UNTUKMU IBU
Oleh: AC JAFFRIE
Mak Nab batuk-batuk kecil. Sambil duduk meneman tingkap yang terbuka, pandangannya terus melata ke arah jalan masuk yang menghala ke rumah. Sejenak melihat pada ruang yang tepu. Hatinya dilamar sayu. Perasaannya terus sebak dengan rasa kosong, sekosongnya. Pada tubir matanya, sudah bergenang titisan air jernih. Perlahan-lahan titisan air jernih itu mengalir lalu tumpah dari kolamnya.
“Mak menangis lagi?” tegur Zarul yang agak lama memerhatikan gelagat ibunya di tepi tingkap tengah rumah limas pusaka itu. Dia baru balik dari pekan berhampiran kerana bergunting rambut.
Mak Nab tersentak. Serta-merta tangannya menyeka lelehan air mata yang masih berbaki di pipi yang berkedut seribu itu. Bukan sekali dua dia ditegur begitu oleh anak bongsunya itu. Kali ini apa lagi alasan yang mesti diberikan? Belum sempat dia mahu beralasan, Zarul menegurnya sekali lagi. Jarak antara dua beranak itu semakin mendekat.
“Mak tak payah nak beri apa-apa alasan. Mak rindu dengan Abang Long dan Kak Ngah, kan?” bentak Zarul melunaskan rasa kurang senangnya.
“Adik… salahkah kalau mak rindu pada anak-anak mak?” jawab Mak Nab dengan soalan. Kemudian bersambut dengan dengusan nafas daripada Zarul.
“Tapi Along dan Kak Ngah sikitpun tak rindukan mak! Mereka langsung tak ingatkan mak!” tukas Zarul dengan nada suara sedikit lantang dan keras. “Mak sedar tak?” soal Zarul lagi membuatkan Mak Nab gumam seketika.
Zarul melarikan diri ke tingkap yang terbuka. Dengan perasaan yang bercampur-campur, pandangannya lepas pada pokok mangga yang sedang berbunga lebat di halaman. Hatinya sedikit tenang melihat kehijauan di halaman dari memikirkan perangai kurang bertanggungjawab Abang Long dan Kak Ngah. Masih ada sisa amarahnya apabila sudah berbulan-bulan Abang Long dan Kak Ngah tidak menjengah ibu di kampung.
“Tak baik Adik cakap macam tu. Along dan Angah ada tanggungjawab. Mereka sibuk dengan urusan kerja. Mereka ada keluarga masing-masing. Mak kena terima hakikat, kehidupan dulu dan sekarang dah berubah…” ujar Mak Nab mahu menenangkan anak bongsunya itu. Zarul segera memotong cakap ibunya kerana tidak mahu perempuan itu terus menahan sengsara dalam diam. Cakap-cakap itu hanya mahu menutup hakikat yang sebenarnya.
“Habis tu, kita ni bukan keluarga mereka? Kita ni siapa mak?” soal Zarul berturut-turut umpama seorang askar melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah musuh. Dan bebelan itu tidak berhenti dengan persoalan itu sahaja. “Mana tanggungjawab seorang anak kepada ibunya? Adik tahu mak menderita, jiwa mak sengsara!” bentak Zarul terus melontar rasa tidak senang di hati. “Along dan Kak Ngah memang dah melampau!”
“Adik… dengar apa yang mak nak cakap ni. Jangan kesahkan pasal Along dan Kak Ngah. Mereka dah dewasa, tahulah nak berfikir mana baik buruk. Mak nak Adik jaga mak, boleh?” soal Mak Nab membuatkan Zarul gumam sendiri. Dia masih tidak faham, mengapa ibunya masih menyebelahi Abang Long dan Kak Ngah? Dia berfikir-fikir. Mesti ada sebab mengapa ibunya bertindak demikian.
“Adik tak fahamlah mak, orang lain kahwin jugak. Tapi tak adalah sampai lupakan keluarga. Berapa banyak harta yang Along dan Kak Ngah nak kumpulkan? Harta bukan boleh bawa mati!” tukas Zarul berterusan melontar amarah. Dadanya turut bergetar sama.
Mak Nab menggeleng beberapa kali. Perasaan anak bungsunya itu harus ditenangkan. Apa yang jauh tersemat di sanubarinya tidak mungkin Zarul memahami. Bukan dia mahu menegakkan benang yang basah, apa yang berlaku sekarang suatu yang lumrah. Macam mana sayang seorang ibu kepada anak-anak, sampai masa terpaksa melepaskan masing-masing membawa haluan sendiri dengan tanggungjawab yang diamanahkan.
Mak Nab reda dengan kompas kehidupannya sekarang. Masa berubah, anak-anaknya turut sibuk dengan tuntutan dan tanggungjawab masing-masing. Jika dia berkecil hati maka sudah tentu mendatangkan dosa kepada anak-anak. Cuma bila dia terasa sunyi, rindu terhadap anak-anak datang menggamit perasaan seorang ibu. Sejak arwah suaminya meninggal dunia, hidupnya diserahkan kepada ALLAH SWT dan mengharap ehsan kasih sayang daripada anak-anak.
“Mak faham apa yang Adik rasa sekarang. Mak tahu niat murni Adik tu. Memang betul apa yang Adik cakap. Mak yakin Adik sayangkan mak, Along dan Kak Ngah jugak. Tapi Adik tak bolehlah ada perasaan syak wasangka yang bukan-bukan pada Along dan Kak Ngah. Kita tak tahukan apa masalah mereka?” ujar Mak Nab panjang lebar. Zarul menoleh ke arahnya.
“Dahlah tak balik, nak telefon pun susah. Itu maknanya apa mak?” bentak Zarul sekali lagi. Kelihatan rintik peluh merinai di dahinya. “Mak masih nak bela Along dengan Kak Ngah!”
“Mak tak kesah kalau Along dengan Kak Ngah tak telefon. Itu tak bermakna mereka tak ingat mak. Setiap kali selesai solat, mak dah doakan semua anak mak selamat dunia dan akhirat. Mak nak semua anak mak terus bersatu sampai bila-bila, sampai mak tak ada lagi di dunia ini. Janganlah retak yang ada semakin membelah. Along dan Kak Ngah tetap sebagai pengganti mak nanti,” pesan Mak Nab mahu Zarul memahami keadaan sekarang.
“Balik-balik mak sebut Along dengan Kak Ngah, bosanlah!” gerutu Zarul lalu meninggalkan Mak Nab sendiri di anjung tingkap yang terbuka.
Pandangan Mak Nab nampak berkabus. Kelibat anak bongsunya hilang di balik pintu bilik. Dalam hatinya terus beristighfar panjang. Ditahankan perasaan sebak yang mula meraja di hati. Air jernih tetap bergenang di pelupuk matanya. Sebentar kemudian kelihatan Zarul tergesa-gesa meninggalkan biliknya. Sebuah beg sandang kemas melekat pada bahu. Langkahnya pantas menuju ke muka pintu.
“Adik nak ke mana?” soal Mak Nab bernada cemas. Langkah kakinya turut merapati ke arah Zarul. Terjahan soalan itu mematikan seketika langkah kaki Zarul sebelum kembali menuju pintu utama. Di dada Mak Nab sudah berkumpul seberkas rasa sebak.
“Kepala Adik rasa serabut. Adik nak pergi tempat yang tenang!” bentak Zarul bercakap mahu memuaskan kehendak hatinya.
Tiba-tiba dia dihimpit rasa bercelaru yang amat. Disebabkan sikap Abang Long dan Kak Ngah yang tidak bertanggungjawab, dirinya menjadi tidak keruan. Tambah membebankan fikiran, minggu depan dia akan melaporkan diri ke sebuah kolej pengajian tinggi demi mengejar impian mahu menjadi seorang anak bangsa yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara. Hatinya mula berbelah bahagi.
“Adik pun nak tinggalkan mak?” soal Mak Nab membuatkan Zarul berpusing memandang ke wajah tua yang mula retak seribu itu. Retak yang menggambarkan kematangan seorang insan bergelar ibu. “Agaknya Adik pun dah tak sayangkan mak!” tegas dan keras ungkapan yang meluncur keluar dari bibir tua Mak Nab. Pelupuk matanya mula terasa panas.
“Ehhh… apa maksud mak? Mak jangan nak samakan Adik dengan Abang Long dan Kak Ngah. Sebab sayangkan mak, Adik dah ambil satu keputusan!” tukas Zarul menyanggah butir kata ibunya sebentar tadi. Dia ada pendirian sendiri.
“Keputusan? Keputusan apa Adik?” bertalu-talu soalan daripada Mak Nab. Dia mula merasakan suatu yang pelik melihat kelakuan Zarul sejak akhir-akhir ini. Sikap penyayang dan berbudi bahasa Zarul semakin menipis.
Zarul kembali berdiam sambil menahan anak nafasnya yang turun naik. Rasa amarah masih bersisa dalam dadanya ketika itu. Sesungguhnya dia juga sedang berada dalam keadaan dilema. Perlukah dia berterus terang sekarang? Dia pasti, keputusan yang bakal diambil itu bakal mengecewakan hati wanita tua itu. Dia sanggup berkorban demi seorang ibu.
‘Untukmu ibu… aku sanggup buat apa saja. Aku hanya mahu ibu terus bahagia!’ bisik suara hati Zarul sebelum melepaskan kata-kata keramat buat ibunya yang kian resah menanti. Rasa bersalah turut bertindan sama. Pasti ada luka mengiringi kata-katanya nanti. Seketika dia hanyut di alam mimpi.
“Adik tak jawab lagi soalan mak. Betullah… Adik pun dah tak sayangkan mak…” ujar Mak Nab sambil menahan lelehan air mata yang gugur di lekuk pipi. Sedikit demi sedikit perasaannya mula retak dan hancur.
Zarul sudah tetapkan pendirian. Keputusannya sudah bulat. Dia sanggup kecewa demi membahagiakan hati seorang ibu. Memang sejak beberapa hari ini dia terpaksa membuat satu keputusan yang sukar. Dia sangat pasti ibunya akan menolak keputusan yang bakal diambil itu. Dia sudah bersedia menadah telinga mendengar bebelan seorang ibu. Cuma untuk melepaskan kata-katanya, dia perlukan satu kekuatan.
“Adik takkan ke Kuala Lumpur. Adik akan tetap bersama mak di kampung. Adik dah janji dengan diri sendiri akan jaga mak sampai bila-bila!” beritahu Zarul dengan yakin. Lega perasaannya apabila yang terbuku di dada terlerai sudah. “Adik rela buat apa saja untuk mak!”
“Adik sedar tak apa yang adik cakap ni? Kenapa buat keputusan yang terburu-buru? Berfikirlah ikut akal, bukan ikut nafsu marah!” pantas Mak Nab membidas percakapan Zarul. Dia benar-benar tidak bersetuju dengan keputusan itu.
“Adik tak kisah asal dapat jaga mak. Adik sanggup duduk dan kerja di kampung demi mak!” ujar Zarul terus membentak. Dia sudah menduga penolakan daripada ibunya itu. Bagi dirinya, itu adalah keputusan yang terbaik.
“Mak dah lama hidup, tahulah mak nak aturkan hidup mak. Mak dah lama kuat sejak arwah abah Adik pergi. Masa depan Adik lagi penting. Perjalanan hidup Adik masih panjang. Jangan korban masa depan Adik demi mak. Setakat sijil yang ada, apa sangat kerja yang Adik boleh buat di kampung ni? Pencen arwah ayah kau dah cukup tampung hidup mak,” panjang nasihat Mak Nab. Zarul masih tidak mahu mengalah.
“Tapi Adik tak sanggup tengok hidup mak susah. Mak dah lama sepi tanpa arwah abah. Adik nak temankan mak sampai akhir hayat. Kalau Along dengan Kak Ngah tak mahu jaga mak, Adik sanggup!”
“Dah… mak tak nak dengar apapun alasan Adik. Adik kena teruskan pelajaran setinggi yang mampu. Orang yang berilmu akan berjaya di dunia dan akhirat. Selagi ada kudrat, berusahalah. Mak akan terus sokong Adik. Ketawa dan menangis mak hanya untuk Adik. Mak bangga punya anak macam Adik, Along dan Kak Ngah jugak. Kasih sayang mak tak berbelah bahagi untuk semua anak-anak mak…” sekali lagi kata-kata perangsang daripada Mak Nab mengalir buat Zarul fikir-fikirkan.
Zarul tidak dapat menahan sebak. Dia sangat terharu. Betapa murninya hati seorang ibu terhadap anak-anak. Tanpa dipaksa, dia meluru memeluk ibunya. Selepas mencium kedua-dua belah tangan, bibirnya mencium mesra dahi dan pipi Mak Nab.
BIONARASI PENULIS
AC JAFFRIE nama sebenarnya JAFFRI BIN HJ MD YATIM meminati dunia penulisan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Anak kelahiran Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru, Melaka. Merupakan pemegang Ijazah Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1990. Genre penulisan yang diminati seperti buku kanak-kanak, cerpen, sajak, novel dan pantun. Bertahun-tahun menekuni penulisan dengan berkarya di banyak syarikat penerbitan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Fajar Bakti, Alaf 21, ITBM, Penerbitan Kintan, Karystos Creative, Pena Padu Press dan lain-lain. Ahli kepada persatuan penulis di bawah badan gabungan GAPENA iaitu Ikatan Persuratan Melayu (IPM), Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) dan Lembaga Bahasa Melayu (LBM). Penerima Anugerah Kalam Sastera (Pantun) dari PENAMA (November 2024).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan