ATAM MENCARI IBU
AC Jaffrie
Hujan masih belum berhenti. Seekor anak kucing bernama Atam sedang kedinginan. Bulu-bulu halusnya berwarna hitam kebasahan. Badannya sedikit menggigil dan nampak dia keliru.
Atam memandang sekitar. Dicarinya sesuatu. Sejak semalam ibunya tidak ada. Mereka terpisah gara-gara hujan.
“Meow… meow… meow…” suara Atam berbunyi perlahan.
Bunyi guruh berdentum. Atam agak terkejut. Dia benar-benar ketakutan. Tubuh kecilnya masih lemah. Di bawah longgokan batu di tepi dinding sebuah kedai, dia menumpang teduh.
Hujan masih belum reda. Atam masih kedinginan dan duduk diam-diam. Dia berharap hujan akan segera berhenti kerana mahu mencari ibunya.
‘Oh ibu… di manakah ibu?’ hati kecil Atam berbisik.
Atam tertidur kerana menunggu lama. Bila terjaga, hujan sudah berhenti. Dia amat lega dan memulakan langkah untuk mencari ibunya. Dia mesti berhati-hati kerana di sana sini banyak lopak penuh air. Tanah masih basah dan jalan masih licin.
Sang matahari mula muncul. Bulu-bulu halus Atam mula mengering dan rasa selesa. Sudah hampir satu jam Atam berjalan tetapi dia masih tidak berputus asa mencari ibunya. Sesekali dia akan berbunyi memanggil ibunya.
Walaupun sedih, Atam tetap akan berusaha. Perjalanan mencari ibunya diteruskan. Tiba-tiba kakinya tersandung lalu terjatuh ke dalam lopak air. Atam bernasib baik kerana lopak air itu tidak dalam.
“Hati-hati bila berjalan. Musim hujan tanah jadi licin,” tegur Wawa, seekor ibu itik. “Kamu nak ke mana?” tanya Wawa lagi.
Atam segera membersihkan dirinya. Ada kesan lumpur di badan. Dia menjilat bulu-bulunya supaya kekotoran itu segera hilang. Wawa seronok berenang dan bermain di lopak air di musim hujan.
“Saya mencari ibu. Nampak tak ibu saya?” tanya Atam kepada Wawa.
Wawa menggeleng. Dia simpati melihat keadaan Atam, anak kecil yang kehilangan ibu. Wawa mendekati Atam. Dia mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Macam mana ibu kamu boleh hilang?” soal Wawa lagi.
Atam mula bercerita. Dia bersama ibunya pergi mencari makan di sebuah warung makan. Atam melihat ada sebiji bola kecil. Dia seronok bermain sehingga terlupa bahawa ibunya sudah tiada di situ lagi.
Hujan turun semakin lebat. Atam gelisah dan mula mencari ibunya. Dia berlari ke sana sini tetapi ibunya tetap tiada. Sampai sekarang ibunya hilang.
“Mungkin ibu kamu juga sedang mencari kamu,” kata Wawa. “Kamu jangan leka bermain dan jangan nakal. Selalu dengar kata-kata ibu,” pesan Wawa kepada Atam lagi.
“Saya menyesal kerana leka bermain,” ucap Atam dengan nada sedih.
Wawa memeluk Atam kerana simpati dengan nasib yang menimpanya.
“Makanan ini untuk kamu buat bekal. Harap dapat bertemu dengan ibu kamu semula,” ucap Wawa memberi kata-kata semangat kepada Atam.
Atam meneruskan lagi perjalanan. Sekarang dia berada di sebuah padang permainan. Di hujung padang ada kanak-kanak sedang bermain. Dia kepenatan apabila sudah berjalan agak jauh. Dia mahu berehat sebentar. Belum sempat dia melelapkan mata, terdengar satu suara nyaring menegurnya.
“Berani kamu masuk dalam kawasan ini!” teriak Bobo, seekor anak anjing.
“Errr… maafkan saya. Nama saya Atam. Saya ke sini mencari ibu…” jawab Atam terketar-ketar. Dia ketakutan melihat muka Bobo yang garang.
“Kamu kehilangan ibu?” soal Bobo kembali.
Atam mengangguk kesedihan. Bobo kasihan melihat Atam kerana dia juga pernah kehilangan ibu. Ibunya ditangkap oleh pihak berkuasa kerana berkeliaran di jalanan. Nasibnya baik kerana dapat melarikan diri.
Sampai sekarang Bobo hidup sendiri. Dia kurang kasih sayang seorang ibu. Hidupnya banyak bercampur dengan anjing-anjing liar yang lain. Mungkin itu menjadi sebab mengapa perangainya kurang sopan dan agak garang.
“Nama saya Bobo. Nasib kita sama tapi kamu masih ada peluang berjumpa dengan ibu kamu. Ibu saya pula ditangkap oleh pihak berkuasa,” cerita Bobo kepada Atam.
“Saya harap boleh bertemu dengan ibu semula,” ujar Atam masih kesedihan.
“Hidup mesti diteruskan. Kita mesti kuat dan tetap semangat!” ucap Bobo memberi kata-kata semangat kepada Atam.
Atam dan Bobo mula bersahabat. Mereka bermain bersama-sama dan berkejaran di padang permainan. Buat seketika segala masalah dilupakan. Dunia menjadi indah apabila bertemu sahabat yang baik. Tiada pergaduhan dan saling membantu.
“Terima kasih sudah menjadi sahabat saya. Saya doakan kamu akan berjaya berjumpa dengan ibu kamu semula,” ucap Bobo saat mereka mahu berpisah.
Atam meneruskan pejalanan. Dia bersyukur dapat bertemu dengan mereka yang baik hati. Wawa memberi sedikit makanan buat bekal dalam perjalanan. Bobo pula memberi kata-kata semangat supaya teruskan hidup tanpa insan tersayang.
Siang akan bertukar menjadi malam. Atam mencari tempat untuk berehat di sebalik timbunan papan tersusun rapi. Dia terkejut apabila melihat ada seekor ibu kucing sedang tidur di situ.
Atam sangat gembira. Itulah ibunya yang dicari selama ini. Ibu kucing terjaga dari tidur lalu memeluk dan membelai anaknya. Akhirnya Atam dan ibunya bersatu semula.
Rumah Bonda, Melaka
15 Januari 2025
BIODATA PENULIS
AC JAFFRIE sudah lama menulis, anak kelahiran Negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (1986-1990). Genre penulisan diminati seperti cerita kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Penerima Anugerah Kalam Sastera dari PENAMA (November 2024) dan Anugerah Tinta Inspirasi dari IPM (Disember 2024).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan