Selasa, 24 Mac 2026

Meraih Keberkahan dari Melodi Jiwa - Karya: Nelly Amalia

Meraih Keberkahan dari Melodi Jiwa

Karya: Nelly Amalia


Aku tidak lagi menyebut ini suara,

ia adalah napas yang disusupkan langit

ke dalam rongga paling sunyi,

dari diriku yang pernah retak.


Pada dini hari yang nyaris tak bernama,

ketika embun menggigil di ujung waktu,

ada nada yang jatuh perlahan 

bukan dari dunia,

melainkan dari sesuatu yang lebih tua dari doa.


Ia mengetuk,

bukan telinga,

melainkan ingatan yang bahkan belum sempat lahir.


Dan aku bergetar.


Seperti tanah yang pertama kali disentuh hujan,

seperti luka yang diam-diam dipeluk cahaya,

melodi itu mengalir

menyusuri nadi,

mengendap di tulang,

lalu berpendar menjadi rahasia yang tak mampu kubahasakan.


Aku bertanya,

ini rindu, atau panggilan pulang?


Sebab setiap nadanya

membuka pintu-pintu yang selama ini kupaku sendiri,

menggugurkan gelap yang kupelihara

seolah ia rumah.


Dan kini,

aku berdiri di antara gema yang tak terlihat,

namun terasa lebih nyata

dari tubuhku sendiri.


Melodi itu tidak meminta apa pun,

tidak menjanjikan apa pun,

namun setiap getarnya

menjadi keberkahan yang turun tanpa suara.


Ia menjadikan air mataku suci,

menjadikan diamku penuh,

menjadikan aku…

lebih dekat dari jarak yang pernah kupahami.


Jika ini mimpi,

biarkan aku terjaga di dalamnya.


Jika ini cahaya,

biarkan aku hancur agar mampu memantulkannya.


Sebab pada akhirnya aku tahu

yang kucari bukan dunia yang bising,

melainkan satu nada kecil

yang diam-diam menuntunku 

pulang

kepada yang tak pernah benar-benar jauh.

Isnin, 23 Mac 2026

CAHAYA DI HUJUNG RAMADAN; Karya: Nurul Afifah

CAHAYA DI HUJUNG RAMADAN

Karya: Nurul Afifah Binti Rahim


Langit Felda Lepar Utara 1 petang itu redup. Awan kelabu berarak perlahan, seolah-olah memahami hati yang sedang sarat. Sudah masuk hari ke-12 Ramadan 2026. Di halaman sekolah, murid-murid berlari kecil menuju kantin, ada yang ketawa, ada yang bercerita tentang juadah berbuka nanti. Namun di sudut Pusat Sumber SEPARATU, aku hanya berdiri diam, memandang keluar melalui jendela kaca yang sedikit berdebu.

Segalanya terasa biasa tetapi tidak lagi sama. Ini Ramadan pertama tanpa Abah. Dan lebih menyakitkan, ini juga Ramadan pertama tanpa sahabat yang selama ini menjadi tempat aku bersandar iaitu Nurul Hasnyta. “Afi… nanti kita berbuka sama-sama ya.”

Suara itu datang tiba-tiba seolah-olah hidup semula di ruang ini. Aku tersentak. “Mek Hasnyta?” Sepi. Hanya bunyi kipas lama berputar perlahan. Aku pejam mata seketika. Menarik nafas dalam. “Ini cuma perasaan…” bisik aku sendiri. Tetapi hati ini menolak. Kerana aku tahu ini bukan sekadar rindu. Ini kehilangan yang belum sempat aku terima. Suara itu pernah hidup di ruang ini. Kini, hanya gema yang tinggal.

“Afi!” Suara itu lebih nyata. Aku menoleh. Guru Penolong Kanan berdiri di pintu. “Rakaman ucapan raya tu dah set ke? Guru besar nak tengok petang ni.” Jantung aku berdegup kuat. “Ya… ya, cikgu. Sedang siapkan.” Sedang? Aku sendiri tahu itu bohong. Skrip masih kosong. Langsung tiada satu baris pun. Di meja kerja, aku duduk perlahan. Pen di tangan terasa berat. Kertas putih di hadapan aku seakan mencabar. Tulis. Tulis sesuatu. Ucapan raya. Tentang kegembiraan. Tentang kemenangan. Tetapi setiap kali aku cuba menulis bayangan Abah muncul. Wajah Hasnyta muncul. Dan setiap perkataan…mati sebelum sempat hidup.

Petang itu aku sepatutnya sibuk. Sebagai Guru Perpustakaan dan Media, aku perlu menguruskan rakaman ucapan raya sekolah. Guru Besar sudah beri amanah, murid-murid TVPSS menunggu arahan. “Arahan skrip dah siap, cikgu?” tanya Umaira, salah seorang kru kecil yang setia. Aku tersenyum hambar. “Siap… nanti cikgu bagi.” Tetapi hakikatnya, skrip itu masih kosong seperti hati aku.

Konflik itu datang perlahan, tetapi menghimpit. Bagaimana aku mahu menyampaikan kegembiraan Aidilfitri, sedangkan dalam dada ini hanya ada kehilangan? Bagaimana aku mahu mengarah murid tersenyum di hadapan kamera, sedangkan aku sendiri sedang berperang dengan air mata? Bagaimana aku mahu mencipta suasana raya, sedangkan hati aku masih berkabung? Dan yang paling menakutkan aku mula rasa… aku tidak mampu jadi diri aku yang dulu.

Tiba-tiba, tangan aku menyentuh sesuatu di dalam laci meja. Aku tarik keluar perlahan. Sebuah buku kecil. Kulitnya sedikit lusuh. Aku kenal buku itu. Itu buku nota Hasnyta. Aku terdiam. Perlahan-lahan aku buka helaian pertama. Tulisan tangan yang kemas menyambut mata aku.

 “Kalau satu hari nanti aku tiada,

jangan berhenti buat apa yang kita cinta.

Sebab di situlah kita hidup walaupun sudah tiada.”

Nafas aku tersekat. Air mata jatuh tanpa amaran. Dan untuk pertama kali sejak Ramadan bermula aku rasa sesuatu berubah. Sedikit. Tetapi cukup untuk membuat aku…ingin bangun semula.

Malamnya, di rumah, suasana lebih sunyi daripada biasa. Jam menunjukkan 3.45 pagi. Aku bangun untuk sahur, tetapi langkah terasa berat. Dapur itu… tempat yang paling menyakitkan. Di situlah Abah selalu berdiri, memasak telur goreng sambil berseloroh, “Masak ni pun ibadah tau, kalau niat kerana Allah.” Aku pegang kuali itu. Dingin. Seperti masa yang telah berhenti. “Abah…” Suara aku pecah. Air mata jatuh ke atas dapur, dan untuk seketika, aku biarkan diri itu lemah.

Konflik dalam diri semakin kuat. Aku mula persoalkan kenapa aku masih di sini, sedangkan orang-orang yang aku sayang telah pergi? Kenapa aku masih perlu kuat, sedangkan hati ini sudah terlalu letih? Dan paling menyakitkan aku mula menjauh dari apa yang selama ini menjadi pegangan. Solat aku semakin kosong. Doa aku semakin pendek. Aku marah…bukan pada takdir, tetapi pada diri sendiri yang tidak mampu menerima.

Hari ke-15 Ramadan. Petang itu, langit tidak lagi kelabu tetapi berat. Seolah-olah hujan sedang menunggu masa untuk jatuh, seperti hati aku yang menunggu untuk pecah. Sekolah menganjurkan Majlis Iftar Jamaie. Dewan Ibnu Sina dihias indah, lampu berkelip lembut, meja disusun kemas. Murid-murid ceria, guru-guru saling bertanya khabar. Aku duduk di satu sudut. 

“Afi, awak handle rakaman nanti ya. Kita nak shot suasana berbuka sekali.” Guru besar memberi arahan dengan tenang. Aku mengangguk. “Baik, cikgu.” Tetapi di dalam, aku terasa seperti sedang dipaksa berdiri di tengah-tengah lautan yang aku tidak tahu berenang.

Menjelang waktu berbuka, aku berdiri di belakang kamera. “Roll… kamera.” Suara aku kedengaran profesional. Murid-murid tersenyum. Guru-guru ketawa kecil. Seolah-olah dunia ini tidak pernah kehilangan apa-apa. Aku memandang skrin kamera. Wajah-wajah bahagia memenuhi bingkai.

Dan tiba-tiba aku ternampak satu ruang kosong di hujung meja. Kerusi itu. Kosong. Dulu, di situlah Hasnyta akan duduk. Dia akan lambai tangan, “Eh, sini lah! Kau selalu lambat.” Kami akan berkongsi kurma, ketawa tanpa sebab, dan kadang-kadang mengeluh tentang penatnya menjadi guru tetapi tetap bahagia. Hari ini, kerusi itu hanya diam. Dan entah kenapa, ia lebih “hidup” daripada semua yang ada di sekeliling aku.

“Afi… okay ke?” Suara seorang rakan guru memecah lamunan. Aku cepat-cepat alihkan pandangan. “Okay…” Tetapi perkataan itu terasa berat di lidah.

“All crew standby! Lagi 5 minit berbuka!” Suara murid TVPSS bergema. Semua bersedia. Aku pegang kamera erat. Tetapi tangan aku mula menggigil. Nafas aku menjadi pendek. Suara di sekeliling semakin jauh seolah-olah aku tenggelam dalam ruang sendiri. Dan tanpa sedar aku nampak Abah. Berdiri di hujung dewan. Memakai baju Melayu lama yang selalu dipakainya setiap Ramadan. Wajahnya tenang. Seperti dulu. “Abah…” Bibir aku bergetar. Aku melangkah setapak ke hadapan. Namun bayangan itu hilang. Diganti dengan realiti yang menyakitkan.

“Allahu Akbar… Allahu Akbar…”

Azan Maghrib berkumandang. Semua orang duduk. Tangan diangkat. Doa dibaca. Tetapi aku…aku tidak mampu. Air mata mula mengalir. Laju. Tanpa kawalan. Aku letakkan kamera di meja. Langkah aku laju keluar dari dewan. Tidak peduli siapa yang melihat. Tidak peduli apa yang orang fikir. Di luar, hujan mula turun. Rintik-rintik kecil yang akhirnya menjadi lebat. Aku berdiri di bawah langit itu. Basah. Tetapi tidak lebih basah daripada hati aku.

“Kenapa ya Allah…kenapa waktu macam ni aku rasa kosong sangat…” Suara aku tenggelam dalam hujan. Dada aku sesak. Untuk pertama kali aku tidak lagi cuba kuat. Aku biarkan diri aku runtuh. Tangisan aku pecah bersama hujan. Segala yang aku simpan… rindu, marah, penat, kehilangan mengalir tanpa henti. Dan di tengah hujan itu, aku terdengar satu suara. Bukan dari luar tetapi dari dalam diri. Lembut. Tenang.

“Kalau kau jatuh hari ini…bangunlah kerana mereka.”

Aku diam. Nafas aku perlahan. Air mata masih jatuh tetapi tidak lagi sesakit tadi. Aku pandang langit. Hujan masih turun, tetapi terasa berbeza. Seperti membasuh sesuatu yang lama terpendam. Malam itu, aku tidak kembali ke dewan. Tetapi sesuatu dalam diri aku telah berubah. Belum sembuh. Tetapi… tidak lagi sepenuhnya hancur. Malam itu, selepas tarawih, aku berjalan sendirian di kawasan sekolah. Angin malam menyentuh wajah. Bulan Ramadan tergantung indah, tetapi aku tidak mampu menikmatinya seperti dulu. Langkah aku terhenti di hadapan surau sekolah. Lampu masih menyala. Aku masuk perlahan. Sunyi. Hanya sejadah dan bau harum karpet lama. Aku duduk. Untuk pertama kali dalam Ramadan ini, aku tidak menahan diri. Aku menangis. Tangisan yang lama dipendam pecah dalam sujud.

“Ya Allah…aku penat…aku rindu Abah…aku rindu sahabatku…”

Suara itu bergetar, tetapi jujur. Dan dalam tangisan itu, aku sedar sesuatu. Selama ini aku menahan, aku cuba menjadi kuat sendirian sedangkan aku lupa, aku tidak pernah sendiri. Aku capai al-Quran di rak kecil. Tanganku menggigil saat membuka helaian. Aku membaca perlahan. Setiap ayat terasa seperti berbicara terus ke hati untuk memujuk, menenangkan, memeluk. Dan di situlah konflik itu mula reda. Aku tidak kehilangan segalanya. Aku masih ada Tuhan. Aku masih ada jalan untuk kembali.

Hari ke-27 Ramadan 2026. Langit pagi itu cerah. Bukan cerah yang biasa tetapi seperti ada sesuatu yang ingin disampaikan. Cahaya matahari menyelinap masuk melalui jendela Pusat Sumber SEPARATU, jatuh perlahan di atas meja kerja aku. Tempat yang pernah menjadi saksi kekosongan, kini terasa… berbeza. Tidak sepenuhnya pulih tetapi tidak lagi gelap.

“Afi, hari ni kita final rakaman ya. Cikgu nak tengok petang ni.” Suara Guru Besar tenang, tetapi tegas. Aku mengangguk. “Baik, cikgu.” Kali ini tiada getaran pada suara aku. Kru TVPSS sudah bersedia. Umaira memegang skrip. Beberapa murid lain menguji kamera, mikrofon, pencahayaan. Suasana sibuk, tetapi teratur. Aku berdiri di tengah-tengah mereka. Dan untuk pertama kali sejak Ramadan bermula aku tidak rasa ingin lari.

“Cikgu… skrip ni cikgu tulis sendiri ke?” Umaira bertanya sambil memandang aku dengan mata yang bersinar. Aku tersenyum kecil. “Ya… cikgu tulis.” Tetapi apa yang tidak aku katakan setiap perkataan dalam skrip itu lahir dari luka yang pernah pecah. Aku capai skrip itu. Baris demi baris aku baca dalam hati.

 “Ramadan mengajar kita tentang kehilangan…tetapi juga tentang kembali. Tentang luka… yang akhirnya menemukan cahaya.”

Aku berhenti seketika. Dada aku terasa penuh bukan dengan kesedihan, tetapi dengan sesuatu yang lebih tenang. “Semua sedia?” Aku bersuara. “Sedia, cikgu!” jawab mereka serentak. Rakaman dimulakan. Kamera merakam setiap gerak, setiap senyuman. Dan kali ini aku melangkah ke hadapan. Berdiri di hadapan lensa. Bukan sebagai cikgu yang menyembunyikan luka tetapi sebagai manusia yang telah belajar berdamai dengannya.

“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…” Suara aku keluar perlahan, tetapi jelas. Seluruh dewan menjadi diam. “Ramadan bukan sekadar tentang menahan lapar dan dahaga…tetapi tentang perjalanan hati yang kadang-kadang diuji dengan kehilangan.”

Mata aku berkaca. Tetapi aku tidak berhenti. “Dan dalam kehilangan itu, kita belajar bahawa cinta tidak pernah hilang…ia hanya berubah menjadi doa. Di belakang kamera, Umaira terdiam. Seorang murid lain mengesat mata. Aku nampak tetapi aku teruskan. “Jika Ramadan ini menguji kita, percayalah…ia juga sedang memimpin kita pulang.”

“Cut!”

Suasana sunyi seketika. Kemudian, tepukan perlahan kedengaran. Bukan tepukan yang kuat tetapi cukup untuk membuat hati aku bergetar. “Afi…” Guru besar bersuara perlahan. “Ini bukan sekadar ucapan raya… ini… rasa.” Aku tersenyum. Untuk pertama kali aku benar-benar rasa dihargai, bukan kerana kerja, tetapi kerana kejujuran hati.

Petang itu, aku duduk sendirian di dalam Pusat Sumber. Cahaya senja masuk perlahan. Aku membuka buku nota Hasnyta sekali lagi. Helaian yang sama.

 “Jangan berhenti buat apa yang kita cinta…”

Aku usap tulisan itu dengan jari. “Terima kasih…” bisik aku perlahan. Angin petang masuk melalui tingkap yang sedikit terbuka. Sejuk. Tenang. Dan entah kenapa aku tidak lagi rasa kehilangan itu menyakitkan seperti dulu. Kerana aku mula faham bahawa mereka tidak benar-benar pergi. Mereka tinggal dalam setiap doa, dalam setiap langkah aku dalam setiap kebaikan yang aku teruskan.

Malam itu, di sejadah, aku sujud lebih lama daripada biasa. Bukan kerana luka tetapi kerana syukur. “Ya Allah…aku tidak lagi meminta untuk menghapuskan kehilangan ini…tetapi aku mohon, jadikan ia Cahaya yang membimbing aku.”

Dan dalam sujud itu yang aku akhirnya mengerti. Ramadan tidak pernah datang untuk menyakiti. Ia datang untuk menyembuhkan walaupun caranya melalui luka. 

Malam terakhir Ramadan. Aku duduk di beranda rumah. Angin malam membawa bau tanah yang lembap. Aku memandang langit. “Abah…Hasnyta…terima kasih kerana pernah hadir.”

Air mata jatuh lagi, tetapi kali ini bukan kerana luka tetapi kerana rindu yang telah berdamai. Ramadan telah mengajar aku sesuatu. Bahawa kehilangan bukan penamat tetapi jalan pulang. Bahawa luka bukan untuk melemahkan tetapi untuk mengingatkan kita kepada Tuhan. Dan bahawa cinta yang benar, tidak pernah mati. Ia hanya berpindah dari dunia ke dalam doa.

Di pagi Syawal, aku tersenyum untuk pertama kali. Bukan kerana aku sudah melupakan, tetapi kerana aku telah menerima. Dan dalam hati, aku berbisik “Ya Allah…jika ini cara-Mu mengajarku tentang cinta, aku reda…kerana akhirnya, aku menemukan cahaya di hujung Ramadan.”

Jumaat, 20 Mac 2026

DARI KEKASIH UNTUK KEKASIH: Karya Zamri H.J BWN

DARI KEKASIH UNTUK KEKASIH

Zamri H.Jamaluddin BWN

 

Kalimah itu berkumandang
Sebuah seruan

Membedah hening.

 

Merenyut nadi kaku
Dalam pasungan noda
Membelit sukma.

 

Di lembah sesal ini… aku terpaku.
Menatap cermin diri
Retak seribu.
Mencari sisa nur
Di balik bayang kelam
Kian memburu.

 

Duhai yang Maha Pengampun,
Nukilan lagu ini...
Rintihan kalbu 

Yang tersungkur hancur.
Musafir kehilangan pedoman
Di tengah padang pasir

Gersang… membara.

 

Setiap getaran nadanya... jemari halus.
Mengetuk pintu malakut.
Memohon karat hitam dasar hati
Hanyut...
Dalam derasnya rahmat-Mu
Tanpa tepi.

 

Betapa kerdilnya aku...
Di bawah hamparan ihsan melimpah-ruah.
Menghamparkan sajadah usang.
Membasuh wajah
Dengan air mata
Bukan lagi sekadar duka,
Tetapi sekelumit harapan
Mekar di celah munajat
Paling sunyi.

 

Usah Kau izinkan tetamu agung ini melambai pergi.
Tanpa melenyapkan api khilaf
Menjulang...
Membakar sanubari.

 

Biar nukilan melodi ini saksi bisu.
Di balik ruku’
Dan sujud panjang...
Ada seulas ikrar pulang
Sebening titisan telaga Kautsar,
Menjemput daku ke Firdausi abadi.

Kampung Sungai Akar,

Negara Brunei Darussalam

16.03.2026

 

 

Zamri H. Jamaluddin BWN, penggiat seni dari Negara Brunei Darussalam. Menekuni dunia penulisan kreatif merangkumi puisi, cerpen, pantun, serta skrip drama radio, televisyen, dan pentas dan Teater.Selain bergelar penyiar radio dan pengulas sukan, beliau juga merupakan seorang juruacara majlis profesional dalam dan luar negara. Bagi beliau, menulis bukan kerana nama, tetapi sekadar berkongsi rasa. Melalui mata pena, beliau menemukan ketenangan yang kemudiannya dialirkan ke dalam naskhah-naskhah syahdu buat tatapan pencinta sastera.

 

RAMADAN : JALAN PULANG SEORANG HAMBA: Karya Nurul Afifah

 RAMADAN : JALAN PULANG SEORANG HAMBA

Nurul Afifah Binti Rahim


Ramadan datang

seperti tamu yang tidak pernah mengetuk,

tetapi hati ini sentiasa terbuka

menunggu hadirnya cahaya yang lama hilang.


Di langit malam,

bintang-bintang berzikir tanpa suara,

dan aku masih belajar menyebut nama-Mu

dengan jiwa yang kadang retak.


Lapar ini bukan sekadar pada perut,

tetapi pada iman yang sering terleka dalam dunia yang bising.

Haus ini bukan sekadar di tekak,

tetapi pada kasihyang lama kering tanpa doa.


Ya Allah…

jika aku hanyalah debu

yang sering lupa arah pulang,

biarlah Ramadan ini

menjadi angin yang membawa aku kembali

ke pangkuan rahmat-Mu.


Dalam sujud yang panjang,

aku titipkan rindu

buat yang telah pergi mendahului,

yang kini hanya tinggal

dalam doa dan kenangan.


Ramadan…

engkau bukan sekadar bulan,

tetapi jambatan

antara hamba yang hilang

dan Tuhan yang sentiasa menunggu.


Dan jika ini Ramadan terakhirku,

izinkan aku pulang

dengan hati yang bersih

seperti sehelai sajadah

yang tidak pernah jemu

menerima sujud seorang pendosa.


19 Mac 2026

Jerantut,Pahang.


SINAR RAMADAN DI HATI: Karya Levera

 SINAR RAMADAN DI HATI

Karya: Levera Roslee


Ramadan datang bukan sekadar cahaya

ia bisikan langit yang mengetuk batin

rahmat menitis tanpa suara

meresap ke celah doa yang paling sunyi.


Fajar menguak tirai gelap jiwa

menyalakan bara ibadah yang diam

langkah kecil menjadi titian pulang

kian hampir kepada Yang Esa.


Di siang yang panjang dan menguji

lapar menjadi guru yang sabar

zikir tumbuh dari relung terdalam

menyucikan niat yang pernah berdebu.


Senja melabuhkan cahaya terakhir

namun sinarnya enggan pergi

ia menetap dalam hati yang sedar

menuntun hidup menuju keberkahan.



Saguon, Tongod- Sabah

20 Mac 2026

Khamis, 19 Mac 2026

CAHAYA DI BALIK HENING: Karya Nelly Elayani

 CAHAYA DI BALIK HENING

Karya: Nelly Elayani Lazarus


Malam perlahan membuka tirainya

sejalur cahaya singgah di relung hati

doa jatuh seperti embun subuh

meluruhkan resah yang lama bersarang.


Puasa mendidik sunyi menjadi makna

lapar bukan sekadar getar pada jasad

amarah tenggelam di dasar sabar

amal kecil bernafas dalam rahsia waktu.


Marilah kita menabur kemaafan

menenun semula helai yang pernah retak

bisikan lembut mengalir tanpa wajah

mencairkan hati yang pernah membeku.


Dalam hening malam jiwa bersujud

syukur mengalir tanpa suara

cahaya tidak lagi di luar diri

tetapi lahir dari hati yang kembali.


Mangkawago, Tongod, Sabah.

19 Mac 2026

Selasa, 17 Mac 2026

SEJADAH BASAH MENJADI LAUTAN PENGAMPUNAN: Karya Jaya Ramba

 

SEJADAH BASAH MENJADI LAUTAN PENGAMPUNAN

 

Sejadah ini basah oleh sujud yang tidak pernah selesai

air mata mengalir seperti sungai yang mencari muara

dalam sunyi malam Ramadan, aku menjadi kecil

kecil di hadapan langit yang tidak pernah menolak doa.

 

Setiap titis yang jatuh adalah bahasa jiwa

yang lama terpendam di balik kesibukan dunia

aku membentangkan diri di atas hamparan waktu

menghadap arah yang mengajarkan aku tentang pulang.

 

Sejadah ini tidak lagi sebagai kain

ia menjadi laut yang luas dan dalam

tempat aku menenggelamkan segala dosa

yang selama ini aku pikul tanpa sedar.

 

Di antara takbir yang bergetar di dada

aku mendengar gema penyesalan yang jujur

seperti ombak yang memukul pantai hati

memecahkan kerasnya ego yang lama berakar.

 

Aku berenang dalam tangisan yang jernih

mencari cahaya di dasar keinsafan

dan setiap nafas menjadi tasbih yang hidup

menyebut nama-Mu tanpa jemu.

 

Wahai Tuhan, dalam lautan ini aku hilang

namun kehilangan ini menemukan aku kembali

sejadah basah ini menjadi saksi

bahawa aku pernah hancur untuk kembali suci.

 

 


Biodata



Jaya Ramba dari etnik Dayak berasal dari Miri Sarawak Malaysia. Penulis ini merupakan novelis dan cerpenis Malaysia dan telah menghasilkan lebih 40 buah novel dan lebih 8 kumpulan cerpen persendirian. Beliau banyak memenangi sayembara di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Hingga kini, beliau terus prolifik demi masyarakatnya.

 

SEPASANG SAYAP: Karya Wewaler @Priyopati

SEPASANG SAYAP Gagah burung elang tinggi terbang Seberangi hutan dan lautan ‘tuk menggapai damai tujuan Sayap kiri dan sayap kanan Beriringa...

Carian popular