Khamis, 27 Mac 2025

KEMAAFAN MEMAYUNGI PELITA TERINDAH

 Kemaafan Memayungi Pelita Terindah

Karya: Iza Iman



Awan jingga mulai kelihatan ketika Ammar menapak menuju ke keretanya. Seharian bekerja, tidak sedar hari sudah petang. Baru hendak menarik pintu kenderaan, hatinya terusik dengan satu suara. Seperti ada perbalahan tidak jauh darinya.

Ammar berjalan menuju ke arah datangnya suara tadi. Tepat sekali tekaannya. Dia melihat seorang lelaki menendang kaki seorang wanita separuh umur.

“Inilah tempat kau. Kau sudah tua. Tak berguna lagi untuk aku!” Setelah menghabiskan kata-kata itu, lelaki itu segera berlalu.

Laju Ammar mendapatkan wanita itu. “Mak cik tak apa-apa? Siapa lelaki tadi?”

Wanita itu terbatuk-batuk sambil menahan sakit akibat diheret kuat sebentar tadi. “Dulu mak cik kerja dengan dia... di sebuah hotel sebagai penghantar minuman... sekarang mak cik sudah tua... tak berguna lagi untuk dia...”

Ammar menghela nafas panjang. “Kasihan mak cik. Umur macam mak cik perlu berehat. Jangan kerja berat. Bangun, mak cik. Dekat sini ada pusat jagaan untuk orang-orang tua. Ammar bawa mak cik tinggal sana, ya? Nama mak cik siapa?”

Wanita itu mengangguk. “Panggil saja Mak Zah.”

“Mari, Mak Zah. Ammar bawa Mak Zah ke sana. Hari pun dah nak maghrib ni.” Ammar memapah Mak Zah.

Aina, pembantu pusat jagaan menyambut Mak Zah di hadapan pintu. Mak Zah dibawa ke atas sofa.

“Sediakan bilik untuk Mak Zah, Aina. Esok saya akan datang melawat,” kata Ammar.

“Baik, Tuan,” jawab Aina.

***

Pusat Jagaan Teratak Kasih agak sunyi pada pagi itu. Ammar yang sudah lama membina rumah orang tua-tua itu masih berlegar di kawasan sekitar. Ada sebilangan orang-orang tua yang masih menikmati sarapan pagi.

Hatinya dihuni keresahan. Tidak pula dilihatnya keberadaan Mak Zah. Entah ke mana perginya wanita itu.

Ammar menapak lagi. Di tangannya adanya teh susu dan roti sandwich. Dia tahu, Mak Zah pasti belum menjamah apa-apa. Makanan itu mahu diberikan kepada Mak Zah.

Tidak jauh daripada kawasan ujana bunga, Ammar melihat Mak Zah sedang duduk di atas bangku kayu yang telah dihias kirana. Air mata disekanya perlahan. Terasa berat beban di dada.

Ammar seakan mampu merasai kewalangan Mak Zah. Raut masygul Mak Zah terlihat jelas. Pasti ada penyesalan lama yang sukar untuk diungkapkan. Kasihan Mak Zah.

“Mak Zah...” Ammar menegur Mak Zah.

Mak Zah menoleh sekilas. “Oh, Tuan Ammar? Mahu apa?”

“Saja datang sini. Mahu teman Mak Zah. Mak Zah belum sarapan lagi, kan? Teh susu dan roti sandwich ni untuk Mak Zah.” Ammar meletakkan makanan dan minuman itu bersebelahan dengan Mak Zah.

“Mak Zah tak ada selera mahu makan. Mak Zah rindu anak Mak Zah.” Mak Zah menangis lagi.

“Mak Zah boleh anggap saya ni macam anak Mak Zah. Saya pun tak pernah rasa belaian kasih seorang ibu,” ucap Ammar.

Mak Zah memandang Ammar. “Ibu Tuan Ammar mana?”

“Lepas melahirkan saya, dia terus tinggalkan saya. Kata ayah, ibu tak dapat terima saya sebagai seorang anak. Sudahlah, Mak Zah. Lupakan kisah saya tu. Sekarang, Mak Zah kena makan. Nanti perut masuk angin,” kata Ammar.

“Baiklah.” Mak Zah ikut juga kata Ammar.

***

Azizah berdiri di hadapan suaminya, Manan. Dengan megah diri Azizah berpeluk tubuh. Bayi yang baru dilahirkan masih berada di atas buaian.

“Zah mahu pergi mana ni? Dengan beg besar lagi,” tanya Manan.

“Zah mahu pergi dari rumah ni. Zah malu dengan orang luar. Anak Zah cacat,” pekik Azizah.

Manan meraup wajah perlahan. “Ya, Allah. Bawa ishtigfar. Mengucap, Zah. Ini anak kita... anak yang lahir dari rahim Zah sendiri... anak yang Zah kandungkan selama sembilan bulan sembilan hari.”

“Zah tak peduli. Zah tak dapat terima anak yang cacat. Abang jagalah dia.” Azizah tetap berkeras.


Manan menarik nafas panjang. “Baiklah. Kalau itu yang Zah mahu, Zah pergilah. Abang berjanji akan menjaga anak kita sebaik mungkin. Walau siapapun dia, dia tetap anak abang. Abang terima pemberian Allah seadanya.”

Mak Zah menjerit kuat sebaik sahaja tersedar dari lena. Kerpasan air mata tidak mampu mengubah apa-apa. Adakah ini semua kifarah yang Allah hantar padanya?

“Ya, aku berdosa. Ini semua karma untuk aku. Aku buang anak aku hidup-hidup. Aku biarkan suamiku mengasuh dan membesarkannya seorang diri. Betapa kejamnya aku,” ucap Mak Zah dengan penuh penyesalan.

***

Ammar memaklumkan tentang jamuan yang akan diadakan di Pusat Jagaan Teratak Kasih. Di samping itu, turut diadakan majlis hari jadi kepada warga emas yang meraikan.

Minggu bertukar minggu, jamuan yang dicadangkan telahpun tiba. Ammar tidak ketinggalan mengajak satu-satunya insan yang disayanginya untuk menyertai jamuan di Pusat Jagaan Teratak Kasih.

“Sempurna betul pusat jagaan ni kan, Mar? Ayah bangga dengan Ammar.” Ammar tersenyum mendengar kata-kata ayahnya.

“Alhamdulillah. Ini aja yang mampu Ammar buat. Ammar juga boleh menumpang kasih pada ibu-ibu yang ada di sini,” jawab Ammar.

Ayah Ammar menepuk bahu anaknya perlahan. “Ayah faham perasaan Ammar. Anak mana yang tak mahu jumpa ibu dia, kan? Ibu yang tinggalkan kita, Mar. Seandainya ibu masih hidup lagi, berilah keampunan padanya. Tak baik simpan dendam.”

Ammar mengangguk. “Ya, ayah. Ammar takkan mendendami ibu. Hmm... lepas ni, Ammar mahu bawa ayah jumpa seseorang.”

“Siapa?” soal ayah Ammar.

“Warga emas yang tinggal di pusat jagaan ni, ayah. Anak-anaknya tak pernah menjenguknya. Katanya, dia sebatang kara. Tapi, yang Ammar hairan tu dia selalu menangis. Seperti ada rentetan kehidupan yang disesali,” jelas Ammar.

Ayah Ammar mengangguk. “Baiklah. Lepas ni, kita jumpa dia. Tapi, ayah mahu makan dulu. Lapar.”

Ammar tersenyum. “Mari kita pergi ke meja jamuan. Banyak juadah yang disediakan.”

Mereka menapak ke meja jamuan. Ammar menemani ayahnya menjamu selera. Ammar bahagia apabila ayahnya gembira.


Usai menjamu selera, Ammar mengajak ayahnya melangkah. Ammar masih tercari-cari Mak Zah. Wanita itu kurang gemar bergaul dengan penghuni Pusat Jagaan Teratak Kasih.

Berhampiran dengan sebuah kolam, Ammar melihat Mak Zah sedang duduk sambil melihat ikan air tawar di dasar kolam. Mak Zah duduk membelakang jadi, mata tidak bersatu.

“Itulah Mak Zah, ayah. Mari kita ke sana.” Ammar menuding jari ke arah Mak Zah.

“Mak Zah.” Ammar menyebut nama Mak Zah setelah tiba di kawasan kolam ikan air tawar itu.

Mak Zah menoleh sekilas. Senyuman diberikan.

“Kenapa Mak Zah duduk jauh-jauh ni? Mak Zah dah makan?” tanya Ammar.

Mak Zah mengangguk perlahan. “Saja ambil angin malam. Dah makan tadi.”

“Nanti kejap lagi Ammar mahu ajak Mak Zah masuk ke dalam. Ada sesi bergambar untuk kita. Tapi, sebelum tu, Ammar mahu kenalkan Mak Zah dengan ayah Ammar,” tutur Ammar sambil memperkenalkan ayahnya kepada Mak Zah.

Dua pasang mata bertaut. Mulut saling melopong. Kenangan lama terimbas kembali.

“Abang Manan?”

“Azizah?”

Air mata Mak Zah berlinangan. Begitu juga dengan ayah Ammar, Pak Man.

“Zah di sini pula selama ni. Lama abang dan Ammar cari Zah,” kata Pak Man seakan tidak percaya.

“Ayah kenal Mak Zah?” soal Ammar dengan dahi berkerut.

Pak Man mengangguk. “Sebenarnya Mak Zah ni ibu Man... insan yang Man cari-cari selama ini.”

Mak Zah memandang Ammar lama. Dari hujung rambut hingga hujung kaki ekor matanya tidak berganjak. Kemudian, digelengkan kepalanya berkali-kali.

“Bukan. Anak Zah tak sempurna fizikal macam ni. Kerana ketidaksempurnaan itulah Zah tinggalkan anak Zah,” ujar Mak Zah.

Pak Man dan Ammar saling berpandang. Kisah ketidaksempurnaan Ammar akan dibuka hari ini. Mak Zah akan tahu segala-galanya.

“Memang Ammar tempang, Zah. Ammar cacat. Tiada budak sudi berkawan dengannya. Tapi, hari ini Ammar dah berjaya. Ammar mampu berdiri dengan sempurna kerana bantuan kaki palsu. Ammar menjadi seorang manusia semuanya berkat prakarsanya,” jelas Pak Man.

Mak Zah bangun dalam kepayahan. Kaki sukar untuk berdiri dengan teguh. Lutut sering rasa sengal-sengal.

Tubuh Ammar didakap erat. “Mama minta maaf, Ammar. Mama banyak dosa dengan Ammar. Mama tidak dapat terima qada dan qadar yang telah Allah tentukan. Mama dah insaf. Mama sesali segala kesilapan lama mama.”

Air mata Ammar jatuh. Jiwanya sebagai seorang anak merekah saat itu. Tidak sangka akan bertemu dengan ibu tersayang. Harapan yang pernah disimpulkan dalam sanubari dimakbulkan Allah hari ini.

“Tiada apa yang perlu Ammar maafkan. Ammar bahagia dapat jumpa mama. Ammar selalu rasa hidup Ammar tidak lengkap kalau tak jumpa mama sebelum ni. Rupanya Allah mahu tunjuk yang mama Ammar ada depan mata,” ungkap Ammar.

Mereka masih berpelukan. Pak Man gembira melihat isteri dan anaknya berada dalam kebahagiaan.

***

Pertemuan sebuah keluarga yang telah lama terpisah menjadi lebih sempurna. Pak Man dan Mak Zah tidak pernah bercerai. Mak Zah yang pergi kerana tidak dapat menerima ketidaksempurnaan anaknya.

Hari ini Pak Man dan Mak Zah bersatu semula sebagai pasangan suami isteri. Ammar berasa bersyukur kepada ilahi kerana orang tuanya bersatu kembali. Hidupnya lebih sempurna di samping ayah dan mama.

“Ammar cacat... jangan kawan dia... Ammar budak dungu...”

Masih terbayang kembali ejekan-ejekan di masa kecilnya. Dia hampir-hampir hilang sinar pedoman untuk hidup. Ayahnya banyak menyedarkannya. Selagi bernama manusia, Allah pasti akan beri perlindungan.

Pada Mak Zah pula, sesalan di hati tetap bersarang. Mana tidaknya, dia sanggup meninggalkan anak yang masih memerlukan belaiannya. Kejamnya dirinya di kala itu.

“Ammar, Zah, jangan fikir lagi pasal masa silam. Cukuplah kita sudah bersatu sebagai satu keluarga. Ayah tak berani menghukum. Tiada orang yang tidak pernah buat silap.” Pak Man bersuara.

Ammar mengangguk. “Ya, ayah. Ammar berjanji akan teruskan untuk menjaga pusat jagaan Ammar ni. Pusat jagaan inilah yang mempertemukan Ammar dengan mama.”


“Itulah yang sebaik-baiknya, Ammar. Ayah dan mama restu segala yang Ammar lakukan,” jawab Pak Man.

Mak Zah menatap tenang suami dan anaknya. Sesungguhnya, dia kira bertuah kerana masih diberi peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan lalu. Sesalan dan kesilapan lama sering menghantui diri.

Tiada yang lebih indah daripada kehidupan yang sempurna. Tidak akan diulangi lagi dosa-dosa lampau. Kerpasan menemani perjalanan setiap manusia. Sesungguhnya, kemaafan memayungi pelita terindah.

TAMAT.


🌿BIODATA.

Nama penuh penulis ialah Halizah binti Hadiman. Dilahirkan di Hospital Beaufort dan kini menetap di Tambunan, Sabah. Mula menulis sejak tahun 2017. Aktif menyertai setiap pertandingan yang diadakan di media sosial. Pernah menerbitkan cerpen dan novel secara swaterbit. Beliau berhasrat dapat menerbitkan lebih banyak karya sebagai santapan pembaca dan untuk dijadikan koleksi bacaan di rumah.

Tiada ulasan:

TITISAN SUNYI

Titisan Sunyi Karya: Bunga Melor Rintik-rintik hujan, iringi kamar hati sunyi tanpa teman bicara. Senyum kuukir kutatap hujan di jendela sep...

Carian popular