Selasa, 11 Mac 2025

Sekeping Hati yang Tersisa

SEKEPING HATI YANG TERSISA

NURUL AFIFAH BINTI RAHIM



Langit senja berwarna jingga, mencoretkan panorama indah di ufuk barat. Angin petang berbisik perlahan, menyapu wajah seorang wanita bernama Suri yang sedang duduk termenung di beranda rumah sewa kecilnya. Tangannya erat menggenggam sekeping gambar lama—memaparkan dirinya bersama Firdaus, suaminya, dan tiga anak mereka, Iman, Sofea, dan Haikal, tersenyum bahagia. Kenangan itu kini hanyalah bayang-bayang masa lalu yang menghantui.

Suri menarik nafas panjang. Dia dulunya seorang isteri yang taat dan ibu penyayang. Perkahwinannya dengan Firdaus selama 12 tahun telah dianugerahkan dengan tiga cahaya mata yang menjadi penyeri hidup mereka. Namun, seiring berjalannya waktu, kebahagiaan yang pernah dikecap semakin pudar. Firdaus semakin sibuk dengan kerja, pulang dalam keadaan letih, dan komunikasi antara mereka semakin berkurang. Setiap kali Suri cuba berbicara, Firdaus hanya mengangguk tanpa benar-benar mendengar. Ada tembok yang semakin tinggi antara mereka, dan Suri merasakannya semakin hari semakin menyesakkan.

Segala beban tugas Suri yang laksanakan. Menguruskan anak ke sekolah, menyediakan makanan dan pakaian, menghantar anak ke kelas pengajian agama serta mendidik anak. Suri merasakan segala beban terletak atas bahunya seorang diri.

            "Awak dengar tak apa yang saya cakap ni?" soal Suri pada suatu malam ketika mereka sedang makan malam.

Firdaus hanya mendongak sedikit, wajahnya keletihan. "Dengar... Tapi saya penat, Suri. Esoklah kita sambung."

Suri berlalu dengan harapan yang kian pudar. Hatinya berbisik sendirian, “Adakah aku masih dihatinya?”. Pelbagai persoalan bermain di benak fikiran Suri yang terlalu dahagakan perhatian dan kasih sayang.

Begitulah setiap hari. Suri semakin kesepian dalam rumah sendiri. Dia mula merasakan dirinya tidak lagi dihargai sebagai seorang isteri dan wanita. Dia merindukan masa-masa awal perkahwinan mereka, saat Firdaus tidak pernah jemu mendengar celotehnya, saat mereka berkongsi impian dan ketawa bersama tanpa sebarang kekangan masa atau tekanan hidup.

Suri teringat kembali bagaimana dia dan Firdaus bertemu. Ketika itu, dia seorang mahasiswa yang bekerja sambilan di sebuah kedai buku. Firdaus, yang baru menamatkan pengajian, sering datang membeli buku dan akhirnya mereka mula berbual tentang minat yang sama dalam sastera. Perbualan mereka berkembang menjadi persahabatan yang akhirnya berbuah cinta. Firdaus melamarnya di sebuah taman bunga, di bawah cahaya rembulan. Ibu dan ayah juga merestui lelaki pilihannya tanpa bantahan. Saat itu, dia yakin bahawa Firdaus adalah lelaki yang akan menjaganya seumur hidup. Lelaki yang akan sentiasa menjadi sahabat, pendengar yang baik serta sentiasa bersama susah dan senang.

Namun kini, segala-galanya berubah. Firdaus masih ada, tetapi kehangatan itu semakin pudar. Firdaus kerap pulang lewat malam dan tidak lagi mendengar luahan hatinya setelah penat berhempas pulas di rumah seharian.

Di saat hatinya kosong, takdir menemukan Suri dengan Rafiq, seorang lelaki yang memahami perasaannya. Perkenalan mereka bermula dengan kebetulan—di kedai buku, ketika Suri sedang mencari bahan bacaan untuk anak-anaknya. Rafiq menegurnya ketika dia kelihatan ragu-ragu memilih buku.

        "Awak nampak macam sedang mencari sesuatu yang penting," kata Rafiq dengan senyuman ramah.

Suri tersenyum kecil. "Saya cari buku cerita untuk anak-anak saya. Tapi... tak pasti yang mana sesuai."

Mereka berbual ringkas, dan Rafiq mencadangkan beberapa buku yang pernah dibacanya bersama anak saudaranya. Perbualan itu berkembang dari hal buku ke hal-hal lain, termasuk kehidupan dan impian. Rafiq menjadi seorang pendengar yang baik—sesuatu yang Suri telah lama rindukan. Ibarat bunga mendapat sinar mentari, begirulah juga hati Suri. Hari demi hari, hubungan mereka semakin rapat. Mereka tidak pernah melampaui batas, tetapi keakraban itu cukup untuk membuat hati Suri berbelah bahagi. Dia tahu dia salah, tetapi dia juga ingin merasa bahagia. Kebahagiaan yang sering diimpikan oleh setiap wanita. Bukan wang ringgit yang diimpikan tetapi pendamping yang setia.

Sudah lama Suri tidak merasakan dirinya sebahagia itu. Suri mampu senyum lebar dan jiwanya seperti sudah terisi.  

Suatu malam, ketika sedang menyusun pakaian anak-anak, Iman tiba-tiba bersuara, "Ibu sayang kami, kan?"

Pertanyaan itu menikam jiwanya. Iman, yang baru berusia sepuluh tahun, sudah cukup bijak untuk merasakan perubahan sikap ibunya. Suri terkejut dan memandang anaknya.

            "Kenapa Iman tanya macam tu?"

        "Sebab ibu selalu nampak sedih... Ibu macam jauh dari kami." Iman menunduk.

Suri menelan air liur. Dia tahu anak-anaknya menyedari perubahan dalam dirinya. Dia mahu menjadi ibu yang baik, tetapi jiwanya berkecamuk. Anak-anak merupakan harta yang paling bermakna dalam hidupnya. Mereka sentiasa ada ketika susah dan senang. Dalam diam, dia mula menyoal dirinya sendiri—adakah kebahagiaan yang dicarinya itu benar-benar bernilai jika ia membuat anak-anaknya berasa kehilangan kasih sayangnya?

Segalanya berubah apabila Firdaus menemui perbualan mesej antara Suri dan Rafiq. Tiada kata-kata mesra yang melampaui batas, tetapi cukup untuk membuat Firdaus tahu bahawa isterinya telah mencari kebahagiaan di luar.

            "Suri... siapa Rafiq?" Firdaus bertanya dengan nada tenang, tetapi matanya penuh kekecewaan.

Suri tergamam. Dia tidak tahu bagaimana harus menjawab. "Dia cuma kawan."

Firdaus menarik nafas panjang. "Saya bukan suami yang sempurna, tapi saya tak sangka awak cari orang lain untuk memahami awak."

Malam itu, Firdaus membuat keputusan yang berat—dia meminta Suri keluar dari rumah mereka. Suri tidak membantah, kerana dia tahu dia telah melukakan hati suaminya. Bagai kaca dihempas ke batu, begitulah kecewanya seorang suami apabila mendapat tahu akan kecurangan isterinya.

Suri duduk sendiri di rumah sewanya yang kecil. Setiap malam, dia menangis. Dia merindui anak-anaknya, merindui Firdaus. Rafiq? Lelaki itu menjauhkan diri sejak mengetahui bahawa Suri telah kehilangan keluarganya. Suri kini benar-benar keseorangan. Hatinya kosong.

Hari berganti hari, Suri semakin tenggelam dalam kesedihan. Dia mula menyedari sesuatu—Firdaus mungkin tidak sempurna, tetapi dialah lelaki yang sentiasa bersamanya sejak susah dan senang. Dialah ayah kepada anak-anak mereka. Dia bukan sekadar pasangan, tetapi juga tiang keluarga mereka. Firdaus terlalu sabar selama ini dalam mencari rezeki tanpa mengeluh. Kesilapan Firdaus hanyalah kurang membahagi masa antara kerja dan keluarga.

Suatu hari, Suri memberanikan diri menghubungi Firdaus.

        "Saya rindu anak-anak..." suaranya serak menahan tangis.

Firdaus diam lama sebelum menjawab. "Mereka juga rindu awak. Tapi mereka perlu tahu sama ada awak benar-benar menyesal atau tidak."

Malam itu, Suri berwuduk dan sujud lama. Dia menangis, memohon keampunan Tuhan. Dia menyedari bahawa kebahagiaan tidak seharusnya dicari di luar jika dia sendiri tidak berusaha memperbaikinya di dalam rumahnya.

Dua bulan berlalu. Firdaus akhirnya membenarkan Suri bertemu anak-anak mereka. Saat pertama kali melihat ibunya, Sofea terus berlari memeluknya. Tubuh kecil itu dipeluk erat oleh Suri. 

        "Ibu jangan pergi lagi. Kami perlukan ibu. Kami nak ibu masak untuk kami,jagakan kami adik beradik. Kami rindukan belaian ibu dan bebelan ibu..."

Air mata Suri jatuh deras. Dia memeluk anak-anaknya erat, tidak mahu melepaskan mereka lagi.

Firdaus melihat semuanya dari jauh. Hatinya masih terluka, tetapi dia tahu Suri benar-benar menyesal. "Ada perkara yang tak boleh diubah, tapi ada juga perkara yang boleh diperbaiki..."

Hari demi hari, Suri berusaha mendapatkan kembali kepercayaan Firdaus. Dia belajar untuk lebih menghargai, lebih mendengar, dan lebih memahami suaminya. Dia sedar bahawa komunikasi yang kurang adalah punca utama keretakan rumah tangga mereka.

Setelah berbulan-bulan, Firdaus membuat keputusan.

"Kita bina semula, tapi perlahan-lahan. Maafkan abang juga kerana gagal membahagiakan Suri. Abang tidak membahagi masa yang baik untuk keluarga kita."

Suri tersenyum dalam tangisan. Dia mendapat peluang kedua. Namun, dia tahu bahawa peluang kedua tidak datang dengan mudah. Kesalahan lalu telah meninggalkan parut dalam hatinya, dan dia sedar bahawa kepercayaan yang dikhianati sukar untuk dipulihkan. Tetapi kali ini, dia berjanji tidak akan sia-siakan lagi.

Dia melihat anak-anaknya satu persatu. Iman, yang selalu bersikap matang walaupun baru berusia sepuluh tahun, tersenyum kecil kepadanya—senyuman yang penuh pengharapan. Sofea, si manja yang dahulunya suka bermanja dengannya sebelum tidur, menggenggam tangannya erat. Haikal, si bongsu, hanya menatapnya dengan mata bersinar, seolah-olah tidak percaya ibunya benar-benar kembali.

            "Maafkan ibu..." bisik Suri, suara bergetar.

Iman mengangguk perlahan. "Ibu jangan tinggalkan kami lagi."

Suri menarik mereka dalam pelukan, mencium ubun-ubun mereka satu persatu. Keadaan ini lebih bermakna daripada apa pun di dunia. Kebahagiaan ini, yang hampir dilepaskan dahulu, kini kembali dalam genggamannya.

Di sudut bilik, Firdaus berdiri sambil memerhatikan mereka. Wajahnya tenang, namun masih ada gurisan luka di matanya. Dia telah melalui hari-hari sukar sejak perpisahan itu. Tetapi di dalam hatinya, dia tahu bahawa Suri benar-benar menyesal.

            "Firdaus..." Suri memandang suaminya dengan penuh harapan.

Firdaus menarik nafas panjang. Dia melangkah ke hadapan, duduk di sebelah Suri. Untuk seketika, hanya keheningan yang mengisi ruang, hanya bunyi nafas mereka yang kedengaran.

        "Apa yang berlaku dulu... tak akan hilang begitu saja," kata Firdaus perlahan. "Tapi saya bersedia untuk cuba... kalau awak juga benar-benar bersedia."

Suri mengangguk pantas, air matanya menitis lagi. "Saya akan belajar menjadi isteri dan ibu yang lebih baik. Saya janji..."

Firdaus menatapnya seketika sebelum mengangguk. Dia tidak memberikan kata-kata manis atau janji yang berlebihan. Tetapi cukuplah dia memberi peluang untuk mereka membina semula.

Di luar tingkap, langit senja masih berwarna jingga. Tetapi kali ini, ia terasa lebih hangat, lebih damai. Angin petang meniup lembut, seolah-olah membawa pergi segala kesakitan yang lalu.

Suri menggenggam tangan suaminya perlahan—dan untuk pertama kali dalam sekian lama, Firdaus membalas genggaman itu. Anak-anak mereka bersorak kecil, menggembirakan suasana yang sekian lama suram.

Hidup tidak selalu sempurna, dan kisah mereka tidak akan menjadi dongeng indah tanpa cabaran. Namun, selagi ada cinta dan keikhlasan, selagi ada usaha untuk memperbaiki kesilapan, mereka tahu bahawa kebahagiaan masih boleh dikecapi.

Dan di saat itu, Suri sedar—rumah yang paling hangat bukanlah yang tersergam indah, tetapi rumah yang dipenuhi kasih sayang dan pengampunan.

*****


Biodata Penulis


Nurul Afifah Binti Rahim

Nurul Afifah Binti Rahim dilahirkan di Negeri Kelantan. Berminat dalam bidang penulisan sejak bangku sekolah lagi. Berkidmat sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lepar Utara 1 Jerantut, Pahang. Whatsapp nombor +6012-9828069


Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular