Ahad, 12 April 2026

IFTAR YANG SEMPURNA: Karya Asmaniza Din

 

TAJUK CERPEN     : IFTAR YANG SEMPURNA

OLEH                         : ASMANIZA DIN

 

Nafas Hani Karmila bagai tersekat di kerongkong saat kasut kulit berkilat milik Naufal Idlan berhenti tepat di hadapan meja utama.

​Lelaki itu tunduk sedikit. Sepasang matanya yang tajam di sebalik bingkai cermin mata mengecil, tekun meneliti gubahan bunga lili di tengah meja.

"Hani." Suara garau Naufal memecah kesunyian dewan makan Rumah Anak Yatim Darul Izzah.

Hani pantas membetulkan awning tudung bawalnya yang mula terkelepet. Dia melangkah laju mendekati lelaki itu dengan senyuman profesional yang sudah dilatih ratusan kali di hadapan cermin. Dalam hati, tidak putus-putus dia beristighfar.

​"Sabar, Hani. Bulan puasa ni," gumamnya perlahan.

​"Ya, Encik Naufal? Ada apa-apa yang tak kena dengan gubahan bunga lili tu?" soal Hani. Dia cuba mengekalkan nada ceria walaupun tekaknya terasa perit setelah seharian berpuasa meredah bahang Kuala Lumpur.

​"Bunga ni cantik, tapi letaknya menghalang pandangan." Naufal selamba mengalihkan pasu kaca itu dua inci ke kanan.

​"Ini majlis iftar bersama anak-anak yatim. Saya nak bila Pengarah Urusan berucap nanti, dia boleh nampak muka setiap budak dekat meja ni. Bukan meninjau dari celah bunga."

Hani mengangguk perlahan, mencatat sesuatu pada skrin tablet di tangannya. Walaupun Naufal memang terkenal dengan sikap cerewet tahap dewa di pejabat, Hani harus akui tegurannya sentiasa berasas dan masuk akal. Lelaki itu bukan sekadar bos yang sengaja mahu mencari salah.

​"Baik, saya akan suruh budak-budak saya alihkan gubahan di semua meja VIP sekarang," balas Hani pantas.

​"Bagus. Macam mana dengan katering? Dah nak pukul lima. Bayang lori katering pun saya tak nampak lagi." Naufal menyingsing lengan kemejanya hingga ke siku, menampakkan seutas jam tangan mewah yang kemas melingkar di pergelangan tangan.

Hani menelan liur. Matanya meliar ke arah pintu utama dewan. Benar, dewan itu masih sunyi tanpa sebarang aroma juadah berbuka.

Baru sahaja tangannya menyeluk poket seluar untuk menghubungi pihak katering, telefon pintarnya bergetar panjang. Nama 'Abang Man Katering' tertera pada skrin.

​"Sekejap ya, Encik Naufal. Panjang umur bos katering." Hani meminta diri. Dia menapak menjauh sedikit daripada Naufal sebelum menjawab panggilan tersebut.

​"Helo, Abang Man. Dah sampai mana? Dewan dah siap pasang sistem PA ni."

​"Hani! Abang minta maaf banyak-banyak." Suara cemas Abang Man tenggelam timbul dalam hingar-bingar bunyi hon kenderaan di hujung talian.

​"Lori abang kena langgar dari belakang dekat Federal Highway! Enjin berasap terus, silap haribulan kena overhaul ni. Lauk-pauk kat belakang pula dah separuh berterabur. Jalan jammed teruk, langsung tak bergerak!"

Wajah Hani serta-merta berubah pucat lesi. Darah seakan-akan kering dari mukanya. Lututnya terasa goyah. Majlis akan bermula tidak lama lagi. Hampir lima puluh orang tetamu yang terdiri daripada anak-anak yatim, para penjaga dan rombongan VIP korporat akan berbuka puasa di dewan ini!

​"Biar betul, Abang Man? Habis tu macam mana ni? Tak boleh hantar lauk back-up dari kedai ke?" Suara Hani mula menggeletar. Dia menekan dada, cuba meredakan debaran jantung yang berdegup bagai nak rak.

​"Sumpah tak sempat, Hani. Dapur abang dekat Shah Alam. Nak siapkan lauk baru satu hal, nak redah trafik KL waktu puncak macam ni lagi. Abang betul-betul minta maaf. Malam ni abang transfer balik duit deposit."

Panggilan dimatikan. Hani meraup wajahnya seketika. Dugaan apakah di petang-petang Ramadan ini?

Perlahan-lahan, dia menoleh memandang Naufal. Lelaki itu sedang merenungnya dengan dahi berkerut tajam, seakan-akan sudah dapat menghidu malapetaka yang melanda hanya melalui riak wajah Hani yang pucat lesi.

​Hani menarik nafas panjang. Dia menapak kembali ke arah Naufal, bersiap sedia di dalam hati untuk menadah telinga menerima apa sahaja hamunan daripada bos perfectionist itu.

​"Encik Naufal..." Hani memulakan bicara. Suaranya dikawal sehabis baik agar tidak kedengaran terketar-ketar.

​"Kita ada masalah besar. Lori katering accident tadi. Lauk berbuka... takkan sampai."

Naufal terdiam. Matanya membulat seketika sebelum tangan kasarnya meraup rambut ke belakang. Kesunyian antara mereka berdua tiba-tiba terasa membingitkan. Hani memejamkan mata rapat, menanti letusan amarah lelaki itu memecah suasana dewan.

​Tiga saat berlalu. Naufal masih tak bersuara. Urat di pelipisnya kelihatan menegang, jelas menahan sesuatu yang Hani pasti adalah lahar kemarahan.

​"Pukul berapa masuk waktu hari ni?" Suara Naufal kedengaran mendatar. Terlalu tenang sehinggakan meremangkan bulu tengkuk Hani.

​Hani cepat-cepat mengerling jam di pergelangan tangan, kemudian membelek skrin telefon bimbitnya sekejap.

​"Tujuh dua puluh sembilan minit. Kita ada masa lebih kurang dua jam setengah, Encik Naufal."

​​"Tunjukkan saya jalan ke dapur asrama ni, sekarang."

​Hani terkebil-kebil. Dia sudah bersedia untuk ditengking, bukannya diarahkan ke dapur.

​"Dapur? Tapi... kita nak buat apa kat sana?"

​"Masak." Sepatah jawapan Naufal, pendek dan tegas. Dia memusingkan tubuh, menanti Hani memimpin jalan.

​"Melainkan kalau awak ada magik nak turunkan makanan dari langit dalam masa dua jam ni. Kita kena gerak sekarang, Hani. Budak-budak tu dah lapar, dah puasa seharian."

Tanpa banyak soal, Hani melangkah laju memimpin jalan ke blok belakang dewan. Setibanya mereka di ruang dapur yang agak usang namun bersih itu, kelihatan Mak Som, penyelia dapur asrama sedang menyental periuk besar di singki.

​"Mak Som, lori katering kami tak dapat sampai. Accident," Hani pantas menerangkan situasi dengan nafas termengah-mengah.

​"Ada bahan mentah apa-apa tak yang kami boleh guna untuk masak sekarang? Nak pakai untuk lima puluh orang makan."

​Mak Som lekas-lekas mengelap tangannya yang basah pada apron. Wajah tua itu berkerut risau.

​"Ya Allah, kesiannya budak-budak ni. Mak Som baru je lepas tanak nasi putih. Kebetulan ada lebihan beras orang derma tadi. Tapi lauk basah memang dah licin, nak. Yang tinggal cuma telur sepapan dua, bawang, dengan sardin tin besar. Banyak lagi kat stor tu, ada la dalam dua tiga kotak sumbangan NGO minggu lepas."

Lutut Hani terasa lembik, hampir sahaja dia terduduk di situ. Nasi putih, telur dadar, dan sardin untuk tetamu VIP korporat? Lingkuplah kerjayanya sebagai perancang majlis. Reputasi syarikat pasti musnah!

​Tiba-tiba, Naufal melangkah ke hadapan. Lengan kemejanya yang sedia terlipat ditarik lagi ke atas hingga melepasi siku.

​"Kuantiti tu dah cukup. Mak Som, tolong panaskan kuali besar sekarang. Hani, awak pergi basuh tangan dan mula kupas bawang. Kita buat sardin tumis dengan telur dadar potong."

​"Encik Naufal..." Hani tergamam. Bulat matanya merenung lelaki korporat yang tadinya sibuk mengukur jarak gubahan bunga, kini selamba menyusun tin-tin sardin itu untuk dibuka.

"Biar betul? VIP nak makan lauk sardin ni ke?"

Naufal berhenti seketika. Renungannya memanah tepat ke dalam anak mata Hani. Tiada lagi riak bos cerewet, yang ada hanyalah seorang lelaki yang nekad.

​"Tetamu VIP yang paling penting malam ni anak-anak yatim tu. Mereka tak peduli lauk kayangan ke tidak. Mereka cuma nak rasa nikmat berbuka. VIP yang lain tu, pandai-pandailah hidup. Ini bulan puasa, bukan majlis anugerah."

​Kata-kata itu bagai menampar lembut keegoan profesional Hani. Benar. Hikmah Ramadan mengajar erti kesederhanaan, bukan berlumba menunjuk kemewahan. Kerana terlalu asyik mengejar kesempurnaan majlis, Hani hampir terlupa niat asal acara ini diadakan.

​Tanpa membuang masa lagi, Hani menyinsing lengan bajunya. Tudung bawal disemat lebih kemas ke bahu agar tidak mengganggu pergerakan. Dia mencapai pisau dan mula mengupas bawang merah dengan pantas. Di sebelahnya, bunyi penutup tin sardin ditarik Naufal kedengaran bersahut-sahutan.

Suhu di ruang dapur itu mula meningkat. Peluh merenik membasahi dahi Naufal, menjejaskan sedikit gaya rambutnya yang selama ini disikat rapi. Sesekali, lelaki itu mengesat matanya yang pedih akibat wap meruap daripada tumisan bawang merah menggunakan belakang lengan.

​Hani curi-curi pandang. Sisi lelaki ini sungguh berbeza. Dia sangkakan Naufal hanya tahu mengarah dan mengkritik. Rupanya, di sebalik imej korporat dan kemeja mahal itu, tersembunyi rasa empati yang sangat menebal.

​"Awak tenung saya buat apa? Tumis bawang tu cepat, dah nak hangit," sergah Naufal mengejut, namun tangannya kekal lincah memukul bancuhan puluhan biji telur di dalam mangkuk keluli bersaiz raksasa.

​Hani tersentak. Pipinya serta-merta merona merah menahan malu, lalu tangannya dilajukan mengacau bawang di dalam kuali yang galak berdesir. Aroma wangi tumisan mula memenuhi segenap ruang dapur, perlahan-lahan meredakan sisa panik di dadanya.

​Hani mengerling jam dinding. Ada empat puluh lima minit lagi. Mereka sedang bergelut dengan masa.

Lima belas minit sebelum azan Maghrib berkumandang, kuali terakhir diangkat dari atas tungku. Hani melepaskan keluhan lega yang panjang. Bajunya sudah lencun dengan peluh. Malah, haruman minyak wanginya telah berganti sepenuhnya dengan aroma bawang goreng dan kuah sardin.

​Di ruang dewan utama, suasananya berbeza sama sekali. Tetamu VIP korporat yang hadir mula berbisik sesama sendiri apabila melihat lauk yang dihidangkan. Tiada kambing golek, tiada ayam percik, tiada kuih talam bersusun. Yang ada hanyalah nasi putih berasap nipis, potongan telur dadar tebal dan kuah sardin merah menyala.

​Hani berdiri kaku di sudut dewan berhampiran meja utama. Jantungnya kembali berdegup kencang. Dalam kepalanya, dia sudah menyusun pelbagai alasan untuk menjawab emel aduan rasmi esok pagi.

"Sedapnya bau!" Suara nyaring seorang kanak-kanak lelaki tiba-tiba memecah ketegangan di dewan itu. Budak yang mungkin dalam lingkungan lapan tahun tersebut tersenyum lebar memandang hidangan di depannya.

​"Macam lauk arwah mak selalu masak bulan puasa," luahnya lagi dengan sepasang mata yang bersinar-sinar.

​Kenyataan polos itu ibarat satu magis yang meruntun tangkai hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Bisik-bisik sinis beberapa orang VIP tadi terhenti serta-merta. Masing-masing terdiam, seakan-akan ditampar dengan rasa segan.

Naufal baru melangkah keluar dari arah dapur. Dengan lengan kemeja yang masih bersinsing dan wajah yang lembap dengan kesan wuduk, dia tersenyum nipis memandang kanak-kanak itu.

​"Makan banyak-banyak, Ammar. Hari ni abang masak special untuk awak semua," balas Naufal. Nada suaranya kedengaran begitu lembut, jauh berbeza daripada nada tegas seorang bos korporat.

Tepat jam 7:29 malam, laungan azan Maghrib bergema dari surau berdekatan. Semua tetamu menadah tangan mengaminkan doa berbuka.

​Hani mencapai sebiji kurma di atas meja dan meneguk air kosong. Matanya tidak lepas memerhati Naufal yang kini sedang duduk bersila di atas permaidani bersama kanak-kanak asrama, langsung tidak menghiraukan kerusi empuk di meja VIP.

​Lelaki itu dengan cermat mencubit sedikit telur dadar dan menyuapkannya ke mulut Ammar. Tiada lagi riak wajah bos korporat yang beku dan menakutkan. Yang ada di hadapannya kini hanyalah seorang pemuda yang ikhlas menyantuni anak-anak yatim.

​"Ya Allah, ampunkan aku," bisik Hani perlahan.

​Rasa sebak tiba-tiba menyesak di dadanya. Sepanjang hari dia merungut di dalam hati, melabel Naufal sebagai manusia cerewet tanpa sedikit pun ruang untuk bersikap husnuzon. Rupanya di sebalik arahan tegas lelaki itu, tersimpan sekeping hati yang sangat mengasihi golongan asnaf ini.

​Hikmah Ramadan benar-benar menampar ego Hani pada hari ini. Kesempurnaan majlis rupanya bukanlah pada dekorasi mewah atau makanan lazat yang berharga ribuan ringgit, tetapi pada keikhlasan niat dan senyuman tulus mereka yang diraikan.

​Menjelang jam sepuluh malam, keadaan dewan mula lengang seusai solat Tarawih berjemaah. Beberapa orang pekerja asrama sedang membersihkan sisa makanan. Hani menyemak senarai tugasan di skrin tablet buat kali terakhir sebelum mematikan peranti tersebut.

​"Awak buat kerja yang bagus hari ni, Hani."

​Hani tersentak. Naufal sedang berdiri kira-kira satu meter daripadanya sambil menyarung semula kot hitamnya. Wajah lelaki itu kembali tenang. Kemejanya kelihatan renyuk dan ada sedikit kesan percikan minyak di bahagian lengan, tetapi aura karismanya langsung tidak pudar.

​"Saya yang sepatutnya minta maaf, Encik Naufal." Hani menunduk sedikit, rasa bersalah kembali menebal.

​"Gara-gara lori katering tak sampai, majlis encik jadi kelam-kabut. Terpaksa VIP macam encik turun padang masak sardin."

​Naufal ketawa kecil. Tawa yang kedengaran cukup ikhlas itu membuatkan Hani terpaku seketika.

​"Ini majlis iftar paling bermakna untuk syarikat kami, Hani. Budak-budak tu makan bertambah. Rakan kongsi VIP saya pun makan sampai licin pinggan. Realitinya, kadang-kadang perancangan Allah tu datang dalam bentuk kecemasan supaya kita beringat untuk merendah diri." Naufal menyeluk saku kotnya.

"Dan saya juga nak minta maaf sebab terlalu mendesak awak dari pagi tadi. Saya terlalu risaukan kelancaran majlis ni sampai lupa menjaga adab menegur." Naufal menghulurkan sesuatu, sekuntum bunga lili putih yang diambil daripada gubahan pasu di meja VIP.

​"Ambil ni. Anggaplah sebagai tanda penghargaan syarikat saya atas kecekapan awak menyelamatkan perut lima puluh orang pada malam ni." Naufal meletakkan bunga itu perlahan-lahan di atas meja berhampiran tablet Hani. Dia kekal menjaga batas tanpa sebarang sentuhan fizikal.

​Hani memandang bunga itu, kemudian beralih pada wajah Naufal yang sedang tersenyum. Perasaan hangat mula menjalar di relung hatinya. Segala penat lelah, sakit kaki, dan rasa marah siang tadi hilang lenyap ditiup hembusan angin malam.

​"Terima kasih, Encik Naufal," ucap Hani perlahan, bibirnya mengukir senyuman paling ikhlas pada hari itu.

​Bunga lili putih itu dicapai dengan cermat. Nampaknya bulan Ramadan tahun ini bukan sahaja mengajar Hani erti sabar dan bersangka baik, tetapi juga menumbuhkan satu permulaan kisah yang cukup manis.

Tamat.

 

IFTAR YANG SEMPURNA: Karya Asmaniza Din

  TAJUK CERPEN      : IFTAR YANG SEMPURNA OLEH                          : ASMANIZA DIN   Nafas Hani Karmila bagai tersekat di kerongko...

Carian popular