LAMBANG RENJANA
Riiing … bunyi loceng sekolah mengejutkan lamunan Intan yang dari tadi menongkat dagu menanti anak muridnya menyalin nota yang diberi. Riuh rendah suara anak-anak murid yang teruja untuk pulang. Intan bingkas bangun serentak dengan anak muridnya yang berdiri tegak dalam baris masing-masing. “Thank you Teacher” Intan tersenyum dan membalas “welcome,
see you tomorrow.” Intan telah mula rasa rindu kepada anak-anak muridnya dan berharap dengan izinNya mereka akan bertemu semula pada keesokan harinya.
Sekolah Menengah yang berada di tengah-tengah bandar Kuantan menempatkan majoriti pelajar Cina, selebihnya Melayu dan India. Intan ditugaskan mengajar subjek Bahasa Inggeris di situ. Perkataan kegemaran Intan setiap kali masuk kelas ialah “silent please”, perkataan ini juga yang menjadi ikutan dan ajukan pelajar-pelajar di situ setiap kali bertemu atau berselisih dengan Intan.
Setiap hari setibanya di sekolah, kedengaran jeritan anak-anak murid Intan berlari dari kelas untuk menyambut kedatangannya. Anak-anak muridnya berlari dari tingkat atas hanya untuk menyambut Intan, mengangkat buku dan beg serta mengiringinya ke kelas. Itulah rutin yang Intan terima setiap kali hadir ke sekolah.
“Amboi patut la riuh rendah je bunyinya, Mama muda datang” usik Cikgu Yazid, antara Cikgu senior yang agak lama berkhidmat di situ. Intan hanya tersenyum dan berlalu kerana malas nak melayan karenah Cikgu yang padanya perlu lebih dihormati kerana lebih berpengalaman berbanding dirinya yang baru di situ.” Haih, Cikgu baru jual mahal? Tengok la nanti” kata Cikgu Yazid seolah mengugut. Intan cuma berdiam, tiada untungnya dia membalas kata-kata itu. Melihatkan belum waktu untuk ke kelas Intan melabuhkan tubuhnya di sofa sambil menyambar dan terus membaca surat khabar yang berada di ruang lobi, tiba-tiba surat khabar di tangannya direntap dengan agak keras. Amboi Cik Adik masa rehat sahaja boleh baca surat khabar ye.” Seorang Cikgu perempuan pula cuba menunjukkan kuasanya, “maaf kak saya tidak tahu” “Ok lepas ni ambik tahu..!” dengan sedikit bunyi tergelak melihat wajah Intan yang terpinga-pinga. Intan redha dan akur sebagai guru tidak terlatih banyak kelemahan yang perlu dia baiki.
Intan seorang guru sandaran, masih mentah dan jahil dalam bidang pendidikan melangkah lemah untuk pulang. Tiba-tiba Intan dirempuh, habis buku yang digendongnya jatuh dari rangkulannya. “Aduh” terpancul 2 Peng ketawa kerana sengaja menyigung Intan dan seronok melihat Intan kesakitan. Lin Sun Peng antara pelajar kelas akhir yang sentiasa mencari-cari peluang untuk menimbulkan rasa marah Intan. Kenapa? Hanya Lin Sun Peng yang ada jawapannya.
Sesi perkenalan antara guru dan murid adalah suatu sesi yang menyeronokkan. Setelah berkenalan dengan beberapa orang pelajar, tiba-tiba seorang pelajar lelaki yang duduk di bahagian tengah kelas menarik perhatian Intan. “You,What is your name?” tanya Intan “ngo?” sambil berdiri dan jari telunjuknya menghala ke wajah sendiri. “My name is ‘Batman forever’ teacher!.” Perbuatannya itu membuat kelas jadi hingar bingar dengan hilai tawa kawan-kawan sekelasnya. Wang Xiao Zhan adalah antara pelajar yang ceria tetapi kadang-kadang suka termenung sendirian. Semenjak kejadian itu dia sering mengekori dan meluangkan masa bersama Intan. Pantang nampak Intan free, ke mana sahaja Intan pergi, semasa waktu rehat Wang Xiao Zhan akan menemaninya, berlagak seperti pegawai peribadi. Intan berusaha sedaya upaya untuk merapatkan diri dengan semua anak muridnya untuk memastikan mereka berjaya dan menjadi anak yang berguna kepada bangsa dan negara. Hampir setiap hari pada waktu rehat Intan akan berkumpul dengan anak-anak muridnya bercerita dan bergelak ketawa, masa tersebut juga Intan penuhi dengan mempelajari Bahasa
Cina. Intan mempelajari pelbagai perkataan baru “Wo de mei-mei….hmmm”. Tiba-tiba “wo ai
ni” (Aku cinta padamu!) jerit Wang Xiao Zhan. Riuh rendah hilai tawa pelajar-pelajar bila dengar Wang Xiao Zhan meluahkan kalimah itu di depan Intan dengan sekuntum bunga ros segar di hulur kepada Intan. Intan terpinga-pinga dibuatnya. Tersipu malu juga Intan apabila dihulurkan bunga sebegitu.
“Teacher tak pergi makan?” tanya Penolong Pengetua yang tiba-tiba muncul di situ. “Eh tidak
mengapa Tuan”, sambil tersenyum. “Saja melayan karenah anak-anak murid ni”, dalam hati Intan hanya Allah yang tahu bunyi keroncong dalam perut dan rasa lapar yang amat, terpaksa ditahan hanya kerana Intan sebenarnya tiada duit sebab sebagai cikgu baru, gaji pun belum masuk. Secara rasminya seorang guru sandaran perlu menunggu tiga bulan untuk gaji masuk.
Tiga bulan itu merupakan antara dugaan yang perlu Intan hadap. Duit rumah sewa, tambang ke sekolah, makan minum, itu tidak termasuk duit menyediakan bahan bantu mengajar. Intan menganggap itu semua pengorbanan yang Intan perlu hadapi untuk menjadi pendidik sebenar. Dia tidak mahu minta tolong keluarga, kerana dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.Pada suatu petang semasa Intan ingin pulang, tiba-tiba terasa sesuatu yang basah jatuh ke atas bahunya, apabila diamati kelihatan Lin Sun Peng di tingkat atas berlari sambil tergelak. Sampai 3 hati Lin Sun Peng, sanggup meludah cikgunya dari atas. Bukan itu sahaja, pernah satu ketika semasa dia pulang dari tandas didapati gula-gula getah yang telah dikunyah dibuang ke dalam beg Intan. “Ish, nakal betul dia ni!”, kalau ikutkan hati Intan hendak sahaja dia marahkan mereka, Intan tahu ini semua angkara Lin Sun Peng dan rakan-rakannya. Tidak padan dengan perempuan tapi ganasnya mengalah pelajar lelaki. Lin Sun Peng adalah pelajar dari kelas belakang dan dia berpeluang belajar dengan Intan semasa kelas relief. Lin Sun Peng memang suka cari gaduh.
Seperti biasa sedang Intan seronok mengajar dan bercerita dengan anak-anak muridnya, tumpuan Intan terganggu oleh perangai Lin Sun Peng yang tiba-tiba datang, menjerit dan bergaduh dengan pelajar lain. Dia cuba meleraikan pergaduhan itu tetapi Lin Sun Peng tidak mengendahkannya. Lin Sun Peng cuba mengangkat kaki. Tiba-tiba Wang Xiao Zhan meluru ke arah Lin Sun Peng dengan menghunus dan melibas sebilah pisau kecil ke arahnya “Silent!!” jerit Wang Xiao Zhan. “Silent!” dengan slang Bahasa Cinanya. Intan yang terkejut dengan perbuatan itu meluru dan memaut tubuh Wang Xiao Zhan. Dia lalu memusingkan tubuh,
memegang bahunya dan merenung tepat di mata Wang Xiao Zhan. “Batman Forever”, ucap Intan perlahan. Dia menggelengkan kepalanya dengan mata sedikit berair membuatkan Wang Xiao Zhan tersedar. “Lin Sun Peng! berhenti bergaduh atau saya hantar kamu kepada Pengetua sekolah!” Lin Sun Peng yang terkejut dengan tindakan Wang Xiao Zhan terpaku dan terus terdiam. Intan menarik Wang Xiao Zhan ketepi dan meminta pisau ditangannya. Sebenarnya tanpa Intan sedari Wang Xiao Zhan sudah lama memerhatikan tindak tanduk Lin Sun Peng terhadap Intan. Dia berniat melindungi Intan dari terus diganggu oleh Lin Sun Peng lagi.
Kejadian tersebut menyebabkan Wang Xiao Zhan digantung sekolah selama seminggu. Manakala Lin Sun Peng dikenakan tindakan disiplin dengan membuat kerja amal. Hal ini agak mengejutkan Intan yang sememangnya satu pengalaman baru dalam hidupnya. Dia tidak menyangka Wang Xiao Zhan sanggup bertindak kasar dan membahayakan diri untuk mempertahankan dirinya.
Pada hujung minggu tersebut Intan pergi melawat Wang Xiao Zhan di rumahnya, Intan tahu Wang Xiao Zhan tidak berniat jahat dengan perbuatannya sebelum ini. Wang Xiao Zhan cuak dengan sikap Lin Sun Peng yang selalu mengkhianati dia dan rakan-rakan sekolah. “Hello!” sambil mengetuk pintu rumah. Tiba-tiba “Hello! Selamat pagi,” pintu di buka dan muncul seorang lelaki yang tinggi dan kacak di muka pintu. “Hai, awak siapa?” “Saya Intan Ashiyka binti Muhammad Ali teacher kepada Wang Xiao Zhan”. “Boleh saya bertemu dengan Wang Xiao Zhan, dia anak murid saya”. “Ooo dia tiada, pagi-pagi lagi dia dah keluar bermain. Saya 4 Wang Hau Xian abangnya, kami dua beradik”. Saya cuti hari ini kerana menjaga Zhan. Dari perbualan mereka, fahamlah Intan bahawa Wang Xiao Zhan merupakan anak yatim yang dijaga oleh abangnya, seorang doktor. Kehidupan Wang Xiao Zhan agak huru-hara dan tercicir kerana pemergian ayah dan ibunya berbanding abangnya yang berjaya dalam bidang kedoktoran kerana dipantau oleh orang tua. Sedang asyik berborak Wang Xiao Zhan muncul di sebelah Intan dan mengejutkan Intan, “Ooo abang suka Teacher ya”. Ini abang saya Teacher, orang panggil dia ‘Panjang’ “Hahaha”, Wang Xiao Zhan berlari-lari di keliling Intan dan abangnya membuatkan mereka tergelak bersama. “Tapi abang tidak sesuai dengan teacher, sebab bahaya looo”, “kenapa bahaya?” tanya abangnya, “nanti abang kene tumbuk looo”. Teacherkan anak Muhamad Ali peninju tu. Hahaha mereka ketawa bersama-sama. Wang Xiao Zhan tersenyum melihat teacher ketawa.
Di bilik guru “Assalamualaikum Teacher”, Intan yang sedang menyemak buku kerja murid terhenti. “Ya, saya Cikgu”. “Teacher kenal pelajar bernama Siti Atilia, murid kelas you kan?”, tanya Cikgu Amira. “Ya, kenapa Cikgu?” soalan Cikgu Amira membuat dia teryanya-tanya.
“Bagaimana dia di kelas? Saya nampak dia selalu mengelamun dan kurang memberi tumpuan dalam kelas”. “Tengok sahaja kasut yang dipakainya, kasut kulit, saya dah beberapa kali menegur dan meminta dia tukar tetapi dia enggan, dia kata itu kasut yang dibeli oleh arwah ibunya. Sakit hati saya!” bentak Cikgu Amira. Intan cuba menenangkan Cikgu Amira dan berjanji akan bercakap sendiri dengan murid tersebut. Sebenarnya murid mempunyai pelbagai latar belakang dan keistimewaan. Guru tidak sepatutnya pukul rata sahaja tindak tanduk pelajar. Jelas sekali pelajar bernama Siti Atilia memerlukan sedikit suntikan semangat dan ruang untuk dirinya kerana baru kehilangan ibu. Beliau bukan nakal, tetapi perlukan sedikit perhatian berbanding yang lain. Intan dapat menangani isu itu sebab dia juga anak yatim piatu, itu kelebihan Intan.
Suatu petang Dr Wang Hau Xian datang menjemput adiknya, pelik juga Intan sebab biasanya Wang Xiao Zhan balik sendiri sebab dia bukan kecil lagi dan mampu pulang ke rumah sendiri. Lain pulak lagaknya pada petang itu. Dr Wang Hau Xian sebenarnya berniat mengajak Intan minum bersama. Di situ la berputiknya rasa prihatin dan ambil berat antara mereka. Dr Wang Hau Xian sangat senang dan gembira setiap kali bertemu dan itu bukan merupakan kali terakhir mereka bertemu. Intan sangat berhati-hati setiap kali bertemu Dr Wang Hau Xian dan dia sentiasa memastikan Wang Xiao Zhan akan menemani mereka setiap kali bertemu. Intan bukan tidak suka pada Dr, tetapi ingat pesan ibu untuk menjaga diri dan nama keluarga. 5 Semenjak dari itu mereka sering keluar minum cendol dan makan jemput-jemput udang di gerai Pak Mat, kedai tersebut di bawah pokok yang terletak bersebelahan dengan jejantas kecil menuju ke rumah sewa Intan. Di situlah Dr Wang Hau Xian akan bertukar cerita denga Intan. Wang Xiao Zhan pula tidak jemu menemani mereka. Kelihatan Wang Xiao Zhan sangat gembira menyertai mereka dan tidak pernah melepaskan peluang untuk bersama mereka. Setiap kali mereka berdua bersandar di jejantas, mendongak ke langit sambil memejam mata. Mereka berdua membayangkan masa depan mereka yang masih jauh. Melihatkan reaksi Intan dan abangnya, Wang Xiao Zhan segera buat hal yang sama menyandar, memejam mata sambil mendongak kelangit; sesekali dia akan mengintai Teacher dengan membuka sebelah matanya dan tersenyum. Hati Dr Wang Hau Xian pula, berbunga-bunga dan dia rasa dia mula jatuh cinta.
Hampir dua bulan tempoh perkenalan mereka. Pada suatu petang “Kenapa Intan selalu mengelak memandang saya”, tanya Dr Wang Hau Xian pada Intan. “Saya tahu kita tidak sama agama dan bangsa” Tapi tidakkah kamu boleh beri saya sedikit ruang untuk izinkan saya menyayangi kamu Intan?” saya sukakan kamu Intan, “tolong beritahu saya sebabnya, please”
Seketika Intan memandang ke dalam mata Dr Wang Hau Xian dan sejenak kemudian dia menundukkan pandangannya “Sebab perjuangan…perjuangan saya belum selesai. Janji saya pada arwah ibu saya, ialah terus menuntut ilmu agama dan jadi Ustazah”. “Ustazah!?”, tanya Dr Wang Hau Xian, dengan rasa pelik dan janggal.
“Ye, nah”, Intan hulurkan sekeping duit lima ringgit kepada Dr Wang Hau Xian dengan senyuman manis yang dihadiahkan pada Dr Wang Hau Xian. Semasa Dr Wang Hau Xian memegang duit itu Intan dengan segera menarik duit itu sehingga terkoyak dua. Dr Wang Hau Xian terpinga-pinga dengan perbuatan Intan itu. Awak simpan separuh dan saya simpan separuh lagi. Nanti setelah saya selesai belajar dan pulang ke Malaysia kita cantumkan semula di sini! Kita jumpa kembali di sini, di jejantas ini”. “Semoga Allah halalkan saya untuk awak”.
“Sepanjang ketiadaan saya, awak cubalah kenali diri awak yang paling dalam kerana itulah antara peluang untuk awak mengenali Tuhan, pencipta awak”.
“Wah!”, Wang Xiao Zhan yang masih belum matang ternganga melihat apa yang terjadi di hadapannya, “Ngo?”. Terdengar perkataan itu, “apa dia Batman Forever?” tanya Intan. Mereka tergelak bersama-sama melihat Wang Xiao Zhan terpinga-pinga dari tadi. Intan menundukkan kepalanya dan memandang tepat ke pada Zhan. “Sementara awak pula Batman Forever, ingat 6 kata-kata teacher. Buruk besi pada karatnya, manakala buruk manusia pada melaratnya. So, awak kene janji dengan teacher untuk terus belajar dan memajukan diri awak, tidak kira apa pun, janji?.” Wang Xiao Zhan menggangguk tanda setuju dan dia pegang janjinya pada teacher.
Pada suatu hari Intan dengan berat hati menghulurkan surat peletakan jawatannya kepada Pengetua. “Good Morning Madam.” Seorang Pengetua Cemerlang Puan Revathi a/p Sivarathnam memandang kepadanya, “Sila duduk, kenapa ya Teacher Intan?” “Saya...saya hmmm” tersekat-sekat bicara Intan oleh kerana sebak dan terharu. Saya hendak letak jawatan kerana ingin menyambung pengajian saya. “Apa! Sayangnya, awak punya bakat dalam mengajar murid-murid pun ramai menyayangi awak”. “Tapi saya…” suasana menjadi senyap seketika “Ya saya faham, awak perlu mengambil berat masa depan awak juga” “Kemana awak akan sambung belajar teacher?”. “Mesir” jawab Intan.
Berita peletakan jawatan Intan menjadi bualan hebat di sekolah. Cikgu Yazid mempersoalkan “mengajar Bahasa Inggeris, belajar bahasa Cina. tapi nak melanjutkan pelajaran di negara Arab?!” “She is allrounder.” Cikgu Amira pun yang selalu mencari salah Intan juga akur dengan kata-kata Cikgu Yazid.
Pada pagi hari terakhir Intan bertugas, Lin Sun Peng muncul di hadapan kelas dan tersenyum “tunggu ye Teacher”, katanya. Intan terpana seketika kenapa Lin Sun Peng tiba-tiba muncul di hadapannya. “Apalah mahunya pagi-pagi begini. Kedengaran suara memanggil dari jauh “Teacher!” Lin Sun Peng tercungap-cungap berlari mendapatkan Intan untuk menyampaikan sejambak bunga kertas buatan tangan.“Nah!” katanya. “Wow, kamu buat sendiri ke?” Kagum Intan dengan bunga kertas tersebut berwarna-warni dan kreatif. “Tidak Teacher !!! dia pergi kelas belakang dan ugut mereka ramai-ramai untuk buatkan bunga kertas ini ramai-ramai” kata kawannya. “Oh, patutlah banyak dan berwarna warni!”, kata Intan. HAHAHA! berderai gelak ketawa semua orang bila mendengar hal tersebut. Tersipu-sipu Lin Sun Peng kerana sikap samsengnya belum lagi pudar dari dirinya. Dia kagum dengan Intan kerana Teacher tidak pernah marah dan mampu bersabar atas sikapnya selama ini.
Hari berganti minggu seterusnya bulan. Pada suatu hari Dr Wang Hau Xian kelihatan resah dan tercari-cari sesuatu. Habis rumah disepahkannya, sedang Wang Xiao Zhan diam membisu sambal melihat sahaja gelagat abangnya itu. Hal itu berlalu dan dibiarkan begitu sahaja. Dr Wang Hau Xian telah ditugaskan di Sabah.
Setelah lima tahun berlalu Wang Xiao Zhan telah menjadi peniaga berjaya sebagai tauke kedai haiwan dan penternak. Dia tidak sepandai abangnya tetapi Allah kurniakan dia kepandaian dalam berniaga. Dia tidak pernah pindah dan tidak pernah berniat untuk pindah. Dia sekarang bukan Wang Xiao Zhan yang dulu tetapi setelah memeluk Islam dia menukar namanya kepada Adam Irfan. Dia banyak belajar dan mendalami agama Islam bukan kerana Intan tetapi kerana Tuahn. Ini semua kerana dia ingat kata-kata teacher “kenali diri awak yang paling dalam kerana itu lah antara peluang untuk awak mengenali Tuhan”. Setiap petang dia tidak pernah jemu mengunjungi kedai cendol bawah pokok dan menunggu di jejantas. Sambil dia merenung langit, dia berbisik “teacher, Batman Forever akan setia menunggu teacher, di sini.” di tangannya separuh dari duit lima ringgit yang dia simpan, sejak dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan