SAAT HATI BERCERITA
Oleh: AC Jaffrie
Gerimis di luar jendela sudah berhenti. Harum bunga kesidang membawa aroma wangi sampai ke dalam kamar. Aku bangun lalu berdiri di sisi jendela kamar. Sambil memejam mata aku menghirup aroma wanginya. Sungguh nyaman dan damai terasa. Kesegaran membugar ke seluruh tubuhku. Dalam hati aku mula berbicara. Aku teringat arwah ibu yang tercinta.
Aroma wangi harum bunga Kesidang yang subur di halaman mengingatkan aku pada masa lalu. Hampir lapan tahun ibu sudah pergi meninggalkan alam fana ini. Ingatan semasa kecil kembali menerjah ingatan. Dunia terasa sangat sederhana ketika aku kecil tetapi kasih sayang ibu adalah segala-galanya. Banyak kenangan manis, suka dan duka mengiringi keberadaan aku di dunia ini. Satu persatu kenangan itu kembali berlegar di kotak ingatan.
Satu perkara yang paling aku ingat, ibu sangat suka menanam pokok-pokok bunga. Di halaman pada masa itu penuh dengan segala macam pokok bunga. Halaman rumah nampak meriah dengan pelbagai bunga berwarna-warni mekar berkembang. Malah bau wangi bunga-bungaan bertebaran sekeliling rumah. Kamar aku juga berbau wangi setiap kali jendela dibuka.
“Wanginya bau bunga ini, Ibu!” soal aku kepada ibu yang sedang menyiram serumpun pokok bunga berwarna putih.
“Inilah bunga kesidang. Walaupun kuntumnya kecil tetapi baunya sangat wangi,” beritahu ibu kepada aku.
“Hmm… bau alami yang sungguh menyegarkan,” tutur aku lagi.
Ibu masih sibuk menyiram pokok-pokok bunga kesayangannya. Selain pokok bunga Kesidang, ada juga pokok bunga Melati, bunga Melor dan bunga Kertas yang pelbagai warna. Ada juga tumbuhan berdaun seperti pokok Ati-ati dan pokok Puding yang beraneka warna juga. Satu perkara yang aku perasan, apa sahaja pokok bunga yang ditanam oleh ibu akan tumbuh dengan subur. Aku cuba mengorek rahsia ibu itu.
“Semua pokok bunga yang Ibu tanam tumbuh dengan subur. Apa rahsia Ibu?” Aku bertanya kepada ibu pada satu petang.
“Ibu tanam dengan kasih dan sayang. Itu saja rahsia Ibu,” ucap ibu dengan jawapan yang bernas dan masuk akal.
Aku tersenyum mendengar jawapan daripada ibu. Aku setuju sangat dengan pepatah orang dahulu mengatakan orang yang buat apa sahaja dan menjadi, mempunyai tangan yang sejuk. Apa sahaja yang ditanam akan hidup subur. Apa sahaja yang dibuat akan berhasil. Begitu juga dengan tangan ibu. Apa sahaja pokok bunga yang ditanam akan tumbuh dengan subur dan berbunga lebat. Pokok kesidang yang ibu tanam sentiasa berbunga sepanjang tahun dan berbau wangi.
“Ibu jaga semua pokok bunga ini dengan rasa cinta. Kena siram dan baja selalu biar subur sentiasa. Kalau tak jaga dengan betul mesti pokoknya mati,” tukas ibu lagi.
Kata-kata yang keluar dari mulut ibu semuanya ada hikmah. Ayatnya biasa tetapi membawa maksud yang sangat mendalam. Rasa kasih, sayang dan cinta bukan hanya teruntuk makhluk bernama manusia sahaja. Malah boleh ditujukan kepada tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Hidup berkasih sayang dengan sepenuh cinta akan menimbulkan rasa ghairah kedamaian. Akhirnya membawa kepada satu rasa kebersamaan.
“Manusia dan alam perlu bersatu. Kita saling memerlukan,” ucap ibu berfalsafah.
“Apa maksud Ibu?” soal aku kurang memahami sebarisan kata-kata itu.
Senyum merekah di bibir tua ibu. Mulutnya berkata-kata, tetapi tangan dan jemari masih bekerja menggemburkan tanah-tanah di dalam pasu bunga Kertas. Biarpun bunga-bunga Kertas itu tidak mempunyai aroma yang wangi tetapi warna-warninya menceriakan suasana dan mata yang memandang. Kehadiran rama-rama dan kumbang turut menjadikan taman bunga kecil milik ibu sangat indah dan meriah.
“Selain mencantikkan laman rumah, bunga-bunga ini boleh dijadikan perhiasan diri,” bicara ibu bersambung.
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Dalam otak aku berfikir apa maksud ibu. Dalam usia awal remaja, aku memang kurang peka dengan perkara sedemikian. Aku hanya tahu bergembira. Apa yang aku mahu boleh ditunaikan. Aku tahu pokok-pokok bunga di halaman rumah memang menjadi kesayangan ibu. Hari-hari ibu akan menjaga dan membelai pokok-pokok bunganya. Kadang-kadang aku lihat ibu bercakap-cakap dengan pokok-pokok bunga berkenaan. Aku sedikit pelik, tetapi begitulah selalu rutin yang dilakukan oleh ibu.
“Memang pokok-pokok bunga ini tak boleh bercakap, tetapi mereka juga ada perasaan seperti manusia. Mereka hidup secara alami dan bernafas. Kita perlukan makanan, mereka perlukan baja serta air untuk hidup subur membesar,” terang ibu lagi.
Ibu amat menyayangi semua pokok bunganya. Dalam banyak pokok bunga, pokok bunga Kesidang yang paling dia sayang. Selain baunya yang sangat wangi, ada banyak kegunaannya kepada urusan harian ibu. Menjadi rutin kepada ibu mengutip dan mengumpulkan gugusan bunga Kesidang setiap kali mahu keluar rumah. Ibu akan menyelitkan kuntuman bunga Kesidang yang bergugus itu di balik telinga. Kesannya bukan hanya rambut berbau wangi, malah seluruh badan turut berbau wangi. Zaman dahulu mana ada minyak wangi buatan seperti sekarang.
“Orang dulu-dulu zaman nenek moyang kita memang bijak. Alam dan kehidupan berganding sangat rapat,” tambah ibu memberi penjelasan tambahan.
Aku faham. Kata-kata ibu ada kebenarannya. Aku memang sokong seratus peratus. Begitu juga dengan makanan, semuanya dari sumber alam. Makanan yang tidak tercemar dengan baja-baja kimia seperti zaman sekarang. Beras mereka hasilkan dari tanaman padi di bendang. Begitu juga dengan sumber protin dari ayam-ayam kampung, itik, kerbau dan sebagainya dibela sendiri. Orang kampung hidup dengan bertani. Ramai yang turun ke laut untuk menangkap ikan. Berbeza dengan orang zaman sekarang. Semuanya hendak cepat. Masa untuk berdamai dengan alam terlalu singkat. Penyakit juga macam-macam timbul, tidak seperti orang dahulu kala sihat sampai ke usia senja.
Sejak ibu tiada, aku bersama keluarga kecil tinggal di rumah pusaka ini. Sebagai adik bongsu dalam keluarga, abang dan kakak bersetuju aku mewarisi rumah pusaka peninggalan keluarga ini. Setiap kali duduk sendirian, aku terkenang kepada arwah ibu. Bukan aku tidak teringat kepada arwah ayah, tetapi kenangan bersama ibu terlalu banyak. Ayah juga seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga. Jasa dan pengorbanan ayah juga sangat banyak buat kami adik beradik. Cuma kali ini ingatan kepada ibu begitu mendalam.
“Nanti bila Ibu sudah tiada, kamu jaga pokok-pokok bunga Ibu ini. Ini bukan harta bernilai tapi keberadaannya cukup buat Ibu bahagia,” ucap ibu bagaikan memberi wasiat.
Bahagia? Satu ungkapan yang cukup bermakna dalam kehidupan. Sayang sungguh ibu kepada pokok-pokok bunga sehingga ianya amat bernilai dalam kehidupannya. Ibu akan susah hati kalau pokok bunganya yang berdaun hijau berubah menjadi kekuningan. Itu tandanya pokok-pokok tersebut menuju hujung kehidupan. Pelbagai cara akan dibuat untuk mengembalikan semula kesegaran pokok-pokok bunga berkenaan. Jika sudah sampai untuk pokok-pokok bunga itu mati maka ibu akan reda. Seperti juga dengan kehidupan manusia, sampai masa akan pergi juga.
“Ibu jangan cakap macam itu. Ibu mesti kuat dan sihat sampai bila-bila,” jawab aku kurang senang dengan kata-kata ibu tadi. “Mai tak mahu berpisah dengan Ibu. Mai sayang Ibu!”
“Kalau nak Ibu sihat dan panjang umur, Mai kena bantu Ibu selalu,” ucap ibu sambil tersenyum manis.
“Baik Ibu, Mai akan tolong Ibu buat apa-apa kerja di rumah,” ujar aku pantas berjanji kepada ibu.
Ibu tersenyum lagi. Kali ini dia memeluk aku seerat-eratnya. Saat itu aku terasa hilang dalam bayangan. Panas pelukan ibu sangat mengujakan. Kasih dan sayangnya melimpah tertumpah ke dalam diri. Saat itu sungguh membahagiakan. Aku tidak mahu kehilangan ibu. Aku jadi lemah bila ibu tiada di sisi. Ibu adalah segala-galanya bagi aku ketika itu.
“Ibu jangan pergi. Mai sayang Ibu!” sekali lagi aku mengulang kata-kata itu dalam kehangatan pelukan ibu.
Keadaan menjadi bisu. Aku masih lagi gagah berdiri di sisi jendela. Memejam mata menghirup aroma wangi bunga Kesidang dan tenggelam dalam kenangan lalu. Segala pesan ibu akan simpan kemas di dalam hati. Pesan ibu adalah harta yang tidak ternilai yang ibu tinggalkan. Semuanya baik-baik dan menjadi panduan untuk aku meneruskan kehidupan di dunia yang fana ini. Saat mengenang ibu, air mata mula bergenang di kelopak mata. Air mata yang gugur segera aku seka menggunakan tangan.
“Kenapa Ibu menangis?” kedengaran satu suara anak kecil menegur.
Aku segera berpaling. Sakinah, anak bongsuku datang merapat ke tepi jendela. Gadis kecil berusia sepuluh tahun itu barangkali tertanya-tanya mengapa aku menangis. Gelodak perasaan rindu yang ada dalam dada mesti aku luahkan. Aku mahu anak gadis ini tahu apa yang aku rasa sekarang. Apa yang aku alami ini pasti akan berulang dalam kehidupannya suatu hari nanti. Persoalan yang sama turut membelenggui aku masa kecil dahulu.
“Ibu sakit?” pendek soalan Sakinah.
Aku mengangguk. Memang aku sedang sakit. Sakit rindu bila teringatkan insan-insan tersayang yang sudah lama meninggalkan kita. Itulah sakit yang teramat kerana mereka tidak akan dapat bersama kita buat selama-lamanya. Aku biarkan Sakinah bermain dengan persoalan itu seketika. Sengaja aku berbuat demikian kerana mahu memberi sedikit pengajaran.
“Ibu sakit apa? Kinah bagitahu Ayah bawa Ibu pergi klinik!” tingkah Sakinah bersuara pantas.
Aku memeluk Sakinah. Rasa hangat itu sama seperti aku memeluk arwah ibu sejak lama dahulu. Hidup ini seperti roda. Roda kehidupan sentiasa berputar. Aku mahu Sakinah rasa apa perasaan yang aku rasa dahulu. Hargai segala kehidupan ketika masih bersama. Hidup kena sentiasa bersyukur dan reda dengan takdir daripada Allah SWT.
“Sabar sayang, Ibu cuma sakit rindu. Rindu dengan arwah nenek Kinah,” ucap aku dengan tenang.
Sakinah menarik nafas lega. Keraguannya sudah terjawab. Biarpun dia masih kecil, tetapi rasa rindu itu tetap ada. Dia juga rindukan arwah nenek dan datuknya. Mereka antara insan yang rapat dan istimewa dalam hidupnya. Semuanya sudah tinggal kenangan. Dia juga tidak mahu kehilangan ibu dan ayah sebelum menginjak usia dewasa.
“Petang nanti tolong Ibu siram pokok-pokok bunga di laman. Sekarang kamu pergi bersihkan diri dulu. Kejap lagi Ayah balik, kita makan sama-sama,” ucap aku mengubah topik persoalan.
Sakinah menuruti sahaja segala pesanan aku. Sebelum bergerak ke sisi lain di dalam kamar, aku menumpahkan sedalam-dalamnya pandangan ke arah pokok-pokok bunga yang sedang bugar disiram gerimis pagi. Suara hati aku masih lagi berbisik. Masih ada cerita yang mahu aku luahkan. Rasa rindu kepada ibu masih menebal.
‘Ibu, hari ini rindu aku datang lagi…’ suara hati aku berbisik mahu mula bercerita.
Aku berjeda seketika. Aku mahu menenangkan gelora rasa yang melanda kuat di kolam hati. Badai rindu terus memukul dinding kesabaran. Aku seolah tahu apa yang akan ibu jawab sekiranya masih berjasad. Seperti ada suara ibu yang menyahut pertanyaan aku.
“Jangan menangis, sayang. Hidup mesti terus berjalan dengan ketentuan takdir-Nya...”
‘Tapi bagaimana harus aku berjalan kalau pelita yang menerangi sudah padam buat selama-lamanya?’
Persoalan itu mati di situ. Jawapannya ada dalam diri aku sendiri. Saat hati mula bercerita, banyak perkara perlu aku pertimbangkan. Aku percaya kepada aturan takdir-Nya. Selalu bersyukur kepada rezeki dan rahmat-Nya. Hidup dan mati adalah atas ketentuan-Nya juga. Setiap pagi, jendela kamar aku akan terbuka luas. Wangian bunga akan hadir menyusup masuk membawa udara dan kenangan. Dingin angin seperti pelukan ibu yang tidak akan aku lepaskan.
TAMAT