Bayangan yang Tak Menjadi
Karya: Eyuman
Aku pernah percaya
cinta adalah janji yang akan tumbuh
seperti benih di tanah subur
menjadi pohon pelamin
menjadi teduh dalam keluarga.
Aku menunggu buahnya
dengan hati yang penuh harap
tetapi harapan itu pecah
yang kutemui rupanya hanyalah bayangan
indah sekejap
tidak pernah menjadi lukisan indah
hilang sebelum sempat kucapai
kasih yang kuberi
seakan rapuh
seperti buih di permukaan air
perlahan-lahan pecah sebelum sempat kugenggam
hanya serpihan luka
yang menempel di dada.
Kini aku belajar
bahawa cinta tidak selalu kekal
bahawa janji tidak selalu benar
bahawa kasih yang tulus
kadang hanya berakhir
sebagai kenangan yang pahit.
26/12/2025
Biodata
Eyuman nama Pena Chong Ah Fok (PhD) mantan Timbalan Pengetua sekolah menengah dan berminat menulis karya kreatif sejak di bangku sekolah menengah atas. Menerbitkan 5 novel, 2 kumpulan cerpen, 2 kumpulan sajak 2 buku akademik sastera dan puluhan antologi bersama; bersama penulis-penulis setempat dan juga nusantara.

