SEJADAH BASAH MENJADI LAUTAN PENGAMPUNAN
Sejadah ini basah oleh sujud yang tidak
pernah selesai
air mata mengalir seperti sungai yang
mencari muara
dalam sunyi malam Ramadan, aku menjadi
kecil
kecil di hadapan langit yang tidak
pernah menolak doa.
Setiap titis yang jatuh adalah bahasa
jiwa
yang lama terpendam di balik kesibukan
dunia
aku membentangkan diri di atas hamparan
waktu
menghadap arah yang mengajarkan aku
tentang pulang.
Sejadah ini tidak lagi sebagai kain
ia menjadi laut yang luas dan dalam
tempat aku menenggelamkan segala dosa
yang selama ini aku pikul tanpa sedar.
Di antara takbir yang bergetar di dada
aku mendengar gema penyesalan yang jujur
seperti ombak yang memukul pantai hati
memecahkan kerasnya ego yang lama
berakar.
Aku berenang dalam tangisan yang jernih
mencari cahaya di dasar keinsafan
dan setiap nafas menjadi tasbih yang
hidup
menyebut nama-Mu tanpa jemu.
Wahai Tuhan, dalam lautan ini aku hilang
namun kehilangan ini menemukan aku
kembali
sejadah basah ini menjadi saksi
bahawa aku pernah hancur untuk kembali
suci.
Biodata
Jaya Ramba dari etnik Dayak berasal dari
Miri Sarawak Malaysia. Penulis ini merupakan novelis dan cerpenis Malaysia dan
telah menghasilkan lebih 40 buah novel dan lebih 8 kumpulan cerpen
persendirian. Beliau banyak memenangi sayembara di peringkat negeri, kebangsaan
dan antarabangsa. Hingga kini, beliau terus prolifik demi masyarakatnya.
