NOKTAH SEMALAM
Karya : TK. KELLY GINCHO
Carl duduk dalam kereta, memandang ke luar tingkap.
Di seberang jalan, seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kafe kecil. Payung biru di tangannya melindungi tubuhnya daripada hujan, dan rambut panjangnya terurai indah.
Carl mengenali wanita itu.
Lana.
Dulu, Lana adalah segala-galanya bagi Carl. Dia yang selalu ada, yang memahami, yang sabar dengan segala kerenahnya. Tetapi kini, Lana hanya seseorang dalam kenangan yang masih menghantuinya.
Tiga tahun lalu, Carl dan Lana adalah pasangan yang tidak terpisahkan. Mereka bertemu di universiti. Lana menjadi sebahagian daripada hidup Carl. Dia bukan sahaja kekasih, tetapi juga sahabat yang selalu memahami.
Carl bekerja di sebuah syarikat teknologi yang sedang berkembang. Hidupnya hanya berkisar pada kerja dan kejayaan. Dia percaya cinta boleh menunggu, dan Lana akan tetap ada walau apapun terjadi. Setiap kali Lana mengadu bahawa dia semakin jauh, Carl hanya membalas dengan kata-kata mudah.
"Lana, saya sibuk bah. Semua ni saya buat untuk kita juga."
Lana tidak pernah membantah. Dia hanya tersenyum dan mengangguk, tetapi Carl tidak sedar bahawa senyuman itu semakin pudar hari demi hari.
Makan malam bersama selalu dibatalkan. Panggilan telefon tidak berjawab. Mesej hanya dibalas beberapa jam kemudian dengan alasan sibuk.
Satu malam, Lana datang ke pejabatnya.
"Lama sudah kita tidak makan sama-sama," Lana bersuara perlahan.
Carl menjawab tanpa mengangkat wajah, “Nanti lah, Lana. Saya banyak kerja ni.”
Lana hanya diam, memerhatikan lelaki yang dia sayang semakin jauh dari dirinya.
"Kalau saya tiada satu hari nanti, kau cari saya kah, Carl?" suara Lana perlahan, tetapi cukup untuk membuat Carl berhenti menaip seketika.
Carl ketawa kecil, menggeleng. “Apa kau cakap ni, Lana? Jangan merepek bah.”
Lana memandangnya lama sebelum menghela nafas. "Saya sayang kau, Carl."
Carl hanya mengangguk, menganggap itu sekadar satu lagi luahan biasa. Dia tidak sedar bahawa malam itu adalah kali terakhir Lana datang kepadanya.
Keesokan harinya, Lana hilang.
Tiada lagi mesej selamat pagi. Tiada lagi panggilan sebelum tidur. Tiada lagi Lana.
Dan barulah Carl sedar… dia telah kehilangan sesuatu yang berharga.
Lana duduk di sudut ruangan sambil membaca buku.
Carl menarik nafas dalam-dalam sebelum melangkah masuk. Loceng kecil di pintu kafe berbunyi, dan Lana mengangkat wajahnya.
Mata mereka bertemu.
Senyuman kecil terukir di wajah Lana. “Carl?”
Carl mengangguk perlahan. “Boleh saya duduk?”
Lana menutup bukunya dan mengangguk. “Lama sudah kita tidak jumpa.”
Carl menghela nafas, cuba mengumpulkan keberanian. “Saya… saya tidak tahu mau mula dari mana.”
Lana tersenyum kecil. “Ndak payah mula kalau tiada perlu.”
Carl menggeleng. “Saya minta maaf, Lana. Untuk semua yang saya buat, selama ini saya abaikan kau. Saya terlalu bodoh sampai tidak nampak apa yang ada depan mata saya.”
Lana tidak berkata apa-apa, tetapi matanya penuh pengertian.
Carl menyambung, “Saya selalu fikir cinta boleh tunggu. Saya fikir kau akan selalu ada. Tapi saya silap, Lana.”
Lana menghela nafas perlahan. “Carl… Lama bah saya tunggu kau. Saya pernah berharap kau akan berubah. Tapi akhirnya saya sedar, saya perlu berhenti tunggu seseorang yang tidak pernah kasih jadi saya keutamaan.”
Carl menundukkan kepala. “Saya tahu… dan saya menyesal.”
Lana berkata dengan lembut, “Saya sudah maafkan kau, Carl. Lama sudah.”
Carl mengangkat wajah, matanya berkilau. “Jadi, masih ada peluang untuk saya?”
Lana tersenyum, tetapi ada kesedihan di sebalik senyumannya. “Carl… saya sudah belajar hidup tanpa kau. Saya sudah bahagia dengan hidup saya sekarang. Saya harap kau juga boleh jumpa kebahagiaan kau sendiri.”
Hati Carl seakan hancur saat itu juga. Tetapi dia tahu, Lana berhak memilih jalannya sendiri.
Lana menghulurkan tangan. “Terima kasih sebab datang hari ini. Sekurang-kurangnya, kita boleh berpisah dengan cara yang baik.”
Carl menyambut tangan itu, menggenggamnya seketika sebelum melepaskannya.
Carl memandu pulang dengan hati yang berat. Kata-kata Lana masih bergema dalam kepalanya.
"Saya sudah belajar hidup tanpa kau. Saya sudah bahagia dengan hidup saya sekarang."
Dia menggenggam stereng erat, cuba menahan kesedihan yang semakin mencengkam.
Setibanya di rumah, Carl duduk di ruang tamu yang sunyi. Dulu, ruang ini penuh dengan suara ketawa Lana.
Telefon di tangannya berkelip—mesej daripada sahabatnya, Rizal.
Rizal: “Carl, ada benda kau perlu tahu.”
Carl: “Apa?”
Rizal: “Lana ada seseorang.”
Dada Carl berdegup kencang.
Carl: “Siapa?”
Rizal: “Namanya Daniel. Saya ndak pasti dorang couple sudah atau belum, dia selalu ada dengan Lana sejak beberapa bulan lalu.”
Carl terdiam. Hatinya terasa seperti ditikam. Dia kehilangan Lana, dan kini dia mungkin akan kehilangannya sepenuhnya.
Carl termenung lama. Perasaannya bercampur baur—antara sedih, cemburu, dan takut. Takut kehilangan Lana.
Dia tidak boleh hanya duduk dan meratapi segalanya. Jika ada sedikit pun harapan, dia mahu mencuba.
Tanpa membuang masa, Carl mencapai kunci kereta dan memandu menuju ke sebuah tempat yang sangat dikenali—rumah Lana.
Lana terkejut melihat Carl berdiri di hadapan rumahnya, basah kuyup akibat hujan.
“Carl? Apa kau buat di sini?”
Carl mengatur nafas, matanya tepat memandang Lana. “Saya perlu cakap dengan kau. Satu kali lagi.”
Lana kelihatan serba salah. “Carl… saya rasa kita sudah cakap semua yang perlu dicakap.”
Carl menggenggam tangannya erat. “Saya tahu saya salah. Tapi saya tidak mahu menyerah, Lana.
Lana menggeleng. “Carl, hidup saya sudah berubah…”
“Saya juga mahu berubah,” Carl menyampuk.
Lana serba salah. “Carl… kenapa sekarang?”
Carl tersenyum pahit. “Sebab saya baru sedar bahawa kebahagiaan saya bukan pada kejayaan atau kerja. Kebahagiaan saya adalah kau.”
Lana terdiam.
“Kau masih sayang saya, Lana?” Carl bertanya dengan suara yang hampir berbisik.
“Saya tidak tahu.”
“Saya takut” suara Lana bergetar. “Saya takut kita ulang kesilapan lama.”
Carl melangkah mendekati Lana. “Saya janji, kali ini saya tidak akan sia-siakan kau.”
Lana kehilangan kata-kata.
Carl mula berubah.
Dia mahu membuktikan bahawa dia bukan lagi lelaki yang sama—lelaki yang meletakkan cinta di tempat kedua.
Dia mula mengubah jadual kerjanya. Jika dulu dia bekerja hingga larut malam, kini dia pulang tepat waktu. Dia mula menghadiri kelas memasak—satu perkara yang Lana selalu harapkan daripadanya. Dia mula belajar menjadi lelaki yang lebih baik, bukan hanya untuk Lana, tetapi untuk dirinya sendiri.
Dia menghantar makanan ke rumah Lana, memasak sendiri untuknya. Dia mula muncul di tempat-tempat yang Lana selalu kunjungi—bukan untuk memaksa, tetapi untuk menunjukkan dia serius.
Selepas pertemuan itu, Carl semakin kerap muncul dalam hidup Lana. Setiap kali dia mahu menghabiskan masa bersendirian, Carl ada di situ—kadang-kadang membawa kopi kegemarannya, kadang-kadang sekadar mengajaknya berbual.
Daniel, sebaliknya, tidak pernah memaksa. Dia tahu Lana masih keliru. Tapi dia yakin bahawa dia ada kelebihannya sendiri.
"Lana, saya mahu kau buat keputusan tanpa tekanan," kata Daniel suatu hari.
"Kalau hati kau masih bersama Carl, saya akan berundur."
Lana diam. "Saya tidak tahu, Daniel. Saya… saya masih keliru."
"Jadi, bagi saya peluang untuk buat kau jatuh cinta dengan saya," Daniel tersenyum, yakin.
Lana tertawa kecil. "Kau betul yakin, ah?"
Daniel mengangguk. "Saya tidak takut bersaing, Lana. Saya hanya takut kalau kau buat keputusan berdasarkan kasihan, bukan cinta."
Carl mendengar perbualan itu dari jauh. Hatinya panas. Daniel terlalu yakin. Terlalu percaya diri. Carl tahu dia telah banyak buat kesilapan. Tetapi satu perkara yang dia tidak akan benarkan—melepaskan Lana kepada lelaki lain tanpa berjuang.
Carl dan Daniel mula membuktikan diri.
Carl membawa Lana ke tempat-tempat kenangan mereka, menghidupkan kembali saat-saat bahagia yang mereka pernah lalui. Dia menunjukkan bahawa dia benar-benar berubah—bahawa kali ini.
Daniel pula tidak cuba menandingi Carl dengan kenangan lama. Sebaliknya, dia mencipta pengalaman baru bersama Lana. Dia menunjukkan kepadanya bahawa cinta bukan hanya tentang masa lalu, tetapi juga tentang masa depan. Mereka berdua tahu—ini adalah pertarungan yang adil. Dan mereka akan terima apa sahaja keputusan Lana.
Hari-hari berlalu, dan Carl tahu satu perkara—Daniel tidak akan berdiam diri.
Lelaki itu tetap muncul dalam hidup Lana, dengan cara yang begitu sempurna.
Setiap kali Lana perlukan seseorang, Daniel sentiasa ada. Dia menghantar Lana pulang ke rumah selepas kerja. Dia menunggu Lana dengan sabar. Carl, sebaliknya, memilih cara yang lebih dalam. Dia ingin mengembalikan perasaan yang pernah ada antara mereka.
Carl bukan hanya mahu menang. Dia benar-benar mahu menebus segala kesilapannya.
Lana duduk di balkoni rumahnya. Di tangannya, secawan kopi yang sudah mulai sejuk. Daniel baru sahaja menghantarnya pulang setelah mereka keluar makan malam bersama.
Tetapi entah kenapa, hatinya terasa kosong.
Daniel lelaki yang baik. Dia selalu ada, selalu memahami, selalu sabar dengan semua keraguannya.
Namun, setiap kali dia cuba menyesuaikan diri dengan kehadiran Daniel dalam hidupnya, ada satu perasaan yang tidak dapat dia singkirkan.
Rindu.
Rindu pada Carl.
Lana menghela nafas panjang. Sudah berbulan-bulan dia cuba melupakan lelaki itu, cuba meyakinkan dirinya bahawa Daniel adalah pilihan terbaik. Tetapi, kenangan bersama Carl sering hadir tanpa diundang—dalam lagu yang mereka pernah dengar bersama, dalam aroma kopi yang pernah mereka nikmati, dalam gelak tawa yang pernah mengisi hari-hari mereka. Kenapa Carl masih ada dalam ingatannya?
Kenapa, walaupun Daniel di sisinya, hatinya tetap mencari sesuatu yang sudah lama hilang?
Lana bertemu dengan Daniel di sebuah kafe.
Lelaki itu menyambutnya dengan senyuman seperti biasa.
“Lana, apa yang kau fikirkan?” suara Daniel lembut tetapi penuh dengan pemahaman.
Lana menunduk, mengacau perlahan minumannya sebelum mengumpulkan keberanian untuk bersuara.
“Daniel… saya rasa saya tidak boleh terus macam begini.”
Daniel diam seketika sebelum bersuara.
“Sebab Carl?”
Lana mengangkat wajah, matanya berair.
“Saya cuba, Daniel… saya cuba untuk buka hati saya untuk kau. Saya cuba untuk yakinkan diri saya bahawa kau adalah yang terbaik untuk saya. Tapi semakin saya cuba, semakin saya sedar…” Dia menarik nafas panjang. “…hati saya tetap milik Carl.”
Daniel tersenyum pahit, tetapi tidak marah.
“Saya sudah agak. Mata kau selalu mencari dia walaupun dia tiada.”
Air mata Lana mula menitis.
“Saya tak mahu sakiti kau, Daniel. Kau lelaki yang baik, dan saya tak mahu buat kau rasa seperti pilihan kedua.”
Daniel menggeleng, masih dengan senyumannya yang ikhlas.
“Cinta tidak boleh dipaksa, Lana. Saya hanya mahu kau bahagia. Kalau Carl yang boleh buat kau bahagia, maka pergilah kepadanya.”
Hati Lana semakin sebak, namun dia perlu mencari lelaki yang selama ini tidak pernah benar-benar hilang dari hatinya.
Carl,
Lana tiba di hadapan sebuah rumah kecil yang sudah terlalu dia kenali.
Dengan jantung yang berdegup kencang, dia melangkah ke pintu dan mengangkat tangannya untuk mengetuk. Namun, sebelum sempat dia berbuat demikian, pintu itu terbuka dari dalam.
Carl berdiri di hadapannya.
“Lana?” suara Carl kedengaran serak, seolah-olah dia takut ini hanya ilusi.
Lana cuba mencari kata-kata. Tetapi entah kenapa, semua yang dia ingin ucapkan terasa berat di lidah. Dia merindui lelaki ini. Sangat.
“Boleh saya masuk?” Lana akhirnya bersuara, suaranya hampir berbisik.
Carl mengangguk, memberi laluan.
Ruang tamu yang terasa begitu familiar. Sofa lama di sudut bilik, aroma kopi yang masih tersisa di udara—semuanya mengingatkannya pada kenangan yang dia cuba lupakan, tetapi gagal.
“Kenapa kau datang, Lana?”
Lana menarik nafas dalam-dalam. “Saya datang sebab saya sudah buat keputusan, Carl.”
Carl diam, menanti dengan wajah penuh debaran.
“Saya sudah lepaskan Daniel.”
Carl membeku. “Kenapa?” Carl bertanya perlahan.
“Sebab hati saya tetap mencari kau.”
“Saya cuba untuk lupakan kau. Saya cuba untuk yakinkan diri saya bahawa saya sudah move on. Tapi semakin saya cuba, semakin saya sedar…” Dia mengangkat wajahnya, memandang lelaki itu tepat di matanya.
“…saya masih sayang kau.”
Carl tidak berkata apa-apa. Tetapi dalam diam, air mata lelakinya jatuh.
“Saya rindu kau, Carl.” suaranya bergetar. “Saya rindu cara kau buat saya ketawa, saya rindu cara kau tengok saya seolah-olah saya adalah satu-satunya orang yang penting dalam dunia kau. Saya rindu semua tentang kau.”
Carl menggenggam tangan Lana, menutup matanya seketika.
“Saya takut ini cuma mimpi,” suaranya perlahan.
“Kalau ini mimpi, saya tak mahu bangun.”
Lantas Carl memeluknya erat, seolah-olah dia tidak akan pernah melepaskannya lagi.
Lana menutup matanya, membiarkan dirinya tenggelam dalam kehangatan yang selama ini dia rindukan.
“Dan saya janji, kali ini saya tidak akan tinggalkan kau lagi.”
Hujan kembali turun di luar, tetapi di dalam rumah kecil itu, dua hati yang pernah terpisah akhirnya kembali bersatu—dengan cinta yang lebih kuat daripada sebelumnya.
Hum ek baar jeete hai…
Ek bar marte hai…
Shaadi bhi ek baar hoti hai…
Aur pyar…ek baar hi hota hai…
Kuch kuch hota hai… tum nahi samjhoge.
---- TK. Kelly Gincho ----
+60198891377
28/03/2025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan