SENJA MELODI FANA
Bayu Ramadan menyapa lembut, menyusup masuk melalui celah-celah jendela kayu yang separuh terbuka di bilik usang itu. Sayup-sayup dari kejauhan, beralun merdu ayat-ayat suci Al-Quran dari masjid kampung, petanda tadarus sedang rancak berjalan. Bagi penduduk kampung, Ramadan kali ini tetap disambut meriah seperti tahun-tahun sebelumnya. Ia masih bulan pesta ibadah; di mana pasar Ramadan meriah dengan pelbagai juadah, rumah-rumah berbau harum dengan masakan bersahur, dan masjid terang-benderang menghidupkan malam. Namun, di atas katil lebar yang dipenuhi bantal kecil di kiri dan kanannya, terbaring susuk tubuh yang hanya diselimuti sehelai kain batik lepas. Buat raga ini, dunia luarnya kelihatan sungguh berbeza.
Mak Bedah terbaring lesu. Matanya terpejam, bukan kerana lena, tetapi kerana kelopak mata itu terasa terlalu berat untuk diangkat. Usianya sudah menjengah ke penghujung senja. Tubuh yang suatu ketika dahulu gagah membanting tulang membesarkan anak-anak, kini hanya tinggal balutan kulit nipis yang membalut tulang-temulang rapuh.
Di sebalik pejam matanya, layar ingatan memutarkan kembali memori sedekad setengah yang lalu. Sudah 15 tahun berturut-turut Mak Bedah menghabiskan bulan puasa di rumah anak bongsunya, jauh merantau di negeri orang berbeza dari halaman asalnya. Dia amat merindui suasana di sana. Di kediaman bertingkat itu, kerusi rodanya tidak pernah menjadi penghalang. Dia bebas ke surau yang selesa dan terletak di dalam bangunan yang sama, membolehkannya tidak pernah culas mengerjakan tarawih berjemaah. Hati tuanya sentiasa terusik dan damai mendengar alunan suara merdu imam jemputan setiap kali solat Isyak dan tarawih didirikan. Bukan itu sahaja, rezekinya di sana sentiasa melimpah-ruah umpama air yang mengalir. Saban hari, pasti ada sahaja jiran tetangga yang bermurah hati menyedekahkan pelbagai juadah berbuka dan hidangan moreh yang lazat-lazat.
Namun tahun ini, takdir melakar garisan yang berbeza. Ramadan yang saban tahun diulit rindu dan didakap teruja, kini menjengah membawa suatu rasa asing, sebuah ketidakdayaan yang kejam merobek sanubari, memaksanya akur terpasung sepi di kamar usang ini. Mak Bedah tidak lagi berpuasa. Hakikat yang satu itu sudah cukup untuk memecahkan takungan jernih di kelopak matanya setiap kali sayup tarhim menyapa hening sahur, dan setiap saat azan Maghrib bergema menandakan rimbanya waktu berbuka. Jasad tuanya tidak lagi ampuh menahan lapar dan dahaga. Tubuh yang kian mengering itu menagih tegukan air dan suapan rezeki yang bersisa, sekadar untuk terus bernafas. Makan dan minumnya kini sekadar singgah di hujung tekak, dalam kuantiti yang amat sedikit tetapi kerap. Kerongkongnya seakan mengecil menyekat laluan, hingga acap kali dia tersedak perit saat memerah kudrat untuk menelan. Segala-galanya kini bersandar pada ihsan. Dia hanya mampu terbaring menanti anaknya melangkah masuk membawa dulang rezeki. Di sebalik duka, mekar kudup kesyukuran di hatinya, bersyukur dikurniakan zuriat yang amat mengerti selera ibunya, yang sabar merincik lauk menjadi cebisan halus, dan menyuapkannya dengan penuh kelembutan. Sungguhpun begitu, jauh di dasar sanubari, keinginan untuk mengecap kembali nikmat berlapar kerana Allah itu tidak pernah terpadam, malah membuak-buak. Benarlah... puasa ditinggal, raga tak daya, gugur kudrat di hujung senja.
Apabila malam melabuhkan tirainya, penderitaan Mak Bedah sering kali bertukar menjadi igauan. Malam yang sepatutnya menjadi waktu untuk tubuh berehat, bertukar menjadi medan pertempuran menahan kesakitan. Seluruh badannya, dari pangkal leher hingga ke hujung jari kaki, terasa sengal dan berbisa. Urat-urat tuanya seakan-akan ditarik-tarik. Sering kali dia mengerang perlahan, takut-takut suaranya mengejutkan anak menantu yang sedang tidur. Matanya terbeliak memandang siling dalam kegelapan, merintih mencari secebis lena. Embum menitik di luar tingkap, lena dicuri oleh denyutan sakit yang tidak berkesudahan. Hanya kadangkala, dia berjaya tertidur sekejap, namun buaian lena itu selalunya rapuh, dipecahkan kembali oleh batuk atau rasa ngilu di dada.
Derita keuzurannya tidak bernoktah di situ. Waktu makan yang suatu ketika dahulu meriah dengan derai tawa keluarga, kini berubah menjadi medan ujian yang meremas dada. Selera makannya telah lama mati, membiarkan setiap suapan rezeki terasa umpama sembilu yang menghiris kerongkong. Untuk menjamah makanan, Mak Bedah lebih gemar didudukkan di atas kerusi rodanya. Sekurang-kurangnya, posisi itu memberikannya sedikit keselesaan dan ruang untuk raga lelahnya bergerak, berbanding hanya terpasung kaku di pembaringan. Namun, dia tidak pernah berdaya bertahan lama. Dia hanya mampu mengunyah secebis makanan, ia terpaksa dilakukan dengan sangat perlahan, seolah-olah perbuatan ringkas itu memerah kering segala sisa kudrat yang ada. Malah acap kali, dia tewas di tangan air liurnya sendiri; tersedak teruk hingga dadanya berombak kencang mencungap mencari nafas. Kerap benar terjadi, belum pun sempat sisa kunyahan di dalam mulut ditelan, kepalanya sudah melentok diulit lena di kerusi roda itu, memaksa si anak mengejutkannya kembali dengan usapan lembut. Akhirnya, tidak sampai sepuluh minit bertarung dengan makanan, bibir pucatnya pasti akan merintih lesu, merayu mengalah agar jasadnya dibaringkan semula ke hamparan tilam.
Lebih merobek jiwa, solat yang sedari dulu menjadi tiang seri kehidupannya kini umpama bayang-bayang yang semakin sukar digapai. Mak Bedah tidak lagi mampu berdiri membumi, apatah lagi membongkok rukuk membesarkan Ilahi. Raga tuanya hanya mampu berteleku kaku di atas kerusi roda. Namun, ujian paling perit bukanlah pada kudrat fizikalnya. Bait-bait al-Fatihah yang dahulunya lancar meniti di bibir, kini tersekat-sekat dan berterabur. Di pertengahan munajat, buaian lena sering kali merampas kesedarannya tanpa diundang. Dia tewas, bingung dan terlupa rakaat yang didirikan. Malah, dia sama sekali tidak menyedari juraian air liurnya yang menitik membasahi dada telekung kuning tatkala jasadnya terleka di rakaat yang tergantung. Hatinya sentiasa meronta mahu melengkapkan kewajipan lima waktu secukupnya, namun apakan daya, ia sekadar tinggal hasrat yang tersangkut di pinggir bibir. Dia buntu. Ilmu untuk bersolat secara berbaring mahupun dengan isyarat kelopak mata benar-benar tidak difahaminya. Walau dipandu dan dibisikkan ke telinga oleh anaknya berulang kali, kotak fikirannya sering kali berubah menjadi ruang yang kosong dan gelap. Segala bacaan luput tenggelam, ditarik pergi oleh kejamnya usia dan penyakit yang menghakis ingatan. Dan pada saat-saat kepasrahan inilah, air matanya akan mengalir lesu di hujung pelipis, meratapi rindu yang tidak terluah pada tikar sejadahnya.
"Ya Allah, ampunkan aku. Aku tidak ingat bacaan menghadap-Mu..." bisik hatinya, pecah dalam sebak yang tidak bersuara. Sujudnya kini hanya di dalam hati. Rebahnya di tikar malam menjadi rebah seorang hamba yang pasrah, menyerahkan seluruh jiwa raganya yang hancur kepada Tuhan Rabbul Alamin.
Dalam keadaan lumpuh keupayaan mengurus diri, hidup Mak Bedah bergantung seratus peratus kepada zuriat yang dilahirkannya. Ibarat akar nan tua yang menagih teduh, pada dahan zuriatlah tempatnya berlabuh. Ramai anaknya, masing-masing sudah berkeluarga dan punya kehidupan sendiri. Mak Bedah sedar, menguruskan orang tua yang terlantar sakit, yang tidak menentu jadual tidur dan buang airnya, bukanlah tugas yang mudah.
Ada ketikanya, telinga tuanya yang masih peka itu menangkap keluhan berat. Dia perasan riak wajah yang kepenatan, dengusan nafas yang tertahan-tahan, dan kadang-kadang kata-kata yang dilepaskan tanpa sengaja namun tajam menghiris hati. Ada budi yang mula dikira. Ada keringat yang mula diungkit secara halus. Setiap kali situasi itu berlaku, Mak Bedah hanya memejamkan mata. Dia tidak marah, jauh sekali mahu mendoakan keburukan. Dia tahu, dia kini menjadi 'beban' kepada darah dagingnya sendiri.
Dalam keheningan itu, hatinya sering meronta merindui dua orang anaknya yang paling serasi di jiwanya. Mak Bedah suka sangat duduk dengan mereka, kerana belaian dan cara mereka bercakap dengannya cukup melembutkan hati tuanya. Namun apakan daya, kedua-dua anak kesayangannya itu terpaksa merantau jauh. Anak-anak yang merantau buana itu hanya mampu menelefon, bertanya khabar, dan pulang sesekali apabila cuti mengizinkan. Mereka sibuk mencari rezeki di negeri orang. Mak Bedah faham, dan dia tidak pernah memaksa. Tinggallah dia di sini, menghitung hari, dengan hanya doa yang mengikat sukma dari kejauhan.
Namun, di sebalik segala kepahitan dan keluhan, Allah itu sifatnya Maha Adil lagi Maha Penyayang. Mak Bedah sangat bersyukur kerana di sebalik anak-anak yang mungkin sibuk dan berkira, masih ada di antara mereka yang ikhlas menjaga dan memeliharanya tanpa banyak soal. Tangan-tangan inilah yang tanpa jemu mencuci najisnya, yang sabar menyuapkan makanan biarpun mengambil masa hampir sejam, dan yang menghulur botol air kepadanya di tengah malam. Kasih sayang mereka yang tulus inilah yang menjadi penguat semangat Mak Bedah untuk terus bernafas. Dia bersyukur, teramat bersyukur. Allah masih menghantar malaikat penjaga dalam bentuk darah dagingnya sendiri untuk memeliharanya di saat dia sudah tidak berguna di mata dunia.
Hari raya semakin hampir mengetuk pintu Ramadan. Suasana di rumah mula meriah dengan kepulangan anak cucu. Seperti kelaziman setiap tahun, inilah masanya anak-anak akan berbaris bersalaman, memohon ampun, dan menghulurkan sampul duit raya.
Beratus-ratus ringgit duit dihulurkan kepada Mak Bedah. Sampul-sampul pelbagai warna diletakkan di bawah bantalnya atau diselitkan di tangannya yang terketar-ketar. Zaman dahulu, jika mendapat wang sebanyak ini, Mak Bedah pasti gembira. Boleh dibelinya kain baju baharu, bahan-bahan untuk membuat juadah raya, atau disedekahkan kepada cucu-cucu yang berlari riang di halaman.
Tetapi kini, duit raya bernilai ratusan ringgit itu hambar. Tawar. Tidak membawa apa-apa makna kepadanya. Huluran duniawi itu terasa sarat dan berat di ribanya, namun kosong di jiwa. Jasad yang sudah menghitung hari ini tidak perlukan wang kertas untuk bertahan. Dia tidak boleh pergi ke kedai, dia tidak boleh makan makanan yang lazat, dan dia tidak berminat lagi dengan perhiasan dunia. Apalah erti wang jika raga ini hanya menunggu masa untuk dijemput pulang?
Suatu petang yang hening, ketika anak perempuan yang paling banyak berkorban menjaganya sedang duduk menemaninya di tepi katil, Mak Bedah menggagahkan diri untuk bersuara. Tangannya yang berkedut dan sejuk mencapai tangan anaknya. Dengan perlahan, dia menolak himpunan sampul duit raya yang berada di tepi bantalnya ke arah anak itu.
"Mak... kenapa ni?" tanya anaknya, lembut.
Bibir Mak Bedah yang kering bergetar-getar, merangka kata-kata yang keluar satu-persatu, diiringi hembusan nafas yang lelah. "Ambillah duit ni, nak... Mak dah tak guna. Duit ni... tak boleh bawa mak masuk syurga. Tolong mak... sedekahkanlah hartaku ini... Masukkan ke tabung masjid... Bagi pada fakir miskin... Buat atas nama mak... untuk Ramadan ni..."
Anak perempuannya terkedu. Air mata jernih mula bertakung di kelopak mata sebelum menitis laju menimpa kekura tangan ibunya. Dia mengangguk perlahan, memeluk tangan ibunya dengan erat. "Baik, mak. Siti janji, Siti tolong sedekahkan semua ni untuk mak. Jadi pahala mak, jariah mak."
Mendengar jawapan itu, satu kelegaan yang amat luar biasa mengalir di segenap pembuluh darah Mak Bedah. Beban dunia yang dirasakannya sebentar tadi seakan-akan terangkat. Biar beratus sampul kencana, tawar nilainya di raga fana. Namun kini, terubat duka di dalam sanubari melihat anak menyemai harta itu menjadi bekal ukhrawi. Dia sedar, harta yang dipegang akan lenyap, tetapi harta yang dilepaskan ke jalan Allah itulah yang akan menunggunya di alam barzakh kelak.
Semenjak hari itu, sisa-sisa Ramadan Mak Bedah dipenuhi dengan ketenangan yang berbeza. Walaupun badannya masih menanggung sakit, walaupun malamnya masih dihantui kesukaran untuk tidur, hatinya tidak lagi memberontak. Dia membiarkan dirinya pasrah seumpama dedaun kering di hujung ranting. Biar luruh dedaun kering, tiba masanya ia pasti akan jatuh memeluk bumi. Begitu juga usianya.
Di tengah-tengah ketidakmampuannya membaca surah atau bersolat dengan sempurna, Mak Bedah mencari hikmah kerohanian yang paling asas, zikir. Pada setiap detik, sama ada kelopak matanya tertutup atau terbuka sedikit, bibirnya tidak lekang daripada bergetar.
Subhanallah... Alhamdulillah... Allahuakbar... Lailahaillallah...
Hanya kalimah-kalimah mudah ini yang terdaya diucapkannya. Zikir di bibir perlahan diiring, menyatu dengan rentak nafasnya yang kadang kala tersekat-sekat. Itulah ibadahnya sekarang. Itulah satu-satunya ikatan yang menghubungkan jiwanya yang rapuh dengan Penciptanya. Bunyinya mungkin perlahan, tidak didengari oleh anak cucu yang sedang riuh bersembang di ruang tamu, tetapi alunan itu bergema kuat di langit.
Ia menjadi melodi jiwa yang meratib hiba. Melodi seorang hamba yang lemah, tiada daya selain mengharapkan rahmat Tuhannya di alam fana. Dia tidak lagi mempedulikan andai umurnya tidak memanjang ke Syawal, mahupun jika ada yang terlupa menyuapnya makan. Pangkat ibu yang perlu dihormati pun telah dia letakkan ke tepi.
Di hujung setiap zikirnya dalam gelap malam Ramadan yang suci, air mata Mak Bedah mengalir lesu di pelipis. Bukan tangisan meminta ajal, tetapi esakan hamba yang sedang mengutip sisa kekuatan untuk bersabar menelan kepahitan ini.
"Tuhanku... berikanlah aku sebesar-besar kesabaran. Tubuh ini bukan sahaja menyeksaku, malah menguji lelah zuriatku. Berdosa sungguh rasanya apabila erangan sakitku memecah lena mereka. Terpaksa mereka bingkas meninggalkan selimut hangat demi melayan dahagaku, membetulkan baringku, dan menyucikan lampinku yang melimpah. Janganlah keuzuranku ini mencalar keikhlasan mereka. Kuatkanlah semangatku, Ya Allah," getus jiwanya sayu membelah keheningan.
Segala kesakitan duniawi ini pasrah diterimanya sebagai proses pencucian dosa. Syurga-Mu yang daku damba. Hanya keredaan-Nya menjadi destinasi terakhir Mak Bedah, diiringi melodi jiwa yang terus berzikir mendakap ujian dengan reda tidak bertepi.
Biodata penulis:
Siti Hasnah Zainal Abidin merupakan seorang guru bahasa Melayu di Universiti Sains Malaysia (USM) dan gemar terlibat dalam pelbagai inovasi pengajaran dan inovasi pedagogi. Di samping dedikasi teguhnya dalam bidang pendidikan, jiwa seni beliau turut terserlah menerusi penulisan kreatif seperti cerpen 'Pokok Lada Tua'. Bakat seninya yang serba boleh juga terbukti apabila beliau berjaya merangkul gelaran juara dalam pertandingan deklamasi puisi serta penghasilan video pendek kreatif bersempena dengan program SEJIWA USM.