Selasa, 17 Februari 2026

DUA DUNIA TERPISAH OLEH TAKDIR: Karya Lia Rick

 DUA DUNIA TERPISAH OLEH TAKDIR

 Lia Rick

Senja itu datang tanpa janji seperti pertemuan kami yang tidak pernah dirancang,

   Arisya berdiri di tengah bazar malam di Kuala Lumpur. Lampu-lampu jalan berkelip seperti bintang-bintang, aroma kuih dan rempah memenuhi ruang udara. Dia dikelilingi oleh keramaian pengunjung dan tertawa disertai dengan bunyi riuh kanak-kanak menangis. Tiba-tiba ibu Arisya menepuk bahunya dengan lembut sambil menegurnya “Arisya jangan terlalu asyik melihat sekeliling, nanti kita terlepas makan malam!” Arisya hanya mengangguk lalu tersenyum.

   Aroma lauk tradisional Sabah seperti ikan masin bakar, hinava dan ayam pansuh memenuhi ruang makan. Setiap suapan membawa nostalgia kampung halaman yang terpahat dalam memori. Namun, di sebalik rasa hangat itu ada rasa tersembunyi yang tidak mampu diungkapkan.

   Malam itu, suasana makan malam Arisya dan keluarganya penuh dengan tawa dan cerita masa silam mereka semua tetapi entah mengapa hati Arisya diusik dengan bisikan rindu. Bisikan rindu kepada seorang insan yang pernah dia kenali.

  Di London, Edward sedang duduk di sudut sebuah kafe lama yang dipenuhi dengan aroma kopi dan ditemani dengan bunyi gitar akustik. Dia menatap hujan yang menitis perlahan di tingkap kafe sambil mengingat senyuman seorang wanita yang amat dirinduinya seolah-olah setiap titisan membawa nama wanita itu ke dalam hatinya. Namun apakan daya, jarak dan adat membuatnya hanya mampu menahan rindu itu dalam diam.

   Hujan itu seakan berbicara, setiap titisan menuturkan nama wanita itu, membasahi hati yang menunggu tanpa kata. Tanpa disedari, Edward mengusap bibirnya sendiri dan perlahan-lahan menyebut, “Arisya...”. Suaranya nyaris tenggelam dalam desiran hujan. Bayangan Arisya yang samar tergambar di kaca jendela, seperti lukisan yang nyata bergetar bersama rintik hujan membasahi hati yang masih setia menanti. Lampu-lampu kota berkelip seperti bintang, sementara aroma kopi dan senyuman bayangan Arisya saling bertaut di fikiranya.

   Di Malaysia, Arisya berdiri di balkoni biliknya sambil ditemani angin malam yang menyapa kulit wajahnya. Kilauan lampu kedai dan bazar menyala lembut seperti lilin-lilin kecil di malam tropika, memantul di genangan hujan dan menyentuh bayangan Arisya sendiri.

    Dia tersenyum sendirian mengingat kembali saat itu pada tahun 2020. Ketika itu dia dan Edward bertemu secara bersemuka di sebuah kafe di Kuala Lumpur dalam festival kebudayaan. Edward dengan senyuman yang canggung dan matanya yang penuh rasa ingin tahu, hampir tersandung di tangga kafe. Arisya menahan tawa sambil menghulurkan tanganya dan sekejap itu tangan mereka hampir bersentuhan. Mereka bertentang mata dan dunia seakan berhenti seketika seolah masa sendiri menahan nafas.

   Lampu-lampu festival berkelip bagaikan bintang kecil yang menari di udara malam dan senyuman Arisya terukir di mata Edward. Detik itu terasa abadi walaupun singkat, akan terpahat menjadi kenangan indah di hati masing-masing.

    Namun seperti semua detik yang terlalu indah, masa akhirnya kembali bergerak. Bunyi muzik dan hiruk-pikuk festival menyelinap ke ruang di antara mereka. Arisya menarik tangannya perlahan, masih dengan senyuman yang tertinggal di bibir manakala Edward hanya mampu mengangguk kecil, seolah kata-kata tidak diperlukan pada saat itu.

   Mereka duduk bertentangan di kafe tersebut sambil berbual tentang perkara-perkara ringan tentang seni,perjalanan yang masih jauh dan impian yang belum bernama.Ketawa hadir tanpa dipaksa dan diam tidak pernah terasa janggal.Hari itu,berlalu dengan cepat  meninggalkan rasa yang sukar ditafsir,antara suka dan takut untuk berharap.

     Tetapi takdir jarang memberi amaran.Setelah festival itu berakhir dan hari itu mulai berlalu,jarak mula mencipta batas.Pesanan menjadi semakin jarang dan terhenti tanpa penutup.Bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana hidup membawa mereka ke arah yang berbeza.

    Kini apabila Arisya mengingati detik itu hatinya masih terasa hangat dan sepi dalam waktu yang sama.Dia sedar,pertemuan itu bukan sekadar kebetulan tetapi hadiah yang diminta untuk disimpan selamanya.

  Dan di suatu tempat yang jauh,Edward masih mengingati memori yang sama tanpa pernah tahu bahawa kenangan itu masih hidup,diam-diam di antara dua dunia yang terpisah oleh takdir.Kenangan itu tidak menuntut untuk disatukan,hanya berdoa agar terus wujud sebagai saksi bisu bahawa jiwa pernah berpaut walaupun takdir memilih untuk memisahkan mereka.

   Hari-hari selepas itu,Arisya kembali pada rutinnya.Namun ada bahagian dalam dirinya yang terasa berbeza,seperti ada sesuatu yang telah tertinggal di  sebuah sudut kota yang penuh cahaya dan bunyi.Setiap kali dia berdiri di balkoni,angin yang menyapa membawa dirinya kepada malam festival itu,kepada Edward dan senyuman canggung yang pernah membuat dunianya terhenti seketika.

   Edward pula membawa kenangan itu pulang ke dunianya sendiri.Di London segalanya bergerak pantas dan teratur,namun hatinya sering tertinggal pada sesuatu yang tidak mampu dijelaskan.Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa pertemuan itu hanyalah kebetulan yang indah.Namun hakikatnya,rindu tidak pernah menurut logik. 

   Mereka masih berhubung pada awalnya.Pesanan ringkas bertukar cerita,cerita bertukar sunyi.Perbezaan mula terasa bukan pada bahasa,tetapi pada cara hidup yang membesarkan mereka.Arisya hidup dalam dunia yang terikat pada adat dan keluarga,manakala Edward dibesarkan dengan kebebasan memilih tanpa banyak batas.

   Di situlah rindu mula menjadi berat.Setiap perasaan yang hadir turut membawa persoalan tentang masa depan,tentang penerimaan dan tentang dunia mana yang perlu dilepaskan jika mereka memilih untuk saling memiliki.

   Arisya sedar,mencintai Edward bukan sekadar soal hati dan perasaan.Ia menuntut keberanian untuk berhadapan dengan nilai yang telah lama membentuk dirinya.Edward pula mula memahami bahawa cinta sahaja tidak selalu mencukupkan untuk merapatkan dua dunia yang dibesarkan dan dididik oleh adat yang berbeza.

   Dan diantara rindu yang semakin dalam dan realiti yang semakin jelas,mereka mula mengerti bahawa takdir tidak memisahkan mereka secara tiba-tiba.Tetapi perlahan-lahan,melalui diam dan jarak yang tidak mampu ditentang.

    Selepas itu,Arisya mula mengerti bahawa rindu bukan lagi sesuatu yang indah untuk dipeluk,tetapi beban yang perlu diurus dengan tenang.Setiap keputusan dalam hidupnya terasa seperti sering diperhatikan oleh adat yang telah dia pelajari sejak kecil.Adat yang mengajar erti kesabaran,tentang batas dan tentang pengorbanan yang jarang disebut sebagai pilihan.Edward pula semakin sedar bahawa cintanya hadir di ruangan yang tidak pernah disediakan untuk dirinya.Dunia Arisya mempunyai aturan yang tidak tertulis dan meskipun hatinya ingin melangkah lebih dekat dia tahu ada jarak yang bukan dicipta oleh manusia tetapi oleh nilai yang diwariskan turun-temurun.

    Arisya tidak pernah membenci dunia yang membesarkannya,tetapi buat pertama kali dia merasakan dunia itu terlalu sempit untuk menyimpan perasaannya.Setiap kali nama Edward singgah di benaknya dia segera menenangkan diri seolah-olah rindu itu adalah satu kesalahan yang perlu diperbetulkan.Edward belajar menjarakkan diri bukan kerana kurang peduli,tetapi kerana dia akhirnya mengerti bahawa kehadirannya hanya akan menambah beban pada hati Arisya.Mereka mencintai dengan cara yang sama.Dalam diam,dalam pengorbanan dan dalam kesediaan untuk melepaskan sesuatu yang sebenarnya ingin dipertahankan.

   Dalam kesunyiaan itu,Arisya sering bertanya kepada dirinya sendiri sama ada dia telah membuat pilihan yang betul atau sekadar memilih jalan yang paling selamat.Hatinya tidak pernah meragui perasaannya terhadap Edward.Tetapi hatinya juga tidak pernah lupa siapa dirinya dan dari mana dia datang.Dia sedar mencintai bukan hanya tentang memiliki,tetapi juga tentang keikhlasan untuk melepaskan.Rindu itu lebih berhati-hati seolah-olah takut jika terlalu dipeluk ia akan menuntut sesuatu yang tidak mampu diberi.

  Dalam diam,Arisya belajar untuk menerima bahawa ada perasaan yang dicipta bukan untuk disempurnakan melainkan,untuk mengajar erti reda.

   Di dunia Edward,kebebasan sentiasa dianggap sebagai anugerah yang tidak perlu dipersoalkan.Dia dibesarkan untuk percaya bahawa cinta seharusnya memiliki jalannya sendiri, tanpa perlu tunduk pada tradisi atau batas yang tidak kelihatan.Namun pertemuannya dengan Arisya mengubah cara pemikirannya.Buat pertama kali,Edward menyedari ada dua dunia yang memikul cinta dengan tanggungjawab dan ada perasaan yang tidak hanya melibatkan dua hati tetapi seluruh kehidupan yang membentuknya.Jarak antara London dan Malaysia tidak lagi terasa sejauh perbezaan nilai yang memisahkan mereka.Edward belajar bahawa melepaskan bukan tanda kekalahan,tetapi penghormatan paling jujur yang mampu diberinya.Dan dalam kesunyiaan kota yang asing,kesan itu kekal bersamanya dna mengajarnya bahawa tidak semua cinta perlu dimiliki untuk menjadi bermakna.

     Pada malam yang sama di dua benua yang berbeza,Arisya dan Edward berhenti pada detik yang serupa.Arisya duduk di sisi tingkap billiknya,sambil memandang langit yang gelap tanpa bintang.Telefon di tangannya terdiam lama sebelum dia akhirnya menulis sesuatu yang telah lama tertangguh.

  “Edward” ketiknya, “aku rasa kita sudah sampai ke titik yang kita sendiri takut untuk sebutkan.”

   Di London,Edward membaca mesej itu berulang kali.Bunyi kota di luar tingkapnya terasa jauh.Dia membalas selepas beberapa saat yang panjang.

  “Aku tahu” ketiknya. “Aku cuma tak mahu jadi sebab kau terpaksa melawan dunia kau sendiri.

   Arisya menarik nafas perlahan-lahan,kata-kata itu menenangkan dan melukakan dalam masa yang sama.

    “Ini bukan tentang melawan” Arisya membalas. “Ini tentang memahami siapa diri aku”.

  Perbualan itu tidak panjang.Mereka juga tidak membahaskan masa depan,tidak juga mencari jalan tengah yang rapuh.Setiap ayat lahir dengan kejujuran yang tidak lagi cuba menyelamatkan apa-apa.

   “Aku akan sentiasa rindu” Edward akhirnya mengetik dan menghantar mesej itu. “Aku juga” jawab Arisya. “Tapi biarlah rindu ini tinggal sebagai kenangan”.

   Di situlah pertumbungan dua dunia itu berakhir tanpa suara tinggi,tanpa air mata yang ditunjukkan.Hanya dua hati yang memilih untuk berhenti berharap kerana terlalu menghormati perasaan itu sendiri.

   Tahun-tahun berlalu,Arisya meneruskan hidupnya dengan tenang membawa kenangan itu sebagai sebahagian daripada dirinya,bukan sebagai luka.Edward pula menemukan caranya sendiri untuk berdamai dengan masa lalu.Di sebuah apartmen kecil di London,dia kembali kepada satu perkara yang sentiasa memberinya ruang untuk jujur iaitu menulis.

   Pada mulanya hanya serpihan ingatan.Festival budaya,cahaya malam Kuala Lumpur dan senyuman seorang gadis yang mengajarnya bahawa cinta tidak selalu menuntut penyatuan.Perlahan-lahan serpihan itu menjadi sebuah kisah.

   Apabila novel itu selesai,Edward menulis tajuknya tanpa ragu: Arisya:Terpisah kerana dua dunia yang berbeza.

   Ia bukan kisah tentang kehilangan,tetapi tentang pertemuan yang mengubah cara seseorang memahami cinta dan batas.Edward tidak pernah tahu sama ada Arisya akan membaca novel itu, dan dia tidak pernah berharap.

   Kerana baginya,cukuplah jika kisah itu menjadi saksi bahawa dua jiwa pernah bersilang walaupun akhirnya terpisah oleh dunia yang berbeza.

   Edward menutup manuskrip itu dengan perlahan.Di luar, hujan renyai-renyai membasahi jalan kota,seakan-akan memahami kisah yang baru sahaja selesai ditulisnya.Dia tersenyum kecil,bukan kerana bahagia sepenuhnya tetapi kerana dia sudah mengerti tidak semua cinta diciptakan dimiliki.Ada yang hadir hanya untuk mengajar tentang jarak,pengorbanan dan keikhlasan melepaskan.

  Nama Arisya yang terukir di halaman terakhir bukan sebagai penyesalan,tetapi sebagai penghormatan kepada perasaan yang pernah tulus.Dan di situlah kisah mereka berakhir,terpisah oleh dunia yang berbeza namun disatukan oleh kenangan yang tidak pernah mati. 

      

DI ANTARA DUA GARIS TAKDIR: Karya Eduar Daud

 Eduar Daud DI ANTARA DUA GARIS TAKDIR Bab I Simfoni di Bawah Kubah Emas Bandar Seri Begawan di bulan Oktober bukan sekadar sebuah koordinat...

Carian popular