Selasa, 6 Januari 2026

Karma : Ritus Gelap Yang Berbisik Karya: Dassy J

Karma : Ritus Gelap Yang Berbisik

Karya: Dassy J


Karma

Tanpa disedari

kita adalah saksi mata dan saksi hidup

terhadap apa juga bentuk karma diterima.

Entah itu baik, entah itu buruk.

Entah itu terjadi kepada kita, entah itu terjadi kepada orang lain.

Kita tetap saksi kepada banyak hal.


Masih terlalu banyak hal mungkin tak kita sedari.

Entah kerana perbuatan kita, entah kerana perbuatan orang lain.

Entah kerana kita berbuat baik, entah kerana kita berbuat jahat.

Tapi setidaknya kita tahu bahawa itu semua benar adanya

benar wujudnya.

Lantas mengapa masih menerka-nerka,

“Apakah imbalan yang akan kuterima?”


Karma

sebuah sistem tabur tuai yang sahih wujudnya

namun hadir sebagai bentukyang rumit tafsirannya.

mau akui atau tidak, kita adalah bentuk karma yang akan berlaku—

entah kepada orang sekeliling, entah kepada orang jauh.

Entah itu bentuk kebaikannya, entah itu sebaliknya.


Karma

sebuah perjalanan yang terus bergerak

tak pernah berhenti hanya kerana satu tindakan

tak pernah selesai hanya kerana satu penyesalan.

Ia hidup dalam setiap pilihan yang kita buat

dalam setiap kata terlepaskan

dalam setiap diam membawa makna.


Kita

tanpa sedar menjadi penjaga cerita itu

ruang gema tempat kebaikan dan keburukan berputar

cermin pemantul segala perbuatan lampau.


Karma

bukan sekadar menunggu balasan

tetapi kesedaran bahawa setiap perbuatan

ada jejaknya, ada nadinya, ada pulangnya.

Kadang ia kembali dalam bentuk yang tak dikenali,

kadang hadir dalam wajah tak pernah disangka,

kadang menyentuh hidup dengan cara paling halus

atau paling perit.


Namun begitu

kita terus berjalan, tetap menjadi saksi

bahawa apa yang kita tanam akan tumbuh

cepat atau lambat, kecil atau besar

dalam hidup kita atau hidup orang lain.

Di situlah hikmahnya:

karma bukan untuk ditakuti

tetapi untuk difahami.

Setiap tindakan adalah lingkaran

dan kita berada di tengah-tengahnya.


Dassy J, 2025

Samparita, Kota Marudu, Sabah

Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular