PINTU YANG TIDAK PERNAH TERTUTUP
Karya: Kims Diwa
Ramadan
bukan sekadar bulan
tetapi jendela ke dalam dada
yang selama ini berhabuk
dengan kesibukan dunia yang tidak tahu diam
Aku berkelana
di lorong lapar dan dahaga
menggenggam sabar seperti batu bara
yang kupeluk hingga menjadi bara hening
Setiap azan maghrib
adalah detik aku belajar bahawa
menahan bukan sekadar tidak makan
tetapi memenjarakan keinginan
dalam sel tawakal yang sempit
Malam-malam menjadi ruang
aku menjahit robek di langit hati
dengan benang zikrullah
yang kadang-kadang terputus juga
Dan kini
aku pulang
bukan hanya ke rumah
dengan baju baharu dan pelita di laman
tetapi ke pangkuan fitrah
yang lama terbiar di beranda hati
Aku temui ibu yang matanya penuh doa
ayah yang diamnya seribu makna
dan aku
yang pernah jauh
kini duduk di tikar sejadah
dalam rumah yang tak pernah mengunci kasih
Inilah kemenangan
bukan gendang raya atau lemang panas
tetapi sepasang lutut yang tahu sujud
dan dada yang tak lagi gelisah
kerana pulang paling indah
ialah pulang yang ditemukan kembali
oleh Tuhan
oleh diri
oleh rumah
yang selalu menunggu.
KIMS DIWA
Telupid, Sabah
26 Mac 2025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan