HUJAN YANG MENYUBURKAN KENANGAN
Karya: Kims Diwa
Langit Kampung Lumadan diselubungi awan kelabu, seolah-olah menanti giliran untuk mencurahkan hujan. Aroma tanah basah yang meresap ke ruang udara sejak awal pagi itu mengingatkan Jasmin pada musim-musim yang telah lama berlalu. Usianya kini menjengah ke angka 40, tapi ada sesuatu dalam deru hujan yang selalu membawa dia pulang ke waktu kanak-kanak ke sebatang anak sungai di tepi dusun, di mana ibunya pernah mengajarnya membezakan jenis-jenis rebung yang selamat dimakan.
Pagi ini, Jasmin kembali ke kampung setelah tujuh belas tahun menetap di bandar Kota Kinabalu. Dia menjejakkan kaki ke tanah pusaka sebidang dusun kecil yang diwarisi daripada arwah ibunya. Hujan turun renyai, menimpa daun-daun pisang dan mengalir di celah-celah perdu mengkuang. Di situ, di bawah rerimbun, dia melihat semula bayang dirinya yang muda, bersama ibu, menggenggam parang kecil, belajar memilih buluh muda untuk dibuat sayur.
Tiba-tiba, deringan telefon memecah kenangan. Suara adik lelakinya, Farid, kedengaran cemas. “Kak, ada orang kampung mahu jumpa di balai raya. Ada hal tanah dusun.” Jasmin menarik nafas panjang, meneliti jejak-jejak air yang merayap di hujung jarinya bimbang sesuatu yang telah lama diabaikan bakal menumbuhkan luka baru.
Hujan membasuh kenangan
di tepi dusun tua
wajah ibu muncul antara rintik
Mengajarku menanti bukan sekadar menunggu
pada rebung dan rimbun
waktu tumbuh diam-diam
bersama harapan yang kadang-kadang layu.
Di balai raya berdinding papan, Jasmin bertemu beberapa orang tua kampung dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Pengerusi JKKK, Pakcik Manan, menjelaskan dengan suara berat, “Dusun ini, ada yang datang tuntut, katanya ada geran lama dari zaman kolonial.”
Jasmin terpaku. Lelaki asing itu memperkenalkan diri sebagai Amiruddin, cucu kepada kawan rapat arwah datuk mereka yang pernah membantu menjaga dusun semasa zaman darurat. Amiruddin mendakwa memiliki hak ke atas sebahagian tanah itu.
Kening Jasmin berkerut. Seingatnya, tiada perjanjian bertulis kecuali cerita lisan yang disampaikan turun-temurun. Namun, tanpa bukti nyata, hakikat boleh berubah di atas kertas. Jasmin terhimpit antara warisan keluarga dan tuntutan orang luar. Di tengah kekeliruan, suara Mak Som jiran lama yang duduk di penjuru balai menyampuk lembut,
“Jangan sampai hujan dalam hati, Jasmin. Kadang-kadang, pohon tua pun perlu berbagi tempat dengan semak yang tumbuh sendiri.”
Petang itu, Jasmin berjalan pulang dalam gerimis. Di laman rumah, suara ibu seakan terngiang semula, “Jika kau kehilangan sesuatu, lihatlah apa yang tumbuh selepas hujan.” Kata-kata itu melekat, lebih kuat daripada deru air di atas zink dapur lama.
Malam menurun perlahan, langit di Kampung Lumadan dikelilingi bunyi cengkerik. Jasmin membuka album lama di ruang tamu; gambar dirinya bersama arwah ibu di dusun, wajah penuh lumpur dan tawa, lalu sekeping lagi gambar seorang lelaki muda bersama datuk dan seorang bayi lelaki yang tidak dikenalinya.
Tiba-tiba, Jasmin perasan sesuatu yang aneh. Bayi lelaki dalam gambar itu bukan Farid. Ibu pernah bercerita tentang seorang anak yang meninggal ketika masih kecil namun ini, jelas lebih besar, mungkin dua tahun. Jasmin mula merasakan sesuatu yang telah lama tersembunyi dari pengetahuannya.
Ketika hujan reda, Farid pulang dari surau dan membawa sekeping surat lama yang ditemui di celah buku resit tanah. Surat itu bertulis tangan dari datuk kepada seorang sahabat, menyatakan rasa terhutang budi kerana pernah diselamatkan dari banjir besar pada tahun 1974. Sebagai tanda terima kasih, separuh dari dusun itu diamanahkan kepada keluarga sahabatnya, dan sekiranya mereka kembali menuntut, keluarga Jasmin harus bersedia berbagi. Jasmin terdiam. Kebenaran yang dilupakan sejarah, tumbuh semula seperti rebung selepas hujan. Dunia terasa semakin sempit, namun anehnya dadanya terasa lapang.
Keesokan harinya, Jasmin dan Farid bertemu Amiruddin di dusun. Mereka duduk di atas tikar mengkuang, dikelilingi pohon cempedak dan buluh muda yang mula tumbuh di tanah lembab. Jasmin menunjukkan surat lama itu.
Amiruddin mengesat mata, “Saya hanya mahu tahu kisah sebenar. Seumur hidup saya, nenek hanya bercerita tentang janji lama, tapi saya sendiri tidak pernah kenal siapa keluarga di sini.”
Jasmin tersenyum pahit. “Warisan bukan hanya tanah, Amir. Ia juga tentang kisah dan kenangan yang menumbuhkan kita seperti hujan yang menumbuhkan rebung di rimba.”
Amiruddin mengangguk. Dalam perbincangan yang jujur dan terbuka, mereka sepakat untuk mengusahakan dusun itu bersama. Amiruddin mempunyai pengalaman pertanian moden yang boleh digabungkan dengan kearifan tempatan yang diwarisi Jasmin daripada ibunya: cara menjaga tanah tanpa merosakkan ekosistem, menggunakan baja organik dari sisa dapur, dan teknik menanam buluh berperingkat untuk elak hakisan.
Di sinilah, kebijaksanaan lama bertemu inovasi baharu, membentuk harapan baru buat generasi selepas mereka.
selepas hujan reda
ada benih yang baru
bukan sekadar warisan nama
tapi tangan-tangan yang menanam
pohon-pohon kenangan
di tanah basah yang sabar
setiap luka yang bertunas
membawa damai pada akhirnya.
Sebulan berlalu sejak Jasmin dan Amiruddin menemui titik damai dalam kisah dusun tua itu. Hujan masih menjadi teman setia setiap petang, seakan merestui segala perubahan yang sedang berlaku. Dusun yang dulunya sunyi dan hampir terbiar kini mula hidup kembali—pohon cempedak menumbuhkan tunas baharu, rumpun serai dan kunyit tumbuh subur di batas yang disusun rapi oleh tangan-tangan muda dan tua.
Setiap pagi, Jasmin akan berdiri di beranda rumah kayu peninggalan ibunya. Udara pagi yang segar membawa bau tanah basah dan wangi daun bambangan yang digantung di dapur. Suara ayam kampung bersahut dari celah-celah pohon mangga, sementara kanak-kanak meniti batas sempit menuju ke sungai membawa bubu buluh untuk menangkap ikan puyu. Tradisi lama diteruskan, tanpa paksaan, kerana semuanya seolah-olah mengalir semula secara semula jadi.
Amiruddin semakin akrab dengan keluarga dan penduduk kampung. Dialah yang mencadangkan penggunaan baja organik daripada sisa dapur, satu amalan baru yang akhirnya diterima baik setelah melihat tanaman menjadi lebih subur tanpa bahan kimia. Farid pula tekun belajar teknik anyaman mengkuang daripada Mak Som, menghidupkan kembali kraf tangan yang hampir dilupakan.
Gotong-royong menjadi acara mingguan. Kaum wanita duduk bersila di bawah pohon nangka menyiang pucuk ubi dan daun tarap untuk dibuat linopot. Kaum lelaki mengalihkan kayu reput dan menggali parit kecil, membina saliran air dari batang buluh sebagaimana adat orang tua-tua supaya air hujan tidak bertakung dan merosakkan akar pokok.
Pada suatu petang, ketika hujan mulai turun renyai, Jasmin berdiri di hujung dusun memerhati Amiruddin yang menanam pokok mangga bersama anak-anak kecil kampung. Di wajah mereka terpancar harapan bahawa tanah ini tidak sekadar menyimpan sejarah, tetapi juga menumbuhkan masa depan.
Jasmin menarik nafas panjang. Dia teringat pesan ibunya yang selalu bergema, “Setiap hujan membawa rezeki, setiap tangan yang menanam akan menuai damai.” Dalam diam, Jasmin sedar, segala yang pernah hilang kini tumbuh kembali bukan kerana dia melawan takdir, tetapi kerana dia belajar menerima, memaafkan, dan berkongsi.
Hujan yang turun kali ini tidak membawa duka, sebaliknya menumbuhkan kehidupan baharu. Di bawah limpahan rahmat itu, Jasmin akhirnya menemui apa yang dicari sekian lama: ketenangan, kasih sayang, dan keluarga bukan sekadar pada nama, tetapi pada setiap akar yang tumbuh, setiap tangan yang membantu, dan setiap senyuman yang ikhlas.
Di bawah langit yang masih gerimis, Jasmin tahu: warisan sebenar bukan hanya pada geran tanah atau pusaka, tetapi pada nilai yang hidup dalam masyarakat, pada semangat gotong-royong dan kearifan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan