Ahad, 16 Februari 2025

Lestari Alam Cintai Bumi

 LESTARI ALAM, CINTAI BUMI



Biru langit terbentang luas

tempat bermain sekawan unggas

hanya di sini boleh melayah bebas

juga memeluk angin sepuas-puas

segala beban mahu dilepas.

 

Belantara kian terancam

sana sini hilang keindahan alam

demi pembangunan mulut terkunci diam

demi ringgit bumi menanggung beban

tiada kasihan tiada ehsan.

 

Air sungai mengalir lesu

menongkah arus sampai ke hulu

letih mengarak sampah berbatu

segala kehidupan merintih pilu

orang-orang buat tak tahu.

 

Kemarau berbulan-bulan

tanah merekah menanti hujan

lopak kering berdebu di jalanan

petani pesawah mengumpul angan

anak isteri apa nak makan.

 

Masih ada segenggam harapan

dalam hati berdiri satu kesedaran

lestarikan alam demi masa depan

buat anak cucu sebagai warisan

bahagia sepanjang zaman.

 

AC JAFFRIE

Rumah Bonda, Melaka

14 Februari 2025

 

BIONARASI PENULIS

AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain. Ahli kepada persatuan penulis di bawah badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera (Pantun) dari PENAMA (November 2024).

 

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular