Selasa, 28 Januari 2025

Dua Ekor Anak Monyet

 DUA EKOR ANAK MONYET



AC Jaffrie

 

Di pinggir sebuah kampung, ada sekawan monyet. Mereka tinggal di atas pokok-pokok di kawasan hutan berhampiran. Pada waktu pagi mereka akan bergayut riang dari dahan ke dahan. Nyet dan Nyot juga tidak terkecuali.

“Pegang kuat-kuat. Hati-hati, nanti kamu terjatuh,” pesan ibu Nyet dan Nyot.

Nyet dan Nyot terus melompat riang. Dari dahan ke dahan terus berkejaran. Dahan dan ranting pokok tempat mereka bermain. Setiap pagi itulah tempat mereka berdua menghabiskan masa.

“Kami tahu jaga diri, ibu,” ucap Nyot sambil terkinja-kinja di atas dahan.

“Kami sudah biasa bermain di sini,” ujar Nyet pula.

“Kamu berdua mesti berhati-hati. Kalau jatuh kamu juga yang sakit,” beritahu ibu monyet lagi.

Nyet dan Nyot terus bermain. Pesan ibu, mereka tidak ambil peduli. Perasaan mereka hanya mahu bergembira sahaja. Bermain dan terus bermain.

“Ibu mahu pergi cari makan. Kamu berdua jangan ke mana-mana,” pesan ibu monyet.

“Kami nak ikut ibu,” kata Nyet.

“Bosan juga duduk di sini,” sahut Nyot pula.

“Jangan ikut ibu. Kamu masih kecil. Di luar sana banyak bahaya,” jawab ibu monyet.

“Tapi…,” ucap Nyet masih tidak puas hati.

“Dengar cakap ibu. Di sini kamu berdua selamat,” pesan ibu monyet lagi.

Nyet dan Nyot sedikit kecewa. Setiap kali mahu ikut ibu keluar, itu sahaja alasan ibunya. Dunia mereka hanya di atas pokok. Hari-hari bermain dan bergayut di ranting pokok. Mereka teringin menikmati dunia luar. Nyet dan Nyot sudah ada satu rancangan.

“Bosanlah hari-hari main di atas pokok,” kata Nyet kepada Nyot.

“Ya, kita mesti cari tempat lain,” sokong Nyot pula.

“Kita nak pergi mana?” soal Nyet tidak sabar.

“Dengar cerita, tepi hutan ini ada kebun pisang. Kalau nasib baik, dapat makan pisang yang masak ranum,” jawab Nyot memberi cadangan.

Nyet dan Nyot sudah sepakat. Mereka berdua mahu pergi ke kebun pisang yang dimaksudkan. Mereka sangat seronok dan gembira. Selepas penat bermain, mereka boleh menikmati pisang yang masak ranum.

Sudah agak lama ibu monyet keluar mencari makan. Inilah masanya Nyet dan Nyot mulakan rancangan mereka. Nyet dan Nyot lupa pesan ibu mereka. Mereka membayangkan keseronokan bermain di tempat baru.

“Kamu berdua mahu ke mana?” tegur Upai, tupai tanah yang sama menghuni di atas pokok tempat Nyet dan Nyot tinggal.

“Kami mahu pergi bermain. Kami sudah bosan bermain di sini,” ucap Nyet kepada Upai.

“Kami mahu ke kebun pisang di hujung sana,” kata Nyot pula.

“Di situ banyak bahaya. Salah langkah kamu akan masuk perangkap,” beritahu Upai lagi.

“Kami sudah besar. Pandailah kami jaga diri,” ujar Nyet terus meninggalkan Upai.

Cuaca semakin panas. Nyet dan Nyot seronok bermain di dalam kebun pisang. Mereka melompat dari pelepah daun ke pokok yang lain. Sampai satu ketika, mereka berdua kelaparan.

“Perut sudah lapar, mari kita cari makanan,” kata Nyet bersuara.

“Mari kita cari pisang yang masak ranum,” ujar Nyot memberi cadangan.

Nyet dan Nyot berjalan di dalam kebun pisang. Akhirnya mereka bertemu dengan pokok pisang yang berbuah. Dalam setandan pisang itu ada sesisir pisang yang sudah masak ranum. Mereka sungguh gembira.

Nyet dengan pantas melompat dan mendapatkan pisang yang ranum itu. Manakala Nyot menunggu di bawah pokok. Pisang yang diambil dicampak ke tanah. Nyot makan dengan gelojoh kerana sudah lapar.

Kini masa untuk mereka pulang ke hutan. Tiba-tiba kaki Nyet tersangkut pada seutas tali. Dengan pantas tali itu menyentap kaki Nyet. Nyet sudah terkena perangkap yang dibuat oleh petani. Dia meraung meminta tolong.

“Tolong! Tolong lepaskan saya!” jerit Nyet ketakutan.

Nyot cukup terkejut. Dia berlari meninggalkan Nyet. Dia mahu menyelamatkan diri. Sampai di pokok, dia bertemu Upai. Upai hairan melihat keadaan Nyot.

“Tolong Upai! Nyet sudah kena perangkap!” ucap Nyot tercungap-cungap.

Upai turut terkejut. Nyawa Nyet dalam bahaya. Dia mahu membantu melepaskan Nyet sebelum petani datang ke kebun waktu petang. Upai dan Nyet segera ke kebun pisang.

Sampai di kebun pisang, Upai segera menggigit tali yang mengikat kaki Nyet. Giginya yang tajam segera memutuskan tali itu. Akhirnya Nyet dapat diselamatkan. Mereka bertiga segera meninggalkan kebun pisang.

“Terima kasih, Upai. Kamu sudah selamatkan saya,” ucap Nyet sedih.

“Tempat itu bahaya. Perangkap ada di mana-mana. Sebab itu ibu kamu larang turun ke tanah,” nasihat Upai kepada Nyet dan Nyot.

“Kami berdua menyesal. Lain kali kami akan dengar cakap ibu,” jawab Nyot.

“Kami tidak akan nakal lagi,” janji Nyet pula.

Nyet dan Nyot kembali bermain di atas pokok. Tempat itu lebih selamat. Mereka bebas melompat dan bergayut dari dahan ke dahan. Semua pesan ibu akan disemat di dalam hati.   

      

Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular