LAMBAIAN YANG TERHENTI
Ruhana @ Venel Natasha Nasir
Di dalam kelas 6 Sastera 1, Wan sentiasa duduk di belakang. Kelihatan tenang, senyap, dan memerhati. Bukan kerana ingin menyendiri, tetapi kerana dia selesa menjadi pemerhati. Dia lebih suka menulis puisi dalam buku latihan Sejarah berbanding menjawab latihan esei. Dalam diamnya itu, dia menyimpan satu rahsiah, dia menyukai Anna.
Anna pula pelajar yang petah, bercita-cita tinggi dan tidak pernah takut menyuarakan pendapat. Dia sering mengetuai aktiviti kelas, menjadi pembaca puisi semasa perhimpunan, dan menjadi juru bicara setiap kali guru mengarahkan kerja berkumpulan. Wan kagum melihat semangat itu. Kagum, tapi tidak pernah mempunyai keberanian untuk meluahkannya.
Di tingkatan enam, mereka semakin rapat. Anna sering membantu Wan dalam subjek Pengajian Am, manakala Wan pula cemerlang dalam Ekonomi. Mereka sering duduk belajar bersama di perpustakaan Bersama dengan rakan-ralan lain iaitu Andy, Fred dan Shierly. Mereka saling melengkapi antara satu dengan yang lain.
Namun, Anna disebalik keterbukaannya, menyembunyikan satu rasa rendah diri. Fizikalnya yang sedikit berisi sering menjadi bahan ejekan rakan-rakan. Walaupun Wan tidak pernah menyentuh isu itu, Anna tidak pernah yakin untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Kalau aku cantik sikit…mungkin dia akan suka aku balik,” bisik Anna setiap kali Wan mengukir senyumannya yang tenang.
Selepas STPM iaitu Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, mereka memilih laluan berbeza. Wan menerima tawaran ke Universiti Perguruan Sultan Idris di Perak. Manakala, Anna ke Universiti Malaysia Sarawak dalam jurusan Kewartawanan. Hanya ibu Wan yang tahu isi hati anak lelakinya. Suatu malam, sebelum Wan melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan, ibunya berkata perlahan, “Kalau kau betul suka Anna, cakaplah, Nak. Jangan simpan semua dalam hati. Kadang-kadang perempuan juga mahu tahu diri mereka dihargai,” ujar ibu Wan sambil menatap wajah anak lelakinya.
“Emm... tiadalah Ibu. Kami hanya kawan sahaja. Anna ada cita-cita mahu dikejar. Begitu juga dengan Wan,” jawab Wan sambil memasukkan baju ke dalam beg pakaian.
“Kalau jodoh tak ke mana, tapi jodoh ini harus juga kita gengam,” sambung ibu Wan.
Wan hanya diam. Dia tidak mahu menganggu impian Anna. Tambahan pula, dia takut kecewa. Takut hanya dia bertepuk sebelah tangan. Wan tahu cita-cita dan impian Anna. Mereka selalu berkongsi cerita matlamat selepas STPM mereka kemana dan apa jurusan yang mereka akan ambil.
Anna sempat menghantar Wan di Airport Sandakan disebabkan jadual pendaftaran Wan lebih dahulu berbanding Anna yang lewat seminggu di universiti. Tiada pengakuan, tiada janji antara mereka. Hanya gurauan antara mereka seperti selalu. “Di sana nanti jangan jadi kasanova, nanti lupa belajar,” kata Anna sambil tersenyum sinis. “Kalau kamu kahwin dahulu bagitahu tahu, saya datang menyanyi di hari bahagia,” balas Wan pula. Hanya lambaian sunyi di lapangan terbang, dan kemudian, senyap.
Masa berjalan tanpa menoleh ke belakang. Mereka tidak lagi saling menghubungi. Masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri. Wan memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di kawasan pedalaman di Beluran, Sabah. Anna pula menjadi wartawan lapangan, menyelusuri cerita-cerita masyarakat dan perjuangan. Fizikal Anna juga berubah, lebih langsing. Rambut panjang mengurai tidak lagi seperti dahulu yang pendek paras leher. Malahan banyak pencapaian secara global yang dikecapi oleh Anna dibidang kewartawanan. Namun, di hati, masih terselit memori Wan yang tidak pernah terpadam.
Lima belas tahun berlalu, Wan telah berkahwin dengan rakan sekerjanya iaitu seorang guru juga. Anna pula menemui jodoh dengan seorang jurugambar yang pernah menjadi rakan setugas. Kehidupan berjalan seperti biasa, namun ada ruang kecil dalam hati yang tidak pernah diisi sepenuhnya. Ada waktu Anna tertanya, tanya bagaimana dengan Wan. Hambatan kerjanya yang sentiasa keluar bertugas dari satu tempat ke satu tempat untuk mendapatkan liputan telah menyukarkan untuk berhubung. Namun, Anna mengambil keputusan, mungkin sampai masa untuk melupakan kenangan disebabkan dia pun sudah berkahwin.
Tiada siapa tahu, termasuk Anna, bahawa Wan telah kehilangan penglihatannya dua tahun lalu. Anna tidak pernah diberitahu, dan nama Wan hanya kekal sebagai ingatan samar di masa silamnya, sehinggalah satu hari.
Suatu hari, Anna ditugaskan meliput Majlis Anugerah Guru Inspirasi Daerah di Beluran, Sabah. Dia meneliti senarai penerima dan satu nama membuat tangannya terhenti. Ewandi Robert. Dia membaca profil itu dengan dada yang berdebar.
“Guru SK Pekan Beluran yang meneruskan tugas mengajar walaupun telah hilang penglihatan akibat kompilasi saraf mata. Menjadi inspirasi komuniti luar bandar.”
Hari itu, dewan sekolah sederhana, Anna melihat Wan dipimpin naik ke pentas oleh anak-anak muridnya. Rambutnya sedikit beruban, namun wajahnya masih menyimpan ketenangan sama seperti dahulu. Dalam ucapannya Wan menyebut:
“Saya tidak perlukan mata untuk melihat masa depan anak-anak ini. Saya hanya, perlukan keyakinan bahawa mereka mampu menjadi lebih baik daripada saya,”.
Anna tergamam. Matanya berkaca. Dia tidak tahu. Tidak pernah tahu. Dan saat itu, segala kenangan sekolah menerpa kembali. Segala tawa, segala diam yang tidak pernah difahami maknanya. Selepas majlis, Anna memberanikan dirinya menyapa. “Masih ingat suara ini?” tanya Anna tenang.
Wan terhenti seketika. Senyuman terukir. “Anna Natasha?” tanyanya untuk mendapatkan kepastian.
“Ya, Wan. Saya Anna,” ujar Anna.
“Suara ini, mana mungkin saya lupa. Malahan tidak pernah hilang,” balasnya lagi.
Mereka duduk di bawah pokok Ketapang. Lama berbual, tentang sekolah, tentang kehidupan, tentang perasaan yang dulu tidak pernah diucap.
“Aku pernah suka kau,” kata Wan tiba-tiba.
Anna tersenyum. Matanya berkaca. “Kau bergurau,” balas Anna.
“Aku serius Anna,” sambil tunduk.
“Aku pun pernah rasa yang sama,” luah Anna.
“Tapi waktu terlalu cepat berlari. Dulu aku tidak yakin diri. Aku fikir…aku tidak cukup baik dan cantik untuk kau,” sambung Anna lagi.
Wan menggeleng perlahan. “Kau selalu cukup, Anna. Cuma kita tidak pernah berani saling berkata apa yang perlu.”
Anna mengangguk perlahan.
“Tahniah, Anna. Aku masih mengikuti perkembangan kerjaya kau. Banyak anugerah yang kau raih dalam dan luar negara,” sambung Wan lagi.
“Terima kasih, Wan. Kamu pun apa kurangnya. Aku bangga ada kawan seperti kamu, rela berkhidmat mendidik anak bangsa walau terpaksa berkorban seperti ini,” luah Anna.
Anna mengangguk perlahan. “Majlis ini… mungkin penutup yang indah untuk kisah lama kita. Noktah yang akhirnya tertulis.”
Mereka berpisah petang itu dengan tenang. Tiada dendam, tiada sesal. Cuma kenangan yang akhirnya mendapat penutup yang sepatutnya.
Seminggu kemudian, Anna menulis artikal khas bertajuk “Cikgu Buta, Jiwa Celik”. Ia disiarkan dihalaman utama akhbar hujung minggu. Di akhir tulisannya, dia menyatakan: “Ada manusia yang hadir bukan untuk dimiliki, tetapi untuk menyedarkan kita tentang erti memberi. Ewandi mungkin telah kehilangan penglihatannya, tetapi tidak pernah kehilangan cahaya. Kisahnya menjadi saksi bahawa cinta yang tidak dimiliki juga boleh menjadi sumber kekuatan.”
*****
Bionarasi
Ruhana @Venel Natasha Nasir from Sabah, Malaysia. She is a teacher and received teaching training from University Malaysia Sabah for degree (2008) and Master of Education Management (2013). She taught at SMK Beluran, Sabah, from 2008 to 2025 (Now). The field of research and publication is mostly focused on the field of Special for Education such as the publication of books, journals, innovations and Poetry Anthologies. Ever won several awards in poetry competitions and writing literary works such as producing an anthology of Malaysian poetry day and Dewan Bahasa and Pustaka. She became active in writing again in 2020, driven by a renewed passion for publishing her works after attending the Tulis, Terbit dan Self Branding Workshop organized by Teacher Khairy Tajudin from KRT. She also participated in the Mahakarya and Kalimat. Whom has written a numbers of anthologies, among others are: “State Malay Poetry Syair Anthology” (International), “Gurindam Kalbu Anthology” (ASEAN), “Karmina Anthology” (ASEAN), “Cultural Pearl Malay Poetry Pantun Anthology” (ASEAN).