan perasaan hampa. Malam yang panjang berlalu tanpa tidur yang cukup. Dia berdiri kaku di hadapan cermin, seolah-olah kehilangan identiti. Cermin itu masih memantulkan bayangan wanita yang sama, namun pandangannya kosong.

Setiap pagi, dia cuba mencari kekuatan sebelum melangkah ke pejabat. Namun, jiwa dan tubuhnya seakan tidak sehaluan. Ada kalanya, dia langsung tidak mahu meninggalkan rumah, enggan bertemu sesiapa. Di mata rakan-rakan sepejabat, Suri tampak mengagumkan. Tetapi, tiada siapa tahu bahawa di dalam dirinya tersimpan luka yang tidak pernah sembuh.

"Suri, kau okay tak?" tanya Izara, rakan sekerja yang baik hati.

"Ya, aku okay," balasnya perlahan, cuba menafikan kata-katanya sendiri.

Izara memandangnya dengan ragu-ragu.

"Kalau ada apa-apa yang kau nak ceritakan, aku ada. Kita kan kawan," ujar Izara dengan lembut, cuba memberi sokongan tanpa memaksa.

Suri mengangguk tanpa sepatah kata. Izara melangkah pergi, meninggalkan Suri dengan perasaan bersalah yang menyelubungi dirinya. Mengapa dia tidak mampu mengakui kebenaran ini kepada orang lain? Mengapa dia terus terperangkap dalam dunia yang gelap ini?

Malam itu, Suri tidak dapat melelapkan mata. Dia duduk di atas katil. Setiap detik yang berlalu terasa seperti beban yang semakin berat untuk dipikul. Fikiran tentang kehilangan, kesepian dan keletihan jiwa datang bertubi-tubi tanpa henti. Dalam hatinya, Suri tahu dia bukan lagi Suri yang dulu. Dia bukan lagi wanita yang mampu mengawal hidupnya. Dia telah menjadi seseorang yang hilang arah.

Pada saat itulah, Suri membuat keputusan untuk mencari bantuan. Sudah terlalu lama dia membungkam perasaan sendiri dan membiarkan dirinya tenggelam dalam kesakitan ini. Adakah ini yang dinamakan kemurungan? Adakah ini yang dimaksudkan sebagai sakit jiwa? Suri tidak tahu jawapannya. Namun dia sedar, jika terus membiarkan dirinya hanyut begini, dia mungkin akan kehilangan kewarasan, kerjaya, dan dirinya sendiri.

Keesokan harinya, Suri menghubungi pusat kaunseling. Dia mengambil langkah pertama yang paling sukar dalam hidupnya, iaitu mengakui bahawa dia memerlukan bantuan. Hatinya berdegup kencang sebaik sahaja jari-jemarinya mendail nombor telefon yang tertera di skrin.

Dia tahu keputusan ini bukan mudah untuk dibuat. Mengakui kelemahan diri sendiri lebih sukar, apatah lagi dalam dunia yang sentiasa memerhati dan menilai. Namun, perasaan itu kini jauh mengatasi egonya.

Setelah beberapa minit berbual dengan petugas pusat kaunseling, Suri berjanji akan hadir untuk sesi pertama keesokan harinya. Walaupun hatinya berat untuk ke tempat yang mungkin membuka semula luka lama, dia tahu itu adalah langkah pertamanya menuju ke arah penyembuhan diri

*****

Pagi itu, Suri mengenakan pakaian yang biasa dipakainya untuk ke pejabat. Namun kali ini, dia terasa seolah-olah sedang bersiap untuk melangkah ke medan pertempuran. Setiap langkah terasa berat, seakan-akan membawa dirinya ke arah ketidakpastian. Mampukah jalan ini benar-benar membantunya?

Sampai di pusat kaunseling, degupan jantung Suri kian laju. Pusat itu terletak di kawasan yang agak sunyi, jauh dari hiruk-pikuk kota. Bangunannya rendah dan kelihatan sederhana, namun terasa begitu asing buatnya. Di dalam, suasananya tenang dengan sentuhan hiasan minimalis. Sebuah meja kaunseling terletak di penjuru bilik, dihiasi beberapa buku dan majalah. Beberapa pasu tanaman hijau turut menghiasi ruang, memberi rasa damai yang menyusup perlahan ke dalam hati.

"Suri, ya?" Satu suara lembut memecah kesunyian. Seorang wanita muda tersenyum sambil menghulurkan tangan.

Suri mengangguk, cuba menenangkan dirinya. Dr. Elina mempersilakan Suri duduk, kemudian memulakan sesi dengan pertanyaan yang lembut.

"Apa yang membawa awak ke sini, Suri?"

Suri terasa seluruh tubuhnya tegang, sukar untuk mengungkapkan apa yang dirasainya. Tetapi dia tahu, dia tidak boleh berpura-pura lagi.

"Saya kehilangan seseorang yang amat bermakna dalam hidup saya... dan saya tahu, kehilangan itu takkan pernah kembali," jawabnya perlahan, tetapi cukup jelas untuk didengari oleh Dr. Elina.

Dr. Elina hanya mengangguk perlahan, memberi isyarat bahawa dia benar-benar mendengar.

"Rasa kehilangan boleh mencetuskan reaksi psikologi yang kompleks, termasuk trauma, kemurungan dan kecelaruan identiti. Apa yang awak alami sekarang sebenarnya adalah sebahagian daripada proses normal dalam menghadapi fasa kehilangan. Walaupun menyakitkan, penting untuk awak faham bahawa setiap peringkat emosi ini juga merupakan sebahagian daripada proses penyembuhan yang memerlukan ruang dan masa."

Suri menarik nafas panjang. Kata-kata Dr. Elina memberi sedikit ketenangan dalam hatinya yang sedang berkecamuk.

"Setiap hari saya bangun dengan rasa kosong. Semua orang nampak saya sebagai wanita yang kuat dan tabah, tapi saya sendiri tak rasa begitu. Saya tahu... selama ni saya cuma berpura-pura kuat."

Selesai mencatat sesuatu di bukunya, Dr. Elina meletakkan pen dan memandang Suri dengan penuh perhatian.

"Memakai topeng kekuatan bukan bermakna awak lemah, Suri. Itu sebenarnya adalah cara awak bertahan. Ramai individu yang melalui fasa kehilangan akan bertindak serupa dengan cuba kelihatan kuat di luar tetapi hakikatnya rapuh di dalam. Tindakan berpura-pura kuat ini dikenali sebagai emotional suppression. Dalam jangka masa pendek, ia mungkin membantu seseorang untuk terus berfungsi. Namun dalam jangka masa panjang, ia boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan mental."

Suri menggenggam hujung lengan bajunya erat. Tanpa sedar, matanya mula berkaca.

"Kadang-kadang saya rasa bersalah kerana masih hidup... sedangkan orang yang saya sayang dah tiada."

Dr. Elina mengangguk perlahan, nadanya tenang namun tegas.

"Perasaan bersalah selepas kehilangan orang tersayang dikenali sebagai survivor's guilt. Ia adalah reaksi emosi yang normal apabila seseorang merasa mereka tidak layak untuk terus hidup atau bahagia selepas ditinggalkan. Kadangkala, minda kita cuba mencari sebab atas kehilangan itu, lalu kita menyalahkan diri sendiri. Tapi hakikatnya, awak tidak bersalah, Suri. Awak berhak untuk teruskan hidup. Apa yang penting sekarang ialah belajar untuk menerima kehilangan itu tanpa menghukum diri sendiri."

Dia berhenti sejenak, menarik nafas yang dalam sebelum kembali menyambung.

"Mengakui dan mengenal pasti emosi sebenar adalah langkah awal yang sangat penting dalam proses pemulihan. Bila awak mula bercakap tentang apa yang awak rasa, itu tandanya awak sedang berada di landasan yang betul. Di situlah permulaan kepada penyembuhan sebenar."

Suri tunduk memandang lantai, dadanya berombak kecil menahan gelombang rasa yang menyerbu serentak. Dia menarik nafas panjang, cuba mengawal getaran di dada.

Perlahan, dia mengangkat wajah. Riaknya sukar dibaca, namun jelas dia sedang cuba mengumpul kekuatan. Beberapa saat dia membisu sebelum akhirnya bersuara.

"Mungkin... saya memang perlu lepaskan semua yang saya simpan selama ini. Saya penat, doktor. Saya cuma nak rasa tenang semula." Suaranya lirih, hampir tenggelam dalam keheningan bilik itu.

Dengan penuh keyakinan, Dr. Elina berkata, "Hari ini kita dah mulakan langkah pertama, Suri. Jangan berhenti di sini. Ingat, proses penyembuhan bukan perlumbaan. Ambil masa yang awak perlukan. Dan yang paling penting, awak tak perlu lalui semua ini seorang diri. Kita akan terus melangkah bersama dalam perjalanan ini."

Dia mengukir senyuman tenang, memberi ruang kepada Suri untuk berasa diterima tanpa rasa terasing.

"Rehatlah hari ini. Saya akan atur pertemuan kita yang seterusnya bila awak sudah bersedia."

Dr. Elina bangun perlahan dan membuka pintu dengan hormat, membiarkan Suri menikmati ketenangan yang mula menyelubungi ruang itu. Sesi hari itu berakhir dengan secebis harapan dalam hati Suri. Buat pertama kalinya selepas sekian lama, dia mula percaya bahawa ketenangan itu masih wujud dan dia tidak lagi bersendirian dalam mencarinya.

*****

Sejak sesi pertamanya bersama Dr. Elina, Suri mula sedar bahawa perjalanan untuk sembuh bukan semudah yang disangka. Walaupun baru bermula, dia sudah merasai betapa sukarnya membuka kembali perasaan yang sekian lama dipendam. Perasaan yang selama ini dikunci rapat demi meneruskan hidup.

Petang itu hujan turun dengan lebat, dan Suri memutuskan untuk pulang lebih awal dari pejabat. Situasi di tempat kerja semakin menekan. Dia cuba untuk menampakkan diri sebagai seorang yang cekap dan berdedikasi, tetapi ternyata sia-sia. Fikiran dan tubuhnya tidak lagi selaras. Di dalam kereta, Suri larut dalam kesunyian yang menggigit. Hujan terus menghentam bumbung bagai irama hatinya sendiri. Berat, sarat dan tak terbendung.

"Jangan terlalu menghukum diri, Suri. Semuanya perlukan masa. Setiap emosi yang awak rasakan adalah sebahagian daripada proses penyembuhan. Jangan pernah takut untuk rasa semua itu. Kalau perlu menangis, menangislah." Kata-kata Dr. Elina itu masih berbekas di hati Suri, mengalir lembut seperti hujan di luar.

Suri memejamkan mata seketika, membiarkan deru hujan memeluk fikirannya yang kusut. Tangannya menggenggam stereng erat, seolah-olah memegang kekuatan yang masih tersisa. Dia memandang ke luar tingkap kereta, menyaksikan titisan hujan yang bersatu lalu mengalir turun perlahan.

Dalam keheningan itu, dia tidak perlu berpura-pura. Tiada penjelasan yang perlu diberikan kepada sesiapa. Hanya hujan, dirinya dan hati yang perlahan-lahan belajar untuk menerima. Kesakitan itu tidak serta-merta hilang. Ia masih ada, menyusup dalam setiap helaan nafas dan kenangan yang enggan pergi. Namun kali ini, Suri tahu bahawa dia tidak perlu lagi menanggung semuanya seorang diri.

Suri menyentuh dadanya yang terasa sesak, lalu menarik nafas sedalam mungkin. Walau sukar, dia tetap percaya bahawa dirinya masih punya harapan untuk pulih. Hari ini, di bawah langit yang menangis, dia memilih untuk terus mencuba walaupun langkahnya perlahan. Dalam dirinya masih ada sisa kekuatan yang belum padam.

Setibanya di rumah, Suri duduk di sofa sambil memandang ruang tamu yang sunyi. Kenangan bersama arwah suaminya terpantul pada setiap sudut. Namun, semuanya sepi dan hambar. Dia seolah-olah terasing dalam kehidupannya sendiri.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Sebaris nama Izara muncul di skrin. Suri menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab.

"Suri, macam mana hari ni?" soal Izara seperti selalu, penuh perhatian dan prihatin.

Suri terdiam seketika. Dia ingin meluahkan segalanya tentang rasa lelah, kecewa dan hancur yang menyesakkan dada. Namun, kata-kata itu tersekat di kerongkong. Dia masih memilih untuk menutup mulut.

"Aku okay, Izara. Cuma letih sikit," balasnya perlahan, cuba menyembunyikan segala kebenaran.

"Jangan pendam sorang-sorang, Suri. Aku ada, bila-bila masa kau perlukan."

"Izara, aku... aku tak tahu macam mana nak teruskan. Semua ini terlalu berat." Suaranya terhenti di situ. Tanpa sedar, air mata hangat mula mengalir di pipinya.

Izara terdiam sejenak sebelum bersuara kembali.

"Kau tak perlu harungi semua ini seorang diri, Suri. Kami semua ada untuk kau. Jangan biarkan diri kau tenggelam dalam kesunyian yang boleh memusnahkan segalanya."

Suri merasakan dirinya benar-benar didengari. Kali ini, dia tidak lagi berasa bersalah kerana membiarkan emosinya terluah. Mungkin selama ini, dia terlalu keras terhadap diri sendiri. Dia juga takut untuk menerima sebarang sokongan kerana menyangka dia perlu bertahan seorang diri.

Setelah berbincang dengan Izara, Suri memutuskan untuk menghubungi Dr. Elina semula. Dia sedar bahawa perjalanan ini penuh berliku, tetapi dia perlu kuat untuk terus melangkah. Ini adalah perjuangan yang bukan sahaja memerlukan keberanian, tetapi juga kesediaan untuk menerima bahawa dia tidak perlu melaluinya seorang diri.

Malam itu, selepas berjanji untuk terus berjuang, Suri tidur dengan sedikit rasa aman. Segalanya masih kelam, tetapi dia tahu setiap langkah kecil membawanya kembali kepada dirinya yang pernah hilang.

*****

Hari-hari yang berlalu membawa perubahan kecil yang bermakna buat Suri. Sesekali hidupnya masih diselubungi awan kesuraman, namun sinar harapan mula menyelinap kembali. Setiap sesi bersama Dr. Elina membuka ruang baharu dalam pemahamannya terhadap diri. Sedikit demi sedikit, Suri belajar menerima dirinya yang kini berbeza. Dia mula sedar bahawa tidak semua perkara perlu diselesaikan sekaligus. Kesembuhan bukanlah satu destinasi, tetapi sebuah perjalanan yang menuntut kesabaran.

Seusai sesi kaunseling pada suatu petang, Suri berjalan perlahan di laluan pejalan kaki di pusat bandar, menikmati udara segar. Orang ramai melintas di kiri dan kanannya dengan langkah tergesa-gesa, diiringi deruman enjin kenderaan yang tak pernah berhenti. Namun, di tengah kesibukan yang hiruk-pikuk itu, dia disapa oleh ketenangan yang asing. Mungkin beginilah rasanya apabila kekosongan tidak lagi menakutkan. Dia mula belajar untuk tidak terlalu mendesak diri agar sembuh dalam sekelip mata. Sebaliknya, dia cuba menerima setiap perasaan yang hadir silih berganti dengan hati yang lebih terbuka.

Saat itu, Suri membuat keputusan untuk mengunjungi pusara suaminya, tempat yang selama ini cuba dia hindari. Setiap kali menjejak kaki ke situ, luka lama pasti terbuka. Namun, untuk benar-benar melepaskan, dia harus berani menghadapi kesakitan itu.

"Sudah terlalu lama aku menghindar," bisik hati Suri.

"Setiap kali aku cuba berpaling, kenangan itu tetap datang memburu. Aku sangka dengan menjauh, aku bisa melupakan... tapi luka itu tetap ada. Tak kelihatan, namun peritnya masih terasa."

Dia menarik nafas perlahan.

"Mungkin, sudah tiba masanya untuk aku berhenti berlari. Bukan kerana aku kuat... tapi kerana aku mahu belajar menerima. Untuk sekali ini, aku mahu berani. Bukan untuk menyakiti diri sendiri, tapi untuk memberi ruang pada hati ini pulih dengan cara yang sepatutnya."

Suri menatap langit yang semakin berbalam, membiarkan angin petang menyapa wajahnya. Hatinya masih berat, tetapi ada sesuatu yang perlahan-lahan berubah. Ketakutan itu masih ada, namun tidak lagi mengikat langkahnya. Dia sudah bersedia untuk ke situ. Mungkin bukan esok, juga bukan lusa… tetapi tidak lama lagi.

*****

Hari demi hari, Suri kini mampu bangun setiap pagi dengan rasa yang lebih ringan. Walaupun tidak semua perkara dalam hidupnya kembali normal seperti dahulu, kini dia sedar bahawa kehidupan masih membuka ruang untuk dirinya terus melangkah ke hadapan. Setiap kali selepas sesi kaunseling, dia pulang ke pejabat dengan semangat yang lebih besar. Meskipun rasa sepi sesekali menjengah, Suri kini lebih tahu cara menghadapinya.

Ketika sedang berjoging pada suatu pagi, Suri terlihat seorang wanita muda duduk sendirian di bangku taman. Wajahnya suram dengan mata sembap, seolah-olah baru sahaja menangis. Ada sesuatu pada riak itu yang mengingatkan Suri kepada dirinya dahulu. Tanpa berfikir panjang, dia melangkah perlahan menghampiri wanita itu.

"Awak okay?" tanya Suri lembut, meskipun dia sendiri tidak pasti mengapa hatinya tergerak untuk menegur wanita itu.

Pandangan wanita itu terhenti pada wajah Suri. Sepasang mata yang suram itu seakan menyimpan ribuan rasa. Mungkin juga kehairanan, kerana masih ada insan yang sudi mendekat saat yang lain memilih untuk menjauh.

"Saya... saya rasa buntu sekarang. Tak tahu apa yang patut saya buat," jawab wanita itu dengan suara yang tersekat-sekat.

"Saya baru saja kehilangan ibu. Hidup saya rasa kosong sangat. Saya tak mampu untuk harungi semua ini sendirian."

Suri memandang wanita itu dengan penuh empati. Dia mengerti apa yang sedang dirasai wanita itu. Ya, kehilangan yang pernah meruntuhkan dunianya sendiri. Perlahan-lahan, dia duduk di sebelah wanita itu dan memulakan bicara. Bukan kerana dia punya semua jawapan, tetapi kerana dia tahu betapa berharganya walau sekadar didengari.

"Saya faham perasaan awak sebab... saya juga pernah melalui situasi yang sama." Suri bersuara perlahan, tetapi tenang.

"Kehilangan orang yang kita sayang memang perit. Kadang-kadang kita rasa seolah-olah dunia terhenti, kan? Tapi percayalah, ini bukan pengakhiran. Awak masih ada peluang untuk bangkit dan teruskan hidup dengan cara awak sendiri."

Wanita itu mengangguk perlahan, seolah-olah menyambut setitis harapan yang mula bercambah.

"Terima kasih," bisiknya.

"Awak tak perlu hadapi semuanya sendirian. Kadang-kadang, dengan berkongsi cerita pun sudah cukup membuatkan kita rasa lebih kuat," ujar Suri penuh keyakinan. Bukan sekadar nasihat, tetapi pengakuan daripada jiwa yang pernah terluka.

Wanita itu memandang Suri dengan penuh pengertian. Suri membalas dengan senyuman, meskipun dalam hatinya dia tahu perjalanan mereka masih panjang. Saat itu, dia menyedari bahawa dalam usaha menguatkan orang lain, dia sebenarnya sedang membina semula kekuatan dalam dirinya. Kekuatan yang pernah hilang, kini perlahan-lahan kembali dengan cara yang tidak disangka.

*****

Beberapa minggu kemudian, Suri menerima tugasan kerja yang lebih mencabar. Namun kali ini, dia lebih yakin dan bersedia. Setiap duka dan tawa yang pernah singgah, telah mengajar dia erti tabah. Suri kini bukan lagi wanita yang sama. Dia sudah belajar untuk berdiri, melangkah dan akan terus berjalan demi menghadapi apa jua cabaran di hadapan.

Suri tidak lagi perlu berpura-pura menjadi orang lain. Dia menerima dirinya seadanya. Dalam dunia yang semakin mencabar, Suri yakin dia mampu bertahan. Bukan kerana dia benar-benar kuat, tetapi kerana dia sedar yang dia tidak pernah bersendirian. Ada cahaya yang menanti di hujung jalan. Dan kini, dia sudah mula melihat sinarnya.

Hari itu, Suri semakin yakin untuk melangkah. Bukan kerana segalanya sudah sempurna, tetapi kerana dia tahu setiap langkah yang diambilnya adalah menuju fasa pemulihan dan kehidupan yang lebih bermakna.

Dengan senyuman terukir di wajah, Suri tahu bahawa perjalanan ini baru sahaja bermula.

Tamat.



Bionarasi

Asmaniza Din merupakan seorang suri rumah sepenuh masa berkelulusan Diploma Pengurusan & Teknologi Pejabat (UiTM) dari Pasir Mas, Kelantan. Minatnya terhadap dunia penulisan kreatif berputik sejak 2011 ketika beliau mula memuat naik karya di platform bacaan digital. Cerpen sulungnya bertajuk "Cinta Ini Milikmu" terpilih untuk menghiasi Antologi 100 Detik Terindah (Grup Buku Karangkraf, 2014). Antara naskhah terkini 2025 termasuklah "Rendang Warisan Nenda" (Antologi Suapan Cinta Raya, SHE) dan "Dendang Jalanan" (Antologi Terima Kasih Ayah dan Ibu, Penerbit Khaira, Indonesia). Dengan mengusung tema cinta, romantik komedi, persahabatan dan kekeluargaan, beliau percaya bahawa setiap penulisan mampu menebar ilham, menumbuhkan inspirasi serta menjadi lentera yang menyuluh jiwa buat para pembaca. 



PENANTIAN BISU

 Penantian  Bisu

Karya: Jcka Daily

Tika langit berbicara halus

menikam jiwa dengan ganas

sanubari mengetuk pintu pasrah

merampas semua memori indah



Tembok merasuki duka lara 

jiwa berteriak menagih cinta 

kesedihan tanpa air mata

hadir sekejap membawa luka 


Kini


Hidup seperti rumput kering

hidup seperti tanah gersang

perjalanan gelap penuh bayang

kerinduan yang semakin hilang



Waktu itu telah mengajarkan 

cinta tak perlu kesempurnaan

cinta bukan sebuah kehancuran

namun penantian yang menguatkan 



Jcka Daily 

Penampang, Sabah

24.5.2025


AKHIRNYA AKU PILIH TUHAN

 AKHIRNYA AKU PILIH TUHAN

Karya : Nurul Afifah Binti Rahim


Aku pernah mencinta,

dengan segenap nafas dan nyawa,

merangkai harapan dalam setiap doa,

agar dia—yang kupilih, juga memilih aku selamanya.


Pernah aku impikan bahagia,

membina mahligai di bawah langit yang sama,

tertawa dalam hujan, berpegangan tangan,

seperti puisi-puisi indah yang kita percaya benar-benar nyata.


Namun tak semua yang kita genggam,

akan setia dalam genggaman,

tak semua yang kita jaga,

akan kekal dalam pelukan.


Cintaku diuji—

bukan kerana aku tidak setia,

tetapi kerana Tuhan mahu aku mengerti,

bahawa cinta manusia,

bisa indah… tapi tidak kekal.


Aku menangis dalam sujud yang panjang,

mengadu pada yang tidak pernah meninggalkan,

dan di situlah aku temui jawapan:

Cinta sejati bukan pada dia yang aku dambakan,

tetapi pada Dia yang menciptakan.


Kini, hatiku lebih tenang,

kerana aku belajar melepaskan dengan redha,

dan memeluk takdir dengan jiwa,

bahawa cinta yang paling setia,

adalah cinta pada Yang Maha Esa.


Dia tidak pernah lupa,

tidak pernah mungkir janji,

dan tidak pernah menyakitkan,

walau sekali.


Cinta manusia mengajarku makna luka,

tapi cinta Tuhan mengubati semua.

Aku mungkin tidak bersama dia di dunia,

tapi aku tak kehilangan apa-apa,

kerana akhirnya,

aku memilih cinta yang tak pernah curang—

CINTA ILAHI.




Biodata Penulis


Nurul Afifah Binti Rahim



Nurul Afifah Binti Rahim dilahirkan di Negeri Kelantan. Berminat dalam bidang penulisan sejak bangku sekolah lagi. Berkidmat sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lepar Utara 1 Jerantut, Pahang Malaysia.

+6012-9828069


DALAM DIAM CINTA MENYALA

 Dalam Diam Cinta Menyala

Karya: Denny Rizky Adrian Mixchuer

Dalam diam aku menatap senyummu

seperti mentari menyapa embun pagi

tak bersuara namun hangatnya terasa

hingga sudut jiwa paling sunyi.


Kau hadir bukan sekadar nama

tapi cahaya di ruang gelap rasa

menyusun luka menjadi puisi

mewarnai sepi menjadi harmoni.


Cinta ini tak memerlukan kata

cukup getar mata dan degup dada

yang mengerti bahasa tanpa suara

tapi penuh makna dan setia.


Andai waktu bisa kugenggam

akan kutitip rindu di setiap detiknya

agar kau tahu di balik tutur biasa

ada cinta yang tak pernah luntur warnanya.



SMK Penangah, Telupid/Tongod, Sabah.

23 Mei 2025

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular