Sabtu, 30 Ogos 2025

 NEGARAKU MERDEKA

Karya: WAHDANIAH BINTI ABDULLAH


Merdeka ini bukan sekadar kata,

Merdeka, darah yang menitis di bumi pusaka.

Merdeka, keringat yang meresap ke akar sejarah,

Merdeka, doa yang terangkat ke langit maruah.


Lihatlah Jalur Gemilang berkibar megah,

bagai ombak laut yang tidak pernah rebah.

Merdeka ini suara yang lantang,

mengalun di dada rakyat gemilang.


Wahai tanah tumpahnya darahku,

engkaulah nadi, engkaulah jiwaku.

Gunungmu berdiri gagah,

sungaimu beralun membawa amanah.


Merdeka ini bukan hadiah percuma,

tetapi nyawa yang rebah di hujung senjata.

Titis air mata ibu di ambang subuh,

menjadi saksi perjuangan yang tidak pupus.


Merdeka adalah janji yang kita genggam,

supaya bangsa ini terus terangkum.

Supaya anak cucu tidak lagi terbelenggu,

dalam rantai penjajahan yang dulu.


Wahai negaraku, Malaysia tercinta,

engkau bunga mekar di taman dunia.

Engkau mercu cahaya di ufuk benua,

engkau nyanyian aman dalam dada manusia.


Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Pekikkan kata ini sekuat jiwa.

Selagi nafas ini masih bersisa,

akan kupelihara engkau—Malaysia merdeka!


WAHDANIAH BINTI ABDULLAH

SMK Penangah

27/8/2025

Tiada ulasan:

GELAP YANG CUKUP : Eduar Daud

 GELAP YANG CUKUP Karya: Eduar Daud Malam berhenti bergerak.  Di kamar ini aku belajar diam,  menghitung napas di balik tirai yang membeku. ...

Carian popular