Di Dataran Perjuangan
Naora MN
mereka menerima gelombang
mengusung harapan dan langit yang luka
kapal mereka berlayar di laut doa
membelah sunyi dengan tekad dan kasih
aku di sini
tidak berdiri di dek kapal
tidak menatap ombak yang menggila
namun aku tetap berjuang
di dataran yang tidak berombak
dengan senjata yang bernama pena
pena ini
layarku yang tenang
mengibarkan harapan di samudera kata
setiap noktah, setiap ayat
adalah degup perjuangan
yang tak terlihat oleh mata
namun menyala di hati manusia
kerana perjuangan itu seribu wajah
ada yang berdarah di laut
ada yang berdiri di dataran
dan ada yang berlutut di depan kerta
mendoakan dalam senyap yang tegas
aku menulis tentang luka
tentang tanah yang dijajah
tentang ibu yang kehilangan anak
tentang dunia yang memaling muka
mereka membawa roti dan ubat
aku membawa kesedaran dan doa
mereka menentagn sekatan dan senjata
aku menentang bisu dan lupa
kerana tidak semua pejuang berparang di tangan
ada yang berperang dalam diri
agar dunia tidak terus lena
dan di dataran sunyi ini
aku bersaksi
pena juga mampu belayar
menuju kebenaran
Naora MN
Melaka 2025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan