Khamis, 9 Oktober 2025

AKU DATANG KE SEMPADAN

Karya: Pasidah Rahmat


Suatu hari

Aku datang ke sempadan

Langitnya masih sama

Berdebu birunya pudar

Namun udara di sini

Mengandungi sesuatu

Yang tidak wujud di tempat lain

Bau kehilangan yang suci


Aku melihat sendiri

Bagaimana bumi boleh bernafas dalam derita

Bagaimana manusia boleh tersenyum

Walau setiap langkahnya memijak kaca


Di hadapan sebuah khemah lusuh

Seorang kanak-kanak menulis di pasir

Bukan huruf

Tetapi nama-nama yang ingin diingatkan dunia

Namanya Mariam

Dia berkata kepadaku

“Kakak, bila langit tenang

Saya akan jadi guru.”


Aku terdiam

Langit tidak pernah tenang di sini

Tetapi dalam matanya

Aku nampak sebuah sekolah kecil yang masih hidup

Dibina dari harapan

Bukan batu


Di masjid yang tinggal separuh dinding

Iman tua mengangkat tangan

Doanya panjang

Bukan meminta hujan

Tetapi meminta dunia mendengar

Aku berdiri di belakangnya

Terasa kecil di hadapan iman sebesar langit


Ketika malam turun

Aku duduk di tepi khemah

Dikelilingi kanak-kanak yang ketawa

Yanpa memahami perang sepenuhnya

Aku malu pada mereka

Pada ketabahan yang tidak aku miliki


Di luar sempadan

Dunia sibuk dengan urusan sendiri

Di dalam sini

Masa diukur dengan dentuman

Bukan jam


Aku menulis lagi

Kali ini bukan tentang simpati

Tetapi tentang saksi

Kerana setelah melihat

Aku tidak lagi orang luar


Aku telah disentuh oleh tanah ini

Oleh tangan kecil yang memegang jari aku

Oleh wajah ibu yang berkata lembut

“Jangan lupa kami bila pulang.”


Dan aku tahu

Aku tidak akan lupa


Kearan Palestine bukan lagi berita

Bukan lagi peta

Tetapi cermin

Di dalamnya aku melihat

Segala yang masih manusia dalam diriku


Kini bila aku pulang

Aku tidak hanya berkata

Aku melihat

Tetapi aku menyaksikan


Dan dalam setiap degup jantung

Aku dengar gema itu

Suara bumi yang masih bernyawa

Masih menunggu dunia

Untuk menjadi manusia semula


Pasidah Rahmat

Fajar, Singapura

8 Okt 2025

Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular