Ahad, 23 Mac 2025

DENDAM YANG TERPADAM

Dendam yang Terpadam 

Oleh: Jcka Daily



Kipas siling yang berputar-putar membuatkan kepala Syamil bertambah 

pening. Sejak semalam lagi asyik berdenyut. Seperti tidak mahu berhenti. Sekejap dia 

mengiring ke kanan. Sekejap pula ke kiri. Rambut yang serabai seperti berus dawai 

digaru kasar. Syamil bangun. Tidak lama baring semula. Mahu saja kepala dihantuk ke  

dinding.


Rengusan kasar dilepaskan. Syamil menarik selimut yang menutupi tubuhnya. 

Lalu, Syamil menuju ke arah beranda. Angin malam bertiup menyapa wajah muram 

dapat juga mengurangkan hangat. Sudah dua bulan hujan tidak turun. Banyak

kawasan yang kekurangan sumber air. Mereka yang hanya berharap pada air bukit

pasti lebih teruk terjejas. 


Telefon yang berdering banyak kali dibiarkan sahaja. Syamil tahu siapa 

yang menelefonnya. Namun, teriakan telefon yang tidak mahu berhenti membuatkan 

Syamil semakin rimas. Kemudian, dia menatap nama yang tertera pada skrin telefon. 

Tiba-tiba sahaja, telefon itu dilempar di atas katil.


Syamil menghempaskan punggung di birai katil. Rambutnya diraup berulang 

kali. Telefon berbunyi menandakan ada pesanan ringkas masuk. Kali ini, tergerak hati 

Syamil mahu membaca pesanan tadi. Seperti ada suara yang menyuruhnya.

***

Malam itu juga Syamil memasukkan beberapa helai pakaian dalam beg 

sandang warna hitam. Cukuplah untuk sehari dua. Pesanan yang dibaca tadi sikit pun 

tidak mengejutkannya. Seolah perasaannya sudah mati terhadap keluarganya sendiri. 

Tetapi, firasatnya kuat menyuruh balik ke kampung. 


Lagipun sudah tiga tahun Syamil tidak balik ke Kampung Sentosa. Setiap 

kali diminta balik, ada sahaja alasan yang sengaja direka Syamil. Padahal, Syamil tidak 

mahu berjumpa dengan keluarganya lagi. Kejadian enam tahun lalu menyinggah

dalam fikiran Syamil.


Syamil menganggap dirinya seorang anak yang tidak berguna. Ditambah 

pula, keluarganya mempermalukan Syamil di depan orang ramai. Siapa yang tidak 

mahu jika diperlakukan seperti binatang dan mereka adalah keluarga sendiri. Syamil 

sangat tercabar. Akhirnya, Syamil mengambil keputusan berhijarah ke bandar dan 

mulai memperbaiki dirinya.


    Desas-desus cerita orang-orang kampung, abangnya Farid telah berjaya membuka 

perniagaan. Perniagaan apa, Syamil sendiri tidak pasti. Lagipun, untuk apa Syamil 

ambil tahu perkara itu. Subuh nanti Syamil akan berdepan dengan Farid. Syamil perlu 

mengawal perasaannya. Tidak mahu pisang berbuah dua kali. Mereka pernah 

bergaduh dan berakhir dengan tumbukan.


Enjin motorsikal dihidupkan. Perlahan-lahan beredar dari kawasan Taman

Mutiara. Motorsikal Syamil membelah jalan raya yang lengang. Jam menunjukkan

pukul 9.45 malam. Untuk sampai di Kampung Sentosa, Syamil mengambil masa lebih 

kurang empat jam setengah. 


Sampai di satu simpang, Syamil berhentikan motorsikal. Kebetulan pula, ada satu 

perhentian bas. Enjin motorsikal perlu disejukkan untuk menggelakkan sebarang 

kejadian yang tidak diingini berlaku. Kalau tidak, malang tak berbau, motorsikal

Syamil terbakar pula. 


Selang setengah jam, Syamil meneruskan perjalanan selepas makan dua keping 

biskut sebagai alas perut. Mujur, Syamil ada membawa sedikit biskut. Perutnya 

berkeroncong pula. 


Syamil menghela nafas dalam. Jam tangan dilirik. Jarum jam tepat menunjukkan

pukul 2.00 pagi. Sekujur tubuh seperti menunggu kehadiran Syamil sedang duduk di 

atas anak tangga. 


“Assalamualaikum.” Salam dari Farid. Bibir tak henti melangitkan doa 

agar adiknya selamat sampai di Kampung Sentosa. Dia menghela nafas. Lega melihat 

kepulangan adiknya.


Syamil menongkat motorsikalnya. Sengaja dia mendorong motorsikal tadi

dari luar pagar kerana tidak mahu mengejutkan Mak Tejah. Farid menghampiri Syamil 

sambil cuba bersalam tangan. Namun, Syamil mengendahkan abangnya. 


Farid menggeleng. Sedikit kecewa dengan tindakan Syamil tadi. Farid membiarkan 

sahaja adiknya mendahului masuk ke dalam rumah. Bunyi periuk berlaga di ruang 

dapur. Pasti Mak Tejah sedang menyediakan makanan untuk sahur.


Tubuh dihempas di atas sofa. Mujur sofa masih empuk. Kalau tidak, pasti punggung 

terasa sakit. Sudah bertahun kerusi kayu itu tidak diganti. Sejak kematian ayah Syamil 

enam tahun lalu.


    “Macam mana perjalanan tadi?” Farid buka cerita. Songkok hitam senget dibetulkan. 

Sebenarnya, songkok itu kepunyaan arwah ayah.


Syamil membisu bagai batu. Syamil hanya memandang sekilas wajah abangnya. 

Adakala, Syamil malu bila orang bercerita tentang abangnya. Disebabkan itu, Syamil 

jarang balik ke kampung.


    “Kejap lagi mak siap masak tu. Bolehlah kita sahur bersama, Mil.” 


Kemudian, Syamil berdiri menuju ke arah biliknya. Rumah mereka ada tiga bilik. Bilik 

Syamil bersebelahan dengan Farid. Perlahan pintu ditolak. Kedudukan meja, katil, dan 

almari tidak pernah berubah. Bilik itu dijaga dengan baik. Kemas dan rapi.


    “Kami tak usik barang-barang Mil. Cuma bersihkan habuk yang melekat dan sarang 

lelabah dalam bilik ni,” cerita Farid. Berharap adiknya bersuara.


Mata Syamil tertumpu pada sebingkai gambar di dinding. Lama juga Syamil merenung 

gambar itu.


    “Abang pun rindukan ayah,” luah Farid.


Syamil duduk di birai katil. Kematian ayah memberikan impak besar pada Syamil. 

Ayah mereka meninggal dunia disebabkan Farid. Sejak itu, Syamil jarang bercerita 

dengan Farid.


Kejadian itu masih jelas dalam fikiran Syamil. Ketika itu, arwah ayah dan Farid pergi 

memancing. Mak Tejah melarang mereka kerana keadaan cuaca yang tidak 

mengizinkan. Namun, Farid berkeras hati mahu meneruskan rancangannya. Dalam 

perjalanan mereka pulang, motorsikal yang ditunggang arwah terbabas dan dihempap 

sebatang pokok. 


Pihak hospital mengesahkan arwah ayah Syamil mengalami pembekuan darah dan 

perlu menjalani pembedahan segera. Namun, ketentuan-Nya tiada siapa yang dapat 

melawan. Arwah ayah mereka dalam keadaan koma dan menghembuskan nafas 

menjelang malam Ramadan hari pertama.

    “Mil.”

    “Keluar sekarang!” suara Syamil kesat.

    “Abang cuma…”

    “Kau tak faham bahasa?!” suara Syamil semakin tinggi.

    “Sampai bila, Mil?”

    “Aku tak ada jawapan untuk soalan kau. Aku nak bersendirian!” tujuan Syamil

pulang kampung sekadar mahu menunaikan permintaan Mak Tejah. Kalau ikutkan 

hati,  Syamil takkan jejak kaki ke Kampung Sentosa. 

    “Mil.”

    “Keluarlah!” marah Syamil.

    “Kau dah sampai, Mil. Bila sampai? Kenapa tak bagi salam tadi?” Mak Tejah duduk 

bersebelahan Syamil. Pertengkaran tadi tidak didengari Mak Tejah.

    “Baru saja sampai tadi. Adalah dalam sepuluh minit,” jawab Syamil.

    “Syukur Mil sampai dalam keadaan yang selamat. Farid tu sejak semalam lagi, asyik 

berdoa agar kau selamat dalam perjalanan,” cerita Mak Tejah.

Syamil memandang Farid.

    “Bolehlah kita sahur sekali, Mil. Farid.” Wajah Mak Tejah seperti bunga-bunga

mekar. Saat inilah yang ditunggu-tunggu Mak Tejah. Empat tahun menunggu 

kepulangan anak  bongsunya.


    “Mak dan abang saja sahur bersama. Mil nak tidur. Penat,” sengaja Syamil mereka 

alasan. Pura-pura memicit bahu.

    “Makanlah dulu,” ajak Mak Tejah.

    “Lepas makan, boleh Mil rehat puas-puas,” tambah Farid.

    “Suka hati akulah. Nak makan atau tak. Tak payah menyibuk, boleh!”

    “Astagfirullah, Mil. Farid abang Mil. Cubalah hormat sikit,” kepala Mak Tejah 

digeleng perlahan-lahan.

    “Nak suruh aku hormat? Jauh panggang dari api,” jawapan Syamil membuatkan Mak 

Tejah kecewa. Mana letak rasa hormat adik terhadap abang.

    “Sampai bila kau nak maafkan abang kau ni Mil. Jangan sampai kau menyesal

nanti,” tambah Mak Tejah lagi. 

    “Mak mungkin dah lupa, dia jadi punca ayah meninggal dunia!” Syamil sering kali 

diejek oleh rakan sekolah kerana tidak mempunyai ayah. Setiap kali ada program 

sekolah yang melibatkan orang tua, Mak Tejah dan Farid sebagai ayah selalu 

menyokong  Syamil. 

    “Cukup, Mil. Mak dah lama bersabar dengan Mil. Bukan Mil saja yang terasa 

kehilangan ayah. Mak dan Farid. Semuanya sudah diatur oleh Tuhan. Siapa kita mahu 

menyalahkan takdir dari-Nya,” kelopak mata Mak Tejah seperti sukar dibendung. 

Empangan air mata akan pecah bila-bila masa. 

    “Abang juga tak nak ayah meninggal masa tu. Kalaulah abang tahu pokok akan

rebah dan hempap ayah, abang takkan bawa ayah keluar,” terbit juga rasa sesal

dalam diri Farid. Farid selalu menyalahkan dirinya. Namun, Mak Tejah selalu 

menasihati Farid akan tidak menyalahkan diri atas kematian ayah mereka. 

Mendekatkan diri pada Tuhan. Minta petunjuk agar dada dilapangkan menerima apa 

yang sudah berlaku.

    “Semua disebabkan kau. Si buta!”

    “Astagfirullah, Mil.” Mak Tejah mengusap-usap dada. Air mata merembes laju. 

    “Mak.” Farid mendekati Mak Tejah.

    “Farid.” Mak Tejah renung wajah anaknya. Berbekalkan sebelah mata, Farid masih 

mampu menguruskan kebun buah-buahan yang ditinggalkan oleh arwah suaminya. 

Syamil pula berhijrah atau entah melarikan diri ke bandar selepas habis SPM. Farid 

mencadangkan agar Syamil menyambung sekolah. Namun, Syamil tetap dengan 

keputusannya. Mak Tejah faham Syamil berdendam pada Farid dan Syamil malu 

kerana mempunyai seorang abang yang bermata satu. 

    “Tak apa, Mak. Kita biarkan Mil berehat. Siang nanti kita masih boleh borak, ” 

perlahan Farid memapah Mak Tejah.

    “Farid.”

    “Syamil mesti tahu, Farid.” Mak Tejah duduk semula.

    “Cerita lama tak payah nak ungkit, Mak.” Farid tidak mahu mengeruhkan keadaan. 

Lebih baik, Syamil berehat sahaja.

    “Mata kanan kau, mata Farid.” Mak Tejah mulakan cerita.

    “Mak cakap apa ni? Mata ni, mata abang.” Syamil menunduk.

    “Masa Mil berusia dua tahun, mata Mil bermasalah. Farid rela derma matanya. Mak 

minta Mil balik. Mak merayu Mil balik. Lawat kami selalu di kampung sebab usia 

abang kau dah tak panjang,” sekali lagi, Mak Tejah menangis. Usia Farid masa itu baru 

enam tahun. Tetapi, itulah yang dikatakan kasih sayang antara abang dan adik.

    “Mak. Farid.” Pandangan Syamil silih berganti. Gugur juga air mata seorang lelaki 

yang penuh dengan keegoan.

***

Kini, Syamil kerap kali pulang ke Kampung Sentosa. Menemani Farid yang hanya 

terlantar di atas katil. Pengerakkannya terbatas. Siapa lagi mahu membantu Farid.  

Kalau nak harapkan Mak Tejah, usia mak mereka semakin ditelan senja. 


    “Maafkan segala dosa Mil pada abang.” Syamil memeluk erat tubuh Farid yang

tinggal tulang. Sel-sel kanser semakin ganas menyerang Farid.

    “Abang dah lama maafkan Mil. Abang halalkan makan dan minum, Mil.” nada suara 

Farid lemah.

    “Mil sangat menyesal kerana tak bagi abang peluang bersuara selama lima tahun.”

Masa kecil dan masa dewasa tidak sama. Syamil hanya banyak menghabiskan masa 

bersama Farid hanya saat dia terlantar lemah. 

    “Aku senang hati melihat Mil bersujud di atas sejadah dan bersebelahan aku. 

Memohon keampunan dan minta kesembuhan untuk abang,” senyuman Farid terlukis 

pada wajahnya yang cekung. Hanya pada Tuhan saja tempat Farid bersandar. Mungkin 

Farid akan diberikan peluang kali ke-dua.

    “Apa yang berlaku pada abang membuatkan Mil belajar sesuatu. Dendam yang 

disimpan akan menutup kasih sayang. Mata aku sebenarnya buta. Hanya kegelapan 

yang menguasai peribadi Mil. Mil terlupa arwah ayah dan abang adalah hero dalam 

hidup Mil.”

    “Abang sangat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat Keinsafan 

dalam diri Mil. Abang harap lepas abang ‘pergi’, Mil luangkan lebih masa temankan 

mak,” seolah itu adalah permintaan terakhir dari Farid. Syamil mengambil keputusan 

berhenti kerja dan menguruskan kebun buah-buahan.

    “Abang!”


Senja yang diwarnai jingga dan burung-burung menghiasi wajah langit menjadi saksi, 

jasad Farid dijemput ‘pulang’. Pulang ke rumah abadi. Kehilangan yang benar-benar 

mengajar Syamil untuk tidak berdendam dengan sesiapapun. Lebih baik memaafkan 

seseorang dari menanam duri dalam diri. Apabila mahu mencabut duri itu, kesakitan

itu dirasakan berlipat ganda. Hanya keinsafan yang tulus sahaja dapat menyembuhkan 

diri. 



Bionarasi








Judith Daily memakai nama pena Jcka Daily dan lahir di Sabah, Malaysia. Mulai

menulis sejak tahun 2020. Karya-karya pernah tersiar di koran-koran tempatan. Kini, 

giat menyertai apa saja pertandingan atau sayembara untuk menimbah ilmu penulisan.


Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular