Jumaat, 12 Disember 2025

BILA CINTA BERSEMI

Cerpen: Bila Cinta Bersemi


Aku masih ingat pertama kali bertemu Afikah. Dia bekerja di sebuah syarikat penerbitan ternama di Bandar Seri Begawan. Wajahnya tenang, senyumannya sederhana, tetapi ada sesuatu yang membuatku ingin terus berbicara dengannya. Setiap kali aku ke pejabatnya atas urusan manuskrip, dialah yang menyambut dengan penuh profesionalisme. Namun di balik meja pejabat itu, aku merasakan ada getar halus yang tidak pernah aku alami sebelumnya. Sampai kini aku belum berani untuk mengajaknya terus berbicara lagi.


Hari itu, hujan turun renyai. Aku sedang duduk sambil membaca di ruang tamu selepas aku membantu ibu. Ketika itu aku terdengar ketukan di pintu. Aku terburu-buru bangkit lalu meninggalkan novel yang kubaca di sofa untuk berjalan menuju ke pintu. Dalam benakku tertanya-tanya, siapa yang datang ke rumah waktu petang begini. Cuaca pula kurang bersahabat. Itulah sebabnya aku tidak mendengar bunyi kereta dipandu masuk ke depan rumah tadi. Aku membuka pintu. Sebaik-baik sahaja pintu dan di hadapan berdiri Afikah, basah sedikit di hujung tudungnya. Di tangannya, sebuah bungkusan manuskrip yang kukenal betul—manuskrip yang aku tulis dengan penuh harapan. Manuskrip itulah yang menemukan aku dengan dia. Atas urusan manuskrip itu juga aku selalu dipanggil ke pejabat syarikatnya. Kali terakhir aku berbincang dengan Afikah, dua bulan lalu. Ketika itu Afikah mengatakan bahawa dia akan membawa manuskrip itu kepada ketua editornya untuk keputusan akhir. Kini manuskrip itu berada di tangan Afikah. Apakah petandanya? Hatiku bertanya-tanya.


“Assalamualaikum,” katanya lembut, namun matanya seakan berat.
“Waalaikumussalam. Eh, Afikah… masuklah dulu, jangan berdiri di luar hujan begini,” jawabku sambil menjemputnya masuk. Aku terkesima sebenarnya. Banyak persoalan bermain dalam kotak fikirku. Bagaimana dia tahu rumahku? Mengapa dia datang ke rumahku? Dia tidak menolak ajakanku. Aku mendahuluinya untuk membuka pintu. Afikah membuka kasud di luar. Kemudian dia melangkah perlahan di belakangku di bilik tamu menuju sofa tempat aku duduk tadi. Sampai dekat meja sofa dia meletakkan manuskrip di atas meja. Dia duduk setelah aku mempersilakannya. Nafasnya ditarik panjang sebelum berkata, “Aku datang untuk menyampaikan keputusan ketua editor. Manuskrip ini… tidak sesuai untuk diterbitkan.”


Aku terdiam. Kata-kata itu seperti pisau yang mengiris perlahan. Sangkaanku tadi tepat. Manuskrip itu adalah hasil kerja berbulan-bulan, kadang-kadang penuh dengan malam tanpa tidur. Namun kini, ia kembali kepadaku sebagai naskhah yang ditolak.


“Tidak sesuai?” suaraku bergetar sedikit.


“Ya. Mereka kata gaya bahasa masih perlu diperhalusi, dan tema yang kau bawa terlalu berat untuk pasaran sekarang,” jelas Afikah, cuba menenangkan. Aku menyandarkan belakangku ke dinding sofa yang berwarna putih di bilik tamu ini. Aku menatap manuskrip itu. Ada rasa kecewa yang menyesak. Rasa cintaku kepada penulisan seperti hancur rasanya. Ada jeda di antara perbualan kami. Aku menatap terus manuskripku yang terletak di atas meja sofa. Rintik-rintik hujan masih kedengaran. Ibu mungkin sibuk di dapur selepas kami mengemas bilik tamu ini tadi. Hari ini aku tidak kuliah, jadi ada masa menolong ibu. Namun di tengah rasa itu, aku melihat wajah Afikah. Ada simpati di matanya, ada kejujuran yang membuatku tidak mampu marah.

    “Afikah,” aku berkata perlahan, “kau tahu manuskrip ini bukan sekadar tulisan. Ia sebahagian daripada diriku.”


Dia mengangguk. “Aku tahu. Sebab itu aku sendiri yang mahu menghantarnya kembali. Aku tidak mahu kau hanya menerima surat rasmi tanpa penjelasan.” Aku tersenyum pahit. 


“Terima kasih. Walaupun sakit, aku hargai kejujuranmu.” Aku tidak dapat menyembunyikan perasaanku. Aku berterus terang saja. Suasana hening seketika. Hanya bunyi hujan di luar menemani. Aku tidak tahu yang keadaanku bingung itu diperhatikan oleh Afikah. Selalunya apabila aku ke pejabat syarikatnya, kami sering berbual dengan rancak. Tidak pernah berlaku seperti ini. Mula-mula dulu setelah aku diperkenalkan dengan syarikat ini, aku ke pejabat ini untuk bertanya perkara-perkara yang perlu penulis buat, jika bukunya diterbitkan di syarikat ini. Pada masa itu dialah orang yang pertama aku temui di sini. Dia menerangkan segala-galanya. Pertemuan itu seperti pemangkin untukku dapat menyiapkan buku novel pertamaku ini. Lalu Afikah bersuara, seakan ingin menguatkan aku.


“Pernah kau dengar kata-kata Haruki Murakami? Dia pernah menulis: ‘When you write, you must write with all your heart. Even if nobody reads it, you must keep writing.’ Kita menulis bukan semata-mata untuk diterbitkan, tetapi kerana menulis itu adalah hidup.”


Aku menatap wajahnya yang ayu di sebalik tudung yang berwarna biru laut. Tudung itu sangat sesuai dengan warna baju kurung labuh yang dipakainya. Aku terkejut dengan kata-kata itu. 


“Kau membaca Murakami?” tanyaku bodoh. Aku tidak sangka dia sebegitu banyak bacaannya sehingga novel penulis terkenal di luar negara. Sangkaanku salah total.


Dia tersenyum. “Aku bekerja di penerbitan, ingat? Kata-kata pengarang adalah bekal harian kami.” Aku menarik nafas panjang. Kata-kata itu menusuk, tetapi juga menyala. Aku teringat pula pesan Pramoedya Ananta Toer: “Orang boleh pandai setinggi langit, tapi selama ia tidak menulis, ia akan hilang dari masyarakat dan sejarah.” Kata-kata itu seperti kesimpulan pertemuan kami petang itu. Dia bangkit lalu meminta diri. Waktu petang sudah semakin larut. Dia hendak balik ke rumah setelah berada di pejabatnya sepanjang hari.


Aku bangkit, menatap Afikah dengan tekad baru. “Kalau begitu, aku akan menulis lagi. Manuskrip ini mungkin ditolak, tetapi aku tidak akan berhenti. Aku akan menghantar manuskrip bagi hasil karya-karyaku yang lebih baik, lebih jujur, lebih hidup.” Namun kata-kata itu tidak terlahir dari mulutku. Aku hanya mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudiannya singgah dan menghantar manuskrip yang terletak di meja sekarang ini.


“Mungkin aku akan ke pejabatmu lagi untuk menghantar manuskrip yang lain pula,” janjiku. Itu bukan janji kosong. Aku akan berusaha untuk menghantar manuskrip lain untuk diterbitkan. Afikah tersenyum, kali ini lebih hangat. 


“Itu yang aku harapkan. Jangan berhenti hanya kerana satu pintu tertutup. Kadang-kadang, pintu lain menunggu untuk dibuka.”


Hari-hari selepas itu, aku kembali ke meja tulis. Malam demi malam, aku menulis dengan semangat baru. Setiap kali pena bergerak, aku teringat wajah Afikah yang memberi kata-kata motivasi. Ada cinta yang bersemi, bukan sekadar pada tulisan, tetapi pada kehadirannya yang menjadi cahaya. Kali ini aku hendak menghantar kumpulan cerpen. Banyak cerpen yang telah aku hasilkan. Sebahagiannya sudah diterbitkan di akhbar tempatan. Sebahagiannya lagi masih dalam simpanan. Sudah hampir dua puluh semuanya. Kini aku memilih dan menyusunnya untuk menjadi sebuah buku. Jika terbit kumpulan cerpen ini, ia adalah kenanganku semasa masih kuliah. Tahun ini adalah tahun akhir aku di universiti. Tahun hadapan, jika tidak ada aral melintang aku akan graduit.


Suatu malam, aku menerima mesej darinya.


“Bagaimana dengan manuskrip baru?”


Lama aku merenung dada telefon bimbit Oppoku. Aku tak sangka dia menghantar mesej. Sejak kami bertukar nombor telefon, aku sahaja yang menghubunginya. Aku bertanya perkembangan manuskripku itu. 


Aku membalas watsapnya, “Sedang berjalan. Aku menulis dengan lebih jujur kali ini. Aku menulis seolah-olah bercakap denganmu.” Aku maksudkan cerpen-cerpenku yang baharu, aku menulis dengan demikian. Ia akan kumasukkan dalam kumpulan ini nanti. Tajuk yang terbaharu ialah cerpen bertajuk’ Bila Cinta Bersemi. Semoga ketua editor akan tertarik dengan cerpen-cerpen dalam kumpulan yang akanku hantar nanti. Dia membalas dengan emoji senyum. Ringkas, tetapi cukup membuatku tersenyum sepanjang malam.


Beberapa minggu kemudian, aku kembali ke syarikat penerbitannya di Bandar Seri Begawan. Aku dibenarkan masuk ke pejabat oleh sekuriti yang bertugas di situ. Dia sudah kenal aku. Dia sudah tahu tujuanku ke mari. Dia mengatakan orang yang akan aku jumpai memang ada di dalam pejabatnya. Aku melangkah masuk ke biliknya. Aku sudah selalu ke sini. Walaupun manuskripku sebelum ini ditolak, aku tidak rasa rendah diri untuk menghantar hasil karyaku yang terbaru. Manuskrip baru itu kuletakkan di meja Afikah. Dia menatapku dengan mata bercahaya.


“Sudah siap?”


“Ya. Dan kali ini, aku tidak menulis untuk editor. Aku menulis untuk diriku… dan mungkin untukmu.” Aku menyatakannya dengan wajah yang serious. Aku memandang ke arahnya ketika dia membelek-belek manuskripku yang kini ada di tangannya. Semua susunan, jilid dan format tulisan aku ikut seperti apa yang diberitahunya kepadaku tempoh hari. Itu adalah kehendak syarikat penerbitan mereka. Setelah itu dia mengangkat mukanya. Dia mendapati aku sedang merenungnya. Mata kami bertemu. Dia terdiam, wajahnya memerah sedikit. 


“Aku akan pastikan manuskrip ini dibaca dengan teliti.” Katanya.


Aku mengangguk. “Afikah, kau tahu… Bila Cinta Bersemi, ia bukan sekadar tentang dua hati. Ia juga tentang keberanian untuk terus melangkah, walaupun jalan berliku.” Kini aku serious dengan hasil kerjaku. Maksudnya menghasilkan karya kreatif. Aku tidak akan berhenti walaupun gagal berkali-kali. Rasa cinta kepada kerja menulis sudah bersemi di dalam jiwaku.
Dia tersenyum. “Dan aku percaya kau akan melangkah jauh.”


Beberapa bulan kemudian, aku menerima panggilan telefon. Suara Afikah di hujung talian berbunyi ceria.


“Manuskripmu… kali ini mereka tertarik. Ada peluang besar untuk diterbitkan.”


Aku terdiam, lalu ketawa kecil. “Benarkah?”


“Ya. Mereka kata ada kejujuran yang kuat dalam tulisanmu. Dan aku tahu, itu datang kerana kau menulis dengan hati.”


Aku menjawab penuh semangat, “Terima kasih, Afikah. Tanpa kata-katamu, mungkin aku sudah berhenti.”


Dia membalas, “Jangan berterima kasih padaku. Terima kasih pada dirimu sendiri kerana tidak menyerah.”


Malam itu, aku duduk di kerusi meja tulis. Aku menarik keluar manuskrip yang terakhir aku hantar ke syarikat penerbitan tempat Afikah berkerja. Aku menatap manuskrip yang kini punya harapan baru. Aku selak halaman kulitnya. Aku menulis catatan kecil di halaman pertama:


“Menulis adalah perjalanan tanpa akhir. Walaupun manuskrip ditolak, cinta pada kata-kata tidak pernah padam. Seperti cinta yang bersemi, ia tumbuh dari luka, dari kecewa, lalu mekar menjadi harapan.”


Selepas membaca dua tiga kali ayat-ayat itu. Aku berpuas hati. Aku menutupnya kembali. Aku beredar ke katil yang menungguku malam ini sambil membawa senyum yang masih terukir di bibirku. Aku berbaring dan wajah Afikah terbayang di sisiku, dengan Cinta Yang Bersemi, aku yakin setiap kata akan menemukan jalannya. Tapi, mataku terbuka luas. Tiba-tiba rasa mengantuk hilang. Jika manuskripku itu diterima untuk diterbitkan, adakah Afikah datang ke rumahku lagi?


Eyuman, Brunei Darussalam
9/12/2025
 
Biodata

Eyuman nama Pena Chong Ah Fok (PhD) mantan Timbalan Pengetua sekolah menengah dan berminat menulis karya kreatif sejak di bangku sekolah menengah atas. Menerbitkan 5 novel, 2 kumpulan cerpen, 2 kumpulan sajak 2 buku akademik sastera dan puluhan antologi bersama; bersama penulis-penulis setempat dan juga nusantara.


Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular