Sabtu, 24 Mei 2025

TIADA LAGI INDAH

 TIADA LAGI INDAH

AC Jaffrie

Tiada lagi indah! Itulah yang aku boleh gambarkan apabila melihat keadaan Mak Lijah sekarang. Apa sahaja yang dilihat sudah tidak memberi sebarang makna. Renungannya adalah pandangan yang kosong. Pandangan yang tidak memberi sebarang rasa dan gerak naluri daripada seorang ibu yang kehilangan seorang insan yang tersayang. 

“Sudah berapa lama keadaannya, pakcik?” soal aku kepada Pak Sudin saat mengunjungi pasangan warga emas itu.

“Tujuh tahun lalu kami kehilangan seorang anak lelaki akibat kemalangan. Iqbal anak bungsu lelaki yang sangat rapat dengan ibunya. Sampai sekarang ingatannya terganggu…” ucap Pak Sudin dengan nada sedih.

Aku amat memahami apa yang disampaikan oleh Pak Sudin itu. Hati ibu mana tidak terasa dengan kehilangan yang memisahkan jasad mereka buat selama-lamanya. Hidup seharian Mak Lijah tidak keruan. Walaupun dunia terus berputar di atas paksinya, matahari akan terbit dan terbenam seperti selalu, namun hati Mak Lijah seolah-olah sudah terhenti. Segala-galanya sudah berubah.

“Saya amat simpati bila lihat keadaan Mak Lijah. Dia mesti kuat!”

“Ramai orang cakap macam itu. Pakcik pun tak boleh buat apa melainkan bersabar.”

“Ini semua ujian, pakcik. Kita jangan mengalah. Mungkin ada hikmah?”

Soalan itu membuatkan Pak Sudin tersenyum kecil. Selama ini pun dia sudah pasrah dan menerima keadaan yang menimpa isterinya itu. Dia juga sudah cuba bawa Mak Lijah pergi berubat cara kampung. Jumpa dengan beberapa orang ustaz juga sudah bagi merawat secara Islam. Berjumpa dengan pakar psikologi di hospital kerajaan juga sudah. Namun keadaan Mak Lijah tiada banyak perubahan. Dia seperti sudah terperangkap di dalam dunianya sendiri. 

“Tak tahu hendak buat apa lagi. Banyak ikhtiar sudah dibuat.”

“Kita perlu banyak bersabar. Pakcik pun mesti kuat.”

“Pakcik rasa hilang semangat bila lihat keadaan dia masih tak berubah.”  

“Kita sama-sama berusaha, insya-Allah.”

Aku tahu, bukan mudah memulih semangat yang hilang di dalam diri. Hampir lima tahun aku sudah bekerja sebagai kaunselor sukarelawan sosial di bawah seliaan pusat kesihatan daerah. Berbagai cabaran dan dugaan yang aku sudah tempuhi. Bukan sahaja orang yang sakit perlu semangat yang kuat untuk pulih, malah orang yang merawat juga harus bersemangat juang yang tinggi. Ahli keluarga yang terdekat sangat perlu memainkan peranan memberi sokongan dalam proses memulihkan ingatan pesakit.

Aku perasan antara gelagat atau perbuatan yang sering dilakukan oleh Mak Lijah saban waktu. Dia kerap berdiri di tepi jendela sambil memandang jauh ke arah halaman rumah. Menurut Pak Sudin, isterinya akan berkelakuan seperti itu hampir setiap pagi. Memang sudah menjadi tabiat Mak Lijah akan berdiri di sisi jendela itu sambil melambaikan tangan ke arah Iqbal yang berjalan kaki ke sekolah. Jarak sekolah rendah dengan rumah Pak Sudin lebih kurang lima belas minit berjalan kaki yang terletak di hujung kampung.

Apa yang sedang bermain di fikiran Mak Lijah, hanya dia sahaja yang tahu. Aku yang melihatnya terasa sebak dan terharu. Kasih seorang ibu memang tiada bandingan kepada seorang anak. Sayang yang berkumpul di dadanya sepenuh air di telaga. Sedikit pun tidak tertumpah dan berbelah bahagi. Jendela itu masih utuh berdiri sesetianya Mak Lijah berdiri di situ. Garis dan kedut di wajah tuanya bagai pantulan masa dari jendela yang kian usang. 

“Pakcik bimbang lihat keadaannya sehari-hari. Dia seolah-olah hilang dalam bayangan dirinya sendiri. Kadang-kadang meracau dan dia bercakap sendirian.”

“Itu tandanya dia menanggung beban rindu yang amat berat.”

“Pakcik faham tapi dalam masa yang sama pakcik takut!”

“Kenapa takut?”

“Pakcik takut kehilangan!”

Aku memejam mata sambil menghirup udara segar perlahan-lahan. Terasa kelegaan di segenap penjuru urat dan nadi. Bukan mereka berdua sahaja perlu kuat, malah aku juga perlu kuat. Aku mesti sentiasa bersemangat untuk membantu menyelesaikan masalah Mak Lijah. Itulah harapan yang menggunung tinggi daripada Pak Sudin kepada aku. Aku mendekati Mak Lijah seperti menguliti seorang anak kecil. Umpama seorang ibu yang membelai anak kecilnya saban hari. Baik perbuatan atau suara perlu berhemah. Segala tindakan jangan sampai melukakan hati dan perasaan.

“Fikirkan kita boleh, pakcik. Jangan fikirkan kegagalan!” ucapku memberi kata-kata semangat buat Pak Sudin.

Pak Sudin diam. Dia hanya mengangguk beberapa kali. Sebelum ini memang dia sudah berputus asa apabila melihat keadaan isterinya semakin teruk. Selain meracau, kadang-kadang menangis di waktu malam. Waktu tidurnya juga tidak menentu. Mulutnya masih menyebut nama Iqbal setiap kali menjenguk ruang bilik tidur yang menempatkan arwah. Walaupun anak itu sudah lama meninggalkan alam fana ini namun bayangannya masih mendampingi diri Mak Lijah.

Mengimbas sejenak kisah lalu. Iqbal adalah satu-satunya anak kepada pasangan Pak Sudin dan Mak Lijah. Kehidupan keluarga ini amat sederhana. Pak Sudin hanya bekerja di kampung mengambil upah memanjat kelapa, membersih kebun dan ada kemahiran bertukang rumah. Sementara isterinya, Mak Lijah adalah seorang suri rumah tangga. Rutin hariannya menjaga rumah, memasak, membasuh dan sebagainya. Salah satu kemahiran Mak Lijah adalah menjahit pakaian. 

Kehadiran seorang anak bernama Iqbal sudah cukup memberi kebahagiaan buat mereka berdua. Menurut cerita Pak Sudin juga, kehadiran Iqbal dalam keluarganya agak mengambil masa. Lapan tahun pertama mereka menunggu kehadiran permata hati itu. Akhirnya doa dan permintaan mereka berdua ditunaikan oleh Allah SWT. Mereka bersyukur tidak terhingga dan membesarkan Iqbal bagai menatang minyak yang penuh. Segala kasih dan sayang tertumpah penuh kepada Iqbal. Namun cuaca terang tidak sampai ke petang. Mendung membawa hujan di tengah hari.

Iqbal terlibat di dalam satu kemalangan jalan raya sewaktu mahu pulang bercuti semester. Bas yang dinaiki terbabas lalu terjatuh ke dalam gaung. Ingatan itu membawa mimpi ngeri kepada Mak Lijah dan Pak Sudin. Lebih parah lagi kepada Mak Lijah. Kenyataan yang ditanggung itu amat berat sehingga kesihatannya turut terganggu. Anak yang menjadi taruhan harapan masa hadapannya sudah tiada di muka bumi. Kekuatan dirinya sudah rebah ke tanah asbab satu kehilangan ini. 

    “Dulu dialah paling gembira setiap kali hendak sambut raya. Mesti ada sepasang baju Melayu baru dijahit untuk Iqbal,” beritahu Pak Sudin dengan nada sedih. 

    “Setiap tahun?” Aku mengulang pertanyaan.

Pak Sudin mengangguk. Aku faham dan dapat merasakan kepedihan yang turut bergantungan di benak lelaki tua itu. Mereka bersama mengecapi kebahagiaan hidup dan berkongsi kedukaan saat masalah datang melanda. Dia masih dapat menerima takdir yang menimpa. Kemurungan yang terkurung di dalam diri Mak Lijah. Sejak peristiwa hitam itu berlaku, sikap Mak Lijah juga berubah. Dia tidak lagi menjahit. Namun baju-baju Melayu milik arwah Iqbal yang bergantungan dalam almari pakaian akan diselak satu persatu.

    “Dia buat apa dengan baju-baju itu, pakcik?”

    “Baju-baju itu akan jadi kenangan terindah dia. Sambil memeluk baju, dia akan bercakap seolah-olah arwah masih ada.”

        “Apa lagi yang pakcik nampak?”

    “Ada masa dia akan berdiri lama di muka pintu. Dia tertinjau-tinjau menunggu seseorang. Orang-orang kampung sudah faham keadaan ini. Hanya simpati yang dapat dihulurkan.”

        “Maknanya dia masih ingat. Dia masih tak boleh terima hakikat seseorang yang telah tiada. Dia menaruh harapan terlalu tinggi kepada Iqbal.”

        “Itu memang benar!”

Aku cuba menyelami perasaan itu. Aku cuba bayangkan perasaan jika berada di dalam diri Mak Lijah. Jika pada luaran aku sudah tidak sanggup melihat keadaan Mak Lijah, apa lagi jika mengalami kemurungan begitu. Tugas aku bukan untuk menasihati pesakit seperti Mak Lijah, tetapi lebih kepada untuk mendengar. Apa sahaja yang diluahkan oleh Mak Lijah akan diambil berat, dilayan sebaik-baiknya. Luahan perasaan itu boleh mengurangkan tekanan di dalam diri pesakit kemurungan.

    “Aku tak gila! Aku tak gila!” tiba-tiba Mak Lijah bertempik seperti dirasuk.

    “Sabar makcik! Sabar!” tukas aku sambil memeluk erat badan Mak Lijah.

    “Orang kampung kata aku gila!” ucap Mak Lijah lagi.

    “Makcik tak gila, percayalah cakap saya.”

    “Tapi kenapa mereka jauhkan diri dari aku?”

Aku terus menenangkan perasaan Mak Lijah. Dadanya aku urut perlahan-lahan. Segelas air suam aku hulurkan kepadanya. Seteguk dua air yang diminum diharapkan dapat melegakan keadaannya. Pak Sudin yang turut berada tidak jauh dari situ turut merasa lega. Layanan yang aku berikan kepada Mak Lijah mendapat pujian daripadanya. 

        “Terima kasih sudah bantu keluarga pakcik.”

“Itu memang tanggungjawab saya untuk membantu. Makcik sebenarnya bukan gila tapi lebih kepada kemurungan. Dia perlu sedikit ruang masa untuk dirawat. Penyakit ini perlu rawatan tertentu walaupun mengambil masa untuk pulih. Hari-hari pakcik boleh berbual-bual dengan makcik supaya dapat pulihkan semula ingatannya.”

Pak Sudin tidak banyak bercakap. Dia amat terharu dengan harapan isterinya itu akan pulih seperti sedia kala. Segala nasihat yang aku berikan akan cuba dilakukan. Aku mengingatkan Pak Sudin akan temu janji Mak Lijah berjumpa dengan pakar psikiatri di hospital besar minggu hadapan. Aku membertahu lagi bahawa pesakit kemurungan amat perlu sokongan emosi. Ahli keluarga mesti bersedia menjadi pendengar yang setia, tunjukkan keprihatinan dan jangan remehkan keperluan mereka.

    “Pastikan juga makcik dapat rehat yang cukup, makanan yang sihat dan lakukan senaman yang ringan. Jangan lupa beri ubat klinik mengikut spesifikasinya. Saya yakin makcik akan kembali sihat.”

    “Alhamdulillah, pakcik selalu berdoa kepada Allah SWT supaya makcik cepat sembuh.”

Seiring perjalanan waktu, ada perubahan positif kepada Mak Lijah. Dia kini sudah kurang termenung atau murung di sisi jendela yang terbuka. Pak Sudin menjadi teman sejati yang menemaninya sepanjang masa. Setiap pertanyaan akan dijawab dengan baik. Setiap keluhan akan dilayan dengan sempurna. Makan dan minumnya juga terjaga. Begitu juga dengan ubat dan keperluan yang lain.

    “Awak kena kuat. Kita sama-sama sayangkan Iqbal. Satu masa nanti kita boleh berjumpa semula. Kita sayang dia tapi Allah SWT lebih menyayanginya. Dia sudah lama tunggu kita di sana,” ucap Pak Sudin dengan berhemah memberi semangat kepada Mak Lijah.

Mak Lijah terdiam. Pada kelopak matanya nampak air mata bergenang. Setiap kali teringatkan arwah Iqbal, air matanya pasti mengalir. Pak Sudin akan memujuknya supaya reda dengan takdir daripada Allah SWT. 

    “Menangis tak boleh ubah keadaan.”

    “Saya rindukan dia!”

    “Abang pun rindu. Kita baca surah yassin supaya rohnya tenang di sana.”

Ada segaris senyuman yang hambar di bibir Mak Lijah. Bagi diri Pak Sudin, itulah satu tanda positif untuk isterinya pulih kembali. Dia akan menjadi sumber kekuatan kepada isterinya sekarang. Mak Lijah kini sedar bahawa Iqbal sudah tiada lagi. Mereka berdua juga berhak untuk terus hidup dan merasa kebahagiaan di hujung usia senjanya.


TAMAT



BIONARASI PENULIS

AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain. Ahli kepada persatuan penulis di bawah badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera (Pantun) dari PENAMA (November 2024).


Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular