Ahad, 16 Mac 2025

MENYULUT CAHAYA DI TEROWONG KALBU

 MENYULUT CAHAYA DI TEROWONG KALBU

Karya: Marlina Mailon



Di lorong sepi nan panjang

Kuharungi sunyi bertemankan rembulan

Tersenyum di balik awan hidup yang merintih pilu

Kelam sang langit tak membuatku gerun

Apatah lagi gentar dan rebah di kaki putus asa

Kerana fajar pasti menyingsing indah

Menghulur tulus bianglala harapan.


Deras sang hujan menghempas langkah

Silir getir merentap tenang di hujung resah

Teratak jiwa tak akan sesekali goyah

Tumbang menyembah lantai ragu-ragu

Lalu terkubur di pusara kecewa tidak bernisan

Kerana tabir sabar berlapik tabah

Akan berlabuh menghiasi jendela kehidupan

Sedondon menari seirama, seiring dan sejalan

Bersama seruling kegembiraan tanpa hentian.


Lambaian tabah umpama nyala sang pelita

Meskipun kecil ia tidak akan terpadam

Terus-terusan membakar sampah takut

Yang berlonggok di kubangan hati

Menyulut cahaya di terowong kalbu.


Biarlah belati duka menggores luka

Biarlah ombak dugaan menguji sabar

Kuakan tetap teguh melawan arus ujian

Kekal berdiri kukuh berpaksikan janji-Nya

Kerana kutahu badai yang menghempas

Akan luruh dan pergi seiring waktu yang berlalu.


Kota Marudu Sabah, 16 Mac 2025.


Tiada ulasan:

JEJAK TAK TERLIHAT

Jejak Tak Terlihat  Karya: Severinus bin Intang Dua puluh tahun waktu yang menekan sunyi dalam hening malam aku bertanya pada diri apa yang...

Carian popular