Isnin, 17 Februari 2025

SIRNA DI TANGAN RAKUS

 SIRNA DI TANGAN RAKUS

Oleh: Marlina Mailon

Sepasang mata merenung jauh

Dada sungai berpesta sampah-sarap

Kotor,  jijik meloyakan 

Hilang damai lenyap keindahan.


Dulu, di situ riuh sorakan kanak-kanak riang

Berenang berkejaran melawan arus tenang

Gelak tawa dan gurau senda bergema memecah sunyi

Melakar memori tak luput dek zaman.


Di situ juga joran buluh bersusun rapi

Menunggu umpan dibaham mangsa

Sebaldi hasil tangkapan melorek senyum 

Rezeki datang pengalas perut keluarga besar.


Kini, segalanya sirna di tangan rakus

Kebersihan bukan lagi tunjang jati diri

Pembangunan meranapkan disiplin hidup

Rebah dalam genggaman duniawi semata.


Di manakah hilangnya kewarasan akal?

Di mana letaknya rasa tanggungjawab?

Jangan ditanya mengapa nikmat ditarik Pencipta 

Andai rasa menghargai dan bersyukur 

Hilang dan terkubur tanpa pusara.


Kota Marudu, 15 Februari 2025.


BIODATA PENULIS

Marlina Mailon dilahirkan di Kota Marudu Sabah, Malaysia. Mulai berjinak-jinak menulis pada tahun 2018. Sudah menerbitkan beberapa buah buku novel, Antologi Puisi dan Antologi Cerpen. Penulis aktif mengikuti Pertandingan Menulis Puisi dan Cerpen di Malaysia dan Indonesia. 


Tiada ulasan:

JEJAK TAK TERLIHAT

Jejak Tak Terlihat  Karya: Severinus bin Intang Dua puluh tahun waktu yang menekan sunyi dalam hening malam aku bertanya pada diri apa yang...

Carian popular