Setitis Waktu
Karya: Naora MN
Alina memeluk kemas fail merah jambu cerah berisi dokumen ayahnya seerat mungkin, seolah-olah masih terasa hangat tangan tua itu di situ. Dia perlu menguruskan beberapa urusan, menukar alamat surat menyurat, sahkan laporan dan menyerahkan borang pelepasan rawatan di rumah. Hatinya lega. Dia tidak perlu lagi berulang alik ke hospital bagi merawat ayahnya itu.
Saat melangkah masuk ke lobi hospital, bau ubat-ubatan, klorin dan udara sejuk penghawa dingin menyambutnya serentak. Bau itu terlalu akrab, bau yang telah melekat dalam hidupnya sepanjang enam bulan menjaga ayahnya. Setiap sudut hospital membawa serpihan memori.
Di pintu masuk, dia terkenangkan ayah yang selalu menggenggam lengan sambil berkata bahawa dia masih kuat, cuma perlu berjalan perlahan-lahan. Di lif yang bergerak perlahan naik, dia tebayangkan tubuh ayah yang lemah tetapi sentiasa tersenyum setiap kali sampai ke tingkat dialisis. Di koridor panjang itu, ingatannya memukul perlahan bagaimana dia menunggu, kadang dengan mata mengantuk, kadang dengan buku doa di tangan, kandang hanya dengan harapan, semoga ayah baik-baik sahaja pada hari itu. Begitulah rutinnya, hantar, tunggu, balik dan esok datang lagi. Rutin yang seperti degup jantung yang setia, berulang dan penuh pengorbanan.
Tatkala menguak perlahan pintu pejabat pentadbiran, Alina memberi salam sambil menghadiahkan sejalur senyuman manis, menyerahkan semua dokumen yang dibawa. Tangannya sedikit bergetar, bukan kerana takut tetapi ruang itu mengingatkan betapa banyak perjalanan yang telah dilaluinya.
Pegawai bertugas membelek satu demi satu kertas sambil bertanyakan tentang kestabilan ayah di rumah dan jadual ubat baru yang diberikan doktor. Selepas berpuas hati, pegawai itu menandatangani borang dan membuat laporan ringkas untuk diserahkan kepada pegawai yang bertugas di kaunter seterusnya.
Selesai urusan, Alina melangkah keluar dengan dada yang terasa lapang tetapi kosong seperti pintu yang akhirnya ditutup tetapi ruang di dalamnya masih bergema. Tugas menjaga ayah kini di rumah memberikan sedikit kelegaaan untuk dia bernafas dengan sedikit tenang.
Alina mengikut langkah kakinya yang membawa dirinya ke tempat yang selalu dia lalui setiap pagi; sudut dialisis tempat dua kerusi biru berada di situ. Sunyi, setia, tidak pernah berubah. Alina melabuhkan punggungnya perlahan seperti seseorang yang kembali ke rumah lamanya. Dia mengerling kerusi biru di sebelahnya, kosong. Kerusi yang selalu diduduki Afif. Dari situlah mereka selalu bertukar senyuman kecil, senyuman yang tidak pernah dia tahu akan menjadi sebahagian penting hidupnya.
Alina bersandar sambil menarik nafas panjang. Kelopak matanya ditutup perlahan. Hospital ini terasa seperti album lama yang penuh bau, warna dan kenangan yang tidak mahu hilang. Dia menyentuh permukaan kerusi di sebelah. Sejuk. Tetapi di hujung sejuk itu ada sesuatu, seakan sisa hangat dari seseorang yang pernah duduk di sini setiap pagi, menahan lelah tetapi tetap melukis senyum.
“Afif selalu di sini. Masa ayah sakit teruk, dia tanya kalau-kalau Lina okey. Orang macam dia sangat baik dan tenang. Mana datangnya kekuatan itu?” gumam Alina perlahan.
Dadanya terasa perlahan-lahan mengetat, seperti sedang bersiap untuk sesuatu yang akan memecah tenang hari itu. Alina menarik nafas dalam-dalam. Hospital mula terasa berat, tiap sudutnya seolah membuka satu demi satu kenangan yang tidak pernah selesai. Dan di kerusi biru itu di tempat yang sama pada pagi yang hampir sama dengan pagi-pagi lainnya. Alina akhirnya menyedari satu hal: tempat yang pernah memberi kekuatan kepadanya juga tempat yang akan memecahkan hatinya sebentar lagi. Dia cuba menunggu kehadiran Afif pada pagi damai itu.
Udara di sekeliling masih seperti dahulu. Haruman ubat yang dingin, bau antiseptik yang meresap ke lantai, bunyi roda troli ditolak perlahan dan suara jururawat memberi arahan ringkas. Di sinilah dia selalu menunggu ayahnya selesai dialisis dan di sini jugalah semuanya bermula.
Alina masih memejamkan matanya. Dalam gelap yang jinak itu dia dapat melihat semula bayangan seorang pemuda, Afif yang selalu muncul dari hujung koridor. Dia teringat bagaimana untuk pertama kali, Afif hanya menegurnya dengan anggukan kecil. Rambutnya hitam, pendek dan kemas, wajahnya redup seperti seseorang yang menyimpan penat yang tidak pernah disebut. Uniformnya sentiasa rapi, tetapi matanya, selalu kelihatan seolah-olah sedang membaca kesedihan orang lain sebelum mereka sempat menyembunyikannya.
Alina tidak tahu bagaimana, tetapi setiap kali menghampiri meja jururawat berhampiran kerusi biru itu, dia terasa seperti dunia sedikit tenang. Afif bukan jenis yang banyak bercakap, namun tutur katanya perlahan dan berhati-hati, seolah-olah dia takut menyakiti hati orang dengan hanya nada suara. Afif selalu bertanyakan tentang ayah Alina terlebih dahulu sebelum bertanya tentang dirinya.
“Ayah Alina stabil hari ini. Tekanan darahnya pun cantik,” kata Afif sambil membelek laporan tanpa mengangkat suara.
Ada sesuatu pada cara Afif menatap. Bukan memandang tetapi menenangkan. Bukan simpati tetapi seperti memahami tanpa perlu diberitahu. Dari situ, Alina mula menunggu waktu Afif bertugas tanpa dia sedari. Setiap kali wajah itu muncul di hujung lorong ada rasa lega yang datang perlahan mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh keletihan menjaga ayahnya.
Dia terdengar semula tawa halus Afif yang muncul hanya bila dia benar-benar gembira. Dia teringat bagaimana Afif duduk sebentar di kerusi biru itu pada suatu petang, menemaninya beberapa minit sebelum masuk bertugas semula.
Alina membuka mata perlahan-lahan sambil membetulkan kedudukannya. Dia melemparkan pandangan ke hujung koridor dengan harapan Afif akan muncul dari sana seperti selalu. Namun tiada. Yang kelihatan hanyalah dirinya yang sedang menolak kerusi roda ayahnya. Tangan ayahnya menggigil sedikit namun senyumannya tetap sama. Senyum seorang tua yang tidak mahu menyusahkan anak.
Ketika mereka berhenti di luar bilik dialisis, Alina cuba menenangkan degup jantungnya sendiri. Dia berpura-pura kelihatan kuat tetapi ketakutan itu menggunung. Takut ayahnya tidak tahan rawatan, takut komplikasi, takut hari-hari mendatang akan lebih berat dari yang dijangka.
Sewaktu ayah dibawa masuk oleh jururawat, Alina berdiri terpaku. Tidak tahu ke mana harus pergi. Tidak tahu berapa lama harus menunggu. Tidak tahu apa yang harus dibuat ketika seseorang yang kita sayangi sedang bergantung pada mesin.
Alina duduk di kerusi biru. Kerusi yang menjadi saksi pada hari pertamanya sebagai penjaga seorang pesakit kronik. Alina memeluk beg tangannya rapat-rapat. Nafasnya pendek-pendek dan itulah saat pertama kali Afif muncul, berwajah lembut, seperti seseorang yang telah lama belajar menerima penat sebagai sebahagian hidup.
“Cik, pertama kali bawa ayah dialisis?”
“Ya, macam mana encik tahu?”
“Selalunya yang pertama kali akan duduk sambil genggam beg macam tu.” kata Afif sambil tersenyum kecil.
Alina tersipu malu tetapi untuk seketika jiwanya terasa lebih ringan.
“Saya Afif, bertugas di pusat pemulihan, Selalu lalu sini setiap pagi.”
Alina hanya menganguk, tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya. Hatinya masih tidak menentu mengingatkan ayahnya.
Seolah memahami gelojak rasa di dalam diri Alina, Afif berkata. “Ayah cik akan okey. Jururawat di sini bagus. Rawatan pertama memang menakutkan sikit, tetapi selepas ini, cik akan biasa.”
Alina tidak mengenali lelaki itu. Tetapi kata-latanya terasa seperti seseorang membuka tingkap kecil di ruang yang gelap. Afif tidak duduk. Dia hanya berhenti sebentar sebelum berjalan perlahan-lahan seolah-olah sedang memulakan hari yang berat. Alina memerhati langkahnya. Ada sesuatu pada cara Afif mengangkat bahu, seolah ada beban yang tidak terlihat. Mungkin kerja di hopital menemui pelbagai penyakit dan karenah manusia menjadikan dia terasa penatnya. Hati Alina mula menyukai pegawai muda itu.
Sejak pertemuan itu, rutin awalnya di hospital menjadi sesuatu yang lebih daripada sekadar menemani ayah menjalani dialisis. Alina tidak pernah mengakuinya tetapi tubuhnya tahu, langkahnya menjadi perlahan setiap kali menghampiri kerusi biru. Hatinya berdebar sedikit hanya kerana satu sebab, dia sedang menunggu seseorang. Dan setiap kali bunyi kasut menghentak perlahan di hujung koridor, setiap kali uniform putih melintas di sisi, dada Alina akan terasa mengetat. Kalau bukan Afif dia akan berpura-pura tidak kecewa. Kalau betul Afif, wajahnya akan berubah menjadi lebih tenang daripada apa yang dia sedar.
Masih segar dalam ingatannya pada suatu pagi dia tiba lebih awal dari jadual. Ayah masih belum dipanggil masuk ke bilik rawatan, tetapi Alina sudah duduk di kerusi biru, kerusi seolah-olah mengandungi gema kenangannya bersama Afif. Dia menggenggam kedua-dua tapak tangan di riba, menahan keresahan. Ayah batuk sejak subuh dan itu mengganggu ketenangannya.
Kemudian dia mendengar derap langkah yang dikenalinya perlahan, tidak tergesa, tidak berat. Entah bagaimana Alina mengenali ritma langkah itu seperti seseorang mendengar rentak degup hatinya sendiri. Afifi muncul dari sudut lorong dengan clipboard di tangan. Wajahnya kelihatan letih tetapi jernih. Tatkala pandangan mereka bertemu Alina terasa sesuatu mereda di dalam dadanya, seperti ombak yang akhirnya menemui pantai. Spontan dia meluahkan rasa bahawa ayahnya tidak sihat pagi itu.
Afif tidak terus memberi janji palsu. Dia mendekat berdiri di hadapan Alina cukup dekat untuk dia mendengar nafas gelisah Alina tetapi tidak terlalu hampir hingga merisaukan. Kemudian Afif mendapatkan laporan kesihatan dan dalam beberapa minit Afif kembali. Dia duduk di kerusi sebelah Alina, sesuatu yang jarang dilakukan pegawai perubatan kepada waris pesakit. Dia hanya melakukannya dengan Alina. Mungin tanpa sedar dan mungin juga dengan sengaja.
“Alina, ayah kamu okey. Tekanan darah stabil, cuma letih. Ini biasa. Dia kuat.”
Alina tunduk tidak berani menunjukkan matanya yang berkaca. Melihatkan keadaan itu Afif terus menyambung dalam nada yang lebih perlahan.
“Awak pun kuat. Saya faham bukan mudah datang setiap hari. Tapi bila nampak awak di sini saya rasa awak selalu buat yang terbaik untuk ayah awak. Dan itu sesuatu yang sangat jarang saya lihat.”
Alina diam. Kata-kata itu bukan pujian berlebihan. Ia hanyalah keikhlasan yang meluncur seperti sungai yang jernih. Dan entah kenapa, kata-kata itulah yang paling menenangkan Alina selama ini. Lama-kelamaan Alina sedar bahawa dia mula menunggu Afif bukan kerana mahu melepaskan penat, bukan mahu tahu keadaan ayahnya sahaja. Tetapi kehadiran Afif sebagai ruang selamat yang dia tidak pernah tahu dia perlukan.
Bila Afif ada, Alina boleh bernafas sedikit dalam. Bila Afif bercakap dunia hospital yang menakutkan tiba-tiba menjadi lebih mesra. Bila Afif tersenyum seolah-olah ada cahaya kecil yang menyala dalam hati Alina. Bukan rasa yang melulu, mungkin rasa yang menetak perlahan dinding tebal kesunyian, membuka pintu satu persatu.
Dia mula sedar, setiap kali Afif tidak muncul, hatinya akan berdebar gelisah. Setiap kali Afif melintas, hatinya menjadi tenang dalam sekelip mata. Itu bukan kebetulan. Ia adalah benih cinta yang sedang bersemi diam-diam. Alina cuba manafikan, tetapi kerusi biru itu tahu akan kebenarannya. Kerusi yang menyaksikan setiap detik kecil antara mereka, detik yang tidak pernah besar tetapi cukup untuk membuat hati manusia jatuh cinta.
Alina membuka dan menutup mata entah kali yang ke berapa. Kerusi biru itu masih sama. Tetapi hari ini ia terasa seperti pintu ke masa yang tidak akan kembali. Afif masih tidak muncul. Dia ingin menunjukkan surat kebenaran rawatan di rumah sudah ditandatangani. Dia hanya perlukan Afif untuk menjelaskan prosedur seterusnya. Beberapa minit telah berlalu dan bertukar menjadi setengah jam dan berlarutan ke satu jam. Afif tiada. Lorong itu hari ini terasa terlalu sunyi.
Kekesalan meragut jiwanya. Kenapa selama ini dia tidak pernah meminta nombor telefon Afif? Segera dia bangun mendapatkan jururawat betugas di situ.
“Maaf, Encik Afif bertugas pagi ini kan? Suaranya sedikit goyah tetapi masih terkawal.”
Jururawat muda itu berpaling. Wajahnya serta merta berubah. Alina perasan mata jururawat itu berkelip beberapa kali seolah menahan sesuatu.
“Cik Alina ya? Encik Afif dimasukkan ke wad kecemasan pagi tadi.”
“Kenapa? Dia okey kan? Seluruh dunia Alina tiba-tiba menjadi perlahan.
Jururawat itu menarik nafas panjang. “Dia memang ada masalah buah pinggang. Tahap akhir. Kami ingat dia dah beritahu cik.”
Alina menggigit bibir. Dia teringat setiap senyum Afif. Cara Afif membetulkan kedudukan duduknya secara diam-diam, setiap kali Afif menunduk bila menahan sakit, setiap kali Afif cakap, “Saya okey, penat sikit je”. Semua itu rupanya petanda yang dia tidak mahu tunjuk.
“Dia sekarang di ICU.” Jururawat itu menyambung perlahan, “keadannnya kritikal.”
Alina terasa lututnya lemah. Dunia menjadi kabur di tepi-tepi penglihatannya. Dia mengangguk perlahan lalu kembali ke kerusi birunya itu. Kerusi yang tiba-tiba terasa seperti tempat paling asing di dunia. Dia tunduk, tangannya menggigil. Matanya memandang lantai, kemudian ke lorong tempat Afif selalu hadir. Kerusi yang tadi penuh memori manis kini mula dipenuhi kesunyian yang menghiris.
Air mata pertama menitis. Alina tidak menahan. Setiap titisan terasa seperti memecahkan sesuatu dalam dirinya. ‘Afif’ bisiknya. “Kenapa tidak beritahu apa-apa?”
Di atas kerusi itu Alina melepaskan segala yang ditahannya selama ini. Kerinduan yang baru disedari, ketakutan yang baru datang dan cinta yang baru mahu mekar tetapi tiba-tiba dihentikan oleh takdir. Dia menggenggam hujung tudungnya, cuba menenangkan diri tapi dadanya terasa sesak. Dia menunggu, namun Afif tidak akan datang. Dan kerusi biru itu yang pernah menjadi tempat cinta bersemi, kini menjadi saksi bagaimana dunia Alina runtuh tanpa suara.
BIODATA
