Hujan di Lembah Kenangan
Karya: Suhaimi
Hujan turun menyentuh pagi
atap rumbia berdenting syahdu
tanah lembap menerima jejak ayah
dengan parang tabah di sisi
mengukir rezeki tanpa banyak suara
Ibu di dapur menyalakan bara
menanak kasih dalam periuk lama
bibirnya menyulam doa yang tenang
walau hujan menyelimuti dunia
tangan tetap setia memberi rasa
Mereka bukan sekadar bercucuk tanam
tetapi menanam harapan dalam lumpur
setiap titisan menjadi rezeki
setiap genangan membawa erti
hujan adalah teman yang tak pernah mungkir
Langkah kaki menyusur lorong becak
membawa pulang ubi dan hasil buruan
tanpa keluh, tanpa gelisah
kerana meja kecil mereka
sentiasa penuh dengan rasa syukur
Kini hujan menghidupkan kenangan
tentang dua insan yang tak pernah mengalah
yang menjadikan sederhana itu cukup
dan hujan yang dulu membasahi
masih membawa doa yang tak pernah padam
SUHAIMI JASNAH
(20 JUN 2025)
Smk Penangah, Telupid