LALA ANAK YANG BERANI
Oleh: AC JAFFRIE
Di tepi sebuah belukar, seekor anak itik bernama Lala baru menetas. Bulu-bulunya masih basah dan berwarna kekuningan. Lala sedikit bingung. Ketika itu dia sendirian. Di sisinya ada beberapa biji telur yang belum menetas. Ibunya tidak kelihatan.
“Kuek… kuek… kuek…” Lala memanggil ibunya.
Lala amat sedih. Panggilannya tidak berbalas.
“Kuek… kuek… kuek…” Lala berbunyi lagi. Kali ini agak kuat. Dia mahu ibunya mendengar teriakan itu.
Lala memandang ke kiri dan kanan. Tiada sebarang makhluk lain dilihat. Angin mula bertiup. Rumput hijau dan pokok bunga kecil bergoyang. Bulu-bulu halusnya mula mengering ditiup angin. Dia cuba berkepak tapi sayapnya masih lemah.
“Kuek… kuek… kuek…” Lala terus memanggil ibunya. Mungkin ibunya keluar mencari makan. “Tapi ibu di mana sekarang?” soal Lala sendirian.
Matahari mula meninggi. Cahaya panasnya membantu bulu-bulu halus di badan Lala kering sepenuhnya. Lala nampak cantik dan comel. Dia sudah bertenaga dan kuat. Lala keluar dari sarang lalu berjalan mencari ibunya. Dia mesti berhati-hati. Mungkin ada bahaya sepanjang jalan.
Lala terus berjalan. Sampai di suatu kebun, terdengar kokokan yang kuat. Di atas pagar, ada seekor ayam jantan. Namanya Pak Jaguh.
“Kamu nak ke mana? Bahaya jalan sendirian di sini,” tegur Pak Jaguh.
“Nama saya Lala. Saya sedang mencari ibu,” beritahu Lala.
Pak Jaguh kasihan melihat Lala. Masih kecil tapi sudah kehilangan ibu.
“Saya tak nampak ibu awak,” ucap Pak Jaguh lagi. “Mungkin ibu kamu ada di tempat lain.”
Lala kembali sedih. Dia teruskan perjalanan. Hari sudah menjelang petang. Lala kemudian bertemu dengan Botet, seekor ibu kucing. Botet sedang tidur di bawah sebatang pokok.
“Wahai ibu kucing, maaf saya bertanya?” soal Lala.
Botet terkejut apabila disapa oleh Lala. Mimpi indahnya terganggu. Dia membuka mata dan menguap juga. Nampak dia keletihan.
“Kamu siapa? Jangan ganggu masa tidur saya,” ucap Botet masih bermalasan.
“Nama saya Lala. Saya mencari ibu yang pergi entah ke mana,” kata Lala dengan sedih.
Botet masih mengantuk. Nampak dia keletihan.
“Saya tak nampak ibu kamu. Mungkin ada di tempat lain,” jawab Botet.
Lala sedikit kecewa. Dia meneruskan perjalanan mencari ibunya. Berjalan dan terus berjalan. Walaupun letih, dia tidak akan berputus asa. Kemudian Lala bertemu dengan seekor anak tupai. Namanya Bubu. Bubu sangat baik hati. Lala menceritakan tujuan dia berjalan di situ.
“Nama saya Bubu. Apa boleh saya bantu?” kata Bubu dengan lembut.
“Saya Lala, sedang mencari ibu. Dari pagi sampai sekarang belum berjumpa,” beritahu Lala.
Bubu simpati dengan nasib Lala. Dia mahu membantu Lala. Dia minta Lala tunggu sebentar. Dia mahu memanjat hingga ke pucuk pokok ara. Dia mahu melihat kawasan sekitar melalui tempat tinggi. Kemudian dia turun semula mendapatkan Lala.
“Dari atas saya lihat ada sebuah kolam tidak jauh dari sini. Mungkin ibu awak ada di sana,” beritahu Bubu dengan yakin.
“Terima kasih Bubu. Biar saya ke sana mencari ibu,” ujar Lala dengan gembira.
Lala menghampiri sebuah kolam. Di situ dia melihat beberapa ekor itik dewasa sedang berenang. Hatinya berbunga riang. Mungkin salah seekor itu adalah ibunya.
“Kuek… kuek… kuek!” jerit Lala dari tepi kolam.
Seekor ibu itik mendengar panggilan itu. Dia segera mendapatkan Lala di tepi kolam. Dia yakin anak itik itu adalah anaknya. Naluri keibuannya sangat kuat.
“Maafkan ibu. Kamu menetas semasa ibu keluar mencari makan,” ucap ibu itik sambil mengembangkan kepaknya memeluk Lala.
Lala sangat gembira. Akhirnya dia bertemu dengan ibunya. Mereka berenang bersama-sama di kolam. Mandi dan menyelam sambil mencari makan.
“Mari kita pulang. Mungkin telur-telur lain juga sudah menetas. Mari kita jumpa adik-beradik kamu,” ujar ibu Lala.
Lala sangat bahagia. Ibunya sudah ada di sisi. Lala dapat belajar sesuatu. Dia yakin jika berusaha tanpa jemu pasti akan berjaya. Mesti percaya kepada diri sendiri dan hidup mesti berani.
BIONARASI PENULIS
AC JAFFRIE anak kelahiran Negeri Melaka, Malaysia. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Menekuni bidang penulisan dengan moto menulis biar sampai jadi buku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan