Khamis, 2 April 2026

AZAN YANG MENYENTUH TULANG-TULANG DAHAGA: Karya Jaya Ramba

 

Azan yang Menyentuh Tulang-Tulang Dahaga

 Lapar itu tidak lagi berumah di perutku. Ia telah berpindah menjadi penghuni tetap di dalam tulang-tulang yang menyokong tubuhku yang semakin letih. Ia tidak hanya berdenyut, tetapi bernafas, bergerak perlahan seperti sesuatu yang hidup dan sedar akan kewujudannya. Dari rongga perut yang kosong, ia menjalar ke dada, memukul dinding rusuk dengan rentak yang tidak pernah reda. Dari dada, ia naik ke bahu, lalu ke leher, mengikat setiap urat dengan simpulan yang tidak kelihatan. Setiap sendi terasa berderit. Aku tahu, bukan kerana usia, tetapi kerana beban yang tidak pernah dilihat oleh mata manusia.

            Matahari tergantung di langit seperti paku yang memaku waktu, tidak bergerak walau detik terus berlalu. Panasnya menekan kulit, menyusup masuk ke dalam daging. Ia memang ingin menguji batas ketahanan manusia. Di tengah kota yang tidak pernah berhenti bernafas, aku berdiri sebagai bayang yang hampir hilang. Bunyi hon dan enjin mengaum seperti ribuan suara yang tidak pernah saling mendengar. Namun di tengah kekacauan ini, satu suara mengatasi segalanya. Ia suara lapar yang kini berakar dalam tulangku. Nafasku pendek, langkahku berat, dan dunia di hadapanku seperti diliputi kabus yang tidak pernah mahu hilang.

            Rumah setinggan kami berdiri di celah kota seperti rahsia lama yang sengaja disembunyikan daripada mata dunia. Atap zinknya berkerut seperti wajah yang terlalu lama menanggung panas dan hujan tanpa perlindungan. Setiap kali angin menyentuhnya, bunyi yang lahir seperti keluhan yang dipendam sejak sekian lama. Dinding papan yang mengelupas memperlihatkan lapisan warna yang pernah hidup, kini mati dalam diam. Lantai kayu yang tidak rata membuat setiap langkah terasa seperti berjalan di atas masa yang telah retak dan hampir runtuh. Di sudut ruang yang sempit, Mak duduk bersandar pada tiang yang condong. Tangannya bergerak perlahan menyusun nasi putih ke dalam pinggan yang telah kehilangan kilauannya. Bau nasi itu sederhana, tetapi mengisi ruang dengan kehangatan yang tidak mampu ditiru oleh kemewahan. Aku duduk di hadapannya, memandang wajahnya yang tenang seperti air sungai yang mengalir tanpa bertanya ke mana arahnya. Kedut di wajahnya bukan tanda kelemahan. Namun ia jejak perjalanan yang panjang dan sabar. Matanya tidak pernah mendesak, tetapi sentiasa melihat dengan ketenangan yang sukar aku hadapi. Dalam diam itu, aku merasa yang aku sedang berdiri di hadapan cermin yang memantulkan segala yang aku cuba sembunyikan.

            Aku mencapai nasi itu dengan tangan yang terasa asing, seperti tangan yang dipinjam daripada seseorang yang lebih kuat daripadaku. Setiap butir nasi yang masuk ke dalam mulutku terasa berat. Ia bukan keras. Namun kerana ia membawa bersama rasa bersalah yang tidak pernah selesai. Aku mengunyah perlahan dengan membiarkan masa memanjang dalam setiap gerakan rahangku. Air kosong yang aku minum tidak terasa dingin. Namun ia tetap mengalir seperti satu-satunya jalan yang masih terbuka. Mak memandangku tanpa bertanya. Aku tahu mak melihat lebih daripada apa yang aku tunjukkan. Dalam pandangan itu, aku merasa kecil, seperti bayang yang tidak memiliki bentuk yang tetap. Aku menundukkan wajah, cuba melarikan diri daripada ketenangan yang terlalu jujur itu. Ketenangan itu tidak menghukum. Ketenangan itu memaparkan segala yang aku cuba lupakan. Nafasku terasa berat, seperti membawa sesuatu yang tidak dapat dilepaskan. Aku ingin berkata sesuatu, tetapi kata-kata itu mati sebelum sempat lahir. Dalam diam itu, aku tahu aku sedang berhadapan dengan diriku sendiri.

            “Aiman, makanlah sahur walaupun sedikit. Kekuatan itu kadang-kadang bersembunyi dalam perkara yang kita pandang remeh,” ujar mak.

            Suara Mak jatuh perlahan seperti hujan yang menyentuh tanah kering tanpa bunyi yang kuat. Kata-katanya meresap ke dalam diriku, mencari ruang yang selama ini aku tutup rapat. Aku mengangguk perlahan, walaupun aku tahu anggukan itu tidak membawa makna yang cukup. Dalam diriku, sesuatu bergerak dan sesuatu yang telah lama terkurung. Aku merasakan dadaku sempit, seperti ruang yang terlalu lama tidak dibuka. Setiap nafas yang aku tarik terasa pendek, seakan udara tidak mahu masuk sepenuhnya. Aku memandang tangan sendiri. Aku melihat garis-garis halus yang menyimpan cerita yang tidak pernah diceritakan. Dalam garis-garis itu, aku melihat kesilapan, pilihan, dan jalan yang pernah aku ambil. Aku menutup mata seketika, cuba mengosongkan fikiran, tetapi bayang-bayang masa lalu tetap muncul. Ia tidak datang dengan suara, ia dengan rasa yang sukar dihapuskan. Dalam diam itu, aku tahu aku tidak boleh terus melarikan diri.

            “Aiman, puasa ini menahan apa yang tidak terlihat oleh mata.” Mak merenung aku.

            Kata-kata itu tinggal di dalam diriku seperti dengung yang tidak mahu hilang. Aku membiarkannya berulang, mengisi ruang yang selama ini kosong dengan makna yang perlahan-lahan terbentuk. Dalam diam itu, aku merasa seperti berdiri di hadapan pintu yang telah lama terkunci. Aku tahu di sebalik pintu itu ada sesuatu yang aku takut untuk hadapi. Namun semakin aku cuba jauhkan diri, semakin kuat tarikan itu terasa. Aku menarik nafas panjang. Nafas itu tidak mampu mengosongkan dadaku. Ada sesuatu yang lebih berat daripada udara yang aku hirup. Sesuatu itu bukan lapar, tetapi sesuatu yang lebih dalam. Aku membuka mata, memandang Mak, dan dalam pandangan itu aku melihat sesuatu yang tidak pernah berubah. Ketenangan. Ketenangan itu membuat aku semakin gelisah.

            Lorong setinggan menyambutku dengan bau yang tidak pernah berubah, campuran sisa kehidupan yang dibuang tanpa upacara. Air hitam mengalir perlahan seperti masa yang tidak pernah tergesa. Dinding konkrit di kiri dan kanan dipenuhi kesan tangan. Ia seperti setiap orang meninggalkan sebahagian daripada diri mereka di situ. Di hujung lorong, Rafiq berdiri dengan wajah serius. Dia tersenyum melihatku, senyuman yang mengandungi kebebasan dan kehampaan dalam satu masa. Aku menghampirinya dengan langkah yang tidak pasti. Matahari masih tinggi, tetapi bayang kami telah mula memanjang, bagaikan cuba meninggalkan tubuh masing-masing. Dalam diam itu, aku tahu pertemuan ini bukan hanya kebetulan. Ia adalah ujian yang datang dalam bentuk yang aku kenal. Aku tahu aku tidak boleh terus berpura-pura tidak melihatnya.

            “Aiman, kau tabah sekali,” katanya.

            Aku memandang jalan besar di hadapan, melihat manusia berjalan dengan makanan di tangan dan ketawa yang ringan. Nafasku terasa sempit, dan tekakku kering seperti tanah yang lama tidak disentuh hujan. Aku menelan air liur yang hampir tiada, merasakan geseran di dalam kerongkongku seperti pasir yang bergerak perlahan. Rafiq menyemtuh kotak rokok. Kata-katanya dalam kepalaku, tidak keras tetapi cukup untuk menggoyahkan sesuatu yang rapuh. Aku tahu dia tidak salah sepenuhnya. Namun aku juga tahu dia tidak sepenuhnya benar. Dalam ruang antara benar dan salah itu, aku berdiri tanpa arah. Aku memejamkan mata seketika, merasakan berat dunia di bahuku. Apabila aku membuka mata semula, dunia masih sama, tetapi aku merasa sedikit berubah. Sedikit, tetapi cukup untuk membuat aku berfikir.

            “Ini bulan puasa, Fi. Aku tak mahu lari lagi.” Aku juga bersumpah kepada Makku.

            Rafiq ketawa kecil, tetapi ketawanya tidak bertahan lama. Ia seperti sesuatu yang tidak cukup kuat untuk hidup. Dia memandangku dengan mata yang sukar aku tafsirkan, antara simpati dan sinis yang bercampur tanpa sempadan. Aku berdiri kaku, merasakan tubuhku seperti diikat oleh keputusan yang belum selesai. Dalam diam itu, aku merasakan sesuatu dalam diriku menguat walaupun perlahan. Ia seperti akar kecil yang mula mencengkam tanah yang keras. Aku tidak tahu ke mana ia akan membawa aku. Namun aku tahu aku tidak mahu kembali ke tempat yang sama. Kota di sekelilingku masih bergerak tanpa peduli, dalam diriku, sesuatu sedang berhenti. Berhenti untuk melihat. Berhenti untuk mendengar. Mungkin, berhenti untuk berubah.

            Di tempat kerja, matahari menjadi lebih kejam, seperti hakim yang tidak pernah memberi ruang untuk rayuan. Besi yang aku angkat terasa berat seperti memikul kesalahan yang tidak pernah diampunkan. Setiap sentuhan pada permukaan logam itu memindahkan panas ke dalam kulit, lalu ke dalam daging, dan akhirnya ke dalam tulang yang sudah sedia terbakar oleh lapar. Peluh mengalir tanpa henti, menuruni wajahku seperti air yang mencari jalan keluar daripada tubuh yang keletihan. Namun peluh itu tidak membawa kelegaan, kerana ia hanya membersihkan permukaan tanpa menyentuh kedalaman. Perutku semakin kosong, tetapi kekosongan itu terasa semakin padat, bagaikan diisi oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat. Aku melihat pekerja lain duduk di tepi, membuka bekal mereka dengan gerakan yang tenang dan tidak tergesa. Bau makanan itu meresap ke dalam udara, masuk ke dalam hidungku, lalu mengusik setiap saraf yang telah lama menahan. Dalam detik itu, aku merasa tubuhku terbahagi dua, satu yang berdiri, dan satu lagi yang hampir rebah. Nafasku menjadi pendek, dan dadaku terasa seperti dipenuhi sesuatu yang berat. Dunia di sekelilingku menjadi kabur, seperti dilihat melalui air yang bergoyang.

            Tanganku bergerak perlahan ke arah botol air yang diletakkan di atas kotak kayu, seperti ditarik oleh benang halus yang tidak kelihatan. Jari-jariku menggigil, kerana lemah, kerana ragu yang mengikat setiap sendi. Dalam ruang kecil antara niat dan perbuatan, aku berdiri seperti seseorang yang tidak tahu arah mana yang harus dipilih. Waktu terasa melambat, seperti tidak mahu bergerak ke hadapan sebelum aku membuat keputusan. Dalam diam itu, aku mendengar suara dari dalam diriku, suara yang lembut tetapi tajam seperti bilah yang disembunyikan. Suara itu tidak memaksa, ia tahu ke mana harus pergi. Ia menyebut tentang kelegaan, tentang air yang dingin, tentang dahaga yang akan hilang dalam sekelip mata. Namun di sebalik bisikan itu, ada sesuatu yang lain, sesuatu yang tidak disebut, juga dapat dirasakan. Sesuatu yang lebih besar daripada dahaga itu sendiri. Sesuatu yang menunggu untuk aku pilih. Dalam detik itu, aku tahu aku tidak boleh lagi berpura-pura tidak mendengarnya.

            “Ambil saja… tak ada siapa tahu…” Suara itu datang.

            Suara itu tidak datang dari luar, dari dalam, dari tempat yang aku sendiri takut untuk sentuh. Ia berlegar di dalam kepalaku, berulang-ulang seperti gema yang tidak mahu hilang. Tanganku hampir menyentuh botol itu. Jari-jariku berada di ambang sesuatu yang tidak dapat ditarik kembali. Pada waktu itu, dunia di sekelilingku hilang. Aku hanya tinggal bersama keputusan yang belum dibuat. Nafasku menjadi berat, dan dadaku terasa sempit seperti ruang yang terlalu lama tertutup. Dalam kekosongan itu, satu bayang muncul perlahan. Ia bukan bayang yang menakutkan, tetapi bayang yang dikenali. Wajah Mak hadir dalam ingatan, tenang seperti biasa, tetapi kali ini lebih dekat. Dalam ketenangan itu, aku melihat sesuatu yang tidak pernah berubah. Kepercayaan. Itulah kepercayaan yang membuat aku berhenti. Aku menarik tanganku perlahan, menjauh daripada botol itu, seperti menarik diri daripada jurang yang hampir menelan. Nafasku jatuh satu demi satu, berat tetapi hidup.

            Petang bergerak perlahan menuju senja. Aku berjalan pulang dengan langkah yang terasa lebih berat daripada biasa. Lorong setinggan itu menyambutku seperti selalu, dengan bau yang tidak pernah berubah dan suara yang tidak pernah benar-benar sunyi. Air longkang mengalir perlahan, membawa bersama sisa kehidupan yang tidak lagi diperlukan. Dinding konkrit masih berdiri dengan kesan tangan yang sama, seakan tidak pernah berubah sejak aku mula mengenal dunia. Namun dalam diriku, sesuatu telah berubah, walaupun kecil dan hampir tidak kelihatan. Aku melangkah dengan perasaan yang sukar dijelaskan, antara letih dan tenang yang bercampur tanpa sempadan. Nafasku masih berat, tetapi tidak lagi sesak seperti tadi. Lapar itu masih ada, ia tidak lagi menjerit. Ia diam, seperti sedang menunggu sesuatu. Dalam diam itu, aku merasakan satu ruang yang baru terbuka dalam diriku. Ruang yang selama ini tertutup oleh kebisingan dunia.

            Di tangga kayu yang hampir patah, budak kecil itu masih duduk seperti petang-petang sebelumnya. Bajunya lusuh, warnanya telah lama pudar oleh panas dan hujan. Matanya tetap terang seperti langit malam yang tidak disentuh awan. Dia memandangku dengan senyuman yang tidak meminta apa-apa, tetapi memberi sesuatu yang tidak dapat aku jelaskan. Aku duduk di sebelahnya, merasakan kehadirannya seperti angin yang tidak kelihatan tetapi menyentuh. Dalam diam itu, aku melihat tangannya memegang perutnya dengan cara yang jujur. Tidak ada keluhan, tidak ada rungutan, hanya penerimaan yang tenang. Aku memandangnya lama. Dalam pandangan itu, aku melihat sesuatu yang aku telah lama hilang. Sesuatu yang tidak dapat dibeli, tidak dapat dipinjam, dan tidak dapat dipaksa untuk kembali. Sesuatu itu adalah keikhlasan yang tidak mengenal syarat.

            “Abang puasa?” soalnya.

            Aku mengangguk perlahan. Senyumannya melebar seperti cahaya kecil yang menolak gelap. Dalam senyuman itu, aku merasa sesuatu dalam diriku menjadi ringan, walaupun tubuhku masih berat. Aku memandang ke hadapan, tetapi fikiranku masih tertinggal di situ, bersama budak kecil yang tidak pernah meminta lebih daripada apa yang dia miliki. Dalam kesederhanaannya, ada kekuatan yang tidak dapat aku fahami sepenuhnya. Aku menarik nafas perlahan, merasakan udara masuk ke dalam dada dengan cara yang berbeza. Tidak lagi seperti sebelumnya yang sempit dan terhimpit. Kali ini, ada ruang. Ruang yang membenarkan aku bernafas dengan lebih dalam. Aku menutup mata seketika, dan dalam gelap itu, aku merasakan sesuatu yang hampir hilang kini kembali. Perlahan-lahan, tetapi pasti.

            “Kalau lapar, kita simpan… biar Tuhan tengok,” katanya.

            Kata-kata itu jatuh ke dalam diriku seperti batu yang memecahkan permukaan air yang selama ini tenang tetapi cetek. Riaknya meluas, menyentuh setiap sudut yang selama ini aku biarkan kosong. Dalam kesederhanaan itu, ada kebenaran yang tidak dapat aku tolak. Aku memandang budak itu sekali lagi. Kali ini aku melihatnya bukan sebagai seorang kanak-kanak, tetapi sebagai cermin yang memaparkan sesuatu yang telah lama aku tinggalkan. Aku menghela nafas panjang, merasakan beban dalam dadaku mula berubah bentuk. Ia tidak hilang, ia tidak lagi menekan seperti sebelumnya. Dalam diam itu, aku sedar bahawa kekuatan tidak selalu datang dalam bentuk yang besar. Kadang-kadang ia hadir dalam kata yang paling ringkas. Kata yang tidak cuba meyakinkan, tetapi tetap mengubah.

            Senja turun perlahan seperti kain lembut yang menutup wajah langit, membawa bersama warna-warna yang tidak pernah sama setiap hari. Cahaya matahari mula melemah, dan bayang-bayang memanjang seperti ingin melarikan diri daripada tubuh masing-masing. Angin bergerak perlahan, membawa bau makanan dari rumah-rumah yang bersiap untuk berbuka. Aku melangkah masuk ke dalam rumah. Mak yang masih duduk di tempat yang sama, seperti tiang yang tidak pernah berpindah. Pinggan di hadapanku sama seperti pagi tadi, sederhana dan jujur. Aku duduk perlahan, merasakan tubuhku seperti baru sahaja pulang dari perjalanan yang panjang. Perutku masih kosong, tetapi kosong itu tidak lagi menyakitkan seperti sebelumnya. Ia diam, seperti sesuatu yang telah menerima takdirnya. Dalam diam itu, aku merasakan satu ketenangan yang tidak pernah aku kenal sebelum ini.

            Aku memandang Mak, dan dalam pandangan itu, aku melihat sesuatu yang selama ini aku tidak pernah benar-benar perhatikan. Ada cahaya yang tidak datang dari luar, ia dari dalam dirinya sendiri. Cahaya itu tidak terang, cukup untuk menerangi ruang yang sempit ini. Aku merasakan dadaku menjadi hangat, tetapi kerana sesuatu yang bergerak perlahan di dalamnya. Nafasku menjadi lebih dalam. Setiap hela nafas terasa lebih bermakna. Aku menundukkan wajah kerana aku tidak mampu menahan apa yang sedang aku rasa. Dalam diam itu, aku sedar bahawa aku sedang berubah, walaupun perlahan. Perubahan itu tidak datang dari luar, tetapi dari dalam. Dari tempat yang selama ini aku abaikan.

            “Allahu Akbar…”

            Azan itu berkumandang dari surau kecil di hujung lorong. Suaranya tidak kuat, tetapi ia menembusi segala yang ada di sekelilingku. Ia tidak datang sebagai bunyi semata-mata dan sesuatu yang hidup. Ia masuk ke dalam telingaku, turun ke dada, lalu meresap ke dalam tulang-tulang yang telah lama dahaga. Aku merasakan setiap ruas dalam tubuhku bergetar, seperti menyambut sesuatu yang telah lama ditunggu. Suara itu tidak berhenti di permukaan, terus masuk ke dalam, ke tempat yang paling dalam. Air mataku jatuh tanpa aku sedari, mengalir perlahan seperti sesuatu yang akhirnya menemui jalannya. Lapar yang tadi menyakitkan kini berubah menjadi sesuatu yang suci. Sesuatu yang tidak lagi menekan, ia membimbing. Dalam detik itu, aku tidak lagi merasa kosong. Aku merasa penuh, dengan cara yang tidak dapat aku jelaskan.

            “Aiman, berbukalah,” ujar Mak.

            Aku mencapai air dengan tangan yang perlahan, merasakan getaran yang masih tinggal di dalam tubuhku. Seteguk air itu mengalir ke dalam diriku seperti rahmat yang lama menunggu untuk diterima. Ia tidak hanya menghilangkan dahaga, tetapi membuka sesuatu yang lebih dalam. Nasi yang aku makan terasa berbeza, walaupun ia sama seperti sebelumnya. Dalam setiap suapan, ada makna yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Aku memandang Mak. Kali ini aku benar-benar melihatnya. Bukan hanya sebagai ibu, tetapi sebagai cahaya yang tidak pernah padam. Dalam pandangan itu, aku merasa pulang. Pulang ke sesuatu yang selama ini aku tinggalkan tanpa sedar.

            Selepas berbuka, aku duduk seketika, membiarkan tubuhku menerima apa yang baru sahaja berlaku. Kota di luar masih bising, masih penuh dengan suara yang tidak pernah berhenti. Namun dalam diriku, ada sunyi yang baru. Sunyi yang tidak kosong, juga penuh dengan sesuatu yang hidup. Aku menarik nafas perlahan, merasakan udara masuk dan keluar dengan ritma yang tenang. Dalam sunyi itu, aku mendengar sesuatu yang tidak pernah aku dengar sebelum ini. Bukan suara luar, tetapi suara dalam. Suara yang selama ini tenggelam oleh kebisingan dunia.

            Aku bangun perlahan dan melangkah keluar menuju surau di hujung lorong. Langkahku terasa ringan, walaupun tubuhku masih letih. Jalan yang sama kini terasa berbeza, seperti aku melihatnya dengan mata yang baru. Lampu-lampu kecil mula menyala, menerangi jalan dengan cahaya yang sederhana. Angin malam menyentuh wajahku, membawa kesejukan yang menenangkan. Dalam perjalanan itu, aku merasakan setiap langkah membawa aku lebih dekat kepada sesuatu yang aku tidak pernah benar-benar fahami sebelum ini. Sesuatu yang tidak dapat dilihat, aku dapat dirasakan.

            Aku melangkah masuk ke dalam surau kecil itu, melihat wajah-wajah yang berkumpul dalam diam. Mereka berdiri dalam saf yang rapat, seperti barisan yang tidak memerlukan kata-kata. Aku berdiri bersama mereka, merasakan kehadiran yang sama mengalir di antara kami. Dalam diam itu, aku mengangkat tangan, dan untuk pertama kalinya dalam waktu yang lama. Aku merasa aku benar-benar hadir. Tidak lagi terpisah. Tidak lagi hilang.

            Setiap gerakan dalam solat terasa berbeza, bukan kerana ia baru, tetapi kerana aku yang berubah. Setiap bacaan terasa hidup, seperti kata-kata yang akhirnya menemukan maknanya. Dalam sujud, aku merasakan sesuatu yang tidak pernah aku rasa sebelum ini. Bukan hanya tunduk. Aku benar-benar menyerah. Dalam penyerahan itu, aku merasa bebas. Bebas daripada sesuatu yang selama ini mengikat tanpa aku sedari.

            Apabila aku bangun dari sujud, aku merasakan tubuhku ringan seperti sesuatu yang telah dilepaskan. Nafasku dalam, dan dadaku tidak lagi sempit seperti sebelumnya. Aku memandang ke hadapan, melihat ruang yang sama, tetapi dengan rasa yang berbeza. Dalam ruang itu, aku melihat diriku yang baru. Bukan sempurna, tetapi sedang belajar untuk menjadi.

            Azan itu tidak lagi datang dari menara. Ia kini hidup di dalam diriku, bergetar dalam tulang-tulang yang pernah dahaga. Ia mengalir dalam darahku, bernafas bersama setiap hela nafasku. Dahaga itu masih ada, tetapi ia tidak lagi menyakitkan. Ia telah menjadi jalan. Jalan pulang yang selama ini aku cari tanpa aku sedari. Dalam perjalanan itu, aku akhirnya menemui diriku sendiri.

  


 Biodata

Jaya Ramba dari etnik Dayak berasal dari Miri Sarawak Malaysia. Penulis ini merupakan novelis dan cerpenis Malaysia dan telah menghasilkan lebih 40 buah novel dan lebih 8 kumpulan cerpen persendirian. Beliau banyak memenangi sayembara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Hingga kini, beliau terus prolifik demi masyarakatnya.

 

AZAN YANG MENYENTUH TULANG-TULANG DAHAGA: Karya Jaya Ramba

  Azan yang Menyentuh Tulang-Tulang Dahaga   Lapar itu tidak lagi berumah di perutku. Ia telah berpindah menjadi penghuni tetap di dalam t...

Carian popular