Khamis, 9 Oktober 2025

 DARI JAUH AKU MELIHAT

Karya: Pasidah Rahmat


Dari jauh

Aku melihat Palestine

Bukan dari jendela rumahku

Tetapi dari layar kaca

Yang menyiarkan tangisan dalam warna


Aku melihat anak-anak

Bermain di bawah langit yang retak

Dan aku menonton

Seperti menonton filem

Yang tiada penghujung



Aku meneguk kopi pagi

Sementara mereka meneguk debu

Aku berkata “kasihan,”

Lalu menatal ke bawah

Mencari berita lain


Betapa mudahnya simpati ini

Lahir dan mati dalam detik


Dunia penuh suara

Tapi tiada yang benar-benar mendengar

Kita menulis “Pray for Palestine,”

Di ruang maya yang sunyi

Sedang di bumi mereka

Sedang di bumi mereka

Doa itu dibayar dengan nyawa


Aku tertanya

Apakah ertinya menjadi manusia

Kalau hanya mampu memandang derita

Tanpa berbuat apa-apa?


Mereka kehilangan rumah

Aku kehilangan rumah

Aku kehilangan kata

Mereka menaman zaitun di tanah terbakar

Aku menanam rasa bersalah

Di hati yang semakin beku

Namun setiap kali aku menatap wajah mereka

Anak kecil memeluk roti separuh hangus

Ibu yang mengangkat tubuh tanpa nyawa

Lelaki tua yang masih sujud di bawah langit terbuka

Aku tahu

Aku sedang memandang wajah sebenar ketabahan


Mereka mengajar dunia

Erti berdiri tanpa tanah

Erti berharap tanpa janji

Erti cinta yang tidak meminta balasan



Dan aku

Orang luar yang hanya mampu menulis

Berjanji pada sehelai kertas

Akan ku teruskan kisah mereka

Selagi tinta masih mengalir

Selagi matahari belum letih memandang bumi


Kerana suatu hari nanti

Bila dunia ini benar-benar tenang

Aku mahu berkata pada diriku sendiri

Aku tidak hanya melihat

Aku pernah peduli


Pasidah Rahmat

Fajar, Singapura

8 Okt 2025


Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular