Tulang Belakang Waktu
Karya: Kims Diwa
Di pagi yang belum menyinar
bunyi cerek dapur bersahut dari rumah setinggan
tapak kaki menyentuh tanah basah
di luar pagar sekolah anak
tangan ayah mengangkat subuh dengan cangkul.
Jari kuli memegang mimpi
bukan lagi pada gaji bulan
tetapi pada kasut sekolah yang koyak
dan kopi pagi yang selalu basi
di stesen minyak luar kota.
Setiap kerja ialah doa diam
dilakar pada leher berpeluh
di atas bumbung bawah tanah di jalanan
bukan untuk bangga
tetapi agar dapur terus menyala.
Tak siapa kisah nama mereka
tapi lif pejabat bergerak kerana mereka
tayar lori sawah padi mesin di kilang
didorong oleh urat yang jarang direhatkan
dan hati yang selalu kalah untuk berhenti.
Jika esok dunia terbakar
mereka tetap datang bekerja
sebab bukan upah yang mereka cari
tetapi harga diri yang tak dijual beli
di pasar borong atau dalam bajet menteri.
Mereka tidak mahu disanjung
mereka hanya mahu dikenang dengan adil
kerana setiap peluh mereka titipkan
adalah titisan sejarah tidak tercatat
tapi menggerakkan dunia tanpa suara.
Bila mesin mati dan pejabat sunyi
suara merekalah yang masih menggema
bukan dalam pidato atau surat khabar
tetapi dalam roti yang kita jamah
dan dalam jalan yang kita lalui setiap pagi.
Telupid, Sabah, Malaysia
16 Mei 2025
Tiada ulasan:
Catat Ulasan