KASUT BERTUMIT TINGGI
Oleh: Kims Diwa
Aku tidak tahu kepada siapa harus aku meminta pertolongan. Dalam saat genting seperti ini, aku masih diuji dengan halangan. Aku sudah biasa diuji dalam hidup, tetapi tidak sangka perkara sekecil ini mampu menambahkan resah yang bertubi-tubi di hatiku.
Pagi itu, aku bersiap-siap untuk menghadiri temu duga sebagai kerani di sebuah organisasi penerbitan akhbar—pekerjaan yang sekian lama aku impikan sejak di bangku sekolah. Bekerja di dunia penerbitan bukan sekadar mencari rezeki; ia adalah satu bentuk penghargaan terhadap minat dan impianku dalam penulisan. Jika aku diterima bekerja di sana, mungkin aku akhirnya boleh melihat namaku tercetak di dada akhbar, bukan hanya sebagai pembaca, tetapi sebagai penyumbang.
Aku memilih baju kurung sutera biru lembut dengan sulaman halus di hujung lengan—baju kesayangan yang hanya pernah kupakai pada pagi Aidilfitri tahun lalu. Ibu selalu berpesan, "Biar berpakaian sopan dan manis di mata orang. Biar orang hormat, bukan sekadar pandang."
Pilihanku bukan sahaja kerana adat, tetapi kerana aku mahu tampak kemas dan berkeyakinan. Selesai menggosok baju, aku menyelongkar almari, mencari fail sijil berwarna merah jambu yang sudah lama aku simpan rapi. Setelah semua dokumen siap, aku bergegas mendapatkan ibu. Namun, aku tidak menyangka permintaanku disambut dengan keraguan.
"Anak perempuan jangan keluar sendiri ke bandar. Nanti sesat, nanti orang ambil kesempatan," kata ibu, suaranya lembut tetapi tegas.
"Lagipun, perempuan baik-baik jangan gopoh mahu bekerja. Biarlah rezeki itu datang pada masanya."
Aku diam. Kata-kata ibu bagaikan gumpalan embun yang menyejukkan, tetapi juga menyesakkan dada. Aku sudah setahun tamat SPM dan sepanjang waktu itu, aku hanya duduk di rumah, membantu ibu memasak, menyapu laman, dan menjadi saksi kepada kehidupan yang statik.
Setahun menganggur membuatkan aku berasa tidak berguna. Aku tidak mahu terus menjadi beban keluarga. Aku mahu membuktikan bahawa aku mampu berdikari. Kata-kata ibu seperti bisikan puisi di telingaku.
Hidup ini jalan yang panjang, anak
ibu berbisik dalam sayu pandangnya
setiap langkah ada yang melihat
setiap jatuh ada yang mengingat
Langkahmu biar pasti
jangan tergesa dalam memilih dunia
tapi aku ingin mencuba ibu
walau jalannya masih kabur di mata
Aku nekad. Aku turun dengan semangat yang membara. Tetapi sebaik menyarungkan selipar, hatiku tersentak. Aku terlupa sesuatu yang sangat penting—kasut bertumit tinggi dan bertutup!
Jantungku berdegup kencang. Aku segera menyelongkar almari kasut, tetapi yang ada hanyalah sepasang kasut lama yang sudah koyak di bahagian hujung. Aku bergegas mencari ibu untuk meminta kasutnya, tetapi hampa—ibu tidak mempunyai kasut bertumit.
Teksi yang aku panggil sudah tiba. Masa semakin suntuk, tetapi kasut masih belum aku temui! Ibu mencadangkan agar aku meminjam kasut daripada sepupuku, Ani. Mujur rumahnya hanya beberapa langkah dari sini. Aku berlari ke sana, dan syukur, Ani ada di rumah. Dia menghulurkan sepasang kasut bertumit tinggi miliknya. Namun, kasut itu terlalu besar! Aku mencuba melangkah, tetapi setiap kali tumitku terangkat, kasut itu hampir terlepas.
"Apa kata kau beli kasut lain bila sampai di bandar?" Cadang Ani.
Aku hampir bersetuju, tetapi risau jika terlewat. Akhirnya, aku nekad memakai sahaja kasut Ani dan berharap ia tidak menyusahkanku. Aku melangkah dengan penuh harapan—tetapi tanpa aku sedar, takdir sudah mengatur halangannya sendiri. Setelah tiga puluh minit, jalan raya semakin sesak. Aku melirik jam tangan—7:30 pagi. Aku masih ada masa tiga puluh minit sebelum temu duga bermula. Namun, kenderaan seolah-olah tidak bergerak!
Peluh mula membasahi dahiku meskipun pendingin udara dalam teksi masih berfungsi. Aku semakin gelisah. Hati berbolak-balik, cuba mencari jalan penyelesaian. Aku memujuk hatiku dengan untaian kata-kata.
Jalan itu panjang, tapi aku mesti tiba
mesti juga bertahan, mesti mencuba
walau langkah ini goyah di pinggir sesak
aku percaya di hujung ada cahaya memancar megah
Tiba-tiba, suara pemandu teksi memecah kebisuan dan zikir di dalam hatiku terhenti serta merta.
"Maaf, nak. Pakcik faham perasaanmu."
Aku terdiam. Kata-kata itu menusuk ke dalam hatiku. Aku menarik nafas panjang, cuba mengawal kegelisahan. Aku tiba di hadapan bilik temu duga. Seorang lelaki tampan berdiri di situ, menatapku dengan senyum kecil. Aku cuba melangkah penuh sopan, tetapi…
Aku terpelecok! Kasut tumit tinggi itu terlalu besar. Aku kehilangan keseimbangan dan jatuh betul-betul di hadapan lelaki itu. Aku bingkas bangun, menahan rasa malu yang menggigit jiwaku. Sebelum masuk ke bilik temu duga, aku sempat mengerlingnya. Wajahnya kemerahan—menahan tawa. Aku mendengus dalam hati. Dengusan itu seperti rangkaian puisi penuh kekesalan.
Oh kasut, oh dunia
mengapa setiap langkahku kau uji?
baru hendak menggapai tinggi,
sudah dijatuhkan tanpa simpati.
Aku mengetap bibir, menolak daun pintu dan melangkah masuk. Belum sempat aku duduk, kasut sebelahku sekali lagi terlepas dan melayang ke hadapan, mendarat betul-betul di hadapan penemu duga! Aku membatu. Para penemu duga hanya tunduk memandang meja, tetapi bahu mereka bergerak-gerak—cuba menahan ketawa! Seorang daripada mereka akhirnya bangun dan keluar dari bilik. Sebaik pintu tertutup, aku mendengar ketawa berderai dari luar. Aku menelan liur, menahan rasa malu yang kian memuncak. Hari ini benar-benar bukan hariku. Aku menundukkan kepala dan menghela nafas panjang.
"Kasut oh kasut… Kau memang tidak mahu menyebelahi aku, bukan?"
BIONARASI
Kims Diwa atau nama sebenar Rukimah binti Pandawa berasal dari Kota Marudu, Sabah, bertugas di Telupid sejak tahun 1997. Sajak dan cerpen adalah dua seni sastera yang diminati beliau. Cerpen-cerpen beliau banyak tersiar di akhbar-akhbar tempatan dan beberapa antologi puisi dan cerpen bersama-sama penulis pemula dan mapan. Kini beliau sedang berusaha menghasilkan kumpulan cerpen, namun masih banyak kendala yang sukar ditangani.