Sabtu, 29 Mac 2025

RINDU YANG SIRNA

RINDU YANG SIRNA

Karya: Marlina Mailon




“Sudah bertahun lamanya, Mila. Takkanlah sampai sekarang pun kau masih tak boleh terima abang lagi. Tidak ada langsungkah lagi perasaan cinta kau terhadap abang walau hanya sebesar kuman?” Lirih suara Abang Aziem menyapa deria dengarku. 

Pertanyaan itu kubiarkan sepi seketika tanpa sebarang balasan. Otakku ligat berfikir. Berusaha untuk menyusun bait demi bait ayat yang mampu difahami oleh lelaki itu. Lelaki yang seketika dulu pernah bergelar suamiku. Bertahun-tahun aku mengabdikan diri kepadanya sebagai seorang isteri. Aku taat, patuh dan setia kepadanya dengan seikhlas hati. Aku rela berhenti kerja demi menghormati permintaannya yang mahukan aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Biarpun sebenarnya aku terlalu sayangkan kerjayaku sebagai seorang pendidik.

Duniaku hanyalah rumah, suami dan anak-anak setelah berhenti kerja. Setiap dua tahun berselang aku mengandung. Genap lima orang cahaya mata, Tuhan takdirkan aku untuk tidak mengandung lagi kerana mengalami komplikasi kesihatan. Jarak usia anak-anak yang agak rapat, tidak memberiku kesempatan untuk mengurus diri sendiri sepenuhnya seperti dulu. Bersenam jauh sekali kerana rutin harianku mengurus rumah dan anak-anak membataskan segalanya. Ditambah lagi, Abang Aziem hanya memberikan wang kepadaku dalam jumlah yang sekadar cukup-cukup makan sahaja setiap bulan. 

Dengan wang dua ratus ringgit yang diberikannya, itulah yang aku gunakan untuk membeli keperluan dapur dan semua keperluan anak-anakku. Setiap kali wang sebanyak itu dihulur pada hujung bulan, kepalaku dipalu pening. Pening mencongak operasi apa lagi yang harus kugunakan agar wang itu mampu menampung segala keperluan hidup keluarga kecilku, sementara menunggu Abang Aziem menerima gaji semula pada bulan berikutnya.

Harga barang semakin naik dari semasa ke semasa. Jumlah wang yang diberikan Abang Aziem pula tidak pernah bertambah. Otakku hampir-hampir nak pecah dibuatnya. Stres jangan cakap. Rasa nak meletup jiwa ragaku. Letih yang membungkus jasad tak mampu kujelaskan melalui kata-kata. Pun begitu, aku tetap sabarkan sekeping hati yang sudah nyaris-nyaris tenggelam dalam lautan tekanan. Istighfar dan selawat menjadi zikir harianku, selain bertahmid untuk mengusir segala rasa letih dan stres yang mengepung diri. Kepada Tuhan kuluahkan segalanya kerana meluah dengan Abang Aziem hanya akan melontarku ke gaung sindiran dan cercaan sahaja. Aku malu!

Alhasilnya, tubuhku yang dulu ramping dan cantik bak potongan gitar berubah drastik menjadi gemuk. Kulit wajahku yang seketika dulu putih melepak dan halus mulus bak telur rebus yang baru dikopek kulitnya juga bertukar menjadi kusam dan hitam. Kecantikan dan kerampinganku menghilang seiring waktu yang berjalan. Hendak mengamalkan jamu, aku tidak mempunyai wang untuk membelinya. Hendak ke gim, aku juga tidak punya bajet. 

Sungguh, aku bukannya sengaja. Setiap kali terdetik di sudut hatiku hendak keluar berjoging, niat itu terpaksa dimatikan begitu sahaja kerana tiada sesiapa yang menjaga anak-anakku di rumah. Jika aku membawa mereka berjoging sama, alamatnya mungkin kejadian lain pula yang bakal terjadi. Daripada menempah malang yang tidak berbau, lebih baik aku duduk menemani anak-anak di dalam rumah sahaja. 

Aku menyedari jika kecantikanku yang suatu ketika dulu pernah menjadi igauan Abang Aziem siang dan malam, sudah tidak mampu lagi mengikat kasihnya di atas kasur empuk cintaku. Seleranya sudah hilang. Perasaan cintanya juga semakin memudar.

“Kau tu hanya duduk memerap dalam rumah sahaja setiap hari. Tapi, aku tengok muka kau ni bukannya makin cantik dipandang, malahan makin meluat aku tengok. Badan pun semakin gemuk mengalahkan gajah dalam zoo negara. Kau buat apa saja dalam rumah ni masa aku pergi kerja sebenarnya?” Sinis sekali bicara Abang Aziem menampar gegendang telingaku malam itu. Dia memandangku dengan lirikan jijik dan menyampah. 

Jujur, hatiku tergores luka. Sikap dan layanannya terhadapku sudah banyak berubah. Ya, sejak aku tidak lagi cantik dan ramping seperti dulu, tiada sudah bicara lembutnya menyapa halwa telingaku. Tiada lagi pelukan kejap penuh kasihnya mendakap tubuhku setiap kali balik ke rumah. Abang Aziem lebih banyak menghabiskan waktunya di luar pada waktu hujung minggu. Melepak bersama kawan-kawannya sehingga ke larut malam. Membiarkan aku melawan arus lelah bersendirian. Merintih dan menangis tak berair mata. Rumah hanya ibarat persinggahan sementara buatnya.

“Saya penat, bang. Penat ur…” 

“Kau penat apa? Penat tidur? Penat makan?”

Belum sempat aku menoktahkan ayat, Abang Aziem sudah mencantas laju kata-kataku. Tajam seperti belati. Aku meneguk air liur. Mati kata. Rasa ingin menjawab, tetapi aku tahu pada akhirnya aku akan kalah dipaku bicara kesat Abang Aziem di hujung perdebatan. Sudahnya, aku memilih untuk mengunci mulut. Mahu juga aku senaraikan kesemua aktiviti rutinku setiap hari di rumah ini dalam kepingan-keingan kad manila, lalu kubentangkan di hadapannya persis membentang belanjawan negara. Biar dia tahu kalau putaran hidupku tidak hanya dalam lingkaran tidur dan makan seperti yang dipatri Abang Aziem dalam kepalanya itu. Namun, aku penat! Letih fizikal dan mental. Jika dilayankan sangat, ada kemungkinan besar aku bakal menjadi penghuni Rumah Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Sejak itu, Abang Aziem sudah tidak pernah lagi ‘menyentuhku’ kerana berasa jijik melihat rupa fizikalku yang buruk. Perasaan terluka dan rasa tersisih itu ada tetapi aku tidak berapa mengendahkannya kerana memikirkan masa depan anak-anakku. Jika aku berkeras untuk meminta cerai, aku tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Tambahan pula aku anak yatim piatu. Membesar di rumah kebajikan sedari lahir.  Aku tidak tahu siapa orang tuaku. Jadi, aku tidak mahu anak-anakku turut memiliki keluarga yang pincang sepertiku. 

Ketika Aiman, anak bongsuku berusia tiga tahun, Abang Aziem telah dinaikkan pangkat. Aku benar-benar berasa gembira. Terbayang di benakku bahawa wang nafkah yang akan diberikan Abang Aziem selepas ini kepadaku bakal bertambah. Bolehlah aku membeli jamu dan alat solek untuk merawat kembali tubuh dan kulit wajahku yang sudah serupa Mak Lampir. Tapi, sayang seribu kali sayang. Wang yang dihulurkan kepadaku tetap sama seperti sebelumnya. Harapanku melebur di atas dulang kecewa yang tidak terungkap. 

Apa yang lebih menyakitkan, Abang Aziem hanya membeli pakaian barunya sahaja. Aku dan anak-anak dibiarkan terabai dan rasa terpinggir. Dibiarkan menjeruk rasa terkilan tanpa henti. Melihat sikap pentingkan diri sendiri yang berakar tunjang dalam diri Abang Aziem itu, aku nekad untuk berubah. Berubah demi bahagia yang masih ingin kupertahankan, sementara pelita kasihku belum mati dipanah perasaan tawar.

Saat Abang Aziem keluar bekerja, aku diam-diam mengikuti Bengkel Membuat Kek dan Bun yang diadakan di Kolej Komuniti terdekat. Anak-anak aku tinggalkan di rumah Anis, jiran sebelah rumahku. Kebetulan dia hanya bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa dan tidak mempunyai anak. Dia rela membantuku menjaga anak-anak selama aku berbengkel. Lima hari berturut-turut aku menimba ilmu pembuatan kek dan bun, akhirnya aku berjaya menamatkan bengkel dengan jayanya. Satu-satunya set barang kemas yang kumiliki, yang kubeli dengan wang gaji pertamaku dahulu aku jual untuk membeli peralatan serta bahan-bahan membuat kek dan bun. Biarpun aku terlalu menyayangi set barang kemas itu tetapi aku pasrah.

Siang malam aku menyiapkan kek bajet dan bun tanpa mengenal erti penat. Ada yang aku jual secara atas talian dan ada juga yang aku hantar di kedai-kedai runcit berhampiran. Pendapatan yang kuperolehi daripada bisnes kecil-kecilan itulah yang kugunakan untuk membeli keperluan anak-anak dan keperluan lain termasuklah alat solek. Aku turuti nasihat Anis agar tidak mengamalkan jamu kurus, sebaliknya mengamalkan senaman yang berterusan dan mengambil diet seimbang. Aku memilih untuk mengamalkan diet suku-suku separuh. Mulanya memang agak payah tetapi alah bisa tegal biasa. Disebabkan aku mempunyai kekangan masa untuk keluar berjoging, Anis telah memberikan aku sebuah alat senaman di rumah. 

***

Enam bulan konsisten bersenam dan mengamalkan diet suku-suku separuh, akhirnya aku berjaya mencapai berat badan ideal dengan bacaan BMI normal. Sayang sekali, di saat aku berkorban banyak hal untuk menarik semula perhatian dan cinta Abang Aziem, hatiku dilapah kejam dengan berita perkahwinan suamiku dengan rakan sekerjanya. Hancur lumat sekeping hatiku menerima perkhabaran itu. Sedih yang tidak terucap. Rasa diri terlalu hina. Hairan, culas dalam memberi nafkah tetapi boleh pula Abang Aziem berkahwin lagi satu.

Namun, aku reda dengan suratan takdir walaupun luka di sudut hatiku terlalu dalam. Aku teruskan kehidupan bermadu yang terlalu perit. Abang Aziem tidak lagi memberikan aku wang nafkah setiap bulan. Alasannya aku sudah mempunyai pendapatan sendiri. Kekerapan Abang Aziem balik ke rumah juga boleh dibilang dengan jari. Sebulan hanya sekali dua sahaja. Masa dan perhatian Abang Aziem diberikan sepenuhnya kepada Latifah, maduku yang tidak tahu bersyukur. 

Lima tahun aku mempertahankan bahtera rumah tanggaku. Nafkah zahir dan batinku diabaikan Abang Aziem, aku tetap bersabar. Tapi, apabila Latifah datang menggangguku di rumah, menghina dan memakiku sesuka hatinya, tahap sabarku mulai menipis. Ketenanganku direntap pergi. Bahagiaku dirampas. Hal itu membuatku dan Abang Aziem bergaduh besar. Perihal nafkah zahir dan batin yang diabaikannya sejak sekian lama aku ungkit semuanya. Abang Aziem bukan sahaja menengkingku, malahan sekeping penamparnya berjaya singgah di pipiku buat pertama kalinya dalam sejarah hidupku sejak bergelar isteri. Detik itu juga aku memintanya menceraikan aku. 

“Hei, Mila! Aku tak hairanlah kalau kau nak minta cerai pun. Biarpun sekarang badan kau dah tak gemuk lagi tapi aku tetap tak berselera. Jika nak bandingkan kau dengan kerbau, aku lebih rela tidur dengan kerbau!”

Bicara Abang Aziem itu benar-benar mencabar maruahku sebagai seorang wanita. Detik itu perasaan benciku terhadapnya membuak-buak. Tekadku bulat untuk bercerai. Kali ini aku ketepikan perihal masa depan anak-anakku. Aku memilih untuk mempertahankan maruah diriku yang dipijak-pijak. Disebabkan rumah itu dibeli atas namaku sendiri, jadi aku meminta Abang Aziem untuk keluar membawa bersama kesemua pakaiannya. Tidak ada satu pun yang tersisa. 

“Aku nak tengok sampai mana saja kau boleh pergi tanpa aku, Mila. Kalau kau rasa nak rujuk balik, pastikan kau datang ke rumah Latifah sebelum tempoh iddah habis kerana aku takkan terima kau lagi selepas tempoh itu. Kau faham, kan?” 

Sebelum pergi, sempat lagi Abang Aziem meninggalkan pesanan itu. Pesanan yang tidak mungkin akan aku lakukan untuk seumur hidupku. Dengan berakhirnya bahtera rumah tanggaku, aku nekad untuk tidak menoleh lagi. Aku teruskan bisnes kecil-kecilanku seperti biasa. 

***

Sebelas tahun berlalu, aku berjaya memiliki sebuah kedai kek sendiri dengan kaki tangan seramai sepuluh orang. Kehidupanku semakin maju seiring anak-anak yang turut berjaya memasuki gerbang menara gading. Ketenangan. Kebahagiaan. Kebebasan. Semua ini memayungi perjalanan hidupku.

Namun, ingatkan langit akan cerah sehingga ke petang, rupanya gerimis di tengah hari. Dalam keasyikanku menjalani kehidupan selesa, Abang Aziem muncul semula. Memujukku agar kembali rujuk dengannya. Menyatakan penyesalan yang tiada titik penghujung. Dia menceritakan segala kisah rumah tangganya kepadaku. Menurut Abang Aziem, hidupnya hampir-hampir muflis gara-gara dililit hutang keliling pinggang. Sikap Latifah yang boros dan suka bermewah, nyaris-nyaris membuatkan kehidupan mereka sekeluarga terhumban dalam lopak kemiskinan. Aku bersimpati tetapi pujuk rayunya tidak lut menembusi pintu hatiku.

Ikhlas. Aku tak pernah membenci perkahwinan. Hanya saja aku masih lagi dibalut perasaan serik. Trauma dengan segala kepahitan dan kelukaan lama yang pernah singgah menjadi memori ngeri dalam hidupku. Hatiku sudah benar-benar tawar. Berkongsi hidup dengannya dulu membuatkan hidupku terlantar nazak ke jurang derita tidak bertepian. Jika kehidupanku aman tanpa kehadirannya, mengapa harus kugali semula perigi derita yang bakal melemaskan aku bila-bila masa saja? Bukankah itu sama sahaja aku sengaja terjun ke dalam mulut buaya?

“Mila, abang sudah benar-benar insaf. Abang menyesali semua perbuatan abang terhadap kau dahulu. Bagilah abang peluang untuk memperbaiki khilaf yang pernah abang lakukan itu.” 

Lamunan jauhku tercantas sebaik saja mendengar bicara Abang Aziem itu. Kembali ke alam realiti. Pandangan kosongku menjamah seraut wajahnya yang sedikit pucat. Jelas riak letih terpeta di wajahnya. Mungkin penat memujuk. Penat berfikir. Penat bekerja. Penat menghadap tubuh gemuk dan wajah kusam Latifah. Ya, barangkali! Aku sendiri tidak pasti mana satu sangkaanku yang betul. Sudah tiga tahun Abang Aziem berusaha memujukku. Tanpa jemu. Tanpa mengenal erti putus asa. Aku menghela nafas. Jujur kuakui, sememangnya ada kesungguhan terpancar pada sinar sepasang mata hitam milik Abang Aziem itu. 

“Abang, perkahwinan bukannya sebuah perjudian. Bukan juga lampin pakai buang. Ia adalah amanah yang Allah berikan. Jika benar abang sudah berubah, berhentilah melabuhkan harapan untuk meraih semula cinta seorang Jamila. Abang sudah memiliki Latifah sebagai peneman hidup. Punya anak-anak yang masih kecil dengannya. Daripada sibuk mengejar sesuatu yang tak pasti, lebih baik abang pulang dan perbaiki lompong yang terdapat dalam rumah tangga abang. Jangan diulangi kesilapan silam kerana kesempatan tidak akan selalu datang. Sekali kehilangan, abang mungkin tidak akan memilikinya kembali.” 

Lembut aku melontar kata. Berharap tazkirah ringkasku itu mampu menjentik hati Abang Aziem agar memulihkan semula rumah tangganya yang hampir tenggelam dalam samudera perceraian. Abang Aziem tunduk menekur lantai tanah yang sedang dipijaknya. Sebuah keluhan berat dilepaskan sebelum menatapku dalam-dalam. 

“Abang masih cintakan, Mila,” ujarnya lirih.

“Tapi… saya dah tak cintakan abang lagi. Hati saya ni dah lama mati. Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Pergilah, abang. Kembalikan seri mahligai rumah tangga abang. Kembalikan juga kecantikan Latifah seperti dulu. Jaga dan cintai dia seikhlasnya kerana Allah, bukan kerana nafsu.”

Aku melangkah memasuki perut kereta Mercedes Benz milikku lalu memandu pergi. Sengaja aku tidak menoleh lagi kerana bagiku urusan antara aku dengannya sudah selesai. Bunyi deruan ombak yang memukul pantai di sepanjang pemanduan, seakan menyokong keputusan yang kumeterai. Jauh di lubuk hatiku yang terdalam berdoa agar Abang Aziem akan mengecapi pelangi bahagia sehingga ke akhir hayatnya. 


-TAMAT-



BIODATA PENULIS


MARLINA BINTI MAILON dilahirkan di Kota Marudu, Sabah Malaysia. Mula menulis pada bulan Oktober 2018. Kebanyakan karyanya tersiar dalam Akhbar Harian Ekspres, Akhbar Utusan Borneo dan Majalah Tunas Cipta. Aktif menyertai pertandingan menulis yang diadakan di media sosial. Penulis berharap agar dapat melebarkan lagi sayap dalam dunia sastera.

Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular