Rabu, 25 Februari 2026

PEREMPUAN YANG MEMILIH PERGI: Karya Nurul Afifah

 Perempuan Yang Memilih Pergi

KaryaNurul Afifah Rahim


Aku bukan ditinggalkan 

aku yang berjalan keluar

dari sebuah pintu

yang tidak pernah benar-benar terbuka.


Aku yang mengetuk dahulu,

menghulur salam dahulu,

memasak rindu di dapur kecil

bersama bau biskut batik kegemaranmu.


Kau makan,

kau senyum,

kau diam.


Aku menunggu

seperti petang menunggu maghrib

pasti datang

tetapi tidak pernah dipercepatkan.


Kerana bila lelaki tahu dia dipilih,

dia belajar untuk tidak bersungguh.


Kau selesa

di atas kasih yang aku bentang

seperti tikar hari raya,

sedang aku duduk bersila

meminta sedikit dihargai.


Aku tahu kau sayang,

tapi sayangmu tidak pernah berjalan,

ia hanya duduk.


Dan di hujung senyap itu

aku dengar satu suara lain 

bukan dari mulutmu

tetapi dari doa ibumu.


Dia tidak pernah menerima

nama negeri di hujung namaku.


Lalu aku faham,

aku bukan sedang melawan jarak,

aku sedang melawan akar.


Apa guna bertahan

jika pintu syurga seorang anak

tidak pernah membuka ruang untukku?


Maka aku pergi.

Bukan kerana kurang cinta,

tetapi kerana cinta tidak seharusnya

meminta aku mengecilkan diri.


Hari itu

aku pulang sebagai perempuan yang kalah pada hati,

tetapi menang pada maruah.


Dan sejak itu aku belajar 

yang paling menyakitkan bukan berpisah,

tetapi tinggal

di tempat kita tidak dipilih.


Nurul Afifah Rahim

18.2.2026

Rantau Panjang,Kelantan

Tiada ulasan:

KETIKA LAUT TAK LAGI MENJADI BATAS: Karya Nelly Amalia

Ketika Laut Tak Lagi Menjadi Batas Karya: Nelly Amalia Aku mencintaimu di antara dua bendera yang berkibar pada langit berbeda. Namamu kuseb...

Carian popular