Oja seekor anak tupai yang nakal. Setiap pagi dia akan berlari-lari dan melompat dari dahan ke ranting pokok. Dia sering ditegur oleh ibunya supaya berhati-hati. Kalau salah langkah dia akan jatuh ke tanah.
“Kalau jatuh kamu juga yang sakit,” pesan ibu Oja. “Kamu jangan asyik leka bermain!”
Jaja tidak peduli. Dia akan terus bermain dan melompat riang dari dahan ke dahan pokok. Dia sudah biasa bermain di situ hari-hari. Sejak dari kecil, pokok itu adalah taman untuk dia bermain.
“Hai Oja, selamat pagi,” ucap Opi apabila Oja melompat berdekatan sarang tempat tinggalnya.
“Selamat pagi, Opi. Marilah ikut saya bermain,” ajak Oja.
“Saya menunggu ibu pulang. Saya mesti minta izin ibu sebelum pergi bermain,” beritahu Opi.
Opi seekor anak burung punai yang baik. Dia akan mendengar kata ibunya sebelum berbuat sesuatu. Ibu Opi sangat mementingkan keselamatan anaknya. Bahaya banyak menanti jika tidak berhati-hati.
“Kita main di sini saja. Bukannya pergi ke tempat lain,” ujar Oja mahu memujuk Opi.
“Tapi saya sudah berjanji menjaga sarang ini sebelum ibu pulang,” jawab Opi dengan jujur.
Setiap pagi, ibu Opi akan pergi mencari makanan. Di dalam sarang pula ada dua biji telor. Setiap kali ibu Opi keluar, dia akan menjaga telor-telor itu. Jika tidak dijaga, telor-telor itu akan dimakan oleh musuh mereka.
“Kasihannya awak tidak bebas macam saya. Saya boleh buat apa yang saya suka,” ucap Oja lagi dengan bangga.
“Kita ada orang tua. Kita mesti dengar nasihat mereka,” balas Opi dengan lembut.
“Saya bukan buat salah. Saya hanya bermain saja,” ujar Oja mahu pertahankan diri.
“Kita boleh bermain tapi mesti ada masanya,” jawab Opi tidak mahu mengalah. Dia seekor anak yang mendengar kata ibunya.
Oja terus leka bermain. Dia akan berlari dan melompat dari dahan ke dahan. Dunianya hanya di atas pokok itu sahaja. Dia terfikir mahu melompat ke pokok yang lain. Tidak jauh dari situ ada pokok rambutan yang sedang masak ranum. Warna buah rambutan yang kemerahan menarik perhatiannya.
Oja terus melompat ke ranting pokok rambutan yang berjuntaian. Dia berjaya meniti ranting pokok rambutan itu. Dia sangat teruja melihat buah-buah rambutan yang masak ranum. Dia akan makan sepuas-puasnya buah rambutan itu. Pak Tam, seekor burung gagak menegur Oja.
“Lepas kamu makan, cepat-cepat pulang,” tegur Pak Tam.
“Kenapa Pak Tam?” soal Oja sambil makan buah rambutan.
“Tentu ibu kamu risau kalau balik lambat,” beritahu Pak Tam lagi. “Lagipun di sini ada bahaya.”
Tiba-tiba kedengaran bunyi senapang meletup. Pak Tam dan Oja sangat terkejut. Kedengaran suara manusia di bawah pokok. Pak Tam segera terbang ke udara. Oja pula terpaksa melompat ke dahan lain untuk menyelamatkan diri.
Oja bernasib baik kerana tidak menjadi mangsa petani. Perasaan terkejut dan takut tetap ada. Dia terus melompat dan melompat dari ranting ke ranting pokok. Malang tidak berbau, dia terpijak ranting yang reput. Oja terus jatuh ke tanah dan mengelupur kesakitan.
“Anak yang baik mesti dengar cakap ibu dan ini satu pelajaran,” nasihat ibu Oja.
“Saya minta maaf, ibu. Lain kali saya tak buat lagi,” ucap Oja sambil menahan kesakitan.
Opi dan ibunya datang melawat. Mereka membawa sedikit makanan untuk Oja. Opi memberi setangkai buah rambutan merah kepada Oja. Dia kasihan melihat Oja yang kesakitan.
“Nanti kita main sama-sama,” kata Opi mahu menghiburkan hati Oja.
“Terima kasih, Opi. Kamu seorang kawan yang baik,” balas Oja sambil tersenyum.
Opi dan Oja berjanji akan menjadi sabahat baik. Mereka akan mendengar nasihat orang tua sampai bila-bila. Oja dan Opi berpelukan di akhir pertemuan itu.
BIONARASI PENULIS
AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain