Selasa, 25 Mac 2025

KALAM SUNYI DI LEMBAH WAKTU

KALAM SUNYI DI LEMBAH WAKTU

Karya: Kims Diwa



Langit hatiku pernah koyak 

dijahit waktu dengan benang sabar 

purnama Ramadan menyentuh reranting gelap 

membisik zikir pada dahan yang hampir patah


Aku belajar erti kenyang dari lapar 

erti tenang dari ribut dalam dada 

setiap degup menjadi khutbah 

setiap peluh menjadi doa 

yang belum bernoktah


Kotoran nafsu bukan lumpur di tangan

tapi bayang yang menyamar dalam niat 

aku basuhnya dengan cahaya subuh 

hingga fikiranku berbau firdaus


Lapar bukan musuh yang harus dibunuh

ia guru yang tak pernah bersuara 

mengajar lidah supaya tidak menjadi belati

mengajar mata supaya tidak menjadi penjarah


Kini aku mengerti

kesucian bukan warna putih pada pakaian 

tapi warna luka yang tidak lagi menyimpan bisa 

dan aku adalah lembaran yang ditiup ayat-Nya 

menjadi bersih bukan kerana tiada dosa

tapi kerana tahu 

cara pulang!


Kims Diwa 

Telupid, Sabah 

22/3/2025

LARA DI BUKIT PALIPPIS : Karya Arniyati

 LARA DI BUKIT PALIPPIS Arniyati Shaleh Suara hantaman ombak pada pantai jauh di bawah sana menghentak jantung Lara yang diam memaku di lada...

Carian popular