Khamis, 19 Februari 2026

ANTARA JANJI DAN RASA: Karya Kims Diwa

 ANTARA JANJI DAN RASA


Aku mencintaimu seperti Laila

yang berdiri di ambang malam

memandang Majnun dari seberang takdir

yang tidak pernah memberi laluan.


Kita dipertemukan

seperti bulan dan matahari

berkongsi langit yang sama

tetapi ditentukan

untuk beredar

pada waktu yang berbeza.


Janji yang kau pegang

setia seperti sumpah 

 diukir pada batu purba

sementara rasa ini

hanya embun pagi

yang singgah 

sebelum matahari

menghapusnya perlahan.


Seperti senja

aku melipat cahaya

kerana aku tahu

tidak semua yang bersinar

ditakdirkan menjadi fajar.


Namamu tinggal di dada

sebagai kisah yang tidak disebut

dalam hikayat tetapi hidup

di antara hela nafas

yang tertahan.


Aku memilih diam seperti pahlawan lama

menyarungkan kembali pedangnya

kerana ada peperangan  

yang tidak harus dimenangi

jika kemenangan itu 

mengkhianati diri.


Kims Diwa

Telupid, Sabah

14 Februari 2026

Tiada ulasan:

DI ANTARA GARIS DAN LENGKUNGAN: Karya Pasidah Rahmat

 DI ANTARA GARIS DAN LENGKUNGAN Pasidah Rahmat            Koridor hospital memanjang seperti lorong yang membawa manusia ke wilayah antara h...

Carian popular