Kerana Aku Juga Manusia
Oleh: Nurul Afifah Binti Rahim
Zamri dan Zee – dua nama yang dahulu sering disebut dalam satu nafas. Bahagia rumah tangga mereka menjadi sebutan jiran tetangga. Zee seorang pensyarah manakala Zamri merupakan seorang tentera udara. Dikurniakan empat orang anak yang comel, kehidupan mereka kelihatan sempurna di mata luar. Namun, hakikatnya, di dalam rumah itu, ada badai yang perlahan-lahan mengikis sabar seorang suami.
Zee seorang isteri yang baik pada awalnya. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia sering gelisah, mudah marah, dan sukar dibawa berbincang. Segalanya harus menurut kehendaknya. Apa sahaja yang dilakukan Zamri sering dipersoal. Jika berlaku perselisihan kecil, Zee akan meminta cerai – seperti mencabut daun kering dari tangkai. Tanpa memikirkan perasaan anak-anak yang makin menumbuh, Zee lebih mengutamakan hati dan perasaan serta amarahnya.
Zamri bertahan. Namun, segalanya ada batas. Satu malam, dalam pertengkaran yang makin meruncing, Zee menjerit meminta dilepaskan. Hatinya yang selama ini tenang, akhirnya pecah. “Aku ceraikan kau dengan talak satu,” katanya perlahan, tetapi cukup untuk menghentikan jeritan Zee.
Zamri membawa diri. Namun anak-anak menjadi pengikat. Mereka menangis, memanggil ayah mereka dalam tidur. Zamri kembali, bukan kerana desakan, tetapi kerana kasih. Dia membawa Zee berubat. Rawatan demi rawatan dilalui. Rupanya, bukan hanya angin badan dan anxiety yang menyerang Zee – ada makhluk lain yang ingin memusnahkan rumah tangga mereka. Ada insan yang mahukan perpisahan mereka. Semuanya berpunca daripada Zee yang sering menceritakan perjalanan dan kebahagiaan mereka di media sosial. Ada mata-mata yang tidak senang melihat mereka bahagia bersama.
Selepas beberapa bulan, mereka rujuk. Zee berjanji akan berubah. Zamri percaya – mungkin terlalu percaya. Zee mula melayan Zamri dengan baik. Mereka sering luangkan masa bersama. Zee menagih masa yang Zamri lupa untuk luangkan bersamanya. Zamri cuba akur demi menyelamatkan rumahtangga yang sudah dibina selama 11 tahun itu.
Namun, awan yang disangka mendung seketika berlarutan. Zee kembali menjadi seperti dahulu, malah lebih teruk. Zamri dihalau dari rumah. Pakaiannya dicampak ke luar pagar. “Kau bukan lelaki! Tak berguna!” jerit Zee di hadapan anak-anak. Anak-anaknya menangis melihat keadaan mereka berdua. Bapa mereka dihalau oleh ibu mereka sendiri.
Zamri pulang ke rumah orang tuanya. Bagai jantung ditusuk duri yang tajam. Begitulah hati seorang ibu apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, dihalau bagai binatang. Hati luluh, ego lelaki tercalar. Namun demi maruah dan ketenangan jiwa, mereka berbincang. Zamri menceraikan Zee buat kali kedua.
Zee merayu. Hati Zamri lembut lagi. Mereka rujuk semula – demi anak-anak.
Tetapi badai kembali melanda. Ketika jiwa sudah benar-benar lelah, Zamri menceraikan Zee buat kali ketiga. Kali ini, dia nekat tidak akan menoleh ke belakang lagi. Ahli keluarga menyalahkan Zamri kerana membuat keputusan terburu-buru. Namun, hanya jauhari mengenal manikam. Sebelas tahun Zamri memendam rasa dan menjadi pak turut isterinya. Selama tempoh perkhawinan itu juga Zamri dilayan bagai orang gaji. Duit gajinya semua diambil isterinya tanpa meninggalkan satu sen pun untuk Zamri. Katanya risau Zamri nikah lain.
Perceraian tidak seindah yang diimpikan. Zee membuat tuntutan di mahkamah terhadap Zamri. Zamri akur kerana dia mahu anak-anak membesar tanpa ada kekurangan walaupun Zamri tiada bersama untuk menjaga mereka.
Tahun berganti. Zamri kini bahagia dengan isteri barunya, Nita – wanita lembut yang memahami dan menyembuhkan luka hati dengan sabar dan doa. Namun, Zee tidak pernah tenang. Dia sering mengintip kehidupan Zamri. Anak-anak dilarang mendekati ibu tiri mereka. “Takut disantau,” katanya.
Zee mencetus masalah dengan biras-birasnya. Dia menghasut, memburukkan Nita, merosakkan apa sahaja yang dilihatnya bahagia.
Namun, kebenaran akhirnya tersingkap. Zee disahkan mengalami gangguan mental yang kronik. Ramai mula membuka mata. Ramai yang sebelum ini tertipu oleh lakonannya mula menjauh. Zamri hanya mampu berdoa. “Ya Allah, redakanlah hati wanita yang pernah aku cintai. Jadikanlah aku bapa yang kuat untuk anak-anakku.”
Lima tahun telah berlalu. Kehidupannya bersama Nita tenang, walaupun sederhana. Nita seorang wanita berjiwa penyayang, lemah-lembut dan tidak pernah mengungkit kisah silam suaminya. Malah, dia menyayangi anak-anak tiri seperti darah daging sendiri. Bukan mudah bagi seorang wanita untuk menerima lelaki yang datang bersama sejarah luka, tetapi Nita bukan wanita biasa. Dia wanita luar biasa yang dikirim Tuhan saat hati Zamri hampir hancur sepenuhnya.
Namun, luka itu tidak pernah benar-benar sembuh. Zee — wanita yang pernah menjadi isterinya, masih membayangi kehidupan mereka. Seolah tidak dapat menerima hakikat bahawa cinta mereka telah lama terkubur, Zee terus mengekori kehidupan Zamri dari jauh. Kadang kala, anak-anak pulang dari rumah ibu mereka dengan wajah sugul.
“Umi kata jangan rapat sangat dengan Nita. Takut kena buatan orang,” ujar si bongsu, Aliff, suatu hari.
Zamri hanya mampu memeluk anaknya erat. Dia tahu, anak-anak tersepit antara dua dunia — antara kasih seorang ibu kandung yang semakin terhakis oleh sakit jiwa, dan kasih seorang ibu tiri yang sedang berusaha memulihkan semangat mereka.
Pernah satu malam, rumah mereka diketuk kuat. Bila pintu dibuka, tiada sesiapa. Namun esoknya, tayar kereta Zamri ditoreh. Dan beberapa hari selepas itu, Nita menerima mesej berbaur ugutan di media sosial.
“Kau perampas. Aku akan buat kau menyesal!” tulis mesej itu.
Zamri melaporkan kepada polis. Namun, tanpa bukti kukuh, tiada tindakan boleh diambil. Hanya amaran, dan doa yang boleh dijadikan benteng.
Satu hari, ibu Zamri jatuh sakit. Ketika itulah Zee mula mendekati kembali keluarga bekas suaminya. Peliknya, bukan dengan niat baik. Dia mula menyebar cerita kononnya Nita menjadi punca ibunya sakit. Padahal ibu Zamri sudah lama menghidap darah tinggi.
“Zee datang rumah mak hari tu. Marah-marah, tuduh mak kena santau,” cerita abang ipar Zamri ketika perjumpaan keluarga.
Zamri menghela nafas panjang. Luka lama berdarah kembali. Dia tidak faham, mengapa Zee tidak dapat menerima kenyataan.
Anak-anak semakin dewasa. Sarah, anak sulung mereka kini di tingkatan empat. Dia mula faham keadaan ibunya. Pernah satu malam, dia menangis di dapur bersama Nita.
“Aunty, kadang-kadang Sarah takut dengan umi. Dia jerit-jerit sorang-sorang. Marah benda yang tak ada... Sarah sayang umi, tapi Sarah pun sayang aunty...”
Nita hanya memeluknya erat. “Sayang tak perlu dibahagi, sayang. Hati manusia luas untuk menyayangi ramai orang dalam satu masa,” bisiknya sambil mengusap rambut Sarah.
Akhirnya, segala yang disembunyikan tersingkap. Zee dimasukkan sekali lagi ke hospital psikiatri selepas mengalami episod psikosis di tempat kerja. Dia menjerit dan menuduh rakan sekerja ingin meracun makanannya. Doktor mengesahkan dia mengalami gangguan bipolar dan skizofrenia bercampur. Rawatan perlu dijalankan secara intensif.
Berita itu sampai ke telinga Zamri. Dia diam. Tidak marah, tidak gembira. Hanya diam. Dalam diam, dia tahu... dia pernah mencintai wanita itu. Pernah membina hidup, membina impian. Malah, anak-anak yang kini dibesarkannya dengan Nita adalah bukti cinta mereka dahulu.
Zamri datang menziarahi Zee di hospital. Dia berdiri di pintu bilik rawatan. Zee memandangnya kosong. Seolah tidak mengenali. Bibirnya bergerak perlahan, “Jangan ambil anak-anak aku… Nita bukan mak mereka…”
Zamri hanya memandang. Pandangan yang penuh makna dan sengsara. Satu titik air mata gugur perlahan.
Kehidupan Zamri dan Nita semakin stabil. Anak-anak kian dewasa. Sarah berjaya ke universiti, dan Aliff menjadi pelajar terbaik di sekolah menengahnya. Mereka sesekali menziarahi ibu mereka di pusat rawatan. Nita tidak pernah menghalang. Nita sering mengingatkan anak-anak supaya berbakti kepada ibu selagi hayat dikandung badan.
“Umi tetap umi,” kata Nita setiap kali anak-anak ingin ke sana.
Nita banyak memberi nasihat dan panduan buat anak-anak. Nita sedar, selama ini anak-anak hilang sekejap kasih sayang seorang bapa. Nita cuba sedaya upaya menjadi mama yang terbaik buat mereka walaupun Nita sedar, dia tidak mampu menggantikan tempat umi mereka.
Zamri tahu, dia telah memilih wanita yang tepat. Nita bukan sahaja isterinya — dia penyembuh luka, pelindung anak-anak, dan penguat semangatnya. Zamri bersyukur dan redha atas ujian yang dilaluinya. Jika tidak kerana ujian ini, mungkin kehidupan Zamri lebih parah dan luka hatinya tidak mungkin dapat dirawat tanpa kehadiran Nita. Semuanya adalah suratan takdir yang sudah ditentukan.
Dan untuk Zee, meskipun kisah mereka berakhir dalam pedih dan duka, Zamri hanya mampu mendoakan. Kerana suatu ketika dahulu, Zee juga pernah menjadi bahagiannya yang paling bahagia.
Biodata Penulis
Nurul Afifah Binti Rahim
Nurul Afifah Binti Rahim dilahirkan di Negeri Kelantan. Berminat dalam bidang penulisan sejak bangku sekolah lagi. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati Pasir Mas Kelantan dan melanjutkan Pelajaran di Universiti Sultan Zainal Abidin dalam bidang Diploma Pentadbiran Islam selama setahun. Mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu dalam bidang Pengajian Melayu. Kini berkidmat sebagai seorang guru di Sekolah Kebangsaan (FELDA) Lepar Utara 1 Jerantut, Pahang. Terlibat dalam penulisan Antologi Puisi Sayembara PUSPA (JAGAT BUMANTARA) berjudul Jiwa Merdeka (2024) terbitan GAPENA. Terlibat dalam penulisan cerpen Perjalanan ke Arah Cahaya terbitan Lisa Publisher dan cerpen Sekeping Hati yang Tersisa diterbitkan dalam blog KGS.
Kontak :
HP : 012-9828-69
Email : cheguafinur@gmail.com
Instagram :
Tiada ulasan:
Catat Ulasan