Metafora cinta
T.k kelly Gincho
Hadir mu seperti embun pertama
menari di jendela hatiku yang retak
Setitis beningmu menghidupkan pagi
walau aku tahu embun tak pernah tinggal lama
Aku menjadi tanah yang pasrah menerima
mengakar pada bayang yang kau tinggalkan
Setiap langkahmu kusemai dalam diam
kerana hatiku kala itu masih percaya pada keabadian yang rapuh
Cinta pertama seperti wangi bunga yang tidak kekal
melekat dalam ruang yang tak lagi berpenghuni
Aku bukan menunggu kerana lupa arah
tapi kerana rinduku lebih setia dari waktu
Dan bila akhirnya kau memilih senja lain
aku tidak rebah hanya diam dalam cahaya luka
Aku belajar bahawa kesetiaan tidak selalu dirayakan
dan penantian kadang-kadang adalah bentuk paling sunyi dari keberanian
Kau tetap embun pertama yang menyapa
tapi bukan lagi yang kucari saat pagi tiba
Kerana aku telah menjadi langit
yang belajar melepaskan awan
tanpa perlu bertanya kenapa ia tak pernah kembali
Cinta bukan sekadar kata yang diucap
ia adalah bayang embun dan waktu yang berlalu
Dalam setiap getar rasa tersimpan cerita
yang hanya bisa difahami oleh hati yang berani menanti
dan berani melepaskan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan