SIMFONI HIJAU
Hutan bukan sekadar daun
ia nadi bumi yang berdetak perlahan
di bawah rimbun akar menulis puisi
tentang kesabaran tanah memegang rahsia
Sungai bukan sekadar air
ia arteri planet mengalirkan nafas kehidupan
di celah batu arusnya memahat waktu
menjadi cermin manusia lupa.
Angin bukan sekadar hembusan
ia bisikan langit pada dedaunan
mendendangkan lagu yang hanya difahami
burung-burung dan dahan berdoa.
Namun tangan manusia sering lupa
bahawa setiap pohon adalah tiang langit
setiap titis hujan adalah zikir alam
dan setiap tanah yang terjejas
adalah luka pada kulit dunia
Jika bumi adalah simfoni
kitalah not yang harus harmoni.
KIMS DIWA
Tamparuli, Sabah
11/2/2025
Biodata:
Kims Diwa atau nama sebenarnya RUKIMAH BINTI PANDAWA lahir di Kota Marudu, Sabah. Bertugas di daerah Tongod Telupid sebagai guru. Merupakan penulis buku kumpulan puisi BAGAI KELEKATU (DBP) dan SONATA MUSIM KENANGAN (JS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan