DARI KEKASIH UNTUK KEKASIH
Zamri H.Jamaluddin BWN
Kalimah itu berkumandang
Sebuah seruan
Membedah hening.
Merenyut nadi kaku
Dalam pasungan noda
Membelit sukma.
Di lembah sesal ini… aku
terpaku.
Menatap cermin diri
Retak seribu.
Mencari sisa nur
Di balik bayang kelam
Kian memburu.
Duhai yang Maha Pengampun,
Nukilan lagu ini...
Rintihan kalbu
Yang tersungkur hancur.
Musafir kehilangan pedoman
Di tengah padang pasir
Gersang… membara.
Setiap getaran nadanya...
jemari halus.
Mengetuk pintu malakut.
Memohon karat hitam dasar hati
Hanyut...
Dalam derasnya rahmat-Mu
Tanpa tepi.
Betapa kerdilnya aku...
Di bawah hamparan ihsan melimpah-ruah.
Menghamparkan sajadah usang.
Membasuh wajah
Dengan air mata
Bukan lagi sekadar duka,
Tetapi sekelumit harapan
Mekar di celah munajat
Paling sunyi.
Usah Kau izinkan tetamu agung ini melambai pergi.
Tanpa melenyapkan api khilaf
Menjulang...
Membakar sanubari.
Biar nukilan melodi ini saksi bisu.
Di balik ruku’
Dan sujud panjang...
Ada seulas ikrar pulang
Sebening titisan telaga Kautsar,
Menjemput daku ke Firdausi abadi.
Kampung Sungai Akar,
Negara Brunei Darussalam
16.03.2026
Zamri H. Jamaluddin BWN, penggiat seni dari Negara
Brunei Darussalam. Menekuni dunia penulisan kreatif merangkumi
puisi, cerpen, pantun, serta skrip drama radio, televisyen, dan pentas dan
Teater.Selain bergelar penyiar
radio dan pengulas
sukan, beliau juga merupakan seorang juruacara majlis profesional dalam
dan luar negara. Bagi beliau, menulis
bukan kerana nama, tetapi sekadar berkongsi rasa. Melalui
mata pena, beliau menemukan ketenangan yang kemudiannya dialirkan ke dalam
naskhah-naskhah syahdu buat tatapan pencinta sastera.