Renungan Si Miskin di Bulan Mulia
Karya: Hairul Hellas
Di lembayung Ramadan yang suci
Terpancar kisah si pengemis berdiri
Dengan roti dan kelapa ais di tangan
Meniti lorong dalam kesepian
Wahai insan, renunglah sejenak
Dalam keriuhan kemewahan yang megah
Tersingkap duka si miskin tersembunyi
Yang puasanya tanpa berbuka menanti
Apakah kita lupa akan janji?
Untuk berkongsi rezeki dan simpati
Tatkala baju baru menghias pagi
Sedangkan mereka hanya punya lusuh di hati
Dalam sendu suara si kecil
Terselit hakikat yang menggugah rasa
Bahawa kita terbuai indah dunia
Melupa tangis yang tak bersuara
Wahai jiwa, bangkitlah segera
Hadirlah dengan kasih yang benar
Agar Ramadan ini lebih bermakna
Untuk semua yang merasa hampa
Allahuakbar! sedarlah kita
Bahawa setiap rezeki dan nikmat
Hanya titipan sementara
Untuk diuji sejauh mana kita ingat
Wallahua'lam, moga kita insaf
Di bulan mulia, meraih berkat
Untuk mereka yang sering terlupakan
Mari kita hulur tangan persaudaraan
Nukilan: Hairul Hellas
BIODATA RINGKAS
Ts. Dr. Mohd Hairul bin Haji Mohd Salleh juga dikenali sebagai Hairul Hellas adalah seorang penyelidik dan penulis dengan kepakaran dalam biologi pemuliharaan, serta mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri dan 3 tahun dalam pengajaran. Beliau memiliki PhD dalam Genetik dan aktif dalam penyelidikan mengenai kepelbagaian spesies terancam. “Mujahid” dan “Langkah Demi Langkah” adalah nukilan puisi telah terbit di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Penerbit Universiti Putra Malaysia.