Puisi kehidupan dan pengharapan
karya: Ju-Ann
Pada usia kian matang,
kita terkadang menoleh pada jalan lalu ketika masih mentah,
mengingat kembali pada diri yang sering takut berkata "tidak",
rela menerima sisa pilihan,
kerana terlalu biasa mendahulukan mereka yang merasa lebih layak.
Ada hati pernah memendam jeritan,
dipandang rendah, diperlekeh dengan kata dan pandang.
Namun semua ditelan meski pahit,
kerana diam dilihat sebagai selamat,
kerana takut menyuarakan kehendak sendiri.
Cita-cita dikunci dalam senyap,
impian dilipat dalam redha yang senget.
Kerana hidup sering mengajar,
bahawa meminta lebih itu satu beban.
Namun di balik diam itu,
rupanya ada tangan Tuhan bekerja senyap.
Dihantarnya pelindung yang memahami,
Anak-anak penawar yang tak disangka,
dan pondok cinta yang menjadi pendamai jiwa.
Kerjaya yang terasa lambat memekar,
akhirnya menjejak ke tangga tertinggi,
bukan kerana kejaran tanpa henti,
tetapi kerana rahmat yang melampaui jangka.
Lalu timbul satu pertanyaan:
Apakah kebaikan yang pernah dilakukan?
hingga rezeki datang sebegini indah?
Mungkin…
kerana tetap bertahan saat mudah rebah,
kerana memilih diam daripada membalas luka,
kerana tetap berjalan walau dunia mempersoalkan langkah.
Kini kita mengerti,
nilai diri bukan pada pujian manusia,
tetapi pada pandangan Tuhan
yang tahu segalanya,
meski tiada satu pun yang kita ucapkan.
Syukur hari ini,
bukan kerana memiliki segalanya,
tetapi kerana akhirnya
menemui makna diri yang sebenar.
Ju-Ann
Keningau
13/7/2025.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan