Sabtu, 24 Mei 2025

HUJAN DI HATI SURI

 HUJAN DI HATI SURI

ASMANIZA DIN


Di luar hujan turun mencurah-curah. Bunyinya kedengaran seperti menumbuk jendela. Suri Raihana duduk di birai katil sambil merenung jam dinding yang telah lama terhenti berdetik, seolah-olah masa turut membeku bersamanya. Dalam keheningan itu, dia cuba menenangkan diri. Namun semakin dia berusaha, semakin kuat suara-suara asing bergema di dalam fikirannya.

Suri seorang wanita yang berjaya. Pada usia muda, dia sudah menjawat jawatan sebagai pengurus besar di sebuah syarikat teknologi terkemuka. Dia sering dijadikan contoh wanita moden yang mampu mengimbangi kerjaya dan kehidupan peribadi. Namun, di sebalik senyuman yang sentiasa terukir di wajah, tersembunyi sebuah realiti yang perlahan-lahan meruntuhkan dirinya dari dalam.

Selepas kehilangan suaminya dalam satu kemalangan jalan raya setahun yang lalu, Suri mula menyedari perubahan dalam dirinya. Pada awalnya, dia berusaha untuk bangkit dengan cuba berselindung di sebalik timbunan kerja dan berharap kesibukan itu mampu mendiamkan hatinya yang luka. Namun, rasa sedih dan kesepian itu tidak pernah benar-benar hilang. Malah, setiap detik sunyi semakin membuka ruang untuk kenangan pahit terus bercambah di jiwanya.

*****

Hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, Suri bangun dengan perasaan hampa. Malam yang panjang berlalu tanpa tidur yang cukup. Dia berdiri kaku di hadapan cermin, seolah-olah kehilangan identiti. Cermin itu masih memantulkan bayangan wanita yang sama, namun pandangannya kosong.

Setiap pagi, dia cuba mencari kekuatan sebelum melangkah ke pejabat. Namun, jiwa dan tubuhnya seakan tidak sehaluan. Ada kalanya, dia langsung tidak mahu meninggalkan rumah, enggan bertemu sesiapa. Di mata rakan-rakan sepejabat, Suri tampak mengagumkan. Tetapi, tiada siapa tahu bahawa di dalam dirinya tersimpan luka yang tidak pernah sembuh.

"Suri, kau okay tak?" tanya Izara, rakan sekerja yang baik hati.

"Ya, aku okay," balasnya perlahan, cuba menafikan kata-katanya sendiri.

Izara memandangnya dengan ragu-ragu.

"Kalau ada apa-apa yang kau nak ceritakan, aku ada. Kita kan kawan," ujar Izara dengan lembut, cuba memberi sokongan tanpa memaksa.

Suri mengangguk tanpa sepatah kata. Izara melangkah pergi, meninggalkan Suri dengan perasaan bersalah yang menyelubungi dirinya. Mengapa dia tidak mampu mengakui kebenaran ini kepada orang lain? Mengapa dia terus terperangkap dalam dunia yang gelap ini?

Malam itu, Suri tidak dapat melelapkan mata. Dia duduk di atas katil. Setiap detik yang berlalu terasa seperti beban yang semakin berat untuk dipikul. Fikiran tentang kehilangan, kesepian dan keletihan jiwa datang bertubi-tubi tanpa henti. Dalam hatinya, Suri tahu dia bukan lagi Suri yang dulu. Dia bukan lagi wanita yang mampu mengawal hidupnya. Dia telah menjadi seseorang yang hilang arah.

Pada saat itulah, Suri membuat keputusan untuk mencari bantuan. Sudah terlalu lama dia membungkam perasaan sendiri dan membiarkan dirinya tenggelam dalam kesakitan ini. Adakah ini yang dinamakan kemurungan? Adakah ini yang dimaksudkan sebagai sakit jiwa? Suri tidak tahu jawapannya. Namun dia sedar, jika terus membiarkan dirinya hanyut begini, dia mungkin akan kehilangan kewarasan, kerjaya, dan dirinya sendiri.

Keesokan harinya, Suri menghubungi pusat kaunseling. Dia mengambil langkah pertama yang paling sukar dalam hidupnya, iaitu mengakui bahawa dia memerlukan bantuan. Hatinya berdegup kencang sebaik sahaja jari-jemarinya mendail nombor telefon yang tertera di skrin.

Dia tahu keputusan ini bukan mudah untuk dibuat. Mengakui kelemahan diri sendiri lebih sukar, apatah lagi dalam dunia yang sentiasa memerhati dan menilai. Namun, perasaan itu kini jauh mengatasi egonya.

Setelah beberapa minit berbual dengan petugas pusat kaunseling, Suri berjanji akan hadir untuk sesi pertama keesokan harinya. Walaupun hatinya berat untuk ke tempat yang mungkin membuka semula luka lama, dia tahu itu adalah langkah pertamanya menuju ke arah penyembuhan diri

*****

Pagi itu, Suri mengenakan pakaian yang biasa dipakainya untuk ke pejabat. Namun kali ini, dia terasa seolah-olah sedang bersiap untuk melangkah ke medan pertempuran. Setiap langkah terasa berat, seakan-akan membawa dirinya ke arah ketidakpastian. Mampukah jalan ini benar-benar membantunya?

Sampai di pusat kaunseling, degupan jantung Suri kian laju. Pusat itu terletak di kawasan yang agak sunyi, jauh dari hiruk-pikuk kota. Bangunannya rendah dan kelihatan sederhana, namun terasa begitu asing buatnya. Di dalam, suasananya tenang dengan sentuhan hiasan minimalis. Sebuah meja kaunseling terletak di penjuru bilik, dihiasi beberapa buku dan majalah. Beberapa pasu tanaman hijau turut menghiasi ruang, memberi rasa damai yang menyusup perlahan ke dalam hati.

"Suri, ya?" Satu suara lembut memecah kesunyian. Seorang wanita muda tersenyum sambil menghulurkan tangan.

Suri mengangguk, cuba menenangkan dirinya. Dr. Elina mempersilakan Suri duduk, kemudian memulakan sesi dengan pertanyaan yang lembut.

"Apa yang membawa awak ke sini, Suri?"

Suri terasa seluruh tubuhnya tegang, sukar untuk mengungkapkan apa yang dirasainya. Tetapi dia tahu, dia tidak boleh berpura-pura lagi.

"Saya kehilangan seseorang yang amat bermakna dalam hidup saya... dan saya tahu, kehilangan itu takkan pernah kembali," jawabnya perlahan, tetapi cukup jelas untuk didengari oleh Dr. Elina.

Dr. Elina hanya mengangguk perlahan, memberi isyarat bahawa dia benar-benar mendengar.

"Rasa kehilangan boleh mencetuskan reaksi psikologi yang kompleks, termasuk trauma, kemurungan dan kecelaruan identiti. Apa yang awak alami sekarang sebenarnya adalah sebahagian daripada proses normal dalam menghadapi fasa kehilangan. Walaupun menyakitkan, penting untuk awak faham bahawa setiap peringkat emosi ini juga merupakan sebahagian daripada proses penyembuhan yang memerlukan ruang dan masa."

Suri menarik nafas panjang. Kata-kata Dr. Elina memberi sedikit ketenangan dalam hatinya yang sedang berkecamuk.

"Setiap hari saya bangun dengan rasa kosong. Semua orang nampak saya sebagai wanita yang kuat dan tabah, tapi saya sendiri tak rasa begitu. Saya tahu... selama ni saya cuma berpura-pura kuat."

Selesai mencatat sesuatu di bukunya, Dr. Elina meletakkan pen dan memandang Suri dengan penuh perhatian.

"Memakai topeng kekuatan bukan bermakna awak lemah, Suri. Itu sebenarnya adalah cara awak bertahan. Ramai individu yang melalui fasa kehilangan akan bertindak serupa dengan cuba kelihatan kuat di luar tetapi hakikatnya rapuh di dalam. Tindakan berpura-pura kuat ini dikenali sebagai emotional suppression. Dalam jangka masa pendek, ia mungkin membantu seseorang untuk terus berfungsi. Namun dalam jangka masa panjang, ia boleh memberi kesan kepada kesejahteraan emosi dan mental."

Suri menggenggam hujung lengan bajunya erat. Tanpa sedar, matanya mula berkaca.

"Kadang-kadang saya rasa bersalah kerana masih hidup... sedangkan orang yang saya sayang dah tiada."

Dr. Elina mengangguk perlahan, nadanya tenang namun tegas.

"Perasaan bersalah selepas kehilangan orang tersayang dikenali sebagai survivor's guilt. Ia adalah reaksi emosi yang normal apabila seseorang merasa mereka tidak layak untuk terus hidup atau bahagia selepas ditinggalkan. Kadangkala, minda kita cuba mencari sebab atas kehilangan itu, lalu kita menyalahkan diri sendiri. Tapi hakikatnya, awak tidak bersalah, Suri. Awak berhak untuk teruskan hidup. Apa yang penting sekarang ialah belajar untuk menerima kehilangan itu tanpa menghukum diri sendiri."

Dia berhenti sejenak, menarik nafas yang dalam sebelum kembali menyambung.

"Mengakui dan mengenal pasti emosi sebenar adalah langkah awal yang sangat penting dalam proses pemulihan. Bila awak mula bercakap tentang apa yang awak rasa, itu tandanya awak sedang berada di landasan yang betul. Di situlah permulaan kepada penyembuhan sebenar."

Suri tunduk memandang lantai, dadanya berombak kecil menahan gelombang rasa yang menyerbu serentak. Dia menarik nafas panjang, cuba mengawal getaran di dada.

Perlahan, dia mengangkat wajah. Riaknya sukar dibaca, namun jelas dia sedang cuba mengumpul kekuatan. Beberapa saat dia membisu sebelum akhirnya bersuara.

"Mungkin... saya memang perlu lepaskan semua yang saya simpan selama ini. Saya penat, doktor. Saya cuma nak rasa tenang semula." Suaranya lirih, hampir tenggelam dalam keheningan bilik itu.

Dengan penuh keyakinan, Dr. Elina berkata, "Hari ini kita dah mulakan langkah pertama, Suri. Jangan berhenti di sini. Ingat, proses penyembuhan bukan perlumbaan. Ambil masa yang awak perlukan. Dan yang paling penting, awak tak perlu lalui semua ini seorang diri. Kita akan terus melangkah bersama dalam perjalanan ini."

Dia mengukir senyuman tenang, memberi ruang kepada Suri untuk berasa diterima tanpa rasa terasing.

"Rehatlah hari ini. Saya akan atur pertemuan kita yang seterusnya bila awak sudah bersedia."

Dr. Elina bangun perlahan dan membuka pintu dengan hormat, membiarkan Suri menikmati ketenangan yang mula menyelubungi ruang itu. Sesi hari itu berakhir dengan secebis harapan dalam hati Suri. Buat pertama kalinya selepas sekian lama, dia mula percaya bahawa ketenangan itu masih wujud dan dia tidak lagi bersendirian dalam mencarinya.

*****

Sejak sesi pertamanya bersama Dr. Elina, Suri mula sedar bahawa perjalanan untuk sembuh bukan semudah yang disangka. Walaupun baru bermula, dia sudah merasai betapa sukarnya membuka kembali perasaan yang sekian lama dipendam. Perasaan yang selama ini dikunci rapat demi meneruskan hidup.

Petang itu hujan turun dengan lebat, dan Suri memutuskan untuk pulang lebih awal dari pejabat. Situasi di tempat kerja semakin menekan. Dia cuba untuk menampakkan diri sebagai seorang yang cekap dan berdedikasi, tetapi ternyata sia-sia. Fikiran dan tubuhnya tidak lagi selaras. Di dalam kereta, Suri larut dalam kesunyian yang menggigit. Hujan terus menghentam bumbung bagai irama hatinya sendiri. Berat, sarat dan tak terbendung.

"Jangan terlalu menghukum diri, Suri. Semuanya perlukan masa. Setiap emosi yang awak rasakan adalah sebahagian daripada proses penyembuhan. Jangan pernah takut untuk rasa semua itu. Kalau perlu menangis, menangislah." Kata-kata Dr. Elina itu masih berbekas di hati Suri, mengalir lembut seperti hujan di luar.

Suri memejamkan mata seketika, membiarkan deru hujan memeluk fikirannya yang kusut. Tangannya menggenggam stereng erat, seolah-olah memegang kekuatan yang masih tersisa. Dia memandang ke luar tingkap kereta, menyaksikan titisan hujan yang bersatu lalu mengalir turun perlahan.

Dalam keheningan itu, dia tidak perlu berpura-pura. Tiada penjelasan yang perlu diberikan kepada sesiapa. Hanya hujan, dirinya dan hati yang perlahan-lahan belajar untuk menerima. Kesakitan itu tidak serta-merta hilang. Ia masih ada, menyusup dalam setiap helaan nafas dan kenangan yang enggan pergi. Namun kali ini, Suri tahu bahawa dia tidak perlu lagi menanggung semuanya seorang diri.

Suri menyentuh dadanya yang terasa sesak, lalu menarik nafas sedalam mungkin. Walau sukar, dia tetap percaya bahawa dirinya masih punya harapan untuk pulih. Hari ini, di bawah langit yang menangis, dia memilih untuk terus mencuba walaupun langkahnya perlahan. Dalam dirinya masih ada sisa kekuatan yang belum padam.

Setibanya di rumah, Suri duduk di sofa sambil memandang ruang tamu yang sunyi. Kenangan bersama arwah suaminya terpantul pada setiap sudut. Namun, semuanya sepi dan hambar. Dia seolah-olah terasing dalam kehidupannya sendiri.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Sebaris nama Izara muncul di skrin. Suri menarik nafas dalam-dalam sebelum menjawab.

"Suri, macam mana hari ni?" soal Izara seperti selalu, penuh perhatian dan prihatin.

Suri terdiam seketika. Dia ingin meluahkan segalanya tentang rasa lelah, kecewa dan hancur yang menyesakkan dada. Namun, kata-kata itu tersekat di kerongkong. Dia masih memilih untuk menutup mulut.

"Aku okay, Izara. Cuma letih sikit," balasnya perlahan, cuba menyembunyikan segala kebenaran.

"Jangan pendam sorang-sorang, Suri. Aku ada, bila-bila masa kau perlukan."

"Izara, aku... aku tak tahu macam mana nak teruskan. Semua ini terlalu berat." Suaranya terhenti di situ. Tanpa sedar, air mata hangat mula mengalir di pipinya.

Izara terdiam sejenak sebelum bersuara kembali.

"Kau tak perlu harungi semua ini seorang diri, Suri. Kami semua ada untuk kau. Jangan biarkan diri kau tenggelam dalam kesunyian yang boleh memusnahkan segalanya."

Suri merasakan dirinya benar-benar didengari. Kali ini, dia tidak lagi berasa bersalah kerana membiarkan emosinya terluah. Mungkin selama ini, dia terlalu keras terhadap diri sendiri. Dia juga takut untuk menerima sebarang sokongan kerana menyangka dia perlu bertahan seorang diri.

Setelah berbincang dengan Izara, Suri memutuskan untuk menghubungi Dr. Elina semula. Dia sedar bahawa perjalanan ini penuh berliku, tetapi dia perlu kuat untuk terus melangkah. Ini adalah perjuangan yang bukan sahaja memerlukan keberanian, tetapi juga kesediaan untuk menerima bahawa dia tidak perlu melaluinya seorang diri.

Malam itu, selepas berjanji untuk terus berjuang, Suri tidur dengan sedikit rasa aman. Segalanya masih kelam, tetapi dia tahu setiap langkah kecil membawanya kembali kepada dirinya yang pernah hilang.

*****

Hari-hari yang berlalu membawa perubahan kecil yang bermakna buat Suri. Sesekali hidupnya masih diselubungi awan kesuraman, namun sinar harapan mula menyelinap kembali. Setiap sesi bersama Dr. Elina membuka ruang baharu dalam pemahamannya terhadap diri. Sedikit demi sedikit, Suri belajar menerima dirinya yang kini berbeza. Dia mula sedar bahawa tidak semua perkara perlu diselesaikan sekaligus. Kesembuhan bukanlah satu destinasi, tetapi sebuah perjalanan yang menuntut kesabaran.

Seusai sesi kaunseling pada suatu petang, Suri berjalan perlahan di laluan pejalan kaki di pusat bandar, menikmati udara segar. Orang ramai melintas di kiri dan kanannya dengan langkah tergesa-gesa, diiringi deruman enjin kenderaan yang tak pernah berhenti. Namun, di tengah kesibukan yang hiruk-pikuk itu, dia disapa oleh ketenangan yang asing. Mungkin beginilah rasanya apabila kekosongan tidak lagi menakutkan. Dia mula belajar untuk tidak terlalu mendesak diri agar sembuh dalam sekelip mata. Sebaliknya, dia cuba menerima setiap perasaan yang hadir silih berganti dengan hati yang lebih terbuka.

Saat itu, Suri membuat keputusan untuk mengunjungi pusara suaminya, tempat yang selama ini cuba dia hindari. Setiap kali menjejak kaki ke situ, luka lama pasti terbuka. Namun, untuk benar-benar melepaskan, dia harus berani menghadapi kesakitan itu.

"Sudah terlalu lama aku menghindar," bisik hati Suri.

"Setiap kali aku cuba berpaling, kenangan itu tetap datang memburu. Aku sangka dengan menjauh, aku bisa melupakan... tapi luka itu tetap ada. Tak kelihatan, namun peritnya masih terasa."

Dia menarik nafas perlahan.

"Mungkin, sudah tiba masanya untuk aku berhenti berlari. Bukan kerana aku kuat... tapi kerana aku mahu belajar menerima. Untuk sekali ini, aku mahu berani. Bukan untuk menyakiti diri sendiri, tapi untuk memberi ruang pada hati ini pulih dengan cara yang sepatutnya."

Suri menatap langit yang semakin berbalam, membiarkan angin petang menyapa wajahnya. Hatinya masih berat, tetapi ada sesuatu yang perlahan-lahan berubah. Ketakutan itu masih ada, namun tidak lagi mengikat langkahnya. Dia sudah bersedia untuk ke situ. Mungkin bukan esok, juga bukan lusa… tetapi tidak lama lagi.

*****

Hari demi hari, Suri kini mampu bangun setiap pagi dengan rasa yang lebih ringan. Walaupun tidak semua perkara dalam hidupnya kembali normal seperti dahulu, kini dia sedar bahawa kehidupan masih membuka ruang untuk dirinya terus melangkah ke hadapan. Setiap kali selepas sesi kaunseling, dia pulang ke pejabat dengan semangat yang lebih besar. Meskipun rasa sepi sesekali menjengah, Suri kini lebih tahu cara menghadapinya.

Ketika sedang berjoging pada suatu pagi, Suri terlihat seorang wanita muda duduk sendirian di bangku taman. Wajahnya suram dengan mata sembap, seolah-olah baru sahaja menangis. Ada sesuatu pada riak itu yang mengingatkan Suri kepada dirinya dahulu. Tanpa berfikir panjang, dia melangkah perlahan menghampiri wanita itu.

"Awak okay?" tanya Suri lembut, meskipun dia sendiri tidak pasti mengapa hatinya tergerak untuk menegur wanita itu.

Pandangan wanita itu terhenti pada wajah Suri. Sepasang mata yang suram itu seakan menyimpan ribuan rasa. Mungkin juga kehairanan, kerana masih ada insan yang sudi mendekat saat yang lain memilih untuk menjauh.

"Saya... saya rasa buntu sekarang. Tak tahu apa yang patut saya buat," jawab wanita itu dengan suara yang tersekat-sekat.

"Saya baru saja kehilangan ibu. Hidup saya rasa kosong sangat. Saya tak mampu untuk harungi semua ini sendirian."

Suri memandang wanita itu dengan penuh empati. Dia mengerti apa yang sedang dirasai wanita itu. Ya, kehilangan yang pernah meruntuhkan dunianya sendiri. Perlahan-lahan, dia duduk di sebelah wanita itu dan memulakan bicara. Bukan kerana dia punya semua jawapan, tetapi kerana dia tahu betapa berharganya walau sekadar didengari.

"Saya faham perasaan awak sebab... saya juga pernah melalui situasi yang sama." Suri bersuara perlahan, tetapi tenang.

"Kehilangan orang yang kita sayang memang perit. Kadang-kadang kita rasa seolah-olah dunia terhenti, kan? Tapi percayalah, ini bukan pengakhiran. Awak masih ada peluang untuk bangkit dan teruskan hidup dengan cara awak sendiri."

Wanita itu mengangguk perlahan, seolah-olah menyambut setitis harapan yang mula bercambah.

"Terima kasih," bisiknya.

"Awak tak perlu hadapi semuanya sendirian. Kadang-kadang, dengan berkongsi cerita pun sudah cukup membuatkan kita rasa lebih kuat," ujar Suri penuh keyakinan. Bukan sekadar nasihat, tetapi pengakuan daripada jiwa yang pernah terluka.

Wanita itu memandang Suri dengan penuh pengertian. Suri membalas dengan senyuman, meskipun dalam hatinya dia tahu perjalanan mereka masih panjang. Saat itu, dia menyedari bahawa dalam usaha menguatkan orang lain, dia sebenarnya sedang membina semula kekuatan dalam dirinya. Kekuatan yang pernah hilang, kini perlahan-lahan kembali dengan cara yang tidak disangka.

*****

Beberapa minggu kemudian, Suri menerima tugasan kerja yang lebih mencabar. Namun kali ini, dia lebih yakin dan bersedia. Setiap duka dan tawa yang pernah singgah, telah mengajar dia erti tabah. Suri kini bukan lagi wanita yang sama. Dia sudah belajar untuk berdiri, melangkah dan akan terus berjalan demi menghadapi apa jua cabaran di hadapan.

Suri tidak lagi perlu berpura-pura menjadi orang lain. Dia menerima dirinya seadanya. Dalam dunia yang semakin mencabar, Suri yakin dia mampu bertahan. Bukan kerana dia benar-benar kuat, tetapi kerana dia sedar yang dia tidak pernah bersendirian. Ada cahaya yang menanti di hujung jalan. Dan kini, dia sudah mula melihat sinarnya.

Hari itu, Suri semakin yakin untuk melangkah. Bukan kerana segalanya sudah sempurna, tetapi kerana dia tahu setiap langkah yang diambilnya adalah menuju fasa pemulihan dan kehidupan yang lebih bermakna.

Dengan senyuman terukir di wajah, Suri tahu bahawa perjalanan ini baru sahaja bermula.

Tamat.



Bionarasi

Asmaniza Din merupakan seorang suri rumah sepenuh masa berkelulusan Diploma Pengurusan & Teknologi Pejabat (UiTM) dari Pasir Mas, Kelantan. Minatnya terhadap dunia penulisan kreatif berputik sejak 2011 ketika beliau mula memuat naik karya di platform bacaan digital. Cerpen sulungnya bertajuk "Cinta Ini Milikmu" terpilih untuk menghiasi Antologi 100 Detik Terindah (Grup Buku Karangkraf, 2014). Antara naskhah terkini 2025 termasuklah "Rendang Warisan Nenda" (Antologi Suapan Cinta Raya, SHE) dan "Dendang Jalanan" (Antologi Terima Kasih Ayah dan Ibu, Penerbit Khaira, Indonesia). Dengan mengusung tema cinta, romantik komedi, persahabatan dan kekeluargaan, beliau percaya bahawa setiap penulisan mampu menebar ilham, menumbuhkan inspirasi serta menjadi lentera yang menyuluh jiwa buat para pembaca. 



Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular