Isnin, 19 Mei 2025

JEJAK TERAKHIR

 JEJAK TERAKHIR

Karya: T.K Kelly Gincho


Mun duduk di bangku kayu tua yang terletak di beranda rumah peninggalan arwah neneknya. Malam itu sunyi, cuma bunyi cengkerik dan hembusan angin dari bukit belakang rumah yang menemani. Sudah seminggu dia di kampung, menghabiskan cuti yang lama tertangguh. 

"Kau ingat lagi kah Alia kawan kau dulu tu, lain sudah dia sekarang," kata Mak Timah, jiran sebelah rumah, kawan lama ibunya. Mun yang sedang menghirup kopi panas menoleh perlahan.

"Alia? Alia yang tinggal dekat hujung kampung tu kah?"

Mak Timah mengangguk. Wajahnya berubah menjadi serius. "Dulu dia ceria kan. Tapi sekarang, dia tidak banyak cakap, Selalu termenung. Kadang-kadang menangis sorang-sorang."

Mun diam. Nama itu menggugah kenangannya. Sudah sepuluh tahun mereka tidak bersua. Alia, teman sepermainan, teman berkongsi rahsia. Gadis manis yang dulu suka menulis puisi di bawah pokok jambu belakang sekolah.

"Apa jadi Mak Timah?"

Mak Timah menggeleng perlahan. "Orang kampung tak berani cakap lebih. Tapi ada satu malam tu, ada yang dengar dia jerit. Lepas tu dia pengsan depan rumah. 

Mun rasa bulu romanya meremang. Dia memandang langit malam yang cerah bertabur bintang, tapi rasa dingin menyelinap ke dalam hatinya.

"Saya boleh jumpa dia kah?"

Mak Timah menarik nafas panjang. "Boleh, tapi... kalau kau jumpa dia, berhati – hati la."

Mun genggam cawan kopinya erat. Esok pagi, dia akan ke rumah Alia. Apa pun yang berlaku, dia mahu tahu. Bukan sekadar ingin tahu, dia perlu tahu.

---------

Embun masih belum kering ketika Mun melangkah ke arah rumah lama di hujung kampung. Rumah kayu itu masih berdiri teguh, walaupun cat dindingnya sudah kusam dan halaman tidak lagi terurus. Tumbuhan tumbuh meliar di celah-celah batu bata.

Mun mengetuk pintu perlahan. Tiada jawapan. Dia cuba lagi, kali ini sedikit lebih kuat.

"Alia... ini Mun," panggilnya. Suaranya bergetar sedikit.


Pintu kayu berderit dibuka. Seorang wanita muda muncul. Wajahnya pucat, rambutnya kusut diikat longgar. Tetapi mata itulah yang membuat jantung Mun berdegup kencang, mata yang dulu penuh cahaya, kini redup dan kosong.

"Mun," suara Alia perlahan. "Lama sudah..."

Mun mengangguk, menahan sebak. Dia menjemput Mun masuk. Rumah itu sunyi, seolah-olah masa terhenti di dalamnya. Bau kayu lama dan bunga kering memenuhi ruang.

"Kau apa khabar? sihat kah?" tanya Mun, cuba berbual mesra.

Alia hanya senyum nipis. Dia duduk di atas tikar menghadap tingkap yang terbuka ke arah hutan kecil. Tangannya menggenggam sehelai kain lusuh, seperti sapu tangan lama yang disulam nama.

Alia angkat bahu perlahan. "Macam ni la... Hidup saja."

Mereka duduk berhadapan di ruang tamu kecil. Mun perasan dinding rumah itu dipenuhi gambar lama dan cebisan kertas bertulis puisi yang kabur dakwatnya.

"Saya selalu ingat kau bila nampak buku puisi. Dulu kau selalu baca kuat-kuat bawah pokok jambu tu," kata Mun, cuba mencairkan suasana.

Alia senyum nipis. Senyuman itu hanya sekejap. "Itu dulu, Mun. Semua tu... tinggal kenangan."

Sunyi seketika. Mun tidak tahu harus mula dari mana. Tetapi dia tahu, jika dia terus berdiam, dia mungkin akan kehilangan peluang ini.

"Mak Timah ada cerita sikit pasal kau," kata Mun perlahan.

Wajah Alia berubah. Tangannya yang bermain di atas lutut tiba-tiba terhenti. Matanya tidak lagi menatap Mun.

"Orang kampung semua fikir saya gila. Tapi saya masih ingat semuanya," katanya. Suaranya hampir berbisik. "Cuma tak semua benda boleh dicerita begitu saja."

Mun mengangguk. "Saya takkan paksa kau, Alia. Saya cuma... mau tau kalau kau okay."

Alia berpaling padanya, mata itu masih redup tetapi kini ada kilatan kecil, antara luka dan keyakinan yang mulai pulih. Dia tunduk sekejap, menarik nafas dalam, lalu bangun perlahan-lahan.

"Mari ikut saya," katanya ringkas.

Mun teragak-agak tetapi menurut. Mereka berjalan ke bilik kecil di hujung rumah. Alia membuka pintu. Di dalam bilik itu penuh dengan lukisan, kebanyakannya pemandangan hutan waktu malam. Ada satu lukisan besar yang hampir siap, menunjukkan sesusuk makhluk hitam bermata merah berdiri di celah pepohonan.


Mun kaku.

"Saya tak boleh cerita semua... tapi saya boleh tunjuk apa yang saya nampak," bisik Alia. 

"Malam tu... saya dengar suara budak. Suara minta tolong. Saya ikut. Tapi yang saya jumpa, bukan budak. Bukan manusia pun..."

Mun tegak berdiri. Nafasnya jadi berat. Mun berdiri terpaku di depan lukisan besar itu. Nafasnya sesak, bukan kerana takut, tetapi kerana sesuatu yang dingin sedang merayap ke dalam dirinya seolah-olah sebahagian daripada kegelapan dalam lukisan itu meresap keluar dan memenuhi ruang bilik. Alia perlahan-lahan duduk di lantai, memeluk lutut. Dia tidak lagi menoleh ke arah Mun. Suaranya pecah-pecah, perlahan, tetapi jelas.

“Ada sesuatu dalam hutan tu, Mun. Bukan manusia, bukan haiwan. Tapi dia boleh menyamar, boleh bercakap...”

Mun perlahan-lahan duduk di sebelahnya. “Kau nampak dia betul-betul?”

Alia mengangguk. “Saya ikut suara tu sampai ke akar besar pokok tua yang orang kampung selalu larang masuk waktu malam. Mula-mula saya nampak macam budak kecik, duduk menangis. Bila saya hampiri, dia pandang saya dan mukanya mula berubah.”

Alia menggigil. Mun lihat jari-jarinya mengepal kuat, kuku hampir mencakar lutut sendiri.

“Wajah dia senyum, tapi mata dia bukan mata manusia, Mun. Hitam, macam ada lubang tak berpenghujung dalam tu. Dan suara dia...dia tak berhenti ulang satu ayat.”

Mun telan liur. “Apa dia cakap?”

Alia mendongak, memandang tepat ke arah Mun.

“‘Kau sudah janji, kau datang, jangan lari lagi.’”

Mun rasa perutnya berpulas. “Janji? Apa maksud dia?”

“Saya tak tahu. Tapi sejak malam tu saya selalu mimpi dia. Kadang-kadang saya nampak dia di tepi rumah. Kadang-kadang dengar suara dia waktu saya mandi, atau tidur. Tapi yang paling saya takut...” Suaranya terhenti. Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung. “...saya rasa dia masih tunggu saya balik.”

Mun pegang bahu Alia. “Balik ke mana?”

Alia tunduk. “Ke hutan.”

Suasana dalam bilik itu tiba-tiba terasa sangat sunyi, seolah-olah dunia luar tidak lagi wujud. Mun tahu, dia harus lakukan sesuatu. Tetapi dia juga tahu, ini bukan perkara biasa. Bukan gangguan emosi semata-mata. Sesuatu yang gelap, lama, dan dahsyat sedang menanti mereka, di tempat yang hanya Alia pernah jejaki.

-----------

Malam itu, Mun tidak dapat tidur. Setiap kali dia pejamkan mata, wajah makhluk dalam lukisan Alia muncul semula, mata hitamnya, senyuman yang tidak sepatutnya dimiliki oleh mana-mana makhluk bernyawa. Dia duduk di beranda rumah neneknya, merenung kegelapan malam. Angin malam menyapa lembut, membawa bau hutan yang basah. Jauh di belakang rumah, bukit itu seolah-olah memanggil.

Dia teringat kata-kata Alia: “Dia masih tunggu saya balik.”

Mun genggam tali lampu suluhnya. Dia tak pasti kenapa, mungkin kerana rasa bersalah, mungkin kerana kasih lama yang belum padam, atau mungkin kerana dia tahu, jika dia tidak buat sesuatu sekarang, Alia mungkin tidak akan pernah bebas. Dia capai jaket, sarung kasut getah dan berjalan ke arah hutan di belakang rumahnya. Jejak tanah merah membawa Mun ke lorong kecil yang jarang dilalui orang sejak bertahun. Dahan-dahan renek memukul mukanya, tetapi dia terus berjalan. Nafasnya perlahan, fokusnya tajam. Dia sampai di satu kawasan lapang. Di depannya, berdiri sebatang pokok tua besar, akar-akar menjalar keluar dari tanah seperti tangan mencari mangsa. Inilah tempat yang Alia maksudkan.

Mun melangkah perlahan ke hadapan. Dia mengangkat lampu suluh, menyuluh sekeliling. Tiada apa-apa.

“Kalau kau betul wujud,” bisiknya, “tunjuklah dirimu.”

Sunyi.

Tiba-tiba, angin berhenti. Cengkerik diam. Dunia jadi beku, dan dari balik akar pokok, terdengar suara kanak-kanak.

“Tolong…”

Mun melangkah lebih dekat. “Siapa di sana?”

Suara itu ketawa. Kemudian bertukar menjadi suara perempuan… lalu lelaki… lalu sesuatu yang tidak dapat dikenalpasti.

“Kau sudah janji…”

Lampu suluh Mun berkelip-kelip lalu padam. Dia tergamam dalam gelap, dadanya turun naik kencang. Dari kegelapan itu, muncullah bayangan tinggi, kurus, bermata merah menyala. Perlahan-lahan, ia mendekat. Mun tidak dapat bergerak. Seluruh tubuhnya kaku. Makhluk itu berhenti beberapa inci dari wajahnya. Nafasnya seperti angin sejuk yang menusuk ke tulang.

“Kau bukan dia,” bisik makhluk itu.

Kemudian semuanya gelap. 


Mun tersedar dengan denyutan sakit di belakang kepalanya. Tanah di bawahnya lembap, berbau lumpur dan daun reput. Fajar hampir menyingsing, dan langit mula bertukar kelabu kebiruan. Suara burung hutan kembali berkicau seolah-olah malam tadi hanyalah mimpi buruk. Dia duduk perlahan, memegang kepala. Lampu suluhnya terletak tidak jauh darinya, pecah sebelah. Nafasnya masih terkejar-kejar, namun sesuatu membuatkan dia segera menoleh.

“Mun...”

Suara itu perlahan lembut dan gemetar. Alia berdiri tidak jauh darinya, masih dalam pakaian malam. Rambutnya terurai, wajahnya pucat. Tetapi matanya, mata itu kini penuh air, dan ketakutan yang nyata.

“Apa kau buat sini?” tanya Mun, cuba berdiri walau lututnya menggigil.

“Saya ikut kau, saya nampak kau masuk sini …” jawab Alia sambil melangkah perlahan ke arahnya. 

Mun memandang sekeliling. Pokok tua itu masih ada, namun makhluk itu… tiada. Hanya bekas pijakan mereka di tanah berlumpur.

“Kau nampak dia juga malam tadi?” tanya Mun.

Alia mengangguk perlahan. “Dia tak suka orang luar. Tapi bila dia nampak kau, dia tahu kau bukan ancaman. Tapi dia juga marah sebab saya masih tak tepati janji saya.”

“Janji apa?” suara Mun naik sedikit. “Apa sebenarnya yang dia mahu dari kau, Alia?”

Alia menarik nafas panjang, dan perlahan-lahan duduk di sebelah Mun. Tangannya menggigil ketika dia membuka sesuatu dari poket baju, seutas loket lama, penuh kesan karat dan lumpur. Dia buka loket itu, dan di dalamnya, terletak gambar seorang budak lelaki.

“Ini adik saya,” bisiknya. “Orang tidak tahu... saya bukan anak tunggal. Dia hilang dalam hutan ni masa umur tujuh tahun. Kami main kejar-kejar, saya letih, saya suruh dia main sorang-sorang. Dia tak balik-balik…”

Mun terpaku.

“Orang kampung cari berhari-hari, tapi tak jumpa. Ibu saya dia jatuh sakit, meninggal dua bulan selepas tu, dan saya mula dengar suara tu. Mula-mula saya fikir tu halusinasi, rasa bersalah. Tapi malam tu, sepuluh tahun lepas, saya nampak dia. Berdiri di tempat ni. Tapi dia bukan macam adik saya.”

Alia memandang jauh ke arah akar pokok tua itu. “Makhluk tu gunakan dia. Atau dia memang sudah jadi makhluk tu. Saya tak pasti. Tapi saya tahu, saya perlu buat sesuatu untuk tamatkan ini semua.”


Mun letak tangan di bahunya. “Kau tak perlu buat ini sorang-sorang.”

Alia berpaling padanya. Air mata di pipinya tidak diseka. “Kau tak takut kah, Mun?”

Mun senyum hambar. “Takut. Tapi saya lebih takut kalau biar kau hadapi semua ni sendiri.”

Mereka berdua berpaling ke arah hutan yang makin cerah disinari matahari pagi.

Langkah seterusnya akan membawa mereka ke dalam rahsia yang lebih gelap dan mungkin, jalan pulang untuk roh yang terperangkap sejak sekian lama. 


Tengah hari itu, langit mendung. Awan kelabu meliputi desa, dan angin yang bertiup dari arah hutan membawa bau tanah basah dan kayu reput. Alia dan Mun berdiri di hadapan pokok tua itu sekali lagi, kali ini dengan niat yang jelas.

Di tangan Alia, loket itu digenggam erat. Wajahnya tenang, tetapi matanya merah. Bukan kerana takut, tetapi kerana rindu yang tidak pernah padam.

“Saya tahu dia masih di sini,” katanya perlahan. “Tapi kalau saya mahu dia bebas, saya perlu lepaskan.”

Mun berdiri di sisinya, diam. Dia hanya ingin berada di situ, sebagai saksi dan pelindung jika sesuatu berlaku. Alia melangkah ke depan, meletakkan loket itu di atas akar terbesar pokok itu. 

“Saya minta maaf… kerana tak cari kau betul-betul. Saya minta maaf sebab saya lari,” katanya, suara bergetar.


Kemudian, dia menutup mata. “Kalau kau masih di sini... aku izinkan kau pergi. Aku redha.”

Tiba-tiba, angin bertiup kuat. Dahan pokok bergoyang, daun-daun luruh berserakan. Tanah di bawah mereka bergetar perlahan. Satu suara kedengaran lembut, seperti suara kanak-kanak kecil yang sudah lama tidak bercakap. 

“Kakak…”


Alia buka mata. Di hadapannya, dalam cahaya samar dan bayang daun yang bergerak, berdiri sesusuk tubuh kecil, budak lelaki dengan wajah yang samar-samar dikenali, senyum perlahan di bibirnya. Dia tidak berkata apa-apa lagi. Hanya angguk, sebelum tubuhnya berangsur menjadi cahaya yang perlahan-lahan hilang ditiup angin. Sunyi kembali.

Alia terduduk. Bahunya terhenjut-henjut menahan tangis, tetapi kali ini bukan kerana takut. Ia adalah kelegaan setelah sepuluh tahun terpenjara dalam rasa bersalah.

Mun datang mendekat, duduk di sisinya. Tidak ada kata yang diucapkan. Hanya diam yang penuh pengertian.

Beberapa hari kemudian, Mun bersiap untuk pulang ke bandar. Di perkarangan rumah nenek Alia, mereka berdiri berhadapan.

“Jadi… kau akan terus tinggal sini?” tanya Mun.

Alia senyum. “Saya rasa... ya. Saya mahu mula semula. Banyak yang saya tinggalkan selama ni.”

Mun angguk perlahan. “Kalau kau perlukan apa-apa…”

“Saya tahu mana mahu cari kau,” Alia potong, senyumnya lebih tenang dari sebelumnya. “Mun… terima kasih.”


Mun hanya mengangguk lagi, tetapi matanya tak lepas dari pandangan Alia. Ada sesuatu dalam dirinya yang berubah. Sesuatu yang lebih dekat, lebih tulus.

Saat kereta Mun menjauh meninggalkan desa, Alia berdiri di depan rumah, memandang langit yang mula cerah. Hutan di belakang rumahnya sunyi.

Dan untuk pertama kalinya dalam sepuluh tahun, sunyi itu terasa seperti ketenangan, bukan ancaman.


TAMAT. 


Kota Kinabalu

02/05/2025

Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular